Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 2)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Julai 2012 · 24 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Syaikh Dr. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, terjemahan Team Dartaibah. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: ceramah “Akhlaq al-Kibar” (khaledalsabt.com).

Dalam Siri 1, kita telah membincangkan maksud akhlak orang yang berjiwa besar dan bahaya mencampuradukkan pembelaan terhadap agama dengan pembelaan terhadap diri sendiri. Siri ini membawakan contoh daripada kehidupan Imam Ahmad, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Rasulullah SAW.

Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah, Ahmad bin Hanbal rahimahullah

Ketika berlaku fitnah fahaman yang mengatakan “al-Quran adalah makhluk”, Imam Ahmad telah dipenjara, dibelenggu, diseksa dan dipukul di bawah terik matahari pada siang hari Ramadhan dalam keadaan beliau berpuasa, sehingga beliau hilang kesedaran dan jatuh pengsan.

Setelah itu beliau dibawa kembali ke tempatnya di dalam penjara dalam keadaan pakaiannya berlumuran darah, padahal beliau ialah Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah — semoga Allah SWT meredhainya — dan imam pada zamannya. Walaupun demikian, beliau tidak mencari kemenangan untuk diri sendiri.

Beliau hanya marah kerana Allah SWT. Setelah peristiwa ini beliau berkata: “Setiap orang yang menyebut (keburukan) tentang saya1, maka saya telah menghalalkan mereka semuanya.2”

Beliau juga berkata: “Saya telah memaafkan Abu Ishaq3 kerana saya melihat Allah SWT berfirman:

{Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.} [Surah an-Nur: 22]4

Nabi SAW juga menyuruh Abu Bakar r.a. memaafkan Mistah dalam kisah ifk5.”

Lalu Imam Ahmad berkata lagi: “Apa gunanya bagimu jika Allah SWT menyeksa saudara Muslimmu kerana dirimu?!”

Setelah diseksa dengan seksaan yang sangat berat ini, Imam Ahmad tidak membuka fail dendam dan catatan nama-nama musuhnya. Beliau tidak mencari siapa dalang di sebalik peristiwa yang menyebabkan seksaan menimpa dirinya. Beliau tidak berkata: “Si fulanlah yang telah menjerumuskan saya ke dalam masalah ini.”

“Si fulanlah yang membesar-besarkan masalah ini.”

“Si fulanlah yang telah membiarkan saya.”

“Si fulan tidak berbuat apa-apa untuk melepaskan saya daripada penderitaan ini.”

“Si fulan tidak menziarahi saya setelah saya keluar dari penjara.”

“Si fulan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak baik terhadap saya.”

Mungkin sebahagian orang menyangka bahawa Imam Ahmad akan mengambil tindakan terhadap orang-orang yang terlibat dalam fitnah tersebut.

Yang jelas, beliau langsung tidak ingin membalas dendam terhadap mereka.

Sejarah juga tidak pernah mengkhabarkan kepada kita, dalam biografi Imam Ahmad rahimahullah yang panjang, bahawa beliau pernah mengucapkan satu kenyataan pun yang bertujuan membela dirinya sendiri.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah

Beliau ialah seorang ulama besar yang dituduh dan difitnah dengan pelbagai tuduhan berat. Sebahagian ulama mengkafirkannya dan memberi fatwa kepada sultan agar beliau dibunuh. Bahkan sebahagian mereka memukul dada sambil berkata: “Darahnya di atas tengkuk saya6.”

Darah beliau dihalalkan dan beliau sentiasa dipindahkan dari satu penjara ke penjara yang lain di Damsyik dan Kaherah.

Beliau berada dalam penjara untuk tempoh yang sangat lama. Beliau dikeluarkan dari penjara seketika, kemudian tidak lama selepas itu disumbat semula ke dalam penjara.

Pada zamannya, para tokoh pengamal bid‘ah, pengikut hawa nafsu dan orang-orang yang hasad, yang hati mereka dipenuhi kemarahan dan dengki, bangkit bersama-sama menentang beliau. Sedangkan beliau ialah seorang imam yang telah memenuhi dunia dengan ilmu dan dakwahnya, imam yang mematahkan para pengamal bid‘ah dan pengikut hawa nafsu dengan pedang-pedang sunnah. Kitab-kitab beliau hingga kini menjadi saksi atas hal ini.

Antara musuh ketat yang paling memusuhi Syeikhul Islam — yang mengeluarkan fatwa bahawa darahnya halal, beliau wajar dibunuh, beliau telah kafir dan pelbagai tuduhan lagi — ialah seorang faqih bermazhab Maliki yang bernama Ibnu Makhluf.

Ibnu Makhluf meninggal dunia semasa hayat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Murid beliau, Ibnul Qayyim, mendengar khabar kematiannya, lalu segera berlari menemui Syeikhul Islam untuk menyampaikan khabar gembira tentang kematian musuh terbesar dan paling ketat itu.

Ibnul Qayyim berkata: “Bergembiralah! Ibnu Makhluf telah meninggal dunia.”

Tetapi apakah tindakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah?

Adakah beliau sujud syukur atas kematian musuhnya itu? Adakah beliau berkata: “Segala puji bagi Allah SWT yang telah menyelamatkan kaum Muslimin daripada kejahatannya?”

Sama sekali tidak. Beliau tidak seperti sebahagian kita yang berkata: “Satu batu kerikil telah dibuang dari jalan kaum Muslimin. Kita sekarang bebas daripadanya.” Beliau langsung tidak berkata begitu. Ibnul Qayyim berkata: “Bahkan beliau menengking saya, menunjukkan rasa tidak senang terhadap saya dan beristirja’7.”

Setelah itu, Ibnu Taimiyyah terus bangun menuju ke rumah keluarga Ibnu Makhluf untuk mengucapkan takziah atas kematiannya. Beliau berkata kepada mereka:

“Saya sekarang sebagai pengganti Ibnu Makhluf bagi kamu. Tidak ada satu urusan pun yang kamu perlukan bantuan melainkan saya akan membantu kamu.” Keluarga Ibnu Makhluf pun gembira dengan kedatangan beliau dan mendoakan kebaikan untuknya.

Siapakah antara kita yang pernah melakukan seperti ini? Pernahkah seseorang daripada kita menziarahi rumah musuh ketatnya, mengucapkan takziah, menenangkan hati keluarga si mati dan berkata: “Jika kamu memerlukan apa-apa bantuan, saya akan melakukannya”?

Siapakah dalam kalangan kita yang pernah melakukan hal ini?

Hanya pemilik jiwa besar sahaja yang mampu melakukannya.

Seseorang telah mengeluarkan fatwa bahawa anda patut dibunuh dan anda telah kafir, tetapi jiwa anda lebih besar daripada semua itu sehingga anda tidak menghiraukannya. Anda pergi menziarahi keluarganya dan menenangkan mereka.

Seandainya kita semua berhias dengan akhlak ini, nescaya kita dapat memikat banyak hati manusia. Tetapi masalahnya, kadang-kadang kita melaknat orang yang berselisih dengan kita sehingga tujuh puluh kali dan kadang-kadang kita bermuamalah dengan mereka berdasarkan kaedah ayat al-Quran ini:

{Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari kalangan orang-orang munafik itu selama-lamanya dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).} [Surah at-Taubah: 84]

Ayat ini diturunkan berkenaan orang-orang munafik, tetapi kita pula menggunakannya terhadap kaum Muslimin yang berbeza pendapat dengan kita dengan tindakan yang keterlaluan. Dengan perbuatan ini, kita bersikap keras terhadap orang beriman. Hal ini jelas menyalahi perintah Allah SWT.

Allah SWT menyifatkan para sahabat Nabi SAW sebagai orang-orang yang berkasih sayang sesama mereka. Firman-Nya yang bermaksud:

{Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka — daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki — dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka keampunan dan pahala yang besar.} [Surah al-Fath: 29]

Allah SWT juga berfirman kepada Nabi-Nya:

{Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.} [Surah Ali ‘Imran: 159]

Abdullah bin Ubai bin Salul

Tahukah anda siapakah Abdullah bin Ubai?! Dia ialah ketua orang-orang munafik. Dia telah mencela Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin ketika peperangan al-Muraisi‘ di kawasan al-Musyallal dengan berkata:

“Tidaklah perumpamaan kita dengan mereka melainkan seperti kata orang dahulu: ‘Gemukkanlah anjingmu, nescaya ia akan memakanmu.’”

Dia mengucapkan perkataan buruk ini terhadap Rasulullah SAW.

Dia juga menyangka bahawa perbendaharaan langit dan bumi berada di tangannya. Dia berkata sebagaimana diabadikan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

{Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya).” Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapa pun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).} [Surah al-Munafiqun: 7]

Maksudnya: kamulah (Ansar) yang memberi makan dan tempat tinggal kepada mereka (Muhajirin), maka janganlah memberi mereka makan supaya mereka keluar meninggalkan negeri kamu (Madinah) dan mencari negeri lain.

Begitulah keadaan orang yang berjiwa kerdil, tetapi Rasulullah SAW seorang yang berjiwa besar. Apabila Abdullah bin Ubai meninggal dunia, Baginda memberikan baju Baginda kepada anaknya untuk dijadikan kain kafan bagi bapanya, menyembahyangkannya dan memohon keampunan untuknya.

Sebelum itu, ketika Umar r.a. cuba menghalang Baginda, Baginda menjelaskan bahawa Allah SWT memberi pilihan kepada Baginda melalui firman-Nya yang bermaksud:

{(Orang-orang munafik itu) sama sahaja, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.} [Surah at-Taubah: 80]

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya aku tahu bahawa jika aku menambah lebih daripada tujuh puluh kali dia akan diampunkan, nescaya aku akan menambahnya.” [HR al-Bukhari]. Selepas Baginda menyembahyangkannya, barulah turun larangan dalam Surah at-Taubah ayat 84 yang disebutkan tadi.

Lihatlah tindakan Rasulullah SAW terhadap orang yang telah menyakiti Baginda dan menyakiti kaum beriman! Dia ialah dalang di sebalik ifk (berita dusta yang menuduh ‘Aisyah r.a.). Dialah yang menyebarkan dan menghebohkan khabar angin itu. Dia jugalah yang menuduh keluarga Rasulullah SAW dengan tuduhan yang paling buruk dan mengucapkan perkataan yang paling keji. Walaupun demikian, Nabi SAW memaafkannya, menyembahyangkannya dan memberikan baju Baginda kepada anaknya untuk mengkafaninya, padahal Nabi SAW sangat mengetahui keadaannya.

Perbuatan ini tidak dapat dilakukan kecuali oleh orang yang hatinya penuh belas kasihan, berjiwa besar dan sangat berlapang dada.

Perlu saya ingatkan di sini bahawa hal ini tidak bererti kita mengabaikan masalah al-wala’ wal-bara’. Ini kerana al-wala’ wal-bara’ ialah satu prinsip yang tetap dalam agama ini dan tidak pernah berubah, sebagaimana yang saya sebutkan pada awal perbincangan.

Kita perlu membezakan antara dua perkara: kedudukan al-wala’ wal-bara’ dan kepentingan peribadi. Al-wala’ wal-bara’ tetap teguh dalam hati. Adapun kepentingan peribadi, tinggalkanlah di belakang anda. Jangan mencari kemenangan kerana kepentingan peribadi. Jangan hanya setakat itu perjuangan kita.

Orang yang berjiwa besar tidak patut sibuk dengan hal dirinya sendiri, seperti dendam terhadap seseorang, masalah khusus dengan orang itu, masalah peribadi dengan orang lain pula, serta lain-lain masalah peribadi yang tiada kepentingannya bagi umat dan agama.

Orang seperti ini tidak layak menjadi pendakwah. Dia lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki. Hanya kerana sedikit salah faham, dia terus mendoakan keburukan untuk si fulan dan melaknat si fulan pada sepertiga akhir malam. Malah dia melaungkan dengan lantang bahawa dia tidak akan memaafkan si fulan sehingga mereka berdua berdiri di hadapan Hakim Yang Maha Adil pada hari kiamat nanti, iaitu Allah SWT.

Tindakan seperti inilah yang dilakukan oleh sebahagian orang yang berjiwa kerdil. Orang seperti ini tidak patut terjun ke dalam dunia dakwah dan sama sekali tidak layak mengajak dan menyeru orang ramai. Sewajarnya orang seperti ini mengajak dan menyeru dirinya sendiri terlebih dahulu, menyembuhkan hatinya, kemudian barulah dia berusaha memperbaiki orang lain.

Jika dalam keadaan seperti ini dia terlibat dalam dakwah, dia akan menyebabkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Sentiasa ada masalah dengan si fulan dan permusuhan dengan orang ketiga. Akhirnya orang-orang yang didakwahnya akan meninggalkannya dan tinggallah dia seorang diri.

Ibnu Taimiyyah: memaafkan musuh ketika berkuasa membalas

Ketika Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ditimpa penyakit yang membawa kepada kewafatannya, beliau tidak berada di hospital atau di istana, tetapi di dalam penjara. Beliau dihalang daripada segala-galanya, sehingga pena dan kertas pun tidak diberikan kepadanya supaya beliau tidak dapat menulis. Semua ini akibat hasutan golongan ahli bid‘ah, tokoh-tokoh yang sesat dan orang-orang yang hasad.

Pada saat-saat akhir itu, seolah-olah hati nurani sebahagian mereka tersentuh, lalu salah seorang daripada mereka datang menemui Syeikhul Islam di penjara — ketika beliau masih menjadi tawanan — untuk meminta maaf dan memohon agar beliau menghalalkannya. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah tidak berkata: “Baru sekarang kamu mahu meminta maaf? Kenapa tidak dari dulu?! Tidak mungkin saya memaafkan, mengampunkan atau menghalalkanmu!”

Beliau sama sekali tidak berkata begitu, tetapi beliau berkata: “Saya telah menghalalkan (memaafkan) kamu dan semua orang yang memusuhi saya sedangkan dia tidak tahu bahawa saya berada di atas kebenaran.” Beliau berkata lagi: “Saya juga telah menghalalkan Sultan al-Malik an-Nasir yang memenjarakan saya, kerana dia melakukannya dengan bertaklid kepada orang lain.”

Orang yang berada pada martabat seperti ini, hatinya telah bebas daripada perasaan dendam dan dengki. Bukan seperti orang yang tidak dapat tidur kerana benci dan ingin membalas dendam terhadap orang yang menyakitinya, lalu dia mati dalam keadaan belum sempat membalas dendam dan belum sempat membuat perhitungan.

Beliau bukan seperti orang yang ingin membuat perhitungan dengan musuh-musuh yang menghinanya, yang ingin membunuhnya dan yang berasa lega dengan pemergiannya dari dunia ini.

Beliau sama sekali bukan begitu. Beliau tidak berkata: “Sekarang saya mati dengan hati yang sangat pedih.” Tetapi beliau berkata: “Saya telah menghalalkan semuanya.”

Bahkan ada yang lebih mulia daripada itu. Ketika berlaku rampasan kuasa terhadap Sultan an-Nasir, seluruh kekuasaannya hilang dari genggamannya. Pemimpin rampasan kuasa itu ialah seorang lelaki bergelar al-Malik al-Muzaffar Ruknuddin Baybars (al-Jashankir).

Lalu para ulama, fuqaha, hakim dan orang-orang hasad yang sebelum ini tidak henti-henti berusaha memfitnah Syeikhul Islam segera berduyun-duyun mendatangi raja baharu itu. Mereka menjadi kaki tangan dan pengiringnya dan membelakangkan raja yang telah digulingkan.

Mereka segera meninggalkan raja lama dan mula mencari pengaruh di sisi raja baharu, sehingga mereka menjadi kaki tangan, orang kepercayaan dan teman majlisnya. Namun tidak lama kemudian, Sultan an-Nasir berjaya merampas kembali kerajaannya.

Sultan an-Nasir kembali duduk di atas singgahsananya, kemudian mengumpulkan semua ulama, fuqaha dan hakim yang telah mengkhianatinya. Baginda menyuruh mereka semua duduk di hadapannya. Mereka semua menundukkan kepala, tidak tahu apa yang akan dilakukan terhadap mereka.

Mereka tidak tahu bagaimana raja akan membalas perbuatan mereka yang berpaling daripadanya dan mengerumuni musuhnya, kerana pada pandangan raja mereka tidak mempunyai kesetiaan.

Ketika mereka dalam keadaan tunduk dan sangat takut itu, tiba-tiba muncul seseorang dari jauh. Pada mulanya mereka tidak mengenalinya. Apabila lelaki itu semakin dekat, rupa-rupanya dia ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, yang sebelum ini berada dalam penjara. Raja telah memerintahkan agar beliau dikeluarkan dan dibawa ke majlisnya.

Mereka pun terkedu dan berkata (sesama sendiri): “Sekarang dendam akan dibalas dengan fatwa dan kita akan ‘disembelih secara Islam’!”

Raja pun bangun dan berjalan menuju Syeikhul Islam sambil menzahirkan rasa hormat dan sikap yang sangat memuliakan, padahal itu bukan kebiasaannya, kerana dialah yang mengheret Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dari satu penjara ke penjara yang lain.

Raja berjalan menghampiri Syeikhul Islam dengan memberi penghormatan dan kemuliaan. Kemudian dia memeluk Syeikhul Islam dan membawanya ke sebuah anjung di sudut istana untuk berbincang dengan beliau secara rahsia. Raja bertanya: “Apa pendapat anda tentang orang-orang itu?!”

Syeikhul Islam bercerita: “Maka saya tahu bahawa baginda sangat marah terhadap mereka dan ingin membalas dendam untuk dirinya sendiri.”

Perhatikan, raja itu tidak membalas dendam demi Syeikhul Islam, tidak pula demi agama, tetapi demi dirinya sendiri kerana mereka telah meninggalkannya dan berpaling tadah daripadanya.

Ibnu Taimiyyah bercerita: “Apabila saya mengetahuinya, saya mula memuji para ulama itu, menyebut kebaikan mereka dan berterima kasih kepada mereka. Saya berkata: Seandainya mereka ini tiada, tuanku tidak akan mendapati orang seperti mereka dalam daulah (negara) tuanku dan kerajaan tuanku tidak akan tegak tanpa mereka, kerana merekalah para hakim, ulama dan fuqaha negeri ini.”

Ibnu Taimiyyah menyambung lagi: “Setelah itu raja mengeluarkan beberapa helai kertas dari saku bajunya, yang di dalamnya tertulis fatwa-fatwa dengan tulisan tangan mereka.”

Raja berkata: “Lihatlah apa yang mereka katakan tentang dirimu! Mereka telah mengkafirkanmu dan berfatwa agar kamu dibunuh. Tulisan ini sentiasa tersimpan dalam simpanan saya. Sekarang telah tiba masanya untuk kamu membalas mereka.” Raja bertindak sedemikian kerana ingin membalas dendam untuk dirinya.

Seandainya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang dizalimi ini memiliki jiwa yang kerdil, nescaya beliau akan mengambil peluang untuk membalas dendam. Sangat mudah baginya untuk berselimut dengan selimut akidah dan sunnah demi melunaskan dendamnya terhadap mereka, dengan alasan mereka ahli bid‘ah dan negara mesti diselamatkan daripada mereka.

Tetapi Syeikhul Islam menjawab: “Adapun saya, saya telah memaafkan mereka.” Kemudian Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menenangkan hati raja dan terus memujuknya agar membiarkan mereka dan tidak membunuh mereka.

Semenjak peristiwa ini, pengajian Syeikhul Islam tersebar di masjid-masjid, halaqah dan majlis-majlis ilmu. Kemudian muncullah ramai pengikut, penyokong dan pembantu beliau.

Sementara itu, orang-orang yang dahulunya sangat jahat dan bersungguh-sungguh berusaha membinasakan beliau mula mendekati dan berbuat baik kepada Syeikhul Islam agar beliau memaafkan kesalahan mereka.

Kita dapat melihat bahawa beliau sama sekali tidak menahan mereka seorang demi seorang sambil bertanya: “Kenapa kamu berkata begini? Apa yang mendorong kamu melakukannya?”

Tidak! Beliau sama sekali tidak melakukannya. Bahkan beliau menutup pintu ke arah itu dengan berkata: “Saya telah memaafkan kamu semua dan telah melupakan apa yang terjadi.”

Surat Ibnu Taimiyyah kepada sahabat-sahabatnya

Syeikhul Islam tidak memisahkan manusia kepada dua khemah: khemah para pembela yang bersamanya ketika susah dan khemah musuh yang menghinanya ketika beliau dalam kesusahan, yang layak dikecam dan dicerca. Beliau tidak melakukannya. Bahkan beliau berkata: “Gulunglah permaidani ini (tutuplah kisah ini).”

Beliau juga menulis surat kepada sahabat-sahabat dan para pengikutnya di Damsyik untuk mengingatkan mereka tentang perkara ini, supaya tiada seorang pun daripada mereka mengungkit dan memutarkannya kembali. Beliau berkata:

“Perkara pertama yang ingin saya mulakan ialah yang berkaitan dengan diri saya. Kamu tahu bahawa saya tidak suka seorang pun daripada kaum Muslimin disakiti kerana saya, apatah lagi sahabat-sahabat kita, sama ada secara zahir mahupun batin. Saya tidak menyimpan rasa kesal atau celaan sedikit pun terhadap sesiapa daripada mereka. Bahkan mereka di sisi saya mendapat kemuliaan, penghormatan, kasih sayang dan penghargaan berlipat kali ganda daripada sebelumnya, masing-masing menurut kedudukannya.

Ini kerana seseorang itu tidak terlepas daripada tiga keadaan: sama ada dia seorang mujtahid (yang berijtihad) yang betul atau seorang mujtahid yang tersilap atau seorang yang berdosa. Yang pertama pasti mendapat pahala dan disyukuri. Yang kedua mendapat pahala atas ijtihadnya dan kesilapannya dimaafkan serta diampunkan. Adapun yang ketiga, semoga Allah SWT mengampuni kami, dia dan seluruh kaum mukminin.”

Beliau telah menutup rapat semua peristiwa yang sudah berlalu itu sehingga tiada seorang pun yang berkata:

“Si fulan telah cuai.”

“Si fulan tidak berbuat apa-apa.”

“Gara-gara si fulan inilah Syeikhul Islam disakiti.”

“Si fulan inilah punca fitnah ini.”

“Si fulan bercakap untuk menjatuhkan si fulan.”

Juga kata-kata lain yang berisi celaan terhadap sebahagian sahabat dan saudara. Beliau melupakan semuanya supaya perkataan seperti itu tidak berlaku.

“Sungguh! Saya tidak akan memaafkan sesiapa yang menyakiti mereka8 dengan kata-kata seperti ini,” kata beliau.

Kemudian beliau meneruskan: “Kamu juga tahu bahawa apa yang berlaku daripada sikap tegas atau keras (saya) terhadap sebahagian sahabat dan saudara bukanlah suatu kehinaan atau kekurangan bagi orang itu. Ia juga tidak berlaku kerana adanya perubahan (hati) kami terhadapnya atau kebencian.

Bahkan setelah diperlakukan dengan tegas dan keras itu, kedudukannya menjadi lebih tinggi, namanya lebih harum dan dia lebih dikasihi serta dihormati. Perkara-perkara ini hanyalah sebahagian daripada maslahat orang-orang mukmin, yang dengannya Allah SWT memperbaiki sebahagian mereka melalui sebahagian yang lain.

Ini kerana seorang mukmin bagi mukmin yang lain adalah seperti dua tangan; satu mencuci yang lain. Kadang-kadang kotoran tidak tanggal kecuali dengan sedikit kekasaran, tetapi kekasaran itu menghasilkan kebersihan dan kelembutan yang membuatkan kita memuji kekasaran tersebut.”

Kemudian beliau mengingatkan mereka agar sentiasa tolong-menolong dalam kebaikan dan takwa. Beliau juga mengingatkan bahawa orang-orang yang tidak hadir, tidak mengucapkan salam dan tidak mengucapkan tahniah kepada beliau selepas beliau keluar dari penjara tidak patut dicela atau dicerca, malah mereka memiliki kedudukan yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada sebelumnya.

Beliau mengatakan bahawa permasalahan seperti ini tidak terlepas daripada ijtihad. Sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran, dia mendapat pahala dan Allah SWT mengampunkan kesilapannya.

Beliau menjelaskan bahawa dalam ujian seperti ini berlaku perkara-perkara yang datang daripada hasutan syaitan, maka kita patut mengatasinya dan melupakannya.

Beliau juga mengatakan bahawa perkara-perkara seperti ini banyak diwarnai pendustaan dan pelbagai cerita, lalu beliau mengingatkan mereka dengan kisah ifk (berita dusta) yang menimpa keluarga Rasulullah SAW dan bahawa kisah itu bukanlah keburukan bagi orang yang difitnah. Allah SWT berfirman:

{Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).} [Surah an-Nur: 11]

Syeikhul Islam menjelaskan bahawa Allah SWT telah menzahirkan dan menerangkan kebenaran. Beliau tidak suka sesiapa pun dibalas (dihukum) kerana pendustaan, kezaliman atau permusuhannya terhadap beliau, kerana beliau telah menghalalkan setiap Muslim dan beliau menyukai kebaikan bagi semua kaum Muslimin sebagaimana beliau menyukainya untuk dirinya sendiri.

Orang-orang yang berdusta dan berbuat zalim terhadap beliau telah dihalalkan dari sudut hak peribadi beliau. Adapun hak Allah, maka Allah-lah yang menguruskan mereka semua; jika Dia kehendaki, Dia mengampunkan mereka dan jika Dia kehendaki, Dia menyeksa mereka.

Beliau meneruskan: “Kalaulah seseorang itu patut diberi terima kasih atas perbuatan buruknya, nescaya saya akan berterima kasih kepada mereka atas perbuatan buruk mereka terhadap saya.”

Wahai saudara sekalian…

Siapakah antara kita yang mampu melakukannya?! Siapakah dalam kalangan kita yang sanggup bermuamalah dengan musuh-musuhnya dengan cara seperti ini?!

Oleh kerana itulah Ibnu Makhluf, musuh ketat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dari mazhab Maliki yang telah saya sebutkan, berkata: “Kami tidak pernah melihat orang seperti Ibnu Taimiyyah. Kami telah melakukan segala usaha untuk membinasakannya, tetapi apabila dia mampu membalas kami, dia memaafkan kami.”

Wahai saudara sekalian…

Dengan akhlak seperti ini kita dapat menarik dan memikat hati manusia. Kita dapat memenangi hati musuh, apatah lagi hati kawan dan pengikut.

Ingatlah! Di sekeliling seorang alim, penuntut ilmu atau pendakwah ada beberapa orang murid. Jika dia bermuamalah dengan mereka dengan cara yang mementingkan kepentingan peribadi, maka murid-murid itu tidak akan mampu bersabar untuk terus berada di sekelilingnya.

Mereka juga tidak mungkin menghasilkan amal yang bermanfaat bagi umat ini, kerana dalam masa yang singkat mereka pasti meninggalkan alim, penuntut ilmu atau pendakwah tadi, lalu bertukar menjadi musuhnya dan secara berterusan melancarkan serangan terhadapnya.

Peristiwa al-Husainiyyah di Kaherah

Wahai saudara sekalian…

Bahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah dikepung bersendirian oleh sekumpulan ahli bid‘ah di salah satu kawasan di Kaherah. Mereka memukul dan mencaci beliau. Berita itu tersebar sehingga ramai pemimpin, pembesar, panglima, tentera dan orang awam keluar mencari Syeikhul Islam untuk membela beliau.

Mereka terus mencari sehingga mendapati beliau di sebuah masjid di tepi Sungai Nil. Mereka berkumpul di sana, kemudian orang ramai yang lain turut menyertai mereka untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.

Mereka berkumpul di sekeliling beliau dan berkata: “Wahai tuan! Telah datang ramai orang dari (kawasan) al-Husainiyyah. Jika tuan memerintahkan mereka meruntuhkan seluruh Mesir, nescaya mereka akan melakukannya.”

Beliau tidak berkata: “Mereka itu ahli bid‘ah dan pembawa kesesatan. Mereka telah berbuat begini dan begitu. Bakarlah mereka. Tamatkan riwayat mereka dan bebaskan negeri ini daripada mereka.”

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sama sekali tidak berkata begitu, kerana masalah ini hanya melibatkan kepentingan peribadi beliau.

Sebaliknya beliau bertanya: “Untuk apa?”

Mereka menjawab: “Untuk membela tuan.”

Beliau berkata: “Ini tidak patut.”

Mereka berkata lagi: “Kalau begitu, kami akan pergi ke rumah orang-orang yang menyakiti tuan sahaja, lalu membunuh mereka dan merobohkan rumah mereka tanpa merosakkan rumah orang lain, kerana mereka telah mengelirukan orang ramai.”

Perhatikan bagaimana mereka cuba mendapatkan persetujuan Ibnu Taimiyyah. Alasan pertama ialah untuk membela Ibnu Taimiyyah, tetapi beliau menolak. Kemudian mereka mengulangi permintaan dengan alasan lain, iaitu para ahli bid‘ah itu pencetus fitnah yang mengelirukan orang ramai, tetapi beliau tetap mengatakan bahawa perbuatan itu tidak halal.

Kemudian mereka berkata lagi: “Apa yang mereka lakukan terhadap tuan itu, adakah ia halal? Ini perkara yang kami tidak dapat bersabar terhadapnya. Kami mesti pergi mendapatkan mereka dan memerangi mereka.”

Tetapi beliau terus melarang dan mencegah mereka daripada melakukannya.

Apabila mereka terus mendesak, beliau pun berkata: “Hak ini sama ada milik saya, milik kamu atau milik Allah. Jika hak itu milik saya, maka mereka telah saya halalkan. Jika hak itu milik kamu, sekiranya kamu tidak mahu mendengar kata saya dan tidak meminta fatwa daripada saya, maka buatlah sesuka hati kamu. Jika hak itu milik Allah, maka Allah akan mengambil hak-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki.”

Mereka bertanya lagi: “Apa yang mereka lakukan terhadap tuan itu, adakah ia halal?!”

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjawab: “Apa yang mereka lakukan itu, boleh jadi mereka diberi ganjaran dan pahala kerananya.”

Mereka berkata: “Kalau begitu tuan berada di atas kebatilan dan mereka di atas kebenaran?! Bagaimana tuan mengatakan mereka mendapat pahala?!”

Beliau menjawab: “Perkara ini tidak seperti yang kamu sangka. Boleh jadi mereka berijtihad lalu tersilap, maka mereka melakukannya berdasarkan ijtihad mereka dan mujtahid yang tersilap mendapat satu pahala.”

Wahai saudara sekalian…

Bayangkan! Orang-orang yang memukul tubuh beliau, mencaci dan menyakiti beliau adalah daripada golongan ahli bid‘ah dan kesesatan, namun beliau masih berkata: “Boleh jadi mereka mendapat pahala.”

Siapalah kita jika dibandingkan dengan beliau dan para ulama lain yang seperti beliau?

Bahkan pernah seorang ahli bid‘ah yang berpura-pura alim dalam fiqh menemui Ibnu Taimiyyah di tempat yang sunyi, tanpa seorang pun bersama mereka, lalu dia bersikap biadab terhadap Syeikhul Islam. Dia mencaci dan memaki beliau habis-habisan.

Orang ramai mendengar peristiwa ini, lalu mereka semua mendatangi Syeikhul Islam kerana hendak membelanya. Ahli bid‘ah itu mendengar hal ini, lalu dia mula berlembut dan menghantar orang tengah kepada Syeikhul Islam, kerana menyangka Syeikhul Islam akan membalas dendam untuk dirinya. Tetapi Syeikhul Islam menjawab dengan ungkapan ringkas: “Saya tidak membalas dendam untuk diri saya.” Maka orang itu pun berasa lega, tidak takut lagi dan dapat tidur dengan tenang.

