Pendahuluan

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Menjaga puasa daripada perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya. Oleh itu perbincangan tentang perkara ini perlu untuk menjaga puasa daripada terbatal; dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diluaskan oleh Allah SWT. Ayat 185 Surah al-Baqarah ialah salah satu ayat yang menyebut tentang keringanan syariat-Nya:
[ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ]
{Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.}
Oleh kerana ramai yang bertanya tentang hukum penggunaan inhaler oleh orang yang memerlukannya dan beberapa hukum lain yang berkaitan dengan kesihatan, kami catatkan di sini beberapa isu tersebut. Semoga ia memberi manfaat untuk menyelesaikan persoalan itu.
Perbincangan isu ini kami pilih daripada sebuah buku berjudul مُفطِرات الصيام المعاصِرة Mufattirat ash-Shiyam al-Mu‘asirah (Perkara-perkara Semasa yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi [Dar Ibn al-Jauzi, Arab Saudi, cetakan pertama, 1426H/2005M; naskhah di saaid.net].

Hukum inhaler
Perbahasan tentang isu-isu baharu berkaitan perkara yang membatalkan puasa dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian. Yang pertama ialah benda-benda yang masuk ke dalam badan orang yang berpuasa dan ia melibatkan beberapa masalah.
Benda-benda yang memasuki badan melalui mulut
Perbahasan di bawah tajuk ini pula dapat dibahagikan kepada beberapa persoalan kecil.
Penggunaan inhaler mulut
Inhaler ialah alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang terdiri daripada tiga jenis bahan, iaitu ubat, air dan oksigen. Cara penggunaannya ialah dengan menyemburkannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan di dalamnya keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya kekal di dalam tekak dan kadang-kadang sedikit daripadanya sampai ke kerongkong.
Pendapat ulama
Ulama masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler kepada dua pendapat:
Pendapat pertama
Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat asy-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz, asy-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin, asy-Syeikh ‘Abdullah bin Jibrin, asy-Syeikh Dr. as-Siddiq adh-Dharir, Dr. Muhammad al-Khayyath dan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi.
Alasan hukum:
a. Bahan dalam inhaler yang masuk ke kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit. Kerana itu hukumnya tidak membatalkan puasa, dikiaskan kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti ini cukup untuk 200 kali semburan. Setiap semburan mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit, tidak sampai 1 ml, bahkan tidak sampai satu titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian: bahagian paling besar memasuki saluran pernafasan, satu bahagian memasuki kerongkong dan bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, dikiaskan kepada air yang tertinggal di tekak selepas berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang tertinggal di tekak itu lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Jika seseorang berkumur dengan air yang dicampur bahan tertentu (yang hanya dapat dikesan dengan sinar-X), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui di dalam perut tidak lama selepas itu. Ini membuktikan bahan itu sampai ke perut, tetapi kerana kuantitinya sedikit ia dimaafkan. Kuantiti sisa air berkumur dan istinsyaq itu sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasukinya.
- Masuknya semburan ke dalam perut belum pasti, bahkan masih diragui: mungkin masuk dan mungkin tidak. Berdasarkan hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih diragui.
Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (tidak berkhasiat).
Sanggahan terhadap alasan ini: Alasan ini boleh dipertikaikan kerana memang wujud kuantiti tertentu air dalam kandungan ubat inhaler, sebagaimana dijelaskan sebelum ini.
Bahan semburan keluar dalam bentuk wap dan tidak sampai ke perut, sebaliknya hanya ke dalam paru-paru.
Sanggahan terhadap alasan ini: Telah dijelaskan sebelum ini bahawa kuantiti kecil semburan inhaler juga masuk ke dalam perut.
- Pakar perubatan mengakui bahawa siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia yang dapat melindungi gigi dan gusi daripada penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak apabila seseorang bersiwak.
Diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabi‘ah, katanya: “Aku melihat Rasulullah SAW bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat aku hitung, sedangkan Baginda berpuasa.” [Disebut oleh al-Bukhari secara mu‘allaq (tanpa sanad) dalam Kitab ash-Shaum; diriwayatkan bersanad oleh Abu Daud, no. 2364 dan at-Tirmizi, no. 725 yang menilainya hasan; sanadnya dinilai dhaif oleh sebahagian ulama, antaranya al-Albani.]
Sekiranya bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan kerana kuantitinya sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan daripada inhaler yang memasuki tekak dimaafkan atas sebab yang sama.
Sanggahan terhadap alasan ini: Orang yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat memasukkannya ke dalam tekak; jika masuk pun secara tidak sengaja. Berbeza dengan inhaler yang memang disembur ke dalam tekak.
Jawapan: Semua itu kembali kepada tujuan dan niat. Orang yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut; mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan, iaitu ke paru-paru.
Pendapat kedua
Golongan ini berpendapat penggunaan inhaler membatalkan puasa dan tidak harus digunakan pada siang hari Ramadan kecuali ketika terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit. Orang yang menggunakan inhaler pada siang hari Ramadan hendaklah mengqada puasa hari itu.
Inilah pendapat Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas, asy-Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Sulami, Dr. Muhammad al-Alfi, asy-Syeikh Muhammad Taqi al-‘Uthmani dan Prof. Dr. Wahbah Mustafa az-Zuhaili.
Alasan hukum: Bahan-bahan dalam inhaler sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ia dianggap membatalkan puasa.
Sanggahan terhadap alasan ini: Alasan ini boleh dijawab dengan alasan pertama golongan pertama di atas.
Pendapat terpilih
Pendapat yang jelas dalam kes ini dan Allah Yang Maha Mengetahui hakikat sebenarnya, ialah penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa.
Pandangan golongan pertama yang menyatakan penggunaannya tidak membatalkan puasa adalah sesuai dan logik dan kias mereka kepada berkumur, istinsyaq dan siwak adalah kias yang betul. Wallahu a‘lam.
Hukum inhaler serbuk
Adapun inhaler yang menggunakan serbuk, perselisihan ulama semasa tentangnya lebih kuat berbanding inhaler cecair, memandangkan serbuk tersebut mungkin melekat di halkum atau kerongkong.
Menurut kajian Dr. Khalid bin ‘Abdullah al-Muslih: Semua jenis inhaler, termasuk yang menggunakan serbuk yang disedut melalui mulut atau hidung, tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajih (kuat hujahnya).
Alasan hukum:
- Sedutan itu pergi ke saluran pernafasan, bukan ke saluran makanan dan minuman.
- Kalaupun ada yang masuk ke saluran makanan, ia terlalu sedikit, tidak lebih daripada debu-debu yang biasa masuk melalui pernafasan. (Fiqh Syafie menyebut: “Sekiranya lalat, nyamuk atau debu jalan masuk ke dalam al-jauf, puasa TIDAK batal kerana sangat sukar (masyaqqah) untuk mengelaknya. Begitu juga menelan air liur.”)
- Serbuk ubat itu tidak dikira sejenis makanan atau minuman atau sesuatu yang bermakna makanan.
- Berpegang dengan hukum asal, bahawa puasa seseorang tidak batal sehingga ada dalil yang menentukannya batal. Wallahu a‘lam.
Lihat: fatwa di islamway.net; perbincangan dan hujah di Majlis al-Alukah (بخاخ الربو للصائم).
Hukum accuhaler
Adapun accuhaler, ia biasanya untuk rawatan jangka panjang, iaitu pesakit perlu mengambilnya setiap hari walaupun tiada serangan lelah, contohnya sekali atau dua kali sehari. Maka dinasihatkan supaya dia mengambilnya ketika sahur atau selepas berbuka. Wallahu a‘lam.
Hukum-hukum semasa berkaitan puasa: kesimpulan Dr. Ahmad al-Khalil
Di bawah ini dinukilkan ringkasan kesimpulan hukum yang dipilih oleh Dr. Ahmad al-Khalil:
- Pendapat yang dipilih: al-jauf, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila dimasuki makanan, ialah al-ma‘idah (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain pada badan manusia.
- Ulama semasa berbeza pendapat tentang bakhkhakh ar-rabw (inhaler/penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir kepada kebenaran (pada pandangan penulis) ialah tidak batal.
- Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang diserap terus dan tidak masuk ke dalam rongga, tidak membatalkan puasa.
- Alat (teropong) yang dimasukkan ke dalam al-ma‘idah (perut) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa, kecuali jika diletakkan ubat atau minyak pada alat tersebut; maka ia boleh membatalkan puasa.
- Ulama semasa berbeza pendapat tentang ubat titis hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir kepada kebenaran (pada pandangan penulis) ialah tidak batal.
- Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah udara yang tiada anasir lain di dalamnya.
- Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
- Bius setempat tidak membatalkan puasa. Bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa, tetapi jika pesakit tersedar ketika masih berbaki waktu puasa hari tersebut, puasanya tidak batal.
