بسم الله الرحمن الرحيم
Proses Kejadian Janin dan Peniupan Roh.
Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, ahli keluarga dan semua sahabatnya.
Isi Kandungan
Pendahuluan
Telah masyhur di kalangan ulama’ Islam yang dahulu dan sekarang berfahaman bahawa kejadian janin yang pertama ialah; air mani (النطفة), segumpal darah (العلقة), kemudian seketul daging (و(المضغة. Semua proses kejadian ini ialah selama 120 hari, berdasarkan kepada apa yang difahami dari hadis menghimpun kejadian manusia (جمع الخلق) yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan lainnya dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:
( حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم -وهو الصادق المصدوق- قال: “إن أحدكم يُجمع خلقُه في بطن أمه أربعين يوما، ثم يكون علقة مثلَ ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يبعث الله ملكاً يؤمر بأربع كلمات ويقال له: اكتب عمله وأجله ورزقه وشقي أو سعيد. ثم ينفخ فيه الروح…”). صحيح البخاري رقم (3208).
Maksudnya: “Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami –sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [Sahih Al-Bukhari No. 3208].
Berdasarkan yang disebut dalam hadis, mereka menafsirkan bahawa roh ditiup ke dalam janin pada waktu ianya berupa seketul daging, yang pada zahirnya selepas 40 hari yang ketiga[2].
Kerana inilah ada ulama’ yang mengeluarkan fatwa bahawa boleh menggugurkan kandungan dalam masa 4 bulan pertama dari kehamilan dengan tidak ada sebab yang dharurah, kerana pada fahaman mereka janin hidup pada peringkat ini sebagai hidupan tumbuh-tumbuhan, belum ditiup roh sebagai manusia lagi, dan fahaman ini telah tertanam dalam dengan kuatnya bagi setengah ulama’ sehingga ianya telah menjadi satu fahaman yang diterima dalam Syariah bahawa kejadian janin peringkat pertama melalui tiga kali 40 hari, sedangkan fahaman ini telah bercanggah dengan hakikat ilmiah (saintifik) yang muktamad dalam ilmu kejadian janin di zaman moden, menyebabkan ada segolongan orang Islam yang tidak mendalam ilmu agamanya telah menolak hadis-hadis yang seumpama ini. Demikian juga dengan golongan anti Islam, mereka telah menjadikan hadis-hadis seumpama ini sebagai senjata untuk menghentam Islam.
Ini adalah bertentangan dengan kajian kepada apa yang dijelaskan oleh Al-Quran tentang proses kejadian janin dan huraiannya oleh ahli-ahli tafsir. Juga sebaaimana yang dijelaskan oleh hadis Nabi saw terhadap masa kejadian janin yang begitu terperinci menyamai apa yang terdapat dalam kajian ilmiah ahli-ahli sains moden bahawa peringkat kejadian janin; bermula dari air mani, segumpal darah dan seketul daging, semuanya terjadi dalam masa 40 hari pertama sahaja.
Dalam perbincangan ini akan disebut beberapa asas;
Dalil-Dalil Quran
Penjelasan Al-Quran terhadap kejadian janin dan huraian ulama’ tafsir mengenainya.
{ ولقد خلقنا الإنسان من سلالة من طين. ثم جعلناه نطفة في قرار مكين. ثم خلقنا النطفة علقة فخلقنا العلقة مضغة فخلقنا المضغة عظاماً فكسونا العظام لحماً ثم أنشأناه خلقاً آخر فتبارك الله أحسن الخالقين }. المؤمنون 12-14.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. [Al-Mu’minun: 12-14].
Satu: Peringkat air mani (النطفة).
Kata Ibnu Kathir [3]: ‘Kemudian kami kami jadikan nuthfah; iaitu air yang terpancut keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang punggung perempuan’. Nuthfah juga disebut sebagai percampuran air mani lelaki dan perempuan sebagaiman yang tersebut dalam ayat
{ إنا خلقنا الإنسان من نطفة أمشاج نبتليه..}. الإنسان 2.
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari (setitis) air mani yang bercampur (benih lelaki dan perempuan) untuk kami mengujinya..”. [Al-Insan: 2].
Ini disebut sebagai telur yang telah disenyawa dengan beberapa peringkat yang semuanya masih dalam bentuk setitik air.
Dua: Peringkat segumpal darah (العلقة).
Peringkat ini melalui beberapa proses dari mulanya hingga akhir. Kalimah ‘alaqah seperti yang dijelaskan oleh ahli tafsir ialah: diambil dari kalimah ‘alaqa iaitu melekat dan bergantung dengan sesuatu yang lain. Ini bertepatan dengan keadaan janin yang melekat dengan dinding rahim sepanjang minggu kedua.
‘Alaqah juga disebut sebagai darah atau darah yang sangat merah dan darah beku. Ia bertepatan dengan keadaan janin diperingkat ini. Tempoh proses peringkat ini ialah bermula pada minggu kedua hingga akhir minggu ketiga.
Tiga:Peringkat seketul daging (المضغة).
Bermulanya pada minggu ke empat, tepatnya pada hari ke 22 jantung mula bergerak dan janin telah memasuki peringkat mudhghah. Ulama’ tafsir telah menjelaskan peringkat ini dengan terperinci. Kata Ibnu Kathir: ‘Mudhghah: Seketul, seperti seketul daging yang tidak ada bentuk apa-apa, besarnya sekadar apa yang dapat digigit. Ini bertepatan dengan keadaan janin di awal peringkat ini yang ukurannnya sebesar biji gandum sehingga sebesar biji kacang tanah (3-5 mm). Janin melalui proses pembesaran yang cukup cepat setiap hari bahkan setiap jam.
Di akhir peringkat ini akan nampak sifat kejadian tangan, kaki, kepala, dada dan perut demikian juga dengan organ dalaman tubuh, sedang tubuh zahirnya masih dengan seketul daging, inilah yang digambarkan dalam Al-Quran;
ثم من مضغة مخلقةٍ وغير مخلقة…}. الحج 5}
Maksudnya: “Kemudian kami jadikan seketul daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna”. [Al-Haj: 5].
Dari nas ini jelas bahawa kejadian bentuk manusia bermula di peringkat ini, dan dari ilmu janin pula menegaskan bahawa kejadian bentuk manusia bermula pada awal minggu keempat hingga kepada sebelum tamat minggu keenam, selepas itu akan bermula peringkat baru pula.
Empat: Peringkat kejadian tulang.
Di minggu ke tujuh ini bermula satu proses baru, iaitu timbulnya tulang dan tubuh mula menjadi kuat. Kata Ibnu Kathir: ‘Yakni kami jadikan bentuknya mempunyai kepala, tangan, kaki dengan tulang-tulang dan urat sarafnya’.
Kata As-Syaukani [4]: ‘Allah menjadikannya keras supaya menjadi tiang kepada tubuh mengikut bentuknya yang khas’.
Mengikut ilmu janin tulang dijadikan pada awalnya kemudian dibaluti dengan daging pada akhir minggu ke tujuh dan sepanjang minggu ke lapan.
Dengan ini berakhirlah peringkat kejadian bentuk manusia dengan bentuk yang begitu kecil, apabila tamat minggu ke lapan dikira berakhirlah peringkat ‘janin’, selepas itu disebut dengan nama peringkat ‘hamil’ atau dalam Al-Quran disebut peringkat ‘An-Nash-ah’.
Peringkat kejadian yang berbentuk “النشأة خلقا آخر”.
Peringkat ini bermula pada minggu ke sembilan, janin membesar dengan perlahan hingga minggu ke dua belas, kemudian ia membesar dengan cepat hingga ke akhirnya.
Ia mempunyai beberapa ciri yang tertentu di antaranya;
Berlaku proses pembesaran semua anggota sebagai persediaan untuk menjalankan tugas masing-masing.
Janin sudahpun di tiupkan roh kepadanya mengikut pendapat kebanyakkan ulama’ tafsir. Kata Ibnu Kathir: ‘Kemudian kami tiupkan roh kepadanya dan ia mula bergerak dan menjadi satu kejadian makhluk yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan dan gerakan’.
Dalil-Dalil Hadith
Nas Hadis yang menjelaskan kejadian janin.
Hadis pertama: Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:
(حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم -وهو الصادق المصدوق- قال: “إن أحدكم يُجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما، ثم يكون في ذلك علقة مثل ذلك، ثم يكون في ذلك مضغة مثل ذلك، ثم يُرسل الملك فينفخ فيه الروح. ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد”). صحيح مسلم رقم 2643..
Maksudnya: “Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami –sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian pada masa itu dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian pada masa itu dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezkinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [Sahih Muslim No. 2643].
Hadis kedua:
Dari Huzaifah bin Usaid r.a, Sabda Nabi saw:
إذا مر بالنطفة ثنتان وأربعون ليلة، بعث الله إليها ملكا، فصورها وخلق سمعها وبصرها وجلدها ولحمها وعظامها، ثم قال: يا رب أذكر أم أنثى؟ فيقضي ربك ما شاء ويكتب الملك…). صحيح مسلم رقم: 2645.
Maksudnya: “Apabila air mani telah melalui proses selama 42 malam Allah mengutus kepadanya seorang malaikat, maka ia membentuk rupanya, menjadikan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, daging dan tulangnya, kemudian malaikat bertanya: Wahai Tuhan, janin ini lelaki atau perempuan? Maka Allah telah menentukan apa yang dikehendakinya, dan malaikat menulisnya…”. [Sahih Muslim No. 2645].
Dalam hadis yang pertama Nabi saw telah menceritakan dihimpun kejadiannya dalam masa 40 hari, jadi apakah maksud himpun (جمع) dalam hadis ini?
Maksud himpun (jama’a) ialah menghimpun sesuatu dengan yang lain selepas berserakan.
Dari hadis ini boleh dibuat kesimpulan bahawa Nabi saw mengisyaratkan kepada berhimpunnya sel-sel dalam rahim yang banyak pada peringkat ini dan menjadi janin.
Demikian juga hadis ini menunjukkan kepada proses kejadian janin yang pertama; segumpal darah kemudian seketul daging semuanya bermula dan selesai kejadiannya dalam masa 40 hari. Tidak ada riwayat yang sahih menunjukkan perkataan ‘Nuthfah’ air mani dijadikan dalam masa 40 hari pertama.
Hadis ini berbeza dengan hadis riwayat Imam Al-Bukhari dengan adanya tambahan (في ذلك) ‘pada masa itu’, dengannya fahaman menjadi jelas dan bertepatan dengan penemuan saintifik mengenainya serta hilanglah semua keraguan yang ditimbulkan oleh musuh Islam.
Maka dengan riwayat ini proses kejadian janin dihimpun selama 40 hari yang pertama dari umurnya, demikian juga proses menjadi darah kemudian seketul daging terjadi dalam masa 40 hari, kerana lafaz (في ذلك) ‘pada masa itu’ kembali kepada masa (40 hari), ada pun isyarat (مثل ذلك) ‘seumpamanya’ mesti kembali kepada sesuatu dan yang paling hampir di sini ialah menghimpunkan kejadian (جمع الخلق).
Hadis kedua pula Nabi saw telah menjelaskan bahawa sebelum berlalunya 42 hari tidak mungkin dapat dibezakan kejadian janin sebagai seorang manusia dan belum sempurna sifat kejadiannya.
Penjelasan
Menjelaskan khilaf yang berlaku dalam memahami erti hadis.
Syeikh Abdul Majid Az-Zandani telah mentaufiqkan di antara hadis-hadis yang terdapat dalam masalah ini.
