Pendahuluan
Ramai yang bertanya tentang imsak.

Kenapa apabila tiba bulan Ramadan akan keluarlah takwim khas yang ada waktu imsak? Semua berlumba-lumba menyebarkannya: wakil rakyat, syarikat-syarikat besar, peniaga kecil bahkan orang perseorangan. Masing-masing menggunakannya untuk iklan mereka.
Soalnya, Perlukah Imsakiah Ini?
Jawapannya, tidak perlu. Sebenarnya sudah cukup dengan takwim yang ada di rumah masing-masing itu, ada yang dibeli dan ada yang diberi percuma.
Malangnya, dengan takwim yang banyak dan waktu solat sudah tercatat, masih ramai lagi umat Islam di negara ini yang tidak sampai-sampai juga ke masjid, rumah Allah. Walaupun mereka dipanggil dengan nama Allah dan nama Nabi Muhammad SAW, mereka tetap tidak menyahutnya; tetapi apabila dibawa air rambut Nabi (kononnya), ramai yang berebut-rebut hendak membelinya.
Apakah Hukum Imsak Ini?
Jawapannya secara baik dan sederhana ialah: imsak bermakna menahan diri daripada makan dan minum. Waktu yang diambil ialah 10 minit sebelum masuk waktu Subuh dan pada waktu itu masih boleh makan. Tujuannya ialah supaya orang yang sedang makan dapat menghabiskan makanannya dengan segera atau orang yang belum makan segera berbuat demikian; yang terlewat boleh minum air.
Ibarat yang mudah: waktu imsak ialah seperti lampu kuning di lampu isyarat (traffic light): boleh jalan tetapi mesti berhati-hati dan bersedia untuk membrek apabila sudah masuk waktu Subuh.
Batas sebenar menahan diri daripada makan dan minum ialah terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh), sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar…”
Perhatian
Kepada para pencetak takwim imsak, sila letakkan penjelasan bahawa imsak itu untuk berhati-hati sahaja dan masih boleh makan sehingga masuk waktu Subuh.
Ini untuk mengelakkan timbulnya kekeliruan seperti sekarang.
Selamat berpuasa dan beribadat.
Akhukum, Abu Anas Madani, 9 Ramadan 1434H.
Bacaan berkaitan
Rujukan
1 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 187.
Quran.com
