Isu Titian Sirath

Isi Kandungan

Pendahuluan

Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirath di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti apa yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan bahawa ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan bahawa titian sirath itu hanyalah satu simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya.

Dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam’iyyat), seharusnya kita tawaqquf (berhenti) sekadar apa yang didapati melalui nas-nas syara’ di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, untuk berijtihad dan meletakkan pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah diperjelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu, penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan bersikap seperti itu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri sendiri dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah berkenaan kedudukan titian sirath.

Pandangan Ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Pandangan Imam al-Ghazali (wafat 505H)

“Adapun titian sirath ia juga adalah benar, mengimaninya adalah wajib kerana ianya mungkin. Ia adalah ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam dilalui oleh seluruh makhluk. Apabila mereka sampai di atas, dikatakan kepada malaikat, ‘Hentikan mereka sesungguhnya mereka akan disoal’. Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian itu dan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin lalu di atasnya?

Kita menjawab: Jika ini terbit daripada sesiapa yang memungkiri qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya dalam menetapkan umum qudrat-Nya telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas ini tidak lebih hairan daripada berjalan di udara. Allah SWT mampu menciptakan kuasa ke atasnya, maknanya Dia mampu menciptakan baginya berjalan di atas udara, tidak menciptakan pada zatnya jatuh ke bawah dan tidak tersasar di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirath itu lebih tetap daripada udara dalam apa jua keadaan.”

(Ghazali, Abu Hamid, al-(1993), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hal. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

“Dan hendaklah beriman bahawa titian sirath itu benar. Ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut. Ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga.”

(Ghazali, Abu Hamid, al-(1985), Qawa’id al-‘Aqaid, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hal. 66; Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi (1404H), Tabyin Kazib al-Muftari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal. 305)

Pandangan al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H)

“Titian sirath itu benar. Ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Seluruh manusia lalu di atas titian sirath. Laluan mereka adalah berdiri mereka di sekitar neraka kemudian lalu di atas titian sirath mengikut kadar amal perbuatan mereka.”

(Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad (1998), Kitab Usul al-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hal. 238-239)

Pandangan al-Taftazani (wafat 791H)

“Dan antaranya titian sirath. Ia adalah jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam. Ia dilalui oleh golongan terdahulu dan terkemudian, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadith sahih.

Ia dimungkiri oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai di kalangan Mu’tazilah dengan dakwaan mereka bahawa ianya tidak mungkin diseberangi. Jika mampu sekalipun, padanya satu penyeksaan sedangkan tiada azab terhadap golongan mukmin dan orang soleh pada hari Qiyamah. (Pandangan Mu’tazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi adalah jelas seperti berjalan di atas air dan terbang di udara yang tujuannya menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana di dalam hadith, bahawa sebahagian mereka menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya yang berjalan seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…”

(Taftazani, Sa’d al-Din Mas’ud bin ‘Umar (1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma’arif al-Nu’maniyyah, j.2, hal. 223)

Pandangan Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

“Dan titian sirath itu terbentang di atas perut neraka Jahannam. Ia adalah jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka. Sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…”

(Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim (1412H), al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta’, hal. 33)

Kesimpulan

Berdasarkan pandangan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah, titian sirath adalah satu hakikat yang wujud dan perlu diimani. Ia merupakan jambatan di atas neraka Jahannam yang akan dilalui oleh seluruh manusia pada hari kiamat mengikut kadar amalan mereka. Pendapat yang menolak kewujudannya secara hakikat bertentangan dengan nas-nas syara’ serta penjelasan para ulama muktabar.

Wallahu a’lam.

Sumber: http://mufakkir-islami.blogspot.com/2011/01/isu-titian-sirath.html

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *