Hukum Solat Jamak Kerana Sakit

Persoalan

“Ustaz, saya sedang sakit dan sukar nak solat setiap waktu tepat pada masanya. Boleh ke saya gabungkan solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak di rumah walaupun saya bukan musafir? Adakah dibenarkan dalam Islam?”

Pertanyaan seperti ini sangat biasa ditanya, terutama oleh pesakit kronik, warga emas atau mereka yang berada di hospital tanpa bantuan. Keperluan untuk memahami hukum jamak dalam keadaan uzur seperti sakit adalah penting agar ibadah tetap dapat diteruskan tanpa beban yang tidak mampu ditanggung.

Jawapan Ringkas

Ya, dibolehkan solat jamak kerana sakit menurut pandangan sebahagian besar ulama tetapi tidak boleh qasar.

Dalil dan Pandangan Ulama

Imam al-Nawawi rahimahullah menyatakan bahawa sebahagian ulama membolehkan solat jamak kerana sakit. Hal ini disandarkan kepada hadis-hadis seperti riwayat Ibn Abbas dan juga kesepakatan sebahagian sahabat seperti Abu Hurairah. Antara ulama yang berpandangan sedemikian:

  • Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hanbali).
  • Qadi Husain, Al-Khattabi, Al-Mutawalli dan Al-Ru’yani daripada mazhab Syafi’i.
  • Abi Ishaq Al-Marwazi dan sebahagian ulama hadith.

Mereka mentakwilkan (mentafsirkan) hadis-hadis secara zahir bahawa uzur sakit boleh disamakan dengan kesukaran hujan, malah masyaqqah (kesulitan) akibat sakit adalah lebih berat berbanding hujan.

Beza Jamak dan Qasar

Jamak – menggabungkan dua solat fardhu dalam satu waktu (Zohor & Asar, Maghrib & Isyak).

Qasar – memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat (hanya sah bagi musafir).

Maka, orang sakit hanya dibenarkan untuk solat secara jamak tetapi bukan qasar.

Contoh Situasi Yang Dibenarkan

Pertama, pesakit hospital yang tiada bantuan.

  • Tidak mampu ambil wudu sendiri
  • Pakaian kotor
  • Tiada penjaga sehingga petang

Boleh jamak Zohor dan Asar (jamak ta’khir), kemudian Maghrib dan Isyak (jamak ta’khir)

Kedua, menjalani pembedahan.

  • Masuk dewan bedah pukul 2 petang, keluar jam 7 malam

Boleh jamak Zohor dan Asar (jamak taqdim).

Ketiga, prosedur rawatan yang mengambil masa lama.

  • Rawatan bermula waktu Asar dan selesai lewat malam

Boleh jamak Maghrib dan Isyak (jamak ta’khir).

Keempat, petugas kