Ulasan: Kitab Bidayah As-Sul (41 Kelebihan Rasulullah SAW).

Kitab Bidayah As-Sul Fi Tafdhil ar-Rasul SAW.
Penulis kitab ini, Sheikh ‘Izzuddin Abdul Aziz bin Abdul Salam [577-660H], ulama’ yang terkenal dengan gelaran “Sultan Ulama’ & Penjual Raja-raja”, telah mengemukakan sebanyak 41 kelebihan Rasulullah saw yang mengatasi para anbiya’ yang lain alaihimussolatu wassalam.

 Terdapat banyak kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’-ulama’ terdahulu tentang kelebihan Rasulullah saw ini. Di antaranya;
Kitab “Al-Syamil Al-Muhammadiyyah”, oleh Imam Abu ‘Isa al-Tirmizi, kitab “Dala’il an-Nubuwwah”, oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani dan “Dala’il an-Nubuwwah”, oleh Imam al-Baihaqi dan kitab “Al-Khasa’is al-Kubra”, oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti.
Terdapat juga sebuah kitab baru yang bernama “al-Amanah al-‘Uzma wa Nabiyyuha SAW”, dihasilkan oleh Prof. Dr. Khalil Ibrahim dari Universiti Taibah, Madinah. Beliau telah menyebut bahawa terdapat 250 ciri-ciri keistimewaan Rasulullah saw yang mengatasi kelebihan para anbiya’ lain.
Keistimewaan kitab ini berbanding dengan yang lain ialah kesahihan maklumat yang dipilih.
Menurut Sheikh al-Albani rhm: “Maklumat dalam risalah kecil ini adalah merupakan pilihan pengarangnya daripada riwayat yang sahih, tidak ada yang boleh diputuskan sebagai dhaif, inilah keistimewaan risalah ini berbanding dengan kitab-kitab yang lain”.[Tahqiq Bidayah Al-Sul, ms: 12].
Kandungan buku ini, keseluruhannya menunjukkan kepada ketinggian darjat Rasulullah saw, maka kita sebagai umatnya wajib menyayangi Baginda dengan mengikut petunjuk dan ajarannya yang sebenar, bukan hanya sekadar mencipta slogan atau cogankata yang ditulis dan dilaungkan.
Maka dengan mengetahui kelebihannya ini, akan menambahkan lagi keimanan dan kecintaan kita kepadanya. Ini kerana cinta kepada Nabi merupakan syarat asas kepada iman yang mantap seseorang hamba itu. Disertai dengan cinta kepada Allah yang telah menganugerahkan kepada kita Rasul yang mulia ini.
Firman Allah swt:
((هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ )).
Maksudnya: {Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.} [Al-Jumu’ah: 2].
Rasulullah saw juga telah bersabda:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاوَةَ الإِيمَانِ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لا يُحِبُّهُ إِلا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ)).
Maksudnya: “Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman; Allah dan Rasulullah lebih dikasihinya daripada yang lain, menyayangi seseorang kerana Allah, benci untuk kembali kepada kekufuran (setelah beriman) sebagaimana dia benci kalau dicampakkan ke dalam api”. [HR: Bukhari dan Muslim]
Semoga dengan mengetahui kelebihan yang besar ini akan menambahkan lagi keimanan dan kecintaan kita kepada Allah swt dan Rasulullah saw yang akan membawa kita ke syurga Allah, Amin.
www.abuanasmadani.com

http://abuanasmadani.blogspot.com/2012/02/41-kelebihan-nabi-saw-mengatasi-para.html

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *