Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 1)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Jun 2012 · 14 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Syaikh Dr. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, terjemahan Team Dartaibah. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: ceramah “Akhlaq al-Kibar” (khaledalsabt.com).

Pengantar

Pembaca yang dihormati, disebabkan akhlak dan perangai terpuji begitu tinggi kedudukannya di sisi Allah Ta’ala dan umat secara umum, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mendokong misi dakwah Ahlus Sunnah wal Jamaah, maka kami berusaha mengalih bahasa sebuah muhadharah (ceramah) ilmiah yang sangat bermanfaat. Ceramah ini disampaikan oleh salah seorang ulama tafsir yang masyhur di Dammam, Arab Saudi, iaitu Fadhilatus Syaikh Dr. Khalid bin 'Uthman as-Sabt hafizahullah, dengan judul “Akhlaq al-Kibar”.

Alhamdulillah, dalam rehlah dakwah kami bersama Syaikh ke Indonesia pada bulan Jun 2012, ana telah meminta izin untuk menyebarkannya kepada para ikhwah di Malaysia. Jazahumullahu khairan kepada Syaikh dan seluruh pasukan penterjemah.

Siapakah al-Kibar?

Perbahasan kita kali ini berlegar di sekitar akhlak al-Kibar. Apa yang kami maksudkan dengan al-Kibar ialah orang-orang yang berjiwa besar: orang-orang yang jiwa mereka penuh dengan semangat yang tinggi, sentiasa menghindari perbuatan hina dan urusan yang remeh-temeh. Cita-cita dan keinginan mereka menolak untuk terlibat dalam perkara yang sempit dan bersifat murahan. Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi; mereka tidak sibuk dengan hal diri sendiri. Mereka tidak marah hanya kerana satu perkataan (yang diucapkan kepada mereka) dan tidak pula gembira (redha) hanya kerana satu perkataan. Mereka bukan orang yang terlalu kagum dengan pujian dan bukan pula orang yang mudah marah kerana satu celaan.

Orang yang berjiwa besar bukan pemilik jiwa rendah yang redha dirinya terjerumus dalam kehinaan, lalu mengharamkan syurga dunia ke atas dirinya sebelum syurga akhirat. Syurga dunia yang kami maksudkan ialah ketenteraman hati, kemesraan dan kebahagiaan jiwa yang diperoleh hasil daripada meninggalkan perkara kecil dan remeh-temeh.

Mereka inilah orang-orang besar (hebat) yang akan kita bicarakan, iaitu para pemilik jiwa besar itu.

Al-Kibar (orang-orang besar) yang dimaksudkan bukanlah orang yang sudah lanjut usia. Juga bukan orang yang telah memegang jawatan tinggi atau orang yang memiliki status dan martabat yang tinggi dalam kalangan orang ramai.

Sesungguhnya kami hanya membicarakan orang-orang yang memiliki jiwa besar dan dada yang lapang. Mereka tidak sibuk dengan diri mereka sahaja dan tidak terhenti pada kepentingan peribadi. Yang saya maksudkan ialah orang-orang yang mementingkan kemaslahatan besar untuk Islam.

Orang-orang seperti itulah yang sepatutnya kita bincangkan akhlak dan sifat mereka, kemudian perbincangan ini kita sampaikan kepada seluruh manusia.

Topik ini kami bawakan kerana keperluan kita terhadapnya sangat besar. Kita sangat perlu membahaskan masalah ini kerana kita sering melalaikan perkara-perkara penting tersebut.

Bayangkan, betapa banyak khitbah (pinangan) yang terputus sia-sia. Betapa banyak keluarga yang menjadi kucar-kacir. Betapa banyak kasih sayang yang bertukar menjadi permusuhan. Betapa banyak kerjasama dalam urusan dunia atau dakwah yang menjadi kacau dan rosak. Juga betapa banyak hubungan yang telah terputus jalinannya. Semuanya gara-gara jiwa yang rendah.

Gara-gara sibuk dengan kepentingan peribadi, seseorang menjadi redha dan marah hanya kerana kepentingan itu.

Dalam apa jua keadaan, dia hanya mencari kemenangan untuk dirinya sendiri dan tidak dapat menerima sebarang kekurangan, kesilapan atau kelemahan yang datang daripada orang lain terhadapnya.

Jika perkara ini berlaku, tiada lagi kemaafan. Dia tidak lagi mengingati kebaikan-kebaikan lalu yang pernah dilakukan oleh orang tersebut dan dia melupakan rasa kasih sayang serta ikatan yang pernah terjalin antara mereka.

Dia melupakan semua itu, lalu perasaannya bertukar daripada sayang kepada benci. Orang itu dianggap musuh yang telah merendahkannya dan tidak menunaikan haknya sebagaimana sepatutnya.

Kenapa sifat mementingkan diri seperti ini boleh terjadi?

Kenapa seseorang meletakkan dirinya pada kedudukan yang hina seperti ini?!

Ini tidak lain kerana dia terlalu cenderung kepada asal kejadian dirinya. Manusia diciptakan daripada dua unsur: segenggam tanah dan tiupan roh.

Jika seseorang cenderung kepada unsur asal kejadiannya, iaitu tanah, maka tanah itu akan menarik dan menyeretnya ke bawah. Akhlaknya menjadi hina dan buruk, lalu muncul daripadanya perkara-perkara yang tidak sepatutnya, sehingga orang yang berakal akan berasa sangat malu setiap kali mengingati dan merenungkannya.

Namun, jika seseorang berjaya memutuskan rantai dan belenggu ini, dia akan berada pada kedudukan yang tinggi. Akhlaknya menjadi tulus dan mulia dan dia mampu meninggalkan dirinya (kepentingan peribadinya) di belakangnya.

Dia tidak lagi menjadi gembira atau berkecil hati hanya kerana satu pujian atau celaan. Dia telah melepasi tahap yang rendah ini. Akhirnya dia bergaul dengan manusia lain dengan dada yang lapang dan jiwa yang besar. Dia sanggup menanggung setiap kekurangan, keburukan, kesalahan dan aib yang muncul daripada mereka, termasuk segala perkara buruk yang mereka lakukan terhadap dirinya, terutama yang menyentuh hak peribadinya.

Ketika membincangkan masalah ini, saya tidak menujukannya kepada orang lain. Pertamanya saya tujukan kepada diri saya sendiri, kemudian kepada anda semua.

Jangan ada orang yang merasakan bahawa topik seperti ini hanya ditujukan kepada orang lain. Hendaklah dia menghadirkan hati, memikirkan keadaannya dan meletakkan dirinya dalam golongan orang yang mendengar untuk mengambil manfaat dan berubah ke arah yang lebih baik.

Maka, perbaharuilah hidup anda, sucikan akhlak anda, perbaiki sikap anda dan pulanglah kepada keluarga anda mulai hari ini dengan wajah baharu.

Pulanglah kepada sahabat dan masyarakat anda dengan wajah baharu dan jiwa lain yang tidak lagi mempedulikan kepentingan peribadi serta keegoan yang menjadikan anda kecil.

Topik ini ditujukan kepada para ulama, thullab al-‘ilm (penuntut ilmu) dan para pemerintah yang berkuasa seperti raja, pemimpin, ketua dan setiap orang yang memiliki kuasa, besar atau kecil. Juga ditujukan kepada para ibu bapa, murabbi, pengajar dan seluruh manusia amnya, serta kepada setiap pencinta kesempurnaan.

Tidak ada seorang pun yang senang hati, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, jika dia dikatakan bersemangat rendah, berjiwa kecil dan tidak bercita-cita tinggi atau dikatakan hidup dalam ruang lingkup yang sempit dengan jiwa yang kerdil.

Seandainya sifat-sifat seperti ini anda lemparkan kepada seseorang, nescaya dia akan marah, tidak dapat menahan diri dan menolaknya mentah-mentah. Ini bermakna seluruh manusia bersepakat bahawa sifat-sifat (yang akan kita bincangkan) ini adalah baik dan akhlak mulia memiliki kedudukan yang sangat tinggi dalam kalangan manusia.

Jadi, ini adalah perbahasan yang indah, perbahasan yang dirindui setiap jiwa dan yang memikat hati semua orang untuk mendengarnya.

Ketahuilah, seandainya dakwah para rasul ‘alaihimussalam hanya tertumpu pada masalah akhlak tanpa masalah-masalah besar yang lain seperti tauhid dan syirik, nescaya seluruh manusia akan berpusu-pusu menyokong dan mengikuti mereka, kerana perbahasan tentang akhlak ialah perkara yang disepakati oleh semua orang.

Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab rahimahullah berkata: “Seandainya saya mengajak manusia kepada akhlak yang mulia dan meninggalkan perbuatan keji seperti zina dan mencuri, nescaya semua orang akan bersetuju dengan saya.”

Jadi sekali lagi, perbahasan tentang akhlak adalah perbahasan yang dipersetujui oleh semua orang, kawan mahupun lawan. Semua orang menganggapnya baik dan sangat suka mendengarnya. Tetapi pelaksanaannya adalah perkara lain. Pelaksanaan ialah batu uji yang menzahirkan peribadi seseorang dan menjelaskan hakikat dirinya.

Pokok perbincangan ini bukan sekadar mendengar tentang akhlak yang baik, tetapi pada amalan dan pelaksanaan akhlak mulia itu.

Sifat penyantun seseorang tidak diukur ketika dia suka dan redha. Sesungguhnya sifat penyantun itu dilihat ketika seseorang sedang marah.

Ertinya, ukuran kemuliaan akhlak bukanlah ketika anda mengukir senyuman semasa redha bersama kawan dan teman anda. Akhlak yang benar dan hakiki ialah apabila anda tetap berakhlak mulia dalam setiap situasi dan keadaan, serta menjauhi segala perbuatan hina dan sia-sia. Inilah akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh setiap Muslim.

Allah SWT menamakan dan menyifatkan diri-Nya dengan al-‘Afuww (Yang Maha Pemaaf). Al-‘Afw adalah salah satu sifat Allah SWT, sifat yang agung lagi mulia, yang bermaksud memaafkan dosa dan kesalahan serta tidak membalas kesalahan itu. Sifat ini juga bermaksud tidak segera menjatuhkan hukuman.

Jadi, Allah SWT Maha Pemaaf, Maha Penyantun, Maha Pemurah dan suka memaafkan.

Oleh sebab itu, kita memohon kepada Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung agar melimpahkan ke atas kita semua kemaafan, kemurahan, kelembutan dan kesantunan-Nya.

Antara membela agama dan membela diri

Hendaklah setiap orang daripada kita bertanya kepada dirinya setelah mengetahui sifat mulia ini: adakah kita tergolong dalam orang yang berjiwa besar?

Adakah kita benar-benar menghiasi diri dengan sifat yang sedang kita bincangkan ini?

Atau adakah kita telah lalai dalam perkara ini, sehingga membawa kepada perkara-perkara buruk lain seperti permusuhan, hasad dengki dan mencari-cari peluang untuk membalas dendam kepada si A atau si B?

Telah banyak bercampur aduk dalam diri kita antara keinginan untuk membela agama dan keinginan untuk membela diri sendiri. Kadang-kadang seseorang keluar dengan sangat marah, ingin menang dan membalas dendam, ingin menjatuhkan musuhnya, orang yang menyalahinya atau orang yang tidak sependapat dengannya.

Dia keluar dengan wajah yang sangat menggerunkan dan pada ketika itu dia berselindung di sebalik agama sambil berhujah bahawa dia ingin membela agama, akidah dan iman. Dia melakukannya kerana terlalu ghairah menjaga syariat Islam dan sangat ingin membelanya, sehingga perkara ini tidak lagi jelas baginya: adakah dia keluar untuk memenangkan kepentingan peribadi atau untuk memenangkan agama Allah SWT?

Hal ini sering terjadi pada diri kita, terutama dalam masalah ‘izzah (kemuliaan).

Kita sering mengatakan bahawa seorang mukmin itu ‘aziz (mulia), kerana Allah SWT menyatakan bahawa ‘izzah itu milik Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin (Surah al-Munafiqun: 8). Namun, masalah ‘izzah ini sering menjadi kabur di hadapan kita. Yang dimaksudkan di sini ialah ‘izzatun nafs (kemuliaan diri) yang bercampur dengan keinginan untuk membalas dendam terhadap seseorang yang telah berbuat salah kepada kita.

Akhirnya mungkin kita melakukan sesuatu yang tidak layak atas alasan ‘izzah, iaitu ‘izzah seorang mukmin, dengan alasan bahawa seorang mukmin tidak boleh dizalimi, tidak meredhai kehinaan dan bukan orang yang lemah.

Lalu dia berusaha membela dirinya sehingga melampau dalam pembelaan itu. Dia melakukannya dengan berpayungkan ‘izzah, iaitu “‘izzatul mukmin”.