Telah jelas dari dalil-dalil syara’ dan hakikat kajian ilmiah yang kukuh bahawa pendapat yang mengatakan janin melalui proses 40 hari tiap satu peringkat adalah tidak tepat berdasarkan kepada dalil-dalil yang akan disebut dibawah ini;
Pertama: Hadis Ibnu Mas’ud r.a telah diriwayat oleh dua Imam, Al-Bukhari dan Muslim, tapi riwayat Muslim menambah perkataan (في ذلك) dua kali sebelum lafaz (علقة) dan (مضغة), tambahan ini sahih dan dianggap sebagai asal kepada matan hadis untuk menerima kedua-dua riwayat, dengan ini riwayat yang sempurna kepada hadis ini ialah riwayat Imam Muslim.
Kedua: Al-Quran telah menyebut bahawa tulang dijadikan selepas terjadinya seketul daging, Nabi saw dalam hadis Huzaifah telah menjelaskan bahawa awal kejadian tulang ialah selepas 42 malam dari bercampurnya air mani, maka dengan ini fahaman yang mengatakan tulang dijadikan selepas 120 hari bercanggah dengan apa yang diriwayat oleh Huzaifah, juga bercanggah dengan kajian saintifik mengenai kejadian tulang bermula pada minggu yang ke enam, bukan selepas minggu ke 17, ini menguatkan lagi maksud hadis Huzaifah.
Imam Abdul Rahman Ibnu Rajab [5] telah menjelaskan perkara ini dalam menghuraikan hadis Ibnu Mas’ud r.a yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, lafaznya hampir sama dengan riwayat Al-Bukhari, katanya: ‘Riwayat Imam Ahmad yang menunjukkan bahawa janin tidak dibaluti dengan daging kecuali selepas 160 hari, ini adalah satu kesilapan. Perawi Ali bin Zaid iaitu Ibnu Jud’an tidak boleh dibuat hujjah riwayatnya’.
Beliau juga mengatakan: ‘Zahir hadis Ibnu Mas’ud r.a menunjukkan bahawa rupa janin, kejadian pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, daging dan tulangnya adalah di awal 40 kedua, maka ini bererti di awal 40 hari kedua itu sudah dijadikan daging dan tulang’.
Tiga: Bercanggah juga dengan gambaran kejadian janin yang dijelaskan oleh Al-Quran.
Janin pada hari ke 20 atau 30 atau 39 tidak boleh lagi disifatkan sebagai air mani. Dan pada hari ke 60 atau 70 tidak boleh lagi disifatkan seperti segumpal darah kerana ianya telah sempurna kejadiannya. Demikian juga tak mungkin pada hari ke 80 hingga 120 mengganggapnya seperti seketul daging kerana ianya telah lama selesai kejadian dan setiap anggotanya telah pun menjalankan tugas masing-masing.
Bilakah Roh ditiupkan?
Isu ini tidak dapat dijelaskah oleh ilmu sains tapi ianya dijelaskan oleh nas-nas Syara’. Tidak ada –mengikut kajian ulama’- nas yang jelas lagi sahih kecuali hadis ‘menghimpunkan kejadian manusia’ (جمع الخلق) yang diriwayat oleh Imam Al-Bukhari, Muslim dan lainnya dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a yang telah tersebut di atas.
Telah ittifaq ulama’ Islam bahawa janin akan ditiupkan roh selepas selesai peringkat kejadian ‘mudhghah’ (seketul daging) berdasarkan nas hadis Nabi saw yang jelas. Begitu juga kejadian seketul daging dijadikan pada 40 hari pertama sebagaimana hadis jama’al khalq dan hadis Huzaifah, demikian juga dengan penemuan kajian saintifik tentang janin. Yang sahihnya roh akan ditiupkan selepas 40 hari pertama dari umur janin bukan sebelumnya dengan yakin. Tapi bilakah terjadi peristiwa tersebut dengan tepatnya? Selepas dua bulan atau tiga bulan atau lebih atau kurang? Tidak ada siapa yang boleh menentukannya dengan tepat selepas 40 hari pertama, kerana tidak ada nas yang sahih tentangnya.
Namun boleh diijtihadkan secara lebih kurang berdasarkan firman Allah;
{ ثم سواه ونفخ فيه من روحه } السجدة 9.
