Tulisan: Syaikh Dr. Khalid bin 'Uthman as-Sabt, terjemahan Team Dartaibah. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: ceramah “Akhlaq al-Kibar” (khaledalsabt.com).
Sambungan daripada Siri 3.
Pendahuluan: Rasulullah s.a.w. dengan Arab Badwi

Wahai saudara sekalian…
Wahai orang-orang yang mengerjakan solat. Kita yang berada di dalam masjid ini, seandainya ada anak kecil yang berdiri di atas meja ini kemudian kencing di atasnya atau ada seorang tua yang pergi ke suatu sudut masjid kemudian duduk dan kencing di sana…
Bayangkan! Apakah tindakan yang akan kita lakukan terhadapnya? Mungkin dia tidak tahu tangan siapa yang akan singgah (memukul)nya. Tentunya semua orang akan memukulnya, sementara yang tidak sempat memukul akan terus memaki dan mencercanya.
Pertama
Wahai saudaraku…
Pernah ada seorang Arab Badwi datang ke masjid Nabi s.a.w. semasa Baginda bersama para sahabat. Kemudian orang itu pergi ke satu sudut masjid dan kencing di situ.
Para sahabat mengherdiknya, tetapi Nabi s.a.w. melarang mereka berbuat demikian. Baginda bersabda: “Jangan putuskan kencingnya (biarkan dia menyelesaikannya).” Hal ini supaya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar.
Rasulullah s.a.w. menyuruh seseorang membawa setimba air, lalu dituangkan ke atas air kencing tersebut.
Kemudian Baginda menegur orang yang kencing tadi dengan penuh lemah lembut dan mengajarnya bahawa masjid ini tidak boleh dikotori.
Masalah pun selesai tanpa perlu menendangnya dengan kaki atau memijaknya dengan tumit dan sebagainya. Sungguh, orang itu tidak diusir, dimaki atau dicemuh, tetapi dia dimuliakan dan diajar dengan baik dengan penjelasan bahawa masjid ini adalah tempat solat dan zikir dan tidak patut dikotori walau sedikit pun.1
Dengan akhlak mulia Nabi s.a.w. inilah hati orang tersebut menjadi terbuka. Setelah dia memahami agama, dia berkata: “Baginda bangun mendapatkanku — demi ayah dan ibuku (aku tebus Baginda) — lalu Baginda tidak mencela dan tidak mencaciku.”2
Kedua
Wahai saudara sekalian…
Adakah seperti ini akhlak kita terhadap murid-murid kita, para mad‘u (sasaran dakwah) dan seluruh kaum muslimin?!
Bayangkan seandainya ada seorang imam di dalam masjid yang sujud sangat lama ketika solat dan tidak mengangkat kepalanya dalam tempoh yang lama.
Ketika anda mengangkat kepala, anda melihat anak kecil imam tersebut sedang duduk di atas kepalanya. Apakah tindakan yang akan anda lakukan? Apa yang akan anda katakan kepada anak kecil itu? Tentunya setelah kamu semua mengatakan kepada imam itu perkara-perkara yang dibencinya, anda pasti segera pergi ke Majlis Agama untuk memecatnya dan memberinya pengajaran.
Wahai saudaraku, itu hanyalah anak kecil yang sedang bermain-main. Mereka tidak mencari mainan lain selain berada di atas badan ayahnya.
Wahai saudara sekalian, ingatlah, Nabi s.a.w. pernah sujud lama dalam solat Baginda. Seorang sahabat mengangkat kepalanya dan mendapati Hasan atau Husain sedang berada di atas belakang Baginda. Selepas Rasulullah s.a.w. selesai solat, Baginda menjelaskan kepada mereka kenapa Baginda lambat mengangkat kepala ketika sujud. Baginda s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini menjadikan aku tunggangannya dan aku tidak suka menyegerakannya sehingga dia selesai (bermain).”3
Baginda tidak tergamak menghentikan kegembiraan anak kecil itu.
Adapun kita, setiap kali melihat anak kecil bergerak sedikit sahaja, kita terus berdalil dengan hadis:
“Jauhkan anak-anak kecil dan orang-orang gila kamu dari masjid-masjid kamu.”
Padahal hadis ini tidak sahih sama sekali.4
Sementara si ayah yang membawa anak-anak tadi, wajahnya menjadi merah kerana menahan perasaan serba salah. Barangkali ketika itu si ayah sedang menghadapi keadaan tertentu yang menyebabkan dia membawa anak-anaknya ke masjid. Mungkin dia baru kematian isteri dan memerlukan ketenangan serta belas ihsan orang ramai. Mungkin juga ibu anak-anak itu sedang sakit atau sedang menghadapi tekanan hidup. Barangkali kerana perkara-perkara di atas, si ayah membawa anak-anaknya keluar dari rumah dan membawa mereka bersamanya ke masjid. Kemudian kita pula memperlakukan dia dan anak-anaknya sedemikian rupa?
Ketiga
Wahai saudara sekalian!
Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah, kemudian Baginda turun dari mimbar hanya kerana melihat Hasan dan Husain. Perhatikan hadis Buraidah di bawah ini. Daripada Buraidah r.a., beliau berkata:
“Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah, lalu datang Hasan dan Husain memakai baju merah. Kedua-duanya berjalan dan tersandung jatuh. Maka Rasulullah s.a.w. turun dari mimbar, lalu mendukung kedua-duanya dan meletakkan mereka di hadapan Baginda. Kemudian Baginda bersabda: ‘Benarlah Allah (dalam firman-Nya): Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). Aku melihat dua anak kecil ini berjalan dan tersandung jatuh, maka aku tidak mampu bersabar sehingga aku memutuskan khutbahku dan mendukung kedua-duanya.’”5
Kalaulah seorang imam atau khatib melakukan seperti ini pada hari Jumaat, iaitu dia mengambil cucunya lalu mendukungnya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada cucunya, cuba bayangkan apakah tindakan kita terhadapnya?
Telah thabit (sahih periwayatannya) bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan solat sambil mendukung Umamah, iaitu cucu Baginda. Setiap kali Baginda berdiri dalam solat, anak itu didukungnya. Apabila Baginda sujud, anak itu diletakkannya di atas lantai. Baginda terus berbuat begitu sehingga selesai solat.6
Keempat
Wahai saudara sekalian…
Jika hal ini dilakukan oleh seorang imam, apakah tindakan yang akan kita lakukan terhadapnya? Generasi terdahulu telah terdidik dengan akhlak yang mulia ini dan dengan akhlak inilah juga anak-anak kecil itu terdidik. Mereka hidup di sekeliling orang-orang yang mempunyai kasih sayang kebapaan yang sangat tinggi. Mereka juga mendapati ramai orang yang menjaga dan memberi perhatian kepada mereka. Adapun sifat bermasam muka sesama kita serta segala muamalah dan interaksi yang kasar dan buruk dalam kalangan generasi kita hari ini, perkara tersebut tidak berlaku pada generasi terdahulu seperti yang dinyatakan dalam kisah-kisah di atas.
Kelima
Wahai saudara yang memiliki jiwa yang besar.
Jika anda bekerja bersama seseorang dalam bidang perkilangan atau dalam sesebuah syarikat, kemudian anda diuji dengannya dan dia hendak melibatkan anda dalam perbalahan, adakah anda akan melayaninya?
Imam Malik rahimahullah menyatakan sifat al-Qasim bin Muhammad, salah seorang ulama dalam kalangan tabiin. Imam Malik berkata:
Pernah berlaku perbalahan antara al-Qasim bin Muhammad dengan seseorang tentang suatu perkara. Maka al-Qasim berkata: “Perkara yang kamu pertikaikan denganku ini, ambillah ia untukmu. Jika ia memang hakmu, ambillah dan janganlah engkau memujiku kerananya. Namun jika sebenarnya ia milikku, aku halalkan sahaja dan ia adalah untukmu.”
Maksudnya: tinggalkanlah aku supaya aku tidak terjebak dalam perbalahan ini yang boleh merendahkan akhlakku hingga sanggup bertengkar tentang perkara-perkara kecil yang tidak berfaedah.7
Keenam
Anda wahai para suami…
Bagaimanakah anda bertindak ketika hubungan antara suami dengan isteri menjadi tidak serasi dan bermasalah? Ketika hubungan anda dengan isteri sudah tidak lagi bahagia?
Sebahagian suami ada yang menekan isteri. Bahkan ada dalam kalangan mereka — saya tidak berlebih-lebihan dalam kenyataan ini, wahai saudaraku — yang sanggup memutuskan bekalan elektrik di rumahnya semata-mata untuk menyusahkan isterinya supaya isterinya tertekan dengan kesusahan tersebut. Akhirnya, apabila isteri sudah tidak dapat bertahan dengan keadaan itu, dia meminta agar diceraikan. Suami pula mengambil kesempatan untuk mendapatkan ganti rugi seperti yang didakwanya, iaitu dia meminta agar dikembalikan mahar yang telah diberikan dan segala perbelanjaan yang telah dibelanjakan untuk isterinya sepanjang mereka hidup bersama. Padahal si suami sudah menggaulinya, bahkan boleh jadi telah menghabiskan zaman mudanya. Di manakah letaknya maruah si suami ini?
Ketika seseorang sudah tidak lagi mencintai isterinya dan seakan-akan duduk di atas bara api kerana benci dan sangat marah terhadap isterinya, apakah tindakan yang akan anda lakukan dalam situasi seperti ini?
Jubair bin Mut‘im r.a. menikahi seorang wanita dan sudah membayar maharnya dengan sempurna kepada wanita tersebut. Kemudian dia menceraikannya sebelum menggaulinya. Lalu dia membaca ayat ini: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu8 memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 237)
Jubair r.a. berkata: “Aku lebih berhak untuk memaafkan.” Jubair r.a. menyerahkan seluruh mahar kepada bekas isterinya, padahal dia berhak mendapat kembali separuh daripada mahar tersebut.9
Jika seorang isteri bertindak tidak sepatutnya terhadap anda, adakah anda akan terus menjatuhkan talak tiga terhadapnya seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang?
Adakah anda memukulnya?
Menyeksanya?
Adakah anda meninggalkannya begitu sahaja?
Sungguh, sebahagian wanita mengadu bahawa mereka telah ditinggalkan suami bertahun-tahun tanpa perhatian dan tanpa nafkah. Sebahagian mereka mengatakan bahawa mereka sering pengsan kerana suami sering memukul kepala mereka. Sebahagian isteri juga mengatakan bahawa suaminya masuk ke rumah sambil merungut dan mencaci serta keluar rumah sambil menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya tanpa sebab yang jelas.
Kemudian dikatakan kepadanya: “Sepatutnya anda menjauhi perkara-perkara yang membuatnya marah.”
Si isteri menjawab: “Dia pada dasarnya memang pemarah. Tanpa sebab pun dia tetap marah. Tiada kebaikan yang tidak saya lakukan untuknya. Dia marah hanya kerana perkara yang sangat remeh. Bahkan dia marah pada waktu yang sangat tidak sepatutnya. Pada malam Hari Raya Aidilfitri dia marah-marah. Pada pagi sebelum solat Aidilfitri pun dia sangat marah.”
Ada segelintir wanita yang menelefon kami dan bertanya: “Suami saya telah menjatuhkan talak tiga hanya kerana saya mengejutkannya untuk menjamah makanan yang saya sediakan pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Maksud saya supaya dia merasa masakan saya sebelum pergi solat Aidilfitri. Tetapi dia terus menjatuhkan talak tiga. Dia bangun dan menaburkan makanan itu di dapur, lalu memukul saya dengan sangat kuat. Dia juga mencaci saya dan seluruh keluarga saya. Semua itu berlaku pada pagi Hari Raya Aidilfitri.”
Na‘uzubillah, mudah-mudahan Allah s.w.t. melindungi kita daripada perbuatan buruk ini. Padahal apa yang dilakukan oleh si isteri? Dia telah melakukan suatu perbuatan yang sangat mulia. Sepatutnya perbuatan mulia dibalas dengan kemuliaan, tetapi ia dibalas dengan perbuatan yang sangat buruk.
Ketujuh
Wahai saudaraku…
Diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Engkaukah orang yang mendakwa dirinya utusan Allah?” Ini kata-kata yang sangat tidak patut dan sangat menyakitkan. Tetapi apakah tindakan Nabi s.a.w.? Baginda tidak melakukan apa-apa selain tersenyum. Baginda hanya tersenyum dan tidak bertindak apa-apa pun.10
Jika isteri anda berkata kepada anda seperti ini: “Kamu mengaku lelaki sejati?” “Kamu mengaku orang baik?” Maka apakah tindakan anda terhadapnya? Barangkali, seperti yang saya jangkakan, daging si isteri itu akan bercampur dengan bajunya. Saya tidak yakin dia akan selamat keluar dari rumahnya tanpa kurang suatu apa pun dalam situasi seperti itu.
Pernah ketika Nabi s.a.w. bersama para sahabat, tiba-tiba salah seorang isteri Baginda yang pandai memasak menghantar sepinggan besar makanan kepada Baginda.
Maka timbullah rasa cemburu dalam kalangan isteri-isteri Baginda yang lain.
Hadis ini sahih. Dalam sebahagian riwayat disebutkan nama-nama isteri Baginda itu. Riwayat-riwayatnya sahih; ada yang diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i dan juga oleh imam-imam yang lain.11
Dalam satu riwayat, isteri yang cemburu itu memukul tangan khadam (yang membawa makanan), sehingga pinggan besar yang berisi makanan itu jatuh ke lantai. Dalam riwayat lain disebut bahawa dia menyuruh seorang hamba perempuan mengambil pinggan besar itu dan melemparkannya ke lantai sehingga pinggan itu pecah dan makanan bertaburan di lantai.
Sementara riwayat ketiga menyebut bahawa dia datang dengan penuh kemarahan di hadapan para tetamu, kemudian mengambil pinggan itu dan melemparkannya di hadapan tetamu.
Bayangkan, apakah tindakan Nabi s.a.w.? Baginda hanya menyuruh supaya diambil makanan lain daripada isteri yang telah memecahkan pinggan dan menaburkan makanan di lantai itu. Baginda bersabda: “Makanan diganti dengan makanan dan pinggan diganti dengan pinggan.” Dan masalah pun selesai.
Baginda sekali-kali tidak berkata: “Kamu telah memalukan aku di hadapan tetamu.”
Kelapan
Wahai saudara sekalian…
Kenapa saya membawakan contoh-contoh seperti ini daripada kehidupan Rasulullah s.a.w.? Kerana jika saya membawakan contoh selain daripada Rasulullah s.a.w., mungkin ada orang yang akan mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Hal ini disebabkan besarnya keburukan dalam diri kita dan kesombongan berlebihan yang membuatkan kita menolak teladan kemuliaan selain daripada Rasulullah s.a.w. Perkara ini juga disebabkan kebiasaan kita yang suka berlaku kasar dan tidak bersikap lembut kepada wanita.
Perhatikan kisah Rasulullah s.a.w. Baginda hanya berkata pinggan diganti dengan pinggan dan makanan diganti dengan makanan. Selepas kejadian itu, Baginda tidak pernah mengungkitnya, memukul, menceraikan atau meninggalkan isteri itu. Peristiwa itu terus selesai pada saat itu juga.
Kepada anda, wahai para wanita…
Jika ada satu kata-kata yang keluar dari mulut suami, adakah anda akan memasukkannya ke dalam senarai hitam hanya kerana ucapan itu dan tidak akan melupakannya?
Kemudian… jika anda, wahai saudaraku, mempunyai pembantu, lalu dia berbuat salah atau melanggar hak anda. Bayangkan jika dia memecahkan pinggan atau piring misalnya, apakah tindakan yang akan anda lakukan terhadapnya?
Perhatikanlah Rasulullah s.a.w. dalam hadis Abdullah bin Umar r.a. Baginda didatangi seorang lelaki yang bertanya: “Wahai Rasulullah! Berapa kali kami perlu memaafkan pembantu?” Rasulullah diam tidak menjawab. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaannya dan Baginda tetap diam. Pada kali ketiga, Rasulullah s.a.w. menjawab: “Maafkanlah dia setiap hari sebanyak tujuh puluh kali.” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 5164) dengan sanad yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani.
Kesembilan
Wahai saudara sekalian…
Dalam sehari, berapa kali kita memaafkan pembantu?
Dalam setahun, berapa kali kita memaafkannya?
Berapa kali dalam setahun kita memaafkan pemandu peribadi kita?
Seandainya dia datang memberitahu bahawa kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan, dengan wajah penuh cemas dan ketakutan kerana kesalahannya itu, apakah yang akan anda lakukan terhadapnya? Pasti dia akan menjadi sasaran cemuhan, makian dan pukulan. Kemudian pemandu yang malang ini pasti akan dipotong gajinya untuk membayar kos membaiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tadi.
Kesepuluh
Wahai saudaraku…
Ada seorang ulama yang bernama Ibnu ‘Aun. Beliau mempunyai seekor unta yang bagus dan sangat disukainya. Beliau selalu menggunakannya ketika mengerjakan ibadah haji dan berperang. Suatu ketika Ibnu ‘Aun menyuruh seorang hamba pembantunya memberi minum unta tersebut. Hamba ini berwatak kasar dan tidak mempunyai belas kasihan. Dia memukul unta itu dan menampar matanya sehingga mata itu tersembul keluar ke pipi akibat tamparan yang kuat.
