Isi Kandungan
Ketegasan Sultan Ulama’
Sultan Ulama’ -Dalam Menangani Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar
Sejarah berulang kembali, peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman dahulu berlaku juga di zaman sekarang. Sikap dan pendirian ulama’ silam menjadi penantian dan harapan ummah daripada ulama’ hari ini. Ummah telah melalui beberapa krisis yang sentiasa berulang, maka kita perlu kembali mengingati dan mengenangi peristiwa-peristiwa yang lalu semoga ianya dapat menjadi suatu pengajaran dan iktibar.
Kata Dr. Jamil al-Misry rahimahullah: “Orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati sejarah silam serta bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang.”
Apabila membincangkan tentang amar ma’ruf – nahi mungkar, kita akan mengingati suatu sejarah yang berlaku pada kurun yang ke-7, iaitu ketegasan dan keberanian seorang ulama’ yang bangun menentang kemungkaran secara terang-terangan. Sepertimana yang dilakukan oleh seorang sahabat Nabi r, Abu Said al-Khudri t terhadap Marwan bin al-Hakam yang merupakan khalifah pada waktu itu. Peristiwa ini berlaku pada suatu Hari Raya. Apabila Marwan bangun untuk menyampaikan khutbah hari raya sebelum solat al-Eid, Abu Said al-Khudri segera menariknya turun serta mengingatkan bahawa sunnah khutbah adalah selepas solat. Marwan menjawab: “Sunnah itu telah pun ditinggalkan.”
Dalam lipatan sejarah ummah ini, telah lahir seorang ulama’ di Damsyik, Syria yang bernama Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulami al-Dimasyqi al-Misri al-Syafie, beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Beliau digelar Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-Raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.
Peristiwa & Ketegasan
Berikut adalah beberapa peristiwa yang menunjukkan ketegasan dan keberanian al-Izz dalam menentang kemungkaran:
Damsyik
Sewaktu di Damsyik, berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintah Damsyik, al-Saleh Ismail dan pemerintah Mesir, Najmuddin Ayyub. Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Ayyub, beliau telah membuat satu pakatan dengan tentera kafir Salibiyyah untuk membantunya menentang saudaranya Ayyub dengan menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 638H. Malah beliau juga memberi kebenaran kepada tentera-tentera Salibiyyah memasuki Damsyik dan membeli senjata bagi memerangi Muslimin.
Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh tersebut, yang merupakan suatu pengkhianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali bai’ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda terus mengeluarkan arahan memecat al-Izz dari jawatan khatib dan mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-Izz ditangkap. Beliau menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke al-Quds, Palestin. Kemudian tiba pula al-Saleh Ismail bersama tentera Salibiyyah yang dalam perjalanan menuju ke Mesir. Ketika berada di Quds, baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar datang mengadap sultan dan mencium tangannya. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al-Izz dengan tegas menjawab: “Wahai si miskin! Aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku, bagaiman pula aku sanggup mencium tangannya.”Utusan itu menjawab: “Jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali.” Al-Izz menjawab: “Buatlah apa yang kamu suka.”
Lalu al-Izz pun ditangkap kembali dan dikurung di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang didiami oleh sultan dan ketua tentera Salibiyyah. Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama’ yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda. “Beliau ditangkap demi kepentingan kamu”, ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawab: “Kalaulah ulama’ ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut”. Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.
Mesir
Di Mesir. Kedatangannya pada tahun 639H telah disambut oleh Sultan Najmuddin Ayyub dengan penuh penghormatan. Namun di Mesir al-Izz berhadapan pula dengan kemungkaran-kemungkaran yang mesti ditentang dan dihapuskan. Najmuddin Ayyub adalah seorang yang sangat garang dan tidak banyak bercakap dengan pegawai-pegawainya kecuali sekadar menjawab pertanyaan sahaja. Untuk memperkukuhkan pemerintahannya Najmuddin Ayyub telah membeli beberapa orang hamba dari Turki dan mereka diberi latihan ketenteraan. Sebahagian daripada mereka telah mendapat kepercayaan daripada Ayyub sehingga dilantik memegang jawatan ketua tentera dan ada juga yang dilantik sebagai Naib Sultan. Al-Izz pula dilantik menjadi ketua hakim (Qadhi al-Qudhah) dan khatib Mesir.
Ketika melaksanakan tugasnya, al-Izz mendapati wujud beberapa kepincangan dalam pemerintahan, antaranya; beberapa orang Umara’ (pemimpin) masih lagi daripada golongan hamba yang menjadi milik Baitulmal Muslimin. Mengikut hukum syara’, perlantikan mereka ke jawatan-jawatan tersebut tidak sah dan tindakan mereka terbatal. Antara mereka ialah Naib Sultan sendiri. Al-Izz lalu memaklumkan kepada mereka tentang kedudukan mereka di sisi syara’ dan mengambil tindakan membekukan segala tindakan mereka.
Keputusan tersebut telah menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati di kalangan umara’ yang masih merupakan golongan hamba. Mereka mengadakan pertemuan dengan Syeikh al-Izz untuk mendapat kerjasama dan penjelasan tentang masa depan dan kedudukan mereka. Tetapi al-Izz mengambil sikap tegas dalam keputusannya bahawa mereka hendaklah dijual secara lelongan terbuka, kemudian dibebaskan mengikut hukum syara’.
Keputusan hukum syara’ tersebut bukan sahaja ditolak dan ditentang bahkan al-Izz diberi layanan kasar oleh Sultan Mesir sendiri. Oleh kerana itu al-Izz membuat keputusan meninggalkan negeri yang enggan melaksanakan Syariah Allah itu. Keputusan tersebut dilaksanakan serta merta. Dengan menggunakan dua ekor keldai, seekor untuk isteri dan barangannya dan seekor lagi untuk tunggangannya, maka keluarlah al-Izz dari Kaherah. Setelah berita al-Izz keluar dari Kaherah diketahui umum, orang ramai dari segenap lapisan masyarakat mengambil keputusan untuk keluar bersama-sama al-Izz dari negeri tersebut, sebagai penentangan terhadap pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah.
Di sini bermulalah detik pertama, Sultan telah diberi nasihat oleh seorang penasihat yang jujur dengan kata-kata: “Selamatkanlah kerajaanmu! Jika tidak ia akan binasa dengan pemergian al-Syeikh”. Mendengar nasihat itu bergegaslah Sultan menunggang kuda mendapatkan al-Izz untuk memujuk dan melembutkan hatinya supaya kembali semula ke Kaherah. Beliau setuju dengan permintaan sultan itu, dengan syarat semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba itu hendaklah dijual secara lelong terbuka. Kembalilah al-Izz bersama pengikutnya. Benarlah, sesungguhnya kebenaran dan keadilan mengalahkan kebatilan dan kezaliman.
Setelah al-Izz kembali ke Kaherah dengan syarat tersebut, Naib Sultan cuba campur tangan dalam keputusan yang telah dibuat. Mula-mula dia cuba memujuk al-Izz, setelah tidak berjaya dia mengalih kepada ugutan dan akhir sekali cuba untuk membunuh al-Izz. Setelah semua cara yang digunakan menemui kegagalan akhirnya semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba termasuklah Naib Sultan sendiri terpaksa tunduk kepada keputusan yang dibuat dan menerima hukuman syara’.
Al-Izz mengiklankan jualan secara lelong terbuka kepada semua rakyat. Beliau memanggil pegawai kanan kerajaan tersebut seorang demi seorang dan menaikkan harganya sedikit demi sedikit, sehingga sampai kepada harga yang paling tinggi dan tidak mampu lagi dibeli oleh orang perseorangan, maka Sultan Najmuddin membeli mereka itu dengan wangnya sendiri. Kemudian hamba-hamba tersebut dibebaskan dan jawatan-jawatan mereka yang telah dibekukan itu dikembalikan semula. Akhirnya mereka bertugas seperti biasa. Dari peristiwa inilah as-Syeikh al-Izz rahimahullah dikenali sebagai ‘Penjual Raja-Raja’. Masyhurlah kisah ini keseluruh dunia.
Penutup
Pendirian unggul yang belum pernah disaksikan oleh alam ini, telah menjadi satu catatan sejarah. Suara kebenaran kembali berkumandang, ulama’ dimartabatkan, Syariah Allah dilaksanakan, kebatilan dikalahkan, kekuasaan kerajaan dan kebendaan hancur berkecai dan tersungkur di hadapan kerajaan Allah dan hukum-hukum-Nya. Al-Izz telah mengamalkan kehendak hadis Rasulullah sallallahu’alaihiwassalam yang bermaksud: “Jihad yang paling afdhal ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim”. [Hadis riwayat Ibnu Majah; Sahih Ibnu Majah No. 3240]
Kembalilah al-Izz ke rumahnya dalam jagaan Allah dan pemeliharaan-Nya sambil membaca firman Allah yang bermaksud: {Sesungguhnya Allah akan mempertahankan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai semua pengkhianat lagi kufur”}. [Al-Haj:38]. Beliau juga membaca firman Allah yang bermaksud: {Dan Allah amat berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”}. [Yusuf :21].
Demikianlah ketegasan seorang ulama’ yang telah melaksanakan amanah yang dipikulnya. Memang ummah ini telah diberi gelaran ‘khaira ummah‘ oleh Allah kerana tugas mereka mengajak manusia ke jalan yang benar, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: {Kamu adalah ummat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah”}. [Ali Imran:110].
Ummah sentiasa menanti tindakan yang dilakukan oleh ulama’ apabila berlakunya kemungkaran dan mereka akan bersama para ulama’ tersebut, tetapi apabila lesunya ulama’ dalam menangani masalah ummah maka berleluasalah segala bentuk maksiat dan kemungkaran. Di sini dapat diperhatikan betapa pentingnya kesatuan ulama’ (wehdatul ulama’). Apabila seorang daripada kalangan ulama’ menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau sesiapa saja, maka yang lain hendaklah memberi sokongan sebagaimana yang berlaku kepada al-Izz, bukannya mengeluarkan fatwa lain yang bercanggah sebagaimana yang berlaku kepada ummah sekarang.
Contohnya; apabila seorang ulama’ mengajar kaum wanita supaya menutup aurat dan tidak bertabarruj, sepatutnya semua ulama’ menyokong dan bukannya mengeluarkan kenyataan kononnya ajaran tersebut menyekat hak individu dan sebagainya. Atau membuat tafsiran yang mengelirukan ummah dengan berselindung di sebalik slogan “kesederhanaan Islam”. Secebis peristiwa di atas adalah contoh ketegasan ulama’ ummah yang menjadi obor dan panduan di jalan dakwah.
Sesungguhnya amat benar firman Allah yang bermaksud: {Di antara orang-orang mukmin itu terdapat golongan yang telah menepati perjanjian mereka kepada Allah, maka di antara mereka ada yang telah gugur (syahid) dan ada pula yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)}. [al-Ahzab:23].
Akhukum fil Islam,
Abu Anas Madani.
Al-Madinah Al-Munawwarah.