Berlapang dada dalam masalah khilaf

Wahai saudara sekalian…

Mereka ialah golongan yang berbeza pendapat dengan Syeikhul Islam dalam masalah akidah (usul) dan manhaj (kaedah). Adapun khilaf (perselisihan pendapat) dalam masalah far‘iyyah (cabang), maka hukumnya seperti yang disebutkan tadi: kita mesti berlapang dada.

Malah ini lebih patut dan lebih utama, kerana khilaf dalam masalah ilmiah ijtihadiah dan far‘iyyah adalah perkara yang dibenarkan dan orang yang mukhalif9 tidak layak dituduh sesat, ahli bid‘ah atau pengikut hawa nafsu jika dia bermaksud mencari kebenaran.

Manusia sejak dahulu berbeza pendapat dalam masalah far‘iyyah, tetapi pemilik jiwa kerdil menjadikan masalah itu sebagai perkara yang sangat besar. Selepas perdebatan yang panjang, orang yang berbeza pendapat dengannya dijadikan musuh, sehingga dia menghadapi anda dengan wajah lain. Dia tersenyum sinis kepada anda sedangkan di dalam hatinya tersimpan rasa benci, hanya kerana anda berbeza pendapat dengannya dalam masalah furu‘ (cabang).

Yunus as-Sadafi berkata tentang Imam asy-Syafi‘i: “Saya tidak pernah melihat orang yang lebih bijaksana daripada asy-Syafi‘i. Pada suatu hari saya bermunazarah10 dengannya dalam satu masalah, kemudian kami berpisah. Apabila bertemu semula, beliau memegang tangan saya dan berkata: ‘Wahai Abu Musa! Tidakkah patut kita tetap bersaudara walaupun kita tidak sependapat dalam satu masalah?’”11

Nota kaki

  1. Maksudnya: menjerumuskan dan mengadukan beliau kepada khalifah sehingga beliau diseksa seperti ini.
  2. Maksudnya: saya tidak membencinya dan tidak pula mendoakan keburukan baginya, tetapi saya memaafkannya.
  3. Iaitu Khalifah al-Mu‘tasim, khalifah yang menyebat dan menyeksa beliau.
  4. Ayat ini turun berkenaan Abu Bakar r.a. yang bersumpah tidak akan memberi apa-apa lagi kepada kerabatnya (Mistah) yang terlibat dalam menyebarkan berita dusta tentang ‘Aisyah r.a. Maka turunlah ayat ini yang melarang beliau melaksanakan sumpahnya dan menyuruhnya memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka.
  5. Iaitu fitnah yang menuduh ‘Aisyah r.a.
  6. Maksudnya: dialah yang akan menanggung darahnya (bertanggungjawab membunuh Syeikhul Islam).
  7. Istirja‘ ialah mengucapkan “Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un.”
  8. Maksudnya ialah sahabat dan saudara (pengikut) beliau yang dicela dengan kata-kata seperti di atas.
  9. Orang yang berselisih pendapat dengan kita.
  10. Munazarah ialah berbincang dan berdebat dalam sesuatu masalah.
  11. Az-Zahabi, Siyar A‘lam an-Nubala’, 10/16.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3 · Siri 4

Sebelum: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 1) | Seterusnya: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 3)

Rujukan

13 sumber
  1. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, ceramah «Akhlaq al-Kibar» (transkrip rasmi, khaledalsabt.com).

    khaledalsabt.com
  2. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 22.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 11.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah at-Taubah (9): 80 dan 84.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah al-Fath (48): 29.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 159.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah al-Munafiqun (63): 7.

    Quran.com
  8. Sahih al-Bukhari, no. 1366 (riwayat 'Umar bin al-Khattab r.a.).

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 1269 (riwayat Ibn 'Umar r.a.).

    Sunnah.com
  10. Ibnul Qayyim, Madarij as-Salikin, j. 2, hlm. 329 (Islamweb; cetakan lain 2/345), fasal manzilah al-futuwwah.

    IslamWeb
  11. Ibn Kathir, al-Bidayah wan-Nihayah, j. 14, hlm. 51–55 (peristiwa 709H, kembalinya al-Malik an-Nasir).

    ar.wikisource.org
  12. Ibn 'Abd al-Hadi, al-'Uqud ad-Durriyyah min Manaqib Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (Wikisource, bahagian 19).

    ar.wikisource.org
  13. Ibnu Taimiyyah, surat kepada sahabat-sahabatnya di Damsyik dari penjara (dimuatkan dalam Majmu' al-Fatawa; teks dipetik dalam transkrip ceramah).

    khaledalsabt.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026