Dia berdalilkan firman Allah SWT (yang bermaksud):

{Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, mereka membela diri.} [Surah asy-Syura: 39]

Dia tidak menyedari bahawa seluruh ayat al-Quran menyebutkan betapa besarnya kelebihan orang yang memaafkan, mengampunkan dan menahan diri. Dia lupa bahawa Allah SWT berfirman:

{Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka orang yang antara kamu dengannya ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.} [Surah Fussilat: 34]

Tetapi siapakah yang mampu melakukannya? Siapakah yang mampu menahan diri untuk tetap berakhlak mulia?! Oleh sebab itu Allah SWT meneruskan firman-Nya:

{Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat.} [Surah Fussilat: 35]

Syaitan sentiasa datang menghasut agar seseorang mencari kemenangan untuk dirinya, dengan membisikkan bahawa meninggalkan “pembelaan diri” adalah tanda lemah dan pengecut dan manusia akan mencelanya sebagai orang yang lemah serta mengejeknya sebagai orang yang penuh kekurangan. Padahal Allah SWT berfirman (sejurus selepas ayat tadi):

{Dan jika engkau ditimpa sesuatu hasutan daripada syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.} [Surah Fussilat: 36]

Melalui ayat-ayat ini, Allah SWT menyuruh kita memperbaiki keperibadian dan pemahaman kita.

Apakah kewajipan seseorang? Apakah erti sebuah kelebihan? Bagaimanakah seseorang mengangkat dirinya ke tahap yang tinggi dan bagaimanakah dia menutup jalan-jalan syaitan supaya syaitan tidak berjaya merosakkan usahanya memperbaiki hati dan amal perbuatan?

Contoh daripada Rasulullah SAW dan salafus soleh

Saya akan menyebutkan banyak contoh yang membuktikan bahawa telah banyak berlaku taqsir1 (kelalaian) dan kesalahan yang jelas pada setiap peringkat manusia, sama ada dalam kalangan pendakwah yang mengajak ke jalan Allah SWT, kebanyakan manusia, para suami atau isteri, jiran tetangga, murabbi (pendidik), orang-orang yang mendirikan solat atau setiap kelompok masyarakat, kecuali orang-orang yang dirahmati Allah SWT.

Benar! Inilah contoh-contoh yang menjelaskan keadaan kita jika dibandingkan dengan keadaan orang-orang yang telah mentarbiyah (mendidik) jiwa mereka dan tidak lagi mempedulikan kepentingan peribadi.

Dalam perbahasan ini saya tidak menyebut keistimewaan Rasulullah SAW yang berkaitan dengan masalah ini secara khusus, seperti keistimewaan dan akhlak mulia Baginda yang termaktub dalam hadis ‘Aisyah r.a.: “Akhlak Baginda ialah al-Quran.” [HR Muslim dan Ahmad].

Cuba anda bayangkan…

Apakah yang akan anda jangkakan pada seseorang yang akhlaknya ialah al-Quran?!

Pasti yang anda dapati ialah dada yang lapang, yang tidak mempedulikan kepentingan peribadi dan sentiasa menjauhi akhlak buruk yang hina. Oleh sebab itu, jika kita membincangkan akhlak mulia Rasulullah SAW, catatan ringkas ini tidak cukup untuk membahaskannya.

Kemudian, jika kita membincangkan akhlak Nabi SAW dalam masalah ini secara khusus, akan ada orang yang berkata, “Ini Rasulullah SAW. Allah SWT telah membuang bahagian syaitan daripada Baginda ketika Baginda masih kecil dan menyusu di Bani Sa‘d. Allah SWT telah mengeluarkan segumpal darah daripada tubuh Baginda dalam peristiwa dada Baginda dibelah. Selepas itu, dada Baginda dibelah sekali lagi dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj. Jantung Baginda dicuci dengan air Zamzam dalam bejana emas sehingga benar-benar disucikan. Oleh itu, seseorang yang darjatnya seperti ini tentu sahaja menjadi manusia yang paling penyantun dan paling baik hatinya.”

Orang itu akan berdalih dengan perkara ini lalu berkata lagi: “Itu Rasulullah SAW, insan yang telah disucikan oleh Allah SWT sedemikian rupa. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan Baginda SAW?”

Oleh kerana itu, saya juga membawa contoh daripada kehidupan manusia biasa, iaitu para ulama kita yang soleh (salafus soleh) — semoga Allah SWT meredhai mereka — dalam beberapa bidang kehidupan, supaya tiada lagi sesiapa yang dapat menyangkal dengan apa-apa hujah pun.