Kemudian Allah menyempurkan (kejadiannya) dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya”. [As-Sajadah: 9].
Boleh difahami dari ayat ini bahawa roh ditiup selepas sempurna kejadiannya, iaitu selepas minggu ke lapan, inilah apa yang disimpulkan oleh kebanyakan ahli tafsir.
Iaitu sebelum berakhirnya minggu ke lapan semua anggota asas telah dijadikan, maka dengan ini mungkin roh ditiupkan pada janin selepas proses kejadiannya pada minggu ke sembilan atau sepuluh, atau selepas selesai kejadian anggota jantinanya pada minggu ke dua belas atau selepasnya, wallahu a’lam.
Boleh juga diandaikan janin sudah mempunyai roh berpandukan kepada gerakannya. Sheikh Ibnu Al-Qayyim [6] telah menggambarkan keadaan janin sebelum dan selepas ditiupkan roh, katanya; ‘Adalah gerakan janin untuk membesar seperti gerakan tumbuh-tumbuhan, gerakannya tidak berpandukan kepada kehendaknya, kemudian selepas ditiupkan roh berhimpun gerakan perasaan dan kehendaknya kepada gerakan pembesarannya”.
Telah sabit dalam kajian saintifik gerakan janin dapat dikesan pada peringkat awal, iaitu pada minggu ke lapan atau ketika kandungan janin sebesar 3sm atau panjang janin lebih kurang 15mm. Demikian juga dapat dilihat gerakan pernafasan, anggota bahagian atas, denyutan jantung, kerdipan mata dan sebagainya. Gerakan tangan ke mulut, lidah dan menghisap jari semuanya dapat dilihat diminggu ke enam belas, iaitu sebelum 120 hari.
Penutup
Demikianlah sedikit perbincangan mengenai mu’jizat Nabi saw yang menceritakan proses kejadian janin yang begitu halus dan terperinci di zaman sebelum manusia mengenali sains dan teknologi lebih 14 abad yang lampau, ini menunjukkan kebenaran ajarannya, begitu juga dengan perkara lain seperti hadis ‘Zubab’ atau lalat dan seumpamany. Sekira ianya bercanggah dengan fakta saintifik bukan salah hadis tapi mungkin silap tafsir atau salah faham atau mungkin juga hadis tersebut tidak sahih keluar dari mulut Nabi saw.
Semoga Allah menambahkan kekuatan berfikir dan kefahaman yang luas kepada kita semua agar dapat kita memahami isi kandungan ayat-ayat-Nya serta Sunnah Nabi saw dan terus berpegang serta beramal dengan kedua-duanya.
وصلى الله على نبينا وسيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Rujukan
[1] Perbincangan ini diistifadah dari maqalah yang ditulis oleh Dr. Abdul Jawad As-Sawi dalam majalah ‘Al-I’jaz Al-‘Ilmi’ yang dikeluarkan oleh Rabithah Al-‘Alam Al-Islami, Makkah. bilangan (8) Syawal 1421H. untuk penjelasan yang lebih lanjut pembaca disarankan agar merujuk kepada rencana asal dalm majalah ini dan rujukan lain yang berkaitan dengannya, seperti tulisan Sheikh Abdul Majid Az-Zandani hafizahullah.
[2 Lihat: Hukmul Ijhadh fi As-Syariah Al-Islamiah, Dr. Majid Al-Na’washi. Dalam Majalah ‘As-Syariah wa Ad-Dirasat Al-Islamiah, Universiti Kuwait. Bil. 44. Mac 2001.
[3] Lihat Tafsir Ibnu Kathir 3/233 Cetakan Dar Ar-Rayyan.
[4] Tafsir Fathul Qadir 3/483, Cet. Dar al-Fikr.
[5] Lihat Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 55. Cet. Al-Matbaah Al-Masriyyah.
[6] Lihat: At-Tibyan fi Aqsam Al-Quran 339,351.
Madinah,
28 J.2 1422H
16 Sep. 2001.