Lembaga Tabung Haji telah menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25 bagi Musim Haji 1430 Hijrah.
- Tarikh: 3–5 April 2009
- Tempat: Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru
- Lima buah kertas kerja telah dibentangkan.
Resolusi Muzakarah
Kertas Kerja Pertama: Rahsia Kerohanian di Sebalik Ibadat Haji
Resolusi:
- Kandungan kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian daripada modul kursus haji.
Kertas Kerja Kedua: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Berhubung Hukum-Hakam Ibadat
Resolusi:
- Hukum solat jamak kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.
- Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi pada setiap kali berwuduk atau menunaikan solat. (Begitu juga hukumnya dalam permasalahan tawaf.)
- Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti sakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadat haji. Pesakit kronik wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan dari sudut kewangan; dan sekiranya dia telah sembuh daripada sakit kronik itu, dia wajib menunaikan ibadat haji jika berkemampuan.
Kertas Kerja Ketiga: Pembesaran al-Mas'a dan Hukumnya
Resolusi:
- Sah mengerjakan saie di mas'a yang telah diperlebarkan.
Kertas Kerja Keempat: Soal Jawab Kemusykilan Ibadat Haji Musim Haji 1429H
Sebanyak 28 masalah serta jawapannya telah dibentangkan.
Resolusi:
- Persoalan yang terdapat dalam kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian daripada buku Soal Jawab Haji dan Umrah.
- Perlu diberi penjelasan kepada jemaah yang ingin membawa anaknya yang belum berkhitan untuk menunaikan ibadat haji atau umrah supaya anak itu dikhitankan.
- Jemaah haji yang telah berwuduk dan solat secara duduk atau berdiri dalam pesawat tanpa menghadap kiblat atau menghadap kiblat tetapi tidak tetap kerana pergerakan pesawat, diwajibkan mengulangi solat jika masih ada waktu atau mengqadanya jika waktu telah luput semasa tiba di destinasi. Ini kerana jemaah tersebut melakukan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat secara tetap. Hukum ini hanya bagi solat fardu sahaja.
Kertas Kerja Kelima: Pelaksanaan Haji dan Umrah Tanpa Mahram serta Hukumnya
Resolusi: Harus bagi wanita menunaikan haji atau umrah sunat tanpa kehadiran suami atau mahram dengan syarat:
- Jika bersuami, hendaklah mendapat izin suami; dan bagi yang tiada suami, hendaklah dengan izin walinya;
- Perjalanan dan tempat yang hendak dituju aman dan tidak menimbulkan fitnah;
- Ada rakan wanita yang thiqah dan solehah, sekurang-kurangnya seorang teman yang dipercayai; dan
- Hendaklah dengan tujuan semata-mata kerana ibadat kepada Allah SWT.
Lampiran: Keputusan Muzakarah yang Lepas
1. Solat di Arafah, Mina dan Muzdalifah
Dibolehkan solat jamak di Arafah, Mina dan Muzdalifah secara tamam (sempurna, tanpa qasar) kerana keperluan disebabkan masyaqqah yang dihadapi oleh jemaah haji. Pendapat ini berdasarkan pendapat Ibn Sirin, al-Qaffal al-Kabir asy-Syasyi dan Abu Ishaq al-Marwazi yang menyatakan harus jamak solat semasa bermukim (tidak bermusafir) kerana keperluan (al-hajah).
(Lihat Abu Zakariya Yahya bin Syaraf an-Nawawi, Raudhah ath-Thalibin, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, j. 1, hlm. 503. Lihat juga an-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, Dar Ihya' at-Turath, j. 4, hlm. 264.)
2. Solat Menghormati Waktu
Bagi seseorang yang tidak mampu berwuduk dan bertayamum kerana tidak boleh menggunakan air dan debu, menurut qaul yang sahih dalam mazhab Syafie, dia wajib solat dalam keadaan tidak berwuduk dan wajib mengulangi solatnya. Melaksanakan solat fardu dalam keadaan tersebut adalah darurat untuk menjaga kehormatan waktu solat (an-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, Dar Ihya' at-Turath, j. 2, hlm. 322–323).
Sekian.
Ulasan Abu Anas Madani
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد
- Muzakarah ini adalah kali kedua ana menyertainya. Sebagai seorang petugas (pembimbing) jemaah haji, kehadiran ke muzakarah ini adalah wajib atau sunat muakkad. Muzakarah kali ke-24 diadakan di Hotel De Palma, Kuala Lumpur.
- Dalam pengamatan ana, muzakarah ini sebenarnya lebih kepada menyampaikan keputusan muzakarah atau perbincangan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji–JAKIM yang dipengerusikan oleh S.S. Dato' Hj. Hassan Ahmad (Mufti Pulau Pinang) hafizahullah.
- Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji sangat terikat dengan mazhab Syafie; setiap hukum sebolehnya tidak keluar daripada daerah mazhab, walaupun dengan pendapat yang marjuh atau lemah, asalkan ada qaul daripada ulama Syafi'iyyah dalam sesuatu hukum.
- Kitab Bahr al-Wafi wa an-Nahr ash-Shafi (kitab Jawi) karangan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani (Khazanah Fathaniyyah, Kuala Lumpur, 2005) nampaknya menjadi rujukan utama dalam hukum di samping kitab-kitab yang lain.
- Ada beberapa perkara dalam resolusi di atas yang perlu diperbincangkan lagi secara terperinci, khususnya dalam kertas kerja keempat dan dalam lampiran. Demikian juga dengan hukum tawaf wadak bagi sesiapa yang ingin ke Jeddah (Masjid Biru) dan haji ekspres (dari Arafah terus ke Makkah selepas tengah malam untuk melakukan tawaf dan saie serta bergunting atau bercukur, kemudian kembali semula ke Muzdalifah).
- Yang Berbahagia Dato' Kamal Mohammad (mantan Konsul Haji di Jeddah) telah melontarkan pandangan berhubung dengan melontar pada waktu pagi pada hari-hari tasyrik. Sewaktu keputusan muzakarah yang mengharuskannya dibuat dahulu, tempat melontar sempit dan banyak berlaku tragedi yang tidak diingini. Apakah dengan pembesaran jamrah (tempat melontar) sekarang (lima tingkat) kita masih lagi berpegang dengan keputusan lama? Suatu perkara yang perlu difikirkan.
- Dakwah dan syiar kita: Khudzu 'anni manasikakum («خذوا عني مناسككم», "Ambillah daripadaku cara manasik haji kamu").
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 8 April 2009 / 12 Rabiulakhir 1430H.
Siri ini: Siri 1: Resolusi Ke-25 (2009) · Siri 2: Resolusi Ke-26 (2010)
Seterusnya: Muzakarah Haji Kebangsaan (Siri 2): Resolusi Ke-26 dan Ulasan
Bacaan berkaitan
Rujukan
3 sumber-
Sahih Muslim, no. 1297.
Sunnah.com -
An-Nawawi, Raudhah ath-Thalibin, j. 1, hlm. 503 (Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah) dan al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, j. 4, hlm. 264 (Dar Ihya' at-Turath).
-
An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, j. 2, hlm. 322–323 (Dar Ihya' at-Turath).