Ketika orang ramai melihat keadaan unta yang matanya tersembul keluar ke pipi akibat tamparan itu, mereka berkata: “Sekarang akan jelas sikap sebenar Ibnu ‘Aun. Sekarang akan kelihatan akhlak buruknya yang selama ini tersembunyi.”
Maka, ketika hamba itu datang bersama untanya menghadap Ibnu ‘Aun dan Ibnu ‘Aun melihat mata untanya tersembul keluar ke pipi, beliau terus berkata, “Subhanallah! Tiadakah tempat lain selain muka untuk dipukul? Tidak bolehkah kamu memukul selain muka binatang ini?
Semoga Allah s.w.t. memaafkanmu. Sekarang pergilah daripadaku. Wahai manusia, saksikanlah bahawa hamba ini telah merdeka.”12
Seorang wanita muslimah, jika suaminya berpoligami dan mempunyai isteri lain selain dirinya, adakah dia akan hidup dengan penuh kebencian dan iri hati? Permusuhan? Tidak dapat tidur pada waktu malam kerana memikirkan setiap kata yang diucapkan suaminya kepadanya?
Kesebelas
Wahai saudaraku!
Inilah Ummu Habibah, Ummul Mukminin. Ketika hampir wafat, beliau memanggil Aisyah r.a. dan berkata: “Mungkin telah berlaku antara kita apa yang biasa berlaku antara madu. Oleh itu, mudah-mudahan Allah mengampuni saya dan anda atas apa yang berlaku itu.” Maka Aisyah r.a. berkata: “Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampuni semua itu untuk anda dan saya halalkan anda daripada semuanya.” Ummu Habibah menjawab: “Anda telah menggembirakan saya, mudah-mudahan Allah menggembirakan anda.”
Kemudian Ummu Habibah memanggil Ummu Salamah dan mengatakan perkara yang sama kepadanya seperti yang dikatakan kepada Aisyah r.a. Ummu Salamah pun menjawab dengan jawapan yang sama.13
Setelah mendengar semua ini, wahai saudaraku…
Adakah kita sudah menghiasi diri kita dengan akhlak-akhlak mulia ini? Adakah kita sudah menghiasi diri kita dengan akhlak orang-orang besar?
Kedua belas
Wahai saudaraku…
Masalah ini bukan seperti yang dikatakan, bahawa orang yang penyantun ialah orang yang dipukul lalu dia bersabar, tetapi apabila mampu membalas, dia pun membalas dendam. Bukan begitu. Sebaliknya orang yang penyantun ialah orang yang dipukul lalu dia bersabar dan apabila dia mampu membalas, dia memaafkan.
Kalau begitu, kenapa kita tidak mengubah akhlak kita?
Kenapa kita tidak berazam mulai malam ini untuk kembali kepada keluarga kita dengan wajah baharu?
Adakah kita mendengar kenyataan ini sekadar untuk mainan dan hiburan sahaja?
Na‘uzubillah, kita berkumpul di sini bukan sekadar untuk mendengar. Bayangkan apa yang akan berlaku jika akhlak mulia ini diterapkan. Nescaya ia mendatangkan kesan-kesan positif yang sangat terpuji, seperti bersatunya kaum muslimin atas satu kalimah dan bertautnya hati-hati mereka. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali ‘Imran: 159)
Perhatikanlah!
Nabi s.a.w. adalah makhluk yang paling sempurna, namun manusia tetap akan menjauhkan diri daripada Baginda sekiranya Baginda berakhlak kasar. Maka lebih-lebih lagilah kita perlu berakhlak mulia dan menjauhi akhlak buruk. Kerana itulah Allah s.w.t. menyuruh Baginda memaafkan, memohon ampun bagi mereka dan berlemah lembut. Lebih-lebih lagi, dengan akhlak mulia, kita akan mendapat pahala yang sangat tinggi daripada Allah s.w.t.
Allah berfirman:
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah asy-Syura: 40)
Dan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran: 133)
Kemudian Allah s.w.t. menyebut sifat-sifat orang yang bertakwa itu:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka — dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah — dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.” (Surah Ali ‘Imran: 134–136)
Antara sifat-sifat mereka ialah menahan amarah dan memaafkan manusia. Dengan demikian mereka menjadi seorang muhsin dan Allah s.w.t. sangat mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.
Allah s.w.t. juga berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”14 (Surah an-Nur: 22)
Maksud orang-orang yang mempunyai kelebihan ialah orang-orang yang berkedudukan tinggi, sedangkan orang-orang yang mempunyai kelapangan ialah orang-orang kaya.
Allah s.w.t. menurunkan ayat ini kepada Abu Bakar r.a. ketika Aisyah, puterinya, difitnah telah melakukan perkara yang tidak baik. Siapakah yang dituduh? Dan siapakah yang menuduh? Yang menuduhnya ialah golongan munafik, kemudian ada sebahagian kaum muslimin yang turut terikut-ikut.
Wahai saudaraku…
Ganjaran daripada Allah s.w.t. sentiasa diberikan sesuai dengan jenis perbuatan. Telah diriwayatkan oleh asy-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) tentang seorang peniaga yang banyak memberi hutang kepada manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada seorang peniaga yang selalu memberi hutang kepada orang ramai. Setiap kali dia melihat orang yang berada dalam kesusahan, dia berkata kepada para pembantunya: ‘Maafkanlah dia, mudah-mudahan Allah memaafkan kita.’ Maka Allah pun memaafkannya.”15
Oleh itu, jika anda memaafkan manusia dan tidak mengambil kira kesalahan dan keburukan mereka, nescaya Allah s.w.t. memaafkan anda.
Ditambah lagi, dengan akhlak mulia ini kita dapat memadamkan rasa permusuhan yang bertunas dalam hati dan menutup pintu syaitan. Allah s.w.t. berfirman: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat: 34)
Abdullah bin Abbas r.a. mentafsirkan ayat ini: “Allah s.w.t. memerintahkan orang-orang beriman supaya bersabar ketika marah, berlaku santun ketika berhadapan dengan orang jahil dan memaafkan ketika disakiti. Jika mereka melakukan hal itu, nescaya Allah s.w.t. akan memelihara mereka daripada syaitan dan musuh mereka pun akan tunduk kepada mereka seolah-olah dia seorang teman yang sangat rapat.”16
Ditambah lagi, dengan akhlak mulia ini kita akan menemui kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman hati.
Ketiga belas
Wahai saudaraku…
Tentunya anda tahu apa itu dendam dan kedengkian. Dengan dendam ini, seseorang akan terseksa sebelum orang lain. Jika anda hidup dengan penuh dendam dan kemarahan, nescaya ia akan terus membebani dan menyusahkan anda. Ia juga akan membuatkan anda berhenti bekerja, berhenti taat kepada Allah dan membuatkan hati anda tidak tenang ketika beribadah dan bermunajat.
Oleh itu saya katakan seperti yang dikatakan oleh sebahagian orang: kemanisan memaafkan lebih agung daripada kepuasan membalas dendam.
Oleh itu, memaafkan adalah perkara yang sangat baik yang diajarkan oleh Islam. Pekerti itu menunjukkan betapa lapangnya dada orang yang menghiasi dirinya dengannya, betapa besar husnuzan-nya kepada manusia dan betapa jauhnya dia daripada perbuatan hina yang tidak berguna.
Saya memohon kepada Allah s.w.t. agar menjadikan kita orang-orang yang mendapat petunjuk dan menjauhkan kita daripada keburukan diri kita sendiri.
Semoga selawat dan salam dicurahkan kepada junjungan kita, Rasulullah Muhammad s.a.w.
Selesai murajaah pada hari Rabu, 15/5/2013. Akhukum: Abu Anas Madani.
Nota kaki
- Kisah Arab Badwi yang kencing di masjid diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 220 dan 6025) dan Muslim (no. 284–285). Sabda Baginda “Jangan putuskan kencingnya” (la tuzrimuhu) dalam riwayat Muslim (no. 285) daripada Anas r.a.
- Riwayat Ibn Majah (no. 529) daripada Abu Hurairah r.a.; dinilai sahih oleh al-Albani. Ucapan “Aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan sesudah Baginda yang lebih baik pengajarannya daripada Baginda; demi Allah, Baginda tidak mengherdikku, tidak memukulku dan tidak mencaciku” pula ialah kata-kata Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami dalam kisah lain (riwayat Muslim, no. 537).
