Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 3)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 14 Mei 2013 · 22 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Syaikh Dr. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, terjemahan Team Dartaibah. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: ceramah “Akhlaq al-Kibar” (khaledalsabt.com).

Sambungan daripada Siri 2. Mari kita lihat contoh lain yang tidak kurang hebatnya.

Al-Wazir Yahya bin Muhammad bin Hubairah

Ibnu Hubairah rahimahullah ialah seorang menteri yang sangat alim. Beliau dikurniakan jawatan menteri dan ilmu fiqh yang tinggi. Beliau menganjurkan majlis ilmu yang dipenuhi para ulama daripada mazhab yang empat.1

Pada suatu hari dalam majlisnya, beliau menyebut suatu masalah yang termasuk dalam mufradat2 Imam Ahmad bin Hanbal. Maka bangunlah salah seorang fuqaha’ Malikiyah yang bernama Abu Muhammad al-Asyiri dan berkata, “Tidak! Imam Malik juga berpendapat begini.”

Kulit buku Al-Ifsah ‘an Ma‘ani as-Sihah karya al-Wazir Ibnu Hubairah

Lalu Ibnu Hubairah mengemukakan banyak kitab dan berkata: “Kitab-kitab ini menyatakan bahawa masalah tersebut termasuk pendapat yang hanya keluar daripada Imam Ahmad, tanpa ketiga-tiga imam yang lain.”

Abu Muhammad al-Asyiri tetap pada pendiriannya dan berkata, “Tidak, pendapat ini juga dikatakan oleh Imam Malik.” Lalu para ulama yang hadir dalam majlis itu berkata dengan yakin, “Sesungguhnya pendapat ini hanya pendapat Imam Ahmad; ketiga-tiga imam yang lain tidak berpendapat begini.”

Tetapi Abu Muhammad al-Asyiri tetap pada pendiriannya dan berkata, “Tidak! Pendapat ini telah dikatakan oleh Imam Malik.”

Maka Ibnu Hubairah marah dan berkata, “Apakah kamu ini binatang?! Tidakkah kamu mendengar kenyataan para ulama bahawa ini termasuk mufradat Imam Ahmad dan kitab-kitab ini juga menjadi saksinya?! Bagaimana kamu tetap mempertahankan kenyataan kamu?!” Kemudian majlis pun bersurai.

Wahai saudaraku…

Bayangkan seandainya kamu berada dalam majlis ini. Bayangkan seandainya kamu berada dalam salah satu daripada kedua-dua pihak itu. Bayangkan jika kamu adalah Abu Muhammad al-Asyiri. Seandainya hanya kamu berdua dan tiada orang lain, adakah kamu akan menemuinya lagi?! Adakah kamu akan menghadirkan diri lagi dalam majlisnya?! Kemudian bagaimana jika dia mengatakan hal itu kepada kamu di hadapan khalayak ramai?! Bolehkah kamu tidur pada malam itu?! Adakah kamu terfikir untuk kembali lagi ke majlis itu?!

Pada hari berikutnya, Abu Muhammad al-Asyiri hadir ke majlis itu seakan-akan peristiwa semalam tidak pernah berlaku. Ibnu Hubairah juga hadir dalam majlis tersebut. Para ulama yang lain juga hadir pada hari itu.

Kemudian, sebagaimana biasa, pembaca kitab ingin membaca dan al-Wazir akan menghuraikannya. Namun Ibnu Hubairah berkata, “Tolong berhenti sebentar!”

Ibnu Hubairah meneruskan: “Semalam al-Faqih Abu Muhammad al-Asyiri telah mengeluarkan suatu pendapat. Kemudian saya mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya terhadapnya.

Maka hari ini saya memohon kepadamu, wahai Abu Muhammad al-Asyiri, agar engkau mengatakan kepada saya kata-kata yang serupa seperti yang telah saya ucapkan semalam. Saya bukanlah orang yang paling baik dalam kalangan kamu; saya hanyalah seorang seperti kamu.”

Wahai saudara sekalian…

Perhatikan ucapannya! “Maka hendaklah beliau mengatakan kepadaku seperti yang aku katakan kepadanya semalam, kerana aku bukan yang paling baik antara kamu dan aku tidak lain hanyalah seorang individu daripada kamu, sama seperti kamu.”

Wahai saudara sekalian…

Cuba perhatikan, apakah kesan perkataan Ibnu Hubairah ini? Padahal perkataan semalam hanya terkeluar secara spontan tanpa sengaja. Abu Muhammad al-Asyiri juga tidak mendapat kerugian sedikit pun. Itu hanyalah ucapan spontan Ibnu Hubairah.

Akhirnya majlis itu dipenuhi esak tangis. Semua ulama menangis. Mereka sangat terharu dengan akhlak Ibnu Hubairah yang mulia ini. Majlis itu menjadi riuh dengan pujian dan doa buat Ibnu Hubairah kerana keluhuran akhlaknya.

Bahkan Abu Muhammad al-Asyiri meminta maaf dan berkata: “Sayalah yang bersalah. Mana mungkin saya akan membalasnya.”

Ibnu Hubairah terus berkata, “Tidak! Kamu mesti membalas dan meng-qisas-kan saya.”

Akhirnya salah seorang ulama mengambil jalan tengah dan berkata: “Wahai tuan (iaitu Ibnu Hubairah)! Jika dia tidak mahu membalas secara qisas, maka tuan perlu memberikan tebusan kepadanya.” Ibnu Hubairah berkata: “Sekarang keputusan ada padanya. Wahai Abu Muhammad al-Asyiri, mintalah apa yang kamu kehendaki!”

Abu Muhammad al-Asyiri berkata: “Kebaikan tuan kepada saya sangat banyak. Maka apa lagi yang patut saya minta?”

Ibnu Hubairah berkata: “Kamu tetap perlu memutuskannya kerana saya telah terlanjur mengucapkan kata-kata buruk kepadamu.”

Abu Muhammad al-Asyiri berkata: “Saya masih mempunyai baki hutang yang belum selesai sejak saya berada di Syam.”

Ibnu Hubairah berkata, “Kamu diberi seratus dinar untuk melangsaikan hutangmu dan menggugurkan tanggungan saya.” Lalu wang itu diberikan kepada Abu Muhammad al-Asyiri dan Ibnu Hubairah berkata, “Mudah-mudahan Allah s.w.t. memaafkan kamu dan saya, juga mengampuni kamu dan saya.”

Wahai saudara sekalian…

Adakah kita juga seperti ini?! Jika dalam suatu majlis berlaku peristiwa tadi, bagaimana kesudahannya?! Sudah jelas, pasti berlaku permusuhan antara kita hingga hari kiamat. Hati kita menjadi sangat panas, sangat benci dan sangat ingin membalas orang itu. Mudah-mudahan Allah s.w.t. melindungi kita semua.

Tadi itu hanyalah beberapa patah kata yang tidak merugikan Abu Muhammad al-Asyiri sedikit pun. Justeru kedudukannya semakin mulia. Wahai saudara sekalian, kita membicarakan peristiwa ini setelah beratus-ratus tahun berlalu. Jika masalah ini tidak selesai pada masa itu dan dendam masih berterusan antara mereka, apakah yang akan terjadi?!

Wahai saudara sekalian…

Janganlah kamu begitu; berlakulah seperti Ibnu Hubairah. Jangan menjadi kerdil! Jangan rela menjadi orang yang rendah! Jangan kembali kepada asal kamu!3 Tinggalkanlah hawa nafsu dan kepentingan peribadi.

Peristiwa tadi berkaitan dengan masalah ilmu. Bagaimana pula jika berkaitan dengan perkara yang tidak menyenangkan dalam kehidupan seharian, dalam hubungan dengan masyarakat, dalam perniagaan dan hal-hal lain yang pasti ditemui oleh setiap orang?! Contohnya sikap tidak menunaikan hak orang lain, kezaliman, perkataan yang tidak menyenangkan daripada orang lain, keburukan dan banyak lagi yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan manusia!

Jadi, apakah yang mesti kita lakukan?!

Wahai saudaraku! Carilah jawapannya dalam diri kamu, jangan menoleh kepada orang lain.

Apakah sikap kamu jika seseorang mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap kamu dan mengejek-ejek maruah kamu?!

Apa yang akan kamu lakukan?!

Adakah kamu berazam untuk memacakkan tombak permusuhan terhadapnya?!

Dalam hal ini Imam asy-Syafi‘i memberikan wasiat kepada Yunus as-Sadafi dan ini merupakan wasiat juga bagi kita, iaitu:

“Wahai Yunus! Jika kamu mempunyai sahabat, maka peganglah dia erat-erat dengan kedua-dua tanganmu, kerana mencari sahabat itu susah dan berpisah dengannya sangat mudah.”4

Jika jiwamu mendesak untuk membalas, maka fikirkanlah kebaikan-kebaikan yang pernah diberikannya kepadamu. Hitunglah kebaikan-kebaikan itu dan tebuslah keburukan tadi dengan kebaikan-kebaikannya yang sangat banyak. Jangan sekali-kali melupakan kebaikan-kebaikannya yang lalu disebabkan satu kesalahan ini, kerana perbuatan itu tidak lain hanyalah satu kezaliman.

Tetapi masalahnya, wahai saudara sekalian…

Kadang-kadang ada orang yang mentafsirkan suatu perkataan (kerana salah faham) dengan tanggapan yang sangat buruk. Padahal orang yang mengucapkannya tidak bermaksud apa-apa ketika mengatakan sesuatu yang dianggap oleh pihak kedua sebagai perkataan yang sangat buruk itu. Namun orang yang terasa pasti sangat marah dan menyimpan dendam.

Sementara pihak yang dianggap berkata buruk itu hatinya benar-benar lalai dan tidak pernah terdetik sedikit pun untuk mengatakan sesuatu yang dianggap pihak kedua sebagai perkataan yang sangat buruk.

Akibatnya pihak kedua dipenuhi perasaan dendam, sangat marah, sangat ingin membalas sehingga tidak dapat tidur pada malam itu. Sedangkan pihak pertama tidak memikirkan hal itu sama sekali; ketika mengatakannya niatnya suci dan bersih serta tidak bermaksud menyakiti sesiapa pun.

Wahai saudara sekalian…

Setiap orang berbeza-beza tingkatannya dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerima perbuatan baik sebagai keburukan dan menganggap kata-kata yang baik sebagai perkataan yang melukainya.

Antara mereka ada yang menerima perkataan yang masih boleh ditafsirkan kepada kemungkinan lain dengan tanggapan yang sangat buruk dan antara mereka ada yang menerima perkataan yang sangat buruk tetapi menganggapnya sebagai ucapan yang sangat baik.

Allah s.w.t. telah membeza-bezakan tingkatan manusia dan sebagaimana Dia membahagikan rezeki kepada para hamba, begitulah juga Dia membahagi-bahagikan akhlak kepada mereka.

Maka benarlah Raja’ bin Haiwah rahimahullah ketika berkata: “Sesiapa yang hanya mahu bersaudara dengan orang yang tiada keaiban, akan sedikitlah sahabatnya. Sesiapa yang tidak reda daripada sahabatnya melainkan dengan keikhlasan yang sempurna terhadapnya, akan berpanjanganlah kemarahannya dan sesiapa yang mencela saudara-saudaranya atas setiap kesalahan, akan banyaklah musuhnya.”

Benar sekali…

Pasti akan banyak musuhnya kerana manusia adalah makhluk yang sangat zalim dan sangat jahil (zalum jahul). Oleh itu, sudah pasti akan muncul daripadanya beberapa kesalahan dan kekurangan.

Sebab itu, jika seseorang sentiasa menghitung setiap gerak-geri, ucapan dan perilaku kawannya, maka hal itu akan menyebabkan kesulitan.

Sekarang tanyakan kepada diri anda! Bagaimana sikap anda terhadap orang yang menyebarkan fitnah terhadap diri anda, ingin menghancurkan kerjaya anda dan mendatangkan keburukan kepada anda?!

Kisah Ummul Mukminin Safiyyah

Mari kita perhatikan kisah Safiyyah, Ummul Mukminin. Beliau mempunyai seorang hamba perempuan. Hamba tersebut datang kepada Umar bin al-Khattab untuk menyampaikan suatu fitnah dan pembohongan besar. Safiyyah binti Huyai dahulunya memang seorang wanita Yahudi tetapi telah memeluk Islam. Safiyyah adalah wanita yang telah dinikahi Nabi s.a.w. dan dengan itu termasuk dalam kalangan Ummahatul Mukminin (ibu-ibu orang beriman).

Pada masa pemerintahan Umar bin al-Khattab, hamba perempuan itu datang menghadapnya sambil menyampaikan suatu pembohongan besar. Dia berkata: “Sesungguhnya Safiyyah sangat menyukai hari Sabtu dan menjalin hubungan dengan orang-orang Yahudi.”

Ini adalah tuduhan buruk yang maksudnya: Safiyyah masih mengikut kebiasaan Yahudi kerana hari Sabtu adalah hari raya kaum Yahudi, bererti dia masih mengagungkan dan menyucikan hari Sabtu itu. Jadi, pada dirinya masih ada amalan yang terikat dengan tradisi orang-orang Yahudi.

Umar bin al-Khattab r.a. tidak bertindak melulu. Beliau juga tidak terus mempercayai bahawa perkara itu benar. Beliau memanggil Safiyyah dan menanyakan hal itu kepadanya. Safiyyah r.a. menjawab: “Tentang hari Sabtu, saya sama sekali tidak menyukainya sejak Allah s.w.t. menggantikannya dengan hari Jumaat. Adapun orang-orang Yahudi, saya masih mempunyai sanak saudara dalam kalangan mereka; saya menyambung silaturahim dengan mereka.”

Kemudian Safiyyah r.a. memanggil hamba perempuan itu dan bertanya: “Apa yang mendorong kamu mengatakan fitnah ini?” Safiyyah sama sekali tidak memaksa hamba itu demi membela dirinya, tetapi sekadar bertanya: “Kenapa kamu melakukan perbuatan ini?” Hamba itu menjawab, “Syaitan yang menyuruh saya.”

Lalu Safiyyah berkata: “Kalau begitu, pergilah. Sekarang kamu orang yang merdeka.” Selesailah masalahnya.

Seorang lelaki memeluk seekor harimau putih di kawasan bersalji

Sekarang, cuba anda bertanya kepada diri anda.

Seandainya anda pulang ke rumah, kemudian mendapati pintu rumah telah dipecah masuk dan barang-barang dalam rumah telah dicuri. Lalu anda memeriksa dokumen-dokumen penting, rupa-rupanya dokumen itu juga sudah hilang dicuri.

Kemudian anda keluar menuju ke kereta, tiba-tiba tingkap kereta itu pula sudah dipecahkan dan barang-barang berharga di dalamnya juga sudah hilang.

Apa tindakan anda?!

Adakah anda akan mendoakan pencuri dan penjahat itu agar Allah s.w.t. melumpuhkan tangan, kaki, pendengaran dan penglihatannya serta membekukan darah dalam peredarannya sehingga dia terseksa dan mengharapkan kematian, namun dia tetap tidak mati bahkan terus menderita dengan penyakitnya itu?

Inilah tindakan yang kadang-kadang kita lakukan.

Abdullah bin Mas‘ud

Adapun Abdullah bin Mas‘ud r.a. dan insan-insan sepertinya yang berjiwa besar pasti tidak akan berbuat demikian.

Pada suatu hari Ibnu Mas‘ud r.a. keluar ke pasar dan menyimpan wangnya pada lipatan serbannya. Kemudian beliau duduk di sisi seorang penjual dan membeli makanan daripadanya. Ketika mengangkat tangan untuk mengambil wangnya, beliau mendapati wang tersebut telah dicuri. Lalu beliau berkata: “Demi Allah! Ketika saya duduk tadi, wang itu ada bersama saya, tetapi sekarang sudah tiada.”

Abdullah bin Mas‘ud sangat hairan dan terkejut. Lalu, sebagaimana kebiasaan yang ada pada kita, orang ramai pun berkumpul di sekelilingnya untuk menolong, memberikan simpati dan menenangkannya atas kejadian yang baru menimpanya.

Orang ramai mula berdoa ke atas pencuri tersebut: “Ya Allah, potonglah tangan pencuri yang telah mengambil wangnya” dan “Ya Allah, hukumlah dia dengan hukuman yang seberat-beratnya.” Ringkasnya, semua orang yang berada di situ duduk seketika untuk mendoakan keburukan ke atas pencuri tersebut.

Adapun Abdullah bin Mas‘ud, beliau hanya berkata: “Ya Allah, jika dia mengambil wang saya kerana sangat memerlukannya, maka berkatilah wang itu baginya. Tetapi jika dia melakukannya semata-mata kerana berani berbuat dosa, maka jadikanlah perbuatan ini dosanya yang terakhir.”5

Selesai. Itu sahaja. Tiada doa agar si pencuri dipotong tangan, dilaknat Allah, dilumpuhkan anggota tubuhnya, dibutakan matanya, dipekakkan telinganya, didoakan agar dia mengharapkan kematian kerana terseksa dengan penyakitnya tetapi tidak mati dan terus menderita atau agar darahnya dibekukan dan sebagainya.

Abdullah bin Mas‘ud sama sekali tidak mengaminkan doa-doa itu, malah mendoakan kebaikan bagi si pencuri, bukan keburukan ke atasnya.

Wahai saudara sekalian…

Seandainya anda keluar, kemudian bertemu dengan seseorang yang tidak pernah menjaga hak-hak anda dan tidak pernah menghormati anda, lalu dia mengucapkan perkataan kotor, mencaci dan memperdengarkan kepada anda sesuatu yang sangat anda benci.

Apakah tindakan anda?!

Adakah anda membalasnya dengan perkara yang serupa?!

Membalas dendam atau bertukar menjadi musuhnya?

Wahai saudara sekalian…

Para pemilik jiwa yang besar, dalam situasi-situasi seperti ini, sentiasa mengingatkan kita kepada firman Allah s.w.t.:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat: 34)

“Idfa‘ billati hiya ahsan” (tolaklah dengan cara yang lebih baik) inilah yang menjadi syiar mereka.

Ali Zainal Abidin

Mari kita perhatikan kisah Ali Zainal Abidin, iaitu Ali bin al-Husain bin Ali bin Abi Talib rahimahullah (cucu Saidina Ali radhiyallahu ‘anhu). Beliau termasuk dalam kalangan pembesar tabiin.

Pada suatu ketika, beliau berada dalam majlis bersama para sahabatnya. Sahabat-sahabatnya terdiri daripada para ulama, para pemimpin, para pembesar dan seluruh lapisan masyarakat. Majlisnya dihadiri ramai orang kerana beliau seorang yang alim, bapa kepada golongan fakir miskin dan sentiasa melapangkan kesusahan dan kesengsaraan orang lain.

Ketika itu beliau sedang duduk dalam majlis seperti kebiasaannya. Pada masa itu, antara beliau dengan sepupunya, iaitu Hasan bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib, sedang berlaku suatu perselisihan sebagaimana yang biasa berlaku.

Maka Hasan bin al-Hasan tidak mampu menahan diri. Dia segera keluar mencari Ali Zainal Abidin. Dia mendapati Ali sedang duduk bersama para sahabatnya di masjid. Hasan mendekati Ali Zainal Abidin, kemudian melemparkan cercaan kepadanya di hadapan para sahabatnya itu.

Ali Zainal Abidin diam seribu bahasa dan tidak membalas sepatah kata pun. Setelah Hasan bin al-Hasan puas dan merasakan dendamnya sudah terbalas, dia pun beredar meninggalkan majlis tersebut. Ali Zainal Abidin meneruskan majlisnya. Apabila selesai majlis, beliau pulang ke rumahnya. Pada malamnya, Ali Zainal Abidin pergi ke rumah Hasan bin al-Hasan.

Dalam keadaan seperti ini, mungkin kita menyangka Ali Zainal Abidin menyembunyikan pistol di sebalik bajunya untuk mengajar si Hasan tadi. Tetapi Zainal Abidin tidak melakukan perbuatan itu sama sekali. Beliau pergi ke rumah Hasan lalu mengetuk pintu rumahnya. Ketika Hasan bin al-Hasan keluar, Ali berkata:

“Wahai saudaraku, jika apa yang kamu katakan tadi benar, mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampuniku. Tetapi jika kamu berdusta, mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampunimu. Assalamu‘alaikum.”

Lalu Ali Zainal Abidin pergi meninggalkan Hasan.

Ucapan Ali ini meluluhkan rasa permusuhan yang memuncak dalam dada Hasan bin al-Hasan. Dia tidak mampu menahan dirinya sehingga perasaan benci, marah, dendam dan permusuhan itu bertukar menjadi perasaan yang sebaliknya. Dia segera mengejar Ali Zainal Abidin dengan berlari di belakangnya, lalu memegangnya dari belakang sambil menangis dan berkata, “Engkau tidak berdosa. Engkau tidak pernah melakukan seperti apa yang aku katakan.”

Maka Ali Zainal Abidin berkata, “Aku langsung tidak marah dengan ucapanmu. Aku telah memaafkanmu sejak peristiwa itu berlaku.”

Wahai saudara sekalian…

Pada malam itu juga, masalah tersebut terus selesai. Ali tidak mengadukan perbuatan Hasan ini kepada orang lain. Beliau tidak mencari-cari peluang daripada peristiwa yang baru menimpanya untuk membalas dendam dan sebagainya.

Wahai saudaraku…

Pernahkah kita melakukan hal ini?!

Ketika anda berada di dalam masjid, majlis keramaian, kumpulan, bersama rakan-rakan dan sebagainya, tiba-tiba datang seseorang menghentam anda dengan perkataan yang buruk. Pelbagai ucapan buruk dilontarkan kepada anda. Bagaimanakah sikap anda terhadap orang tersebut?

Jika anda termasuk orang yang berjiwa besar, maka maafkanlah dia dan anggaplah kesalahan itu tidak pernah berlaku. Sebab itulah sebahagian ulama berkata kepada orang yang mencaci dan memakinya dengan sangat keras, “Wahai kawan, jangan terlalu keras memaki kami. Biarkan ada ruang untuk berdamai (antara kita), kerana kami tidak membalas orang yang menderhakai Allah s.w.t. terhadap kami dengan sesuatu yang lebih daripada mentaati Allah terhadapnya.”6

Seandainya ada orang kurang ajar yang memukul anda, meracuni anda atau melakukan perbuatan buruk yang lain, apakah tindakan anda terhadapnya?

Umar bin Abdul Aziz rahimahullah

Beliau dikenali sebagai Khalifah ar-Rasyid yang kelima. Ketika beliau diserang penyakit yang membawa kepada kematiannya, beliau bertanya kepada Mujahid: “Apakah yang dikatakan orang ramai tentang penyakit yang menimpaku?” Mujahid menjawab: “Mereka mengatakan bahawa tuan terkena sihir.” Umar menjawab: “Tidak sama sekali.”

Lalu Umar bin Abdul Aziz memanggil seorang hamba lelakinya dan bertanya, “Kenapa kamu meracuni aku?” Beliau ingin mengetahui sebab hamba tersebut meracuninya.

Hamba itu menjawab: “Saya diberi seribu dinar dan dijanjikan akan dimerdekakan.”

Umar berkata: “Bawa ke mari wang itu.” Lalu hamba itu membawanya dan Umar memasukkan wang seribu dinar itu ke dalam Baitul Mal, kemudian berkata kepada hamba itu: “Pergilah ke tempat yang tiada seorang pun dapat melihatmu.”

Wahai saudaraku!

Hamba ini telah meracuni khalifah. Khalifah mengetahuinya dan hamba itu sendiri mengakuinya. Lalu apakah tindakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz?! Beliau hanya berkata:

“Pergilah ke tempat yang tiada seorang pun dapat melihatmu.”

Imam Malik

Sekarang mari kita perhatikan kisah Imam Malik rahimahullah. Beliau dipukul dan disebat sehingga kedua-dua belah tangannya terkehel dan kulitnya mengelupas. Sehingga ketika berdiri dalam solat, beliau melepaskan kedua-dua tangannya kerana berasa sangat sakit dan pedih; beliau tidak dapat meletakkan kedua-dua tangannya di atas dada.

Kemudian al-Mansur (Khalifah Abbasiyah) datang ke kota Madinah selepas menunaikan haji. Beliau bertemu Imam Malik untuk berbuat baik kepadanya. Lalu beliau menawarkan kepada Imam Malik untuk mengambil qisas (pembalasan) daripada orang yang telah memenjarakan dan menyebatnya, iaitu Ja‘far bin Sulaiman. Apakah jawapan Imam Malik? Adakah beliau berkata: “Ini peluang yang tidak patut dilepaskan”? Tidak sama sekali! Bahkan beliau berkata: “Ma‘azallah!” (Aku berlindung kepada Allah s.w.t.).

Beliau sama sekali tidak mengatakan: “Ja‘far seorang yang sangat zalim yang wajib dibalas.”

Tidak! Imam Malik sama sekali tidak berkata begitu. Begitulah contoh orang yang berjiwa besar. Dia sama sekali tidak mencari kemenangan untuk dirinya. Demikian juga Nabi s.a.w. tidak pernah membalas untuk membela diri Baginda sendiri walau sedikit pun.7

Mari kita ambil contoh yang lain.

Ibnu Hubairah dan peminta sedekah

Pada suatu ketika, seorang lelaki datang ke majlis Ibnu Hubairah untuk meminta-minta. Ibnu Hubairah berkata kepada pengawal: “Bukankah sudah aku katakan kepadamu?! Beri dia dua puluh dinar, beri dia makan dan jangan biarkan dia masuk ke dalam majlis ilmu ini!”

Pengawal tersebut berkata, “Kami sudah memberinya, tetapi dia tetap mendesak untuk masuk.”

Ibnu Hubairah berkata lagi: “Kalau begitu, beri dia dua puluh dinar lagi dan jangan benarkan dia masuk!”

Setelah lelaki itu pergi, Ibnu Hubairah berkata kepada para sahabatnya dalam majlis itu: “Adakah kamu hairan dengan jawapan dan perlakuan saya ini?!”

Mereka menjawab: “Ya!” Ibnu Hubairah berkata, “Orang yang baru kamu lihat tadi dahulunya seorang syihnah8 di kawasan pedalaman.

Pada suatu ketika, ada seseorang yang terbunuh di daerah tempat tinggal saya. Maka datanglah lelaki ini bersama para penghulu kampung serta membawa saya bersama orang ramai. Dia menyuruh saya berjalan kaki, sementara dia menunggang kuda. Dia mula menyakiti saya dan menyeret saya bersama kudanya. Kemudian dia mengikat saya, lalu mengambil wang daripada setiap orang dan melepaskan mereka. Kemudian dia datang kepada saya dan berkata: ‘Berikan wangmu!’

Saya menjawab: ‘Saya tidak mempunyai wang walau sedikit pun.’ Maka dia mengherdik dan memukul saya, tetapi saya tidak berdendam sedikit pun terhadapnya. Saya meminta izin kepadanya untuk menunaikan solat fardu di tepi jalan apabila tiba waktunya, namun dia tidak membenarkan saya bersolat. Perkara inilah yang membuatkan saya marah. Kerana itu saya tidak mahu menyakitinya tetapi saya tidak suka melihatnya.”

Wahai saudara sekalian…

Atas sifat kebaikannya, Ibnu Hubairah yang telah menjadi menteri selepas peristiwa tersebut akhirnya memanggil orang itu dan memberinya satu jawatan. Orang itu disuruh menguruskan harta khusus milik para pembesar.

Lihatlah! Ibnu Hubairah sama sekali tidak mencari kemenangan untuk dirinya. Beliau tidak pula berkata: “Ini peluang keemasan untuk membalas dendam.” Sebaliknya beliau memberinya wang, memuliakannya dan sama sekali tidak mencari kemenangan untuk dirinya sendiri.

Ibnu Hubairah, pemilik hati yang mulia ini, juga pernah terlibat dalam suatu peristiwa lain yang berlaku lama dahulu sebelum beliau menjadi menteri. Peristiwa itu berlaku antara Ibnu Hubairah dengan seorang ‘ajam (bukan Arab) yang bergaduh dengannya dalam urusan pertanian. Orang ‘ajam ini telah memukul Ibnu Hubairah dengan sangat keras.

Ketika Ibnu Hubairah dilantik menjadi menteri, orang ‘ajam itu dipanggil. Mari kita bayangkan. Kalau bukan Ibnu Hubairah, pasti orang ‘ajam itu telah diseksa, dihukum atau dibunuh. Namun Ibnu Hubairah sama sekali tidak menghukum atau mengherdiknya. Ibnu Hubairah memuliakannya, memberinya wang dan menyerahkan satu jawatan kepadanya.

Ibnul Jauzi, murid Ibnu Hubairah, berkata: “Ketika Ibnu Hubairah mengimlakkan (membacakan untuk ditulis) kitab karangannya yang berjudul al-Ifsah kepada kami, datang dua orang lelaki. Salah seorang daripada mereka telah menangkap lelaki yang seorang lagi lalu membawanya kepada Ibnu Hubairah.

Orang yang pertama berkata: ‘Orang ini telah membunuh saudaraku. Oleh itu, putuskanlah qisas antara kami.’

Ibnu Hubairah bertanya kepada orang yang kedua: ‘Adakah kamu telah membunuh saudaranya?’ Dia menjawab: ‘Ya, saya telah membunuhnya kerana berlaku pertikaian antara saya dengannya, maka saya pun membunuhnya.’

Maka orang pertama berkata: ‘Serahkan dia kepadaku, biar aku bunuh dia. Bukankah dia telah mengakui perbuatannya?’

Lalu Ibnu Hubairah berkata: ‘Lepaskan dia dan jangan bunuh dia.’ Orang ramai berkata: ‘Mana mungkin kami melepaskannya, dia telah membunuh saudara kami.’

Ibnu Hubairah berkata: ‘Kalau begitu, juallah dia kepadaku.’ Maka Ibnu Hubairah membeli pembunuh itu dengan bayaran diat yang berganda-ganda, iaitu enam ratus dinar. Ibnu Hubairah pun menyerahkan emas itu kepada keluarga yang terbunuh. Apabila emas telah diserahkan, Ibnu Hubairah berkata kepada pembunuh tersebut: ‘Duduklah.’ Lalu pembunuh itu duduk di sisinya dan Ibnu Hubairah memberinya wang sebanyak lima puluh dinar. Kemudian pembunuh itu pun pergi.”

Ibnul Jauzi bersama murid-murid yang lain sangat hairan dengan perbuatan Ibnu Hubairah ini. Lalu mereka bertanya kepadanya: “Bagaimana seorang pembunuh dibeli dengan harga yang sangat mahal, diberi wang, kemudian dilepaskan begitu sahaja?! Tuan juga telah membayar diat dengan bayaran yang tinggi!”

Lalu Ibnu Hubairah berkata kepada murid-muridnya, “Tahukah kamu bahawa mata kananku tidak dapat melihat sejak empat puluh tahun yang lalu?!”

Murid-muridnya menjawab: “Tidak.”

Ibnu Hubairah meneruskan kata-katanya: “Lelaki pembunuh tadi, empat puluh tahun yang lalu, pernah lalu di hadapan saya sambil membawa sebakul buah. Dia berkata kepada saya: ‘Angkat bakul ini dan bawalah.’ Ketika itu saya sedang membawa kitab fiqh.

Saya berkata, ‘Ini bukan pekerjaan saya. Carilah orang lain yang boleh membawakannya untukmu.’” Ibnu Hubairah meneruskan ceritanya lagi, “Orang itu menjadi sangat marah. Dia memukul dan menampar saya. Dia terus memukul saya sehingga akhirnya membutakan mata saya. Setelah itu, dia pergi dan saya tidak pernah melihatnya lagi kecuali pada hari ini.”

Wahai saudara sekalian…

Perhatikanlah perbuatan orang itu terhadap Ibnu Hubairah. Sekarang dia datang lagi sebagai seorang pembunuh, tetapi Ibnu Hubairah tidak berkata, “Qisas-lah dia,” atau berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kamu menerima balasan atas buruknya perbuatanmu.”

Ibnu Hubairah sama sekali tidak berkata begitu. Bahkan beliau memaafkannya, memuliakannya dan memberinya wang.

Wahai saudara sekalian…

Siapakah antara kita yang mampu berbuat seperti ini? Ibnu Hubairah berkata: “Saya ingin membalas keburukannya dengan kebaikan.”

Al-Ahnaf bin Qais

Seandainya anda terserempak dengan seorang pencaci, pengumpat dan pengejek di suatu tempat, sama ada di sekolah anda, di tempat kerja anda, di pasar atau di tempat lain, lalu orang itu berkata kepada anda seperti perkataannya kepada al-Ahnaf bin Qais ini: “Jika kamu bercakap sepatah, nescaya kamu akan mendengar sepuluh patah.”

Akhlak seperti inilah akhlak orang jalanan yang tidak berpendidikan. Inilah lidah orang jalanan, orang awam yang tidak beradab. Satu perkataan dibalas dengan sepuluh perkataan. Tetapi apakah jawapan al-Ahnaf bin Qais? Adakah beliau menjawab, “Kami akan membalasmu dengan seribu umpatan dan memotong lidahmu”?!

Al-Ahnaf bin Qais sama sekali tidak berkata begitu. Sebaliknya beliau menjawab: “Jika kamu mengatakan sepuluh patah, kamu tidak akan mendengar sepatah kata pun daripada saya.”

Seorang penyair (dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi‘i) berkata:

قَالُوا سَكَتَّ وَقَدْ خُوصِمْتَ قُلْتُ لَهُمْ ... إِنَّ الْجَوَابَ لِبَابِ الشَّرِّ مِفْتَاحُ

وَالصَّمْتُ عَنْ جَاهِلٍ أَوْ أَحْمَقٍ شَرَفٌ ... وَفِيهِ أَيْضًا لِصَوْنِ الْعِرْضِ إِصْلَاحُ

أَمَا تَرَى الْأُسْدَ تُخْشَى وَهْيَ صَامِتَةٌ ... وَالْكَلْبُ يُخْسَى لَعَمْرِي وَهْوَ نَبَّاحُ

“Mereka berkata: ‘Kamu diam sahaja ketika dicabar bertengkar.’ Aku berkata kepada mereka: ‘Sesungguhnya menjawab itu kunci yang membuka pintu keburukan.’

Berdiam diri terhadap orang jahil atau dungu adalah satu kemuliaan dan padanya juga terdapat kebaikan untuk memelihara maruah.