Tujuan perbincangan ini ialah untuk mengubati dan memperbaiki jiwa kita serta memutuskan tipu daya syaitan terhadap diri kita. Namun saya juga membawa beberapa contoh daripada kehidupan Rasulullah SAW dalam beberapa keadaan tertentu.

Kenapa demikian?!

Ini kerana jika contoh itu berlaku pada orang lain selain Rasulullah SAW, pasti akan ada orang yang jiwanya masih terkesan dengan perangai jahiliah akan membantahnya. Jika contoh yang diberikan bukan daripada Rasulullah SAW, dia akan berani mengejek dan mencelanya pula, seperti yang akan dilihat dalam contoh-contoh dalam perbahasan ini.

Al-Wala’ dan al-Bara’

Cuba uji diri anda ketika anda berbeza pendapat dengan sesuatu kaum dalam suatu masalah ilmiah berkaitan akidah, sedangkan mereka orang-orang yang menurut hawa nafsu serta sering melakukan bid‘ah dan kesesatan.

Menurut akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, jika iman telah hilang daripada hati seseorang, maka kita tidak boleh lagi memberikan wala’ (kesetiaan) kepadanya, sebagaimana firman Allah SWT:

{Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.} [Surah al-Mujadilah: 22]

Maka orang kafir tidak diberikan wala’. Adapun seseorang yang menghimpunkan antara amal baik dan amal buruk — sama ada dalam bentuk syubhat seperti bid‘ah dan kesesatan atau syahwat seperti maksiat — maka al-wala’2 dan al-bara’3 terhadapnya menjadi terbahagi.

Oleh itu, akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam hal ini sangat jelas: kita mencintai seseorang sesuai dengan ukuran keimanannya dan sejauh mana dia mengikuti as-Sunnah dan kita membenci seseorang berdasarkan tahap penyimpangan dan kesesatannya serta sejauh mana dia menjauhi ketaatan kepada Allah SWT.

Kadang-kadang kita mencampuradukkan perkara ini menjadi satu tanpa membezakannya sedikit pun.

Perkara ini menjadi kabur apabila kita bersemuka dengan seseorang yang kita ingkari kerana dia telah mengambil ringan hak Allah SWT, sama ada kerana syubhat atau syahwat. Kita menyangka bahawa kita berhak mengambil suatu tindakan syar‘i atas alasan membela agama, sedangkan hakikatnya kita membela diri sendiri. Barangkali orang itu pernah menceroboh hak sebahagian daripada kita, sama ada dengan ucapan yang tidak sepatutnya atau dia menyakiti dan menjatuhkan maruahnya.

Apabila mengetahui hal itu, dia terus naik angin, menyinsing lengan baju dan mengerahkan segala tenaga sambil meyakini bahawa inilah pembelaan terhadap agama, tauhid, akidah dan iman. Padahal perkara itu mungkin bukan begitu. Hakikatnya dia hanya membela kepentingan peribadi, syahwat dan dirinya sendiri.

Bersambung ke Siri 2: Antara tokoh-tokoh yang berjiwa besar — Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyyah.

Nota kaki

  1. Taqsir ialah melakukan sesuatu secara tidak sempurna atau dengan banyak kekurangan.
  2. Al-Wala’ ialah kecintaan dan kesetiaan kita kepada seseorang sesuai dengan ketaatannya kepada Allah SWT.
  3. Al-Bara’ ialah kebencian kita kepada seseorang yang jauh daripada Allah SWT sesuai dengan ukuran kejauhannya itu.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3 · Siri 4

Seterusnya: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 2)

Rujukan

9 sumber
  1. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, ceramah «Akhlaq al-Kibar» (transkrip rasmi, khaledalsabt.com).

    khaledalsabt.com
  2. Al-Quran, Surah asy-Syura (42): 39.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah Fussilat (41): 34–36.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 200.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah al-Munafiqun (63): 8.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah al-Mujadilah (58): 22.

    Quran.com
  7. Sahih Muslim, no. 746 (hadis 'Aisyah r.a., riwayat Sa'd bin Hisyam).

    Sunnah.com
  8. Sahih Muslim, no. 162 (riwayat Anas bin Malik r.a.).

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 349 (riwayat Abu Zar r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026