Pendahuluan
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-26 telah berlangsung di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre), Kota Bharu, Kelantan pada 4–7 Mac 2010M bersamaan 18–21 Rabiulawal 1431H. Pesertanya terdiri daripada guru-guru pembimbing jemaah haji di Malaysia dan di Tanah Suci nanti, insya-Allah, yang datang dari seluruh Malaysia.
Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji–JAKIM, diikuti oleh pembentangan daripada wakil negara Singapura, Brunei dan Thailand. Ia juga diisi dengan ceramah motivasi tentang pengajaran daripada haji Nabi SAW.
Berikut adalah resolusi muzakarah, diikuti dengan sedikit ulasan daripada Abu Anas.
Resolusi Muzakarah
Kertas Kerja Pertama: Pemerkasaan Hidup Kerohanian Dalam Masa Melaksanakan Ibadat Haji
- Menjadikan kertas kerja ini sebagai bahan bacaan tambahan dalam membincangkan falsafah haji. Dicadangkan supaya ia ditambah sebagai satu tajuk khas dalam kursus haji.
- Pembimbing ibadat haji hendaklah membimbing jemaah haji dengan menggunakan bahasa yang jelas dan terang supaya mudah difahami.
- Pembimbing ibadat haji hendaklah menunaikan amanah ini dengan ikhlas dan selaras dengan keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
- Pembimbing ibadat haji hendaklah menyedari dirinya sebagai muallim yang menyampaikan ilmu yang betul, muaddib yang mendidik adab dengan halus dan murabbi yang meningkatkan peribadi anak didiknya.
Kertas Kerja Kedua: Wakalah Haji dan Umrah, Korban serta Permasalahannya
- Perkara yang boleh diwakilkan dalam kerja haji dan umrah ialah melontar jamrah dan pelaksanaan dam. Perkara lain tidak boleh diwakilkan, antaranya niat ihram, tawaf, saie, wukuf dan mabit.
- Wakalah korban hanya boleh dilakukan bagi orang yang masih hidup dengan izinnya. Walau bagaimanapun, bapa dan datuk sebelah bapa boleh melakukan korban untuk anak atau cucu yang belum baligh yang masih hidup di bawah perwaliannya.
- Korban untuk si mati hanya boleh dilakukan apabila diwasiatkan. Manakala korban untuk si mati tanpa wasiat boleh dilakukan dengan niat berkongsi pahala dengannya.
- Perbelanjaan badal haji wajib tidak terbatas kepada satu pertiga harta peninggalan si mati.
Kertas Kerja Ketiga: Baik Buruk Petugas Haji yang Tidak Melaksanakan Haji Semasa Bertugas di Tanah Suci
Petugas haji yang bertugas di Tanah Suci hendaklah digalakkan supaya menunaikan ibadat haji.
Kertas Kerja Keempat: Larangan Ihram – Kefahaman Maksud Pemakaian Selipar (Kasut) yang Menampakkan Semua Jari Kaki atau Tidak
Selipar yang mesti dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluarkan dan menzahirkan semua hujung jari kakinya dan kedua-dua tumit.
Kertas Kerja Kelima: Permasalahan Pilihan Musim Haji 1430H
- Umrah sunat yang fasad wajib diqada. Manakala umrah sunat yang tidak dapat disempurnakan kerana ihsar tidak wajib diqada.
- Tiga keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:
Yang dibolehkan:
2.1 Dalam keadaan tidak berhaid, dia berniat ihram dengan menyertakan syarat: "Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang, maka jadi halallah aku."
2.2 Dalam keadaan berhaid, dia berniat ihram dengan menyertakan syarat: "Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang, maka jadi halallah aku."
Yang tidak dibolehkan:
2.3 Dalam keadaan tidak berhaid, dia berniat ihram, kemudian ketika didatangi haid dia berkata: "Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang, maka jadi halallah aku."
- Ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.
- Jemaah yang pergi menziarahi tempat yang jaraknya dua marhalah (lebih kurang 91 km) ke atas hendaklah melakukan tawaf wadak.
- Jemaah yang memakai beg kolostomi dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardu sehingga wuduk tersebut terbatal. Walau bagaimanapun, semasa di Tanah Suci dia dinasihatkan agar mengosongkan beg tersebut apabila hendak menunaikan solat di masjid atau tawaf, kerana dibimbangi jika terlalu banyak takungan ia menjadi berat dan berkemungkinan pecah atau tiris dalam masjid semasa tawaf atau solat.
Kertas Kerja Keenam: Haid dan Permasalahan Jemaah Haji Wanita dari Perspektif Perubatan
- Adalah lebih baik bagi jemaah wanita yang tidak menghadapi sebarang masalah haid menghindari pengambilan pil menahan haid.
- Jika terdapat permasalahan haid, hendaklah dirujuk kepada pakar sakit puan, sebaik-baiknya tiga bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Sekian. Resolusi ini telah dibentangkan oleh Sahibus Samahah Datuk Haji Hassan Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji merangkap Mufti Pulau Pinang.
Ulasan al-Faqir Ilallah Abu Anas Madani
Pertamanya, terima kasih, jazakumullahu khairan, kepada Tabung Haji kerana telah memilih negeri saya sebagai tempat bermuzakarah bagi tahun ini. Alhamdulillah, muzakarah telah berjalan dengan lancar dan teratur. Para peserta pula lebih banyak mendengar dan berdiam daripada bertanya atau mengemukakan hujah-hujah tambahan.
1. Kertas Kerja Pertama
Kertas kerja pertama yang membincangkan perkara-perkara kerohanian atau hikmah di sebalik pensyariatan haji telah menyebut satu perkara: "Demi menjayakan pemerkasaan hidup rohaniah semasa menjalankan ibadat haji… antaranya amalan-amalan wirid, zikir dan doa yang perlu dilakukan secara istiqamah. Antara wirid-wirid itu ada dinyatakan dalam Ihya' jilid 1, khusus berkenaan doa-doa dan wirid. Di dunia Melayu antaranya terkenal Awrad al-Qasyasyiyyah…"
Ulasan: Ini adalah satu perkara yang menyedihkan. Kenapa penulis tidak terus memperkenalkan kepada para jemaah haji zikir dan doa yang ma'thur daripada Nabi SAW? Yang termasyhur seperti al-Ma'thurat; ia lebih mudah dan senang didapati!
2. Kertas Kerja Kedua: Wakalah Haji dan Umrah, Korban serta Permasalahannya
Ulasan: Tentang badal haji, ramai peserta meragui iklan pungutan badal haji yang banyak diletakkan di tepi masjid dan jalan raya, "Upah Haji RM1500" atau ada yang lebih murah lagi. Ejen-ejen tersebut memberi kepada siapa di Makkah untuk melakukannya? Ana sendiri pernah menelefon ejen bertanyakan hal ini; nampaknya jawapannya tidak begitu jelas kepada siapa diagihkan. Kalau kepada pelajar, berapa orang bilangan pelajar kita di sana?
Satu lagi isu yang patut dibahaskan ialah tentang "wakalah" atau "amanah" para ustaz yang membawa badal haji. Ana dengar ada yang membuat potongan pengurusan (dakwa mereka) sampai 30%. Waris memberi RM3000, ustaz memberi kepada orang Makkah RM2000; ada yang lebih rendah daripada itu atau mengambil lebih banyak daripada itu. Atas dasar apakah duit itu diambil? Sedangkan kita membawa amanah, bukannya atas dasar perniagaan. Bagi penerima badal haji itu pula, takkan sama pelaksanaan mereka yang menerima upah yang lebih murah dengan mereka yang menerima upah yang lebih mahal. Waris-waris si mati pula, jika tahu hanya sedikit yang diberikan, tentulah lebih baik mereka sendiri mencari penerima upah yang murah! Jumlah badal haji yang dibayar adalah upah untuk pembuat haji, bukannya untuk disedekahkan kepada ustaz atau ejen yang menjadi orang tengah. Jika mereka memang berniat mahu bersedekah kepada ustaz, sudah pasti ia akan diberikan secara jelas dan berasingan atau diberitahu secara langsung. Jangan cuba menghalalkan pengambilan amanah itu dengan pelbagai alasan yang diada-adakan sendiri!
Tetapi jika mengambilnya sekadar RM/SR50 atau 100 sebagai perbelanjaan untuk membeli sedikit cenderamata atau sijil, ia adalah logik dan berpatutan, dengan syarat dimaklumkan kepada penerima upah dan dipersetujuinya.
Isu dam. Dam yang diambil sepatutnya disembelih terus pada hari-hari haji tahun itu, iaitu pada Hari Raya dan hari-hari tasyrik, sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Bank Pembangunan Islam (IDB). Tetapi apa yang berlaku, ejen atau mereka yang mengambil dam ini menyimpan amanah ini dan menyembelihnya di luar musim haji, bahkan ada yang berkata "boleh dibuat makan sepanjang tahun". Mungkin mereka mengambilnya dengan harga yang jauh lebih murah daripada IDB, tetapi wajarkah dam itu tergantung, sedangkan ia adalah salah satu perkara yang wajib dilakukan (contohnya bagi yang mengerjakan haji tamattuk)? Menangguhkannya semata-mata untuk mencari haiwan yang murah atau membuat bekalan adalah satu perlakuan yang tidak sepatutnya. Jika para jemaah haji yang mampu mengetahui perkara ini, sudah pasti mereka akan memilih yang lebih mahal sedikit tetapi sempurna dan mengikut hukum, daripada memberinya kepada ejen yang menawarkan harga murah tetapi tidak segera pelaksanaannya. Ada juga yang terus menjualnya kepada ejen lain yang akan melakukan penyembelihan, tanpa terlibat sedikit pun dengan proses tersebut. Apa yang perlu para ustaz dan ejen dam bincangkan ialah status wakalah yang diterima daripada para jemaah: adakah ia bertepatan dengan syariat atau tidak? Amanah adalah suatu yang besar tanggungjawabnya di sisi Allah!
3. Kertas Kerja Keempat
Resolusi telah memutuskan bahawa syarat selipar yang dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluarkan dan menzahirkan semua hujung jari kakinya dan kedua-dua tumit.
Ulasan: Pandangan ini perlu diperkemaskan lagi dengan hujah-hujah yang lebih jelas. Maknanya, jika tertutup salah satu jari kakinya sahaja, maka selipar itu sudah dikira tidak boleh dipakai! Pada hari tersebut telah ditayangkan gambar-gambar selipar yang tidak boleh dipakai dengan membilang jari-jari satu per satu; tidak ada satu pun yang harus terlindung.
4. Kertas Kerja Kelima: Masalah Niat Bersyarat
Dalam masalah ini resolusi memutuskan bahawa niat bersyarat seperti ini dibolehkan:
"Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang, maka jadi halallah aku."
Atau: "Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang, maka jadi halallah aku."
Ulasan: Implikasi lafaz ini sesuatu yang besar. Jika tersalah lafaznya, amat berat akibatnya. Hendaklah berhati-hati memilih niat bersyarat; nanti apabila datang sahaja haid, terbatal hajinya. Hendaklah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru agama. Demikian juga bagi mereka yang berpenyakit kronik yang dibimbangi tidak dapat menyelesaikan haji. Para wanita juga harus berjaga-jaga; jangan hanya kerana kedatangan haid terus mengambil keputusan untuk keluar daripada ihram dengan senangnya, sedangkan masa masih ada untuk mereka menunggu dalam ihram dan menyelesaikannya! Hanya apabila sudah hendak meninggalkan Tanah Suci, barulah boleh keluar daripada ihram.
Asas kepada masalah ini ialah nasihat Rasulullah SAW kepada seorang sahabat wanita, Dhuba'ah binti az-Zubair bin Abdul Muttalib r.a., yang ingin menunaikan haji tetapi dalam keadaan sakit dan dibimbangi tidak dapat menyelesaikan hajinya. Rasulullah SAW lalu mengajar beliau niat bersyarat itu: ("Tunaikanlah haji dan letakkanlah syarat dan katakanlah: Ya Allah, tempat tahallulku ialah di mana Engkau menahanku"). [HR al-Bukhari dan Muslim]
Niat ini hanya untuk mereka yang betul-betul memerlukannya.
5. Kertas Kerja Keenam
Dr. Faiz Mohd Ramli, pakar sakit puan (ginekologi), telah membentangkan tentang masalah perjalanan haid wanita.
Memang masalah ini paling banyak timbul di kalangan jemaah haji wanita. Menurut doktor, masalah haid yang tidak teratur ini berpunca daripada ubat penghalang haid yang diambil oleh mereka kerana terlalu ghairah untuk beribadat di Tanah Suci. Berhati-hatilah, kerana ini boleh membawa gangguan kepada kesihatan anda. Terimalah ketentuan qada dan qadar Ilahi ke atas anak Hawa. Jika anda tidak mengalami apa-apa masalah haid sebelum ini, biarlah ia berjalan secara tabii dan normal. Ambillah cuti beberapa hari yang diberikan Allah itu dengan melakukan ibadat-ibadat lain yang dibenarkan. Niat baik anda itu, insya-Allah, akan diberikan pahala oleh Allah SWT Yang Maha Mengetahui.
Dalam kesempatan majlis tersebut ana telah mengemukakan soalan: Perempuan hamil, adakah mungkin didatangi haid? Doktor menegaskan bahawa menurut ilmu perubatan, wanita hamil tidak akan didatangi haid sepanjang tempoh kehamilannya. Maka jika terdapat darah yang keluar dari rahimnya, itu merupakan ancaman terhadap kandungannya yang menandakan terdapat masalah yang mungkin boleh membawa keguguran janin atau masalah rahim yang lain. Ini sekali gus mentarjihkan pandangan para fuqaha yang berpendapat sedemikian.
Nota khilaf: Pendapat bahawa wanita hamil tidak berhaid ialah pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali. Dalam mazhab Syafie (qaul jadid) dan Maliki, darah yang keluar ketika hamil dengan sifat-sifat haid dihukumkan sebagai haid (lihat an-Nawawi, al-Majmu', Kitab al-Haidh; Ibn Qudamah, al-Mughni, Kitab al-Haidh).
Sekian, wallahu a'lam.
Akhukum, Abu Anas Madani. Malam Isnin, 12.50 pagi, 8 Mac 2010M / 22 Rabiulawal 1431H.
Siri ini: Siri 1: Resolusi Ke-25 (2009) · Siri 2: Resolusi Ke-26 (2010)
Sebelum: Muzakarah Haji Kebangsaan (Siri 1): Resolusi Ke-25 dan Ulasan
Bacaan berkaitan
Rujukan
4 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 5089.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 1207.
Sunnah.com -
Ibn Qudamah, al-Mughni, Kitab al-Haidh (masalah darah wanita hamil).
-
An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, Kitab al-Haidh.