Tidakkah kamu lihat singa itu ditakuti walaupun ia diam, sedangkan anjing dihalau dan dihina, demi hidupku, walaupun ia kuat menyalak?”

Wahai pendakwah

Anda, wahai seorang pendakwah…

Apakah tindakan anda jika seorang mad‘u (sasaran dakwah) berbuat buruk terhadap anda…?

Atau berkata buruk kepada anda…?

Atau melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya kepada anda…?

Adakah anda akan memusuhinya…?

Menjauhi atau memulaukannya…?

Atau menyuruh para pengikut anda menjauhi dan menghindarinya…?

Mewujudkan jurang dengannya…?

Adakah hanya kerana kepentingan peribadi, anda sibuk dengan diri sendiri dan dia juga sibuk dengan dirinya…?!

Wahai saudara sekalian…

Hal ini sama sekali tidak wajar dilakukan. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., beliau berkata: “Seakan-akan aku sedang melihat Nabi s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi daripada kalangan para nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga berdarah, lalu dia mengusap darah dari wajahnya sambil berkata:

‘Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’”9

Jika seorang mad‘u memukul anda hingga berdarah, apakah yang akan anda lakukan…?

Adakah anda akan mendoakan kebinasaan baginya?

Adakah anda akan melaknatnya…?

Atau adakah anda akan memukulnya?

Wahai pendakwah! Anda yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu urusan, anda wahai mudir sebuah madrasah, anda wahai ketua eksekutif sebuah syarikat, jika seseorang datang kepada anda kerana sesuatu urusan, kemudian dia mengucapkan perkataan yang sangat keji dengan bahasa yang sombong dan bercakap dengan anda seolah-olah anda pekerjanya, dalam situasi seperti ini apakah yang akan anda lakukan?

Seorang Arab Badwi telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu menarik kain selendang Baginda dengan kasar sehingga meninggalkan kesan pada leher Baginda. Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, perintahkanlah supaya aku diberi sebahagian daripada harta Allah yang ada padamu.”10

Seandainya perkataan dan perbuatan ini ditujukan kepada selain Rasulullah s.a.w., pastilah kepala orang itu sudah terputus sebelum dia menghabiskan kata-katanya.

Cuba anda bayangkan, apakah tindakan Nabi s.a.w.? Adakah Baginda memusuhi lelaki tersebut? Tidak sekali-kali! Bahkan Baginda menoleh kepadanya sambil ketawa, lalu memerintahkan supaya dia diberi. Inilah akhlak para nabi.

Nota kaki

  1. Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.
  2. Mufradat Imam Ahmad ialah pendapat yang hanya dipegang oleh Imam Ahmad, sementara ketiga-tiga imam yang lain (Abu Hanifah, Malik dan asy-Syafi‘i) tidak berpendapat demikian.
  3. Asal kita ialah tanah yang rendah.
  4. Sifat as-Safwah, karya Ibnul Jauzi, 1/234 (rujukan penterjemah).
  5. Kisah ini disebut oleh al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum ad-Din (3/184) tanpa sanad.
  6. Hilyat al-Auliya’, karya Abu Nu‘aim al-Asbahani, 2/313 (rujukan penterjemah).
  7. Aisyah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah membalas dendam untuk dirinya sendiri dalam apa jua perkara, kecuali apabila larangan Allah dilanggar, maka Baginda membalas kerana Allah.” Riwayat al-Bukhari (no. 3560) dan Muslim (no. 2327).
  8. Syihnah ialah petugas yang dihantar untuk menghadirkan orang dalam sesuatu masalah, jenayah atau siasatan; dia memanggil ketua-ketua kabilah atau penghulu kampung dan menghadirkan mereka kepada sultan.
  9. Riwayat al-Bukhari (no. 3477) dan Muslim (no. 1792).
  10. Riwayat al-Bukhari (no. 3149) dan Muslim (no. 1057) daripada Anas bin Malik r.a.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3 · Siri 4

Sebelum: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 2) | Seterusnya: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar (Siri 4)

Rujukan

9 sumber
  1. Al-Quran, Surah Fussilat (41): 34.

    Quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, no. 3477; Sahih Muslim, no. 1792 (riwayat Ibn Mas'ud r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 3149; Sahih Muslim, no. 1057 (riwayat Anas bin Malik r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 3560; Sahih Muslim, no. 2327 (riwayat Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  5. Ibn Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, j. 9, «Dhikr sabab wafatihi» (riwayat Mujahid tentang Umar bin Abdul Aziz diracun).

    ar.wikisource.org
  6. Adh-Dhahabi, Siyar A'lam an-Nubala', biografi Raja' bin Haywah.

    ar.wikisource.org
  7. Al-Ghazali, Ihya' 'Ulum ad-Din, 3/184 (dinukil IslamQA no. 214143).

    islamqa.info
  8. Diwan al-Imam asy-Syafi'i, «Qalu sakatta wa qad khusimta».

    mawdoo3.com
  9. Rencana «Min a'lam al-Islam: Ibn Hubairah», Alukah (menukil Ibn al-Jawzi).

    alukah.net

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026