- Ubat titis telinga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan al-jauf.
- Ubat titis mata, menurut majoriti ulama semasa, tidak membatalkan puasa.
- Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot, menurut majoriti ulama semasa, tidak membatalkan puasa.
- Memasukkan air dan bahan yang mengenyangkan seperti glukosa ke dalam urat, menurut majoriti ulama semasa, membatalkan puasa.
- Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit tidak membatalkan puasa.
- Memasukkan alat seperti kamera ke dalam urat atau saluran jantung untuk mengesan penyakit tidak membatalkan puasa.
- Begitu juga memasukkan alat ke dalam rongga abdomen (perut) untuk mengesan penyakit tidak membatalkan puasa; tetapi jika alat itu sampai ke al-ma‘idah (perut besar), ia boleh membatalkan puasa.
- Dialisis (cuci darah) yang menggunakan ubat-ubatan yang mengenyangkan atau memberi tenaga boleh membatalkan puasa; sebaliknya jika sekadar membersihkan darah tanpa ubat-ubatan, tidak membatalkan.
- Menggunakan cecair atau sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
- Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit buasir atau menurunkan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai ke al-ma‘idah.
- Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
- Menderma (mengambil) darah: terdapat khilaf yang besar dalam kalangan ulama, tetapi pendapat yang lebih kuat ialah tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
- Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.
Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau. Para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas menilai pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta‘lil yang dikemukakan. Wallahu a‘lam.
Keputusan Seminar Fiqh Perubatan ke-9
Keputusan Seminar Fiqh Perubatan ke-9 (Pertubuhan Islam bagi Sains Perubatan, IOMS) yang diadakan di Casablanca, Maghribi, 8–11 Safar 1418H bersamaan 14–17 Jun 1997.
Bahan-bahan yang membatalkan puasa: Menurut al-Quran dan hadis yang sahih daripada Nabi Muhammad SAW, tiga perbuatan membatalkan puasa: makan, minum dan bersetubuh. Oleh itu, apa-apa bahan yang melalui rongga (ke perut), sama ada pepejal atau cecair, dalam apa jumlah sekalipun, boleh membatalkan puasa.
Peserta seminar sepakat bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
- Ubat titis mata, titis telinga dan basuhan telinga.
- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit angina (jantung).
- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina.
- Memasukkan teropong ke saluran kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan X-ray.
- Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan berus gigi, dengan syarat TIADA bahan yang memasuki perut daripada prosedur tersebut.
- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukosa yang mengenyangkan).
- Penderma atau penerima pemindahan darah.
- Oksigen dan gas bius.
- Semua jenis bahan yang diserap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jeli atau plaster berubat.
- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
- Kateter dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan X-ray khas jantung) atau organ lain.
- Teropong dalam rongga perut (laparoskopi) untuk mencari punca penyakit.
- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan yang masuk ke dalam perut.
- Teropong ke dalam rahim atau memasukkan alat ke dalamnya (contohnya IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).
- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.
Majoriti peserta menambah bahawa perkara-perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
- Ubat titis hidung, semburan hidung dan ubat sedut (inhaler).
- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan jari ke dalam dubur.
- Pembedahan yang melibatkan bius penuh jika pesakit telah berniat puasa pada malamnya.
- Dialisis buah pinggang melalui perut (peritoneal).
- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak dimasukkan apa-apa cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut.
Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan kaum Muslimin dan Muslimat. Selamat menjalani ibadat puasa; semoga Allah menerima semua amalan baik kita serta memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.
Akhukum, Abu Anas Madani, PSD. 5 Ramadan 1434H – 14 Julai 2013.
Bacaan berkaitan
Rujukan
5 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.
Quran.com -
Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, Mufattirat ash-Shiyam al-Mu'asirah, Dar Ibn al-Jauzi, 1426H.
saaid.net -
Sahih al-Bukhari, Kitab ash-Shaum, Bab siwak ar-rathb wa al-yabis li ash-sha'im (mu'allaq); Sunan Abu Daud no. 2364; Sunan at-Tirmizi no. 725.
Sunnah.com -
Fatwa Dr. Khalid al-Muslih tentang inhaler bagi orang berpuasa (islamway.net).
ar.islamway.net -
Keputusan Seminar Fiqh Perubatan ke-9, Pertubuhan Islam bagi Sains Perubatan (IOMS), Casablanca, 14–17 Jun 1997.