- Riwayat an-Nasa’i (no. 1141) daripada Syaddad bin al-Had r.a.; dinilai sahih oleh al-Albani.
- Riwayat Ibn Majah (no. 750) daripada Wathilah bin al-Asqa‘; dinilai daif oleh al-Albani dan sanadnya sangat lemah (al-Harith bin Nabhan seorang perawi yang ditinggalkan).
- Riwayat Abu Dawud (no. 1109), at-Tirmizi (no. 3774; beliau berkata: hasan gharib), an-Nasa’i (no. 1413) dan Ahmad; dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat juga Tafsir Ibn Kathir bagi Surah at-Taghabun, ayat 15.
- Riwayat al-Bukhari (no. 516) dan Muslim (no. 543) daripada Abu Qatadah r.a.
- Tahdhib al-Kamal, al-Mizzi, 23/423 (rujukan penterjemah).
- Iaitu suami atau wali (para ulama berbeza pendapat). Kalau wali memaafkan, maka suami bebas daripada membayar separuh mahar itu. Jika suami yang memaafkan, maka dia membayar seluruh mahar.
- Diriwayatkan oleh at-Tabari dan disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsir Surah al-Baqarah: 237.
- Riwayat ini dikeluarkan oleh Abu Ya‘la dan lain-lain; sanadnya dinilai lemah oleh para ulama hadis, antaranya al-‘Iraqi, al-Haithami dan al-Albani.
- Asal kisah dalam Sahih al-Bukhari (no. 5225) daripada Anas r.a. Lafaz “Makanan dengan makanan dan bekas dengan bekas” dalam riwayat at-Tirmizi (no. 1359; hasan sahih). Riwayat yang menyebut nama-nama isteri Baginda terdapat dalam Sunan an-Nasa’i (Kitab ‘Isyrat an-Nisa’) dan kitab-kitab lain.
- Kisah ini disebut dalam biografi ‘Abdullah bin ‘Aun dalam kitab-kitab tarajum (seperti Siyar A‘lam an-Nubala’) dengan lafaz yang sedikit berbeza.
- Diriwayatkan oleh Ibn Sa‘d dalam at-Tabaqat dan disebut oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A‘lam an-Nubala’ (biografi Ummu Habibah).
- Ayat ini berkaitan dengan sumpah Abu Bakar r.a. bahawa dia tidak akan memberi apa-apa lagi kepada kerabatnya (Mistah bin Uthathah) yang terlibat menyebarkan berita bohong tentang Aisyah. Maka turunlah ayat ini yang melarangnya melaksanakan sumpah itu dan menyuruhnya memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka setelah mereka menerima hukuman atas perbuatan itu.
- Riwayat al-Bukhari (no. 2078) dan Muslim (no. 1562) daripada Abu Hurairah r.a.
- Lihat Tafsir Ibn Kathir bagi Surah Fussilat: 34 (riwayat ‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas).
Rujukan
18 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 220 dan 6025; Sahih Muslim, no. 284–285.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 529 (riwayat Abu Hurairah r.a.; sahih menurut al-Albani).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 537 (riwayat Mu'awiyah bin al-Hakam as-Sulami).
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, no. 1141 (riwayat Syaddad bin al-Had r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 750 (riwayat Wathilah bin al-Asqa'; daif menurut al-Albani).
ad-Durar as-Saniyyah -
Sunan Abi Dawud, no. 1109; Jami' at-Tirmidhi, no. 3774 (hasan gharib); Sunan an-Nasa'i, no. 1413 (riwayat Buraidah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 516; Sahih Muslim, no. 543 (riwayat Abu Qatadah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 237.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 5225 (riwayat Anas r.a.); Jami' at-Tirmidhi, no. 1359 (hasan sahih).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 5164 (riwayat Ibn Umar r.a.; sanad sahih).
ad-Durar as-Saniyyah -
Adh-Dhahabi, Siyar A'lam an-Nubala', biografi Ummu Habibah (riwayat 'Auf bin al-Harith daripada Aisyah r.a.).
Maktabah Syamilah -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 159.
Quran.com -
Al-Quran, Surah asy-Syura (42): 40.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 133–136.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 22.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 2078; Sahih Muslim, no. 1562 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Fussilat (41): 34; Tafsir Ibn Kathir (riwayat 'Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas).
Quran.com -
IslamQA no. 306257 (penilaian riwayat «Engkaukah yang mendakwa dirimu nabi Allah?»).
islamqa.info
