Rehlah al-Haj 1430H (2)

Muzdalifah

Apabila tiba waktu maghrib, jemaah haji akan dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan mengikut giliran masing-masing.

Setiap maktab akan disediakan enam buah bas (Shuttle bus) yang akan memunggah jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 10-15minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”, jalan ini khas untuk  jemaah haji Asia Tenggara.

Apabila masuk waktu maghrib, Rasulullah saw keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dan mengerjakan di sana, solat maghrib dan isya’ secara jamak ta’khir dan qasar. Setelah itu Baginda saw berehat.

Tidak ada riwayat yang menyebut Rasulullah saw melakukan ibadat khusus pada malam Muzdalifah tersebut.

Pada tahun ini kebetulan terkena malam jumaat, terdapat juga ustaz-ustaz yang membuat arahan supaya para jemaah membaca Yaasin, lalu para jemaah pun membacanya dibawah spotlight Muzdalifah yang cerah itu secara persendirian.

Perhatian: Diingatkan di sini tidak perlulah jemaah haji membawa lampu suluh setiap seorang, memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan, sebagai bekalan untuk kecemasan.

Setelah membacanya ada yang berehat lalu tertidur kerana kepenatan, sambil menunggu basnya yang akan tiba entah bila, ada yang tripnya selepas subuh dan sebagainya. Tiba-tiba terdapat pula ustaz yang melaung menggunakan speaker dengan kuatnya agar para jemaah haji bangun membaca Yaasin dan berdoa secara beramai-ramai. Ada yang bangun dengan terkejut dan terpinga-pinga lalu menyertai majlis tersebut, selepas majlis mereka mendapati giliran bas mereka masih jauh lagi. Sepatutnya biarkan mereka berehat dulu, bangunlah dekat dengan subuh, waktu tahajjud yang memang diajar oleh Rasulullah saw.

Dalam keghairahan kita melakukan ibadat haji, janganlah lupa pesanan Rasulullah saw: “Khuzu ‘anni manasikakaum.” Yang bermaksud: “Ambillah contoh amalan ibadat haji kamu sebagaimana yang aku lakukan.” Jangan dok kira adat kebiasaan yang dilakukan, kerana para ulama’ telah menetapkan syarat amalan itu diterima ialah dua perkara;

Pertama: Dilakukan secara ikhlas dan Kedua: Mengikut ajaran yang dilakukan oleh Rasulullah saw (al-ikhlas wa al-mutaba’ah).

Sewaktu di Muzdalifah juga jemaah haji kita mula mengutip batu-batuan untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi daripada saiz ini sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau/melebihi,” ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar. Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah, tetapi boleh saja dimana-mana.

Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Bagi jemaah yang bersama pakej, mereka akan diundi kumpulan mana yang akan bertolak dulu dengan shuttle bus, jadi terpulang pada nasib dan bersabarlah menunggu giliran masing–masing. Ada yang terpaksa menunggu sehingga subuh, bagi mereka ini alhamdulillah, dapat mabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran yang terakhir (selepas subuh).

10 Zulhijjah 1430H (Yaum ‘Eidil Adha) Hari Raya

Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Bagi jemaah yang bersama pakej, mereka akan diundi kumpulan mana yang akan bertolak dulu dengan shuttle bus, jadi terpulang pada nasib dan bersabarlah menunggu giliran masing–masing. Ada yang terpaksa menunggu sehingga subuh, bagi mereka ini alhamdulillah, dapat mabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Bagi kumpulan yang sampai awal (sebelum subuh), mereka akan dibawa terus untuk melontar, manakala mereka yang sampai selepas subuh harus menunggu sehingga selepas asar nanti pula. Selepas melontar di dalam khemah suasana nampak ceria dan terang dengan kepala haji-haji yang licin.

Alhamdulillah mereka menyambut tawaran Rasulullah saw yang mendoakan agar Allah SWT memberi rahmat kepada orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali, kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah saw menyebut untuk mereka yang hanya bergunting sahaja juga diberi rahmat. Tetapi masih ada juga yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka, masih enggan lagi mengugurkan seluruh rambut mereka di Mina yang berkah ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah saw!

 Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya’allah, tetapi peluang untuk menjadi orang yang termasuk dalam doa Rasulullah saw yang diulang sebanyak tiga kali ini, tiada siapa yang dapat menjamin peluang ini akan berulang sekali lagi dalam hidupnya. Alhamdulillah, jemaah haji yang bersama saya semuanya licin kecuali seorang, semoga Allah memberinya peluang lagi untuk menerima ganjaran doa Rasulullah saw sebagaimana rakan jemaahnya yang lain, insya’Allah.

Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia diletakkan di perkhemahan Muaisim yang jaraknya hampir 3km daripada jamrah (tempat melontar).

bersambung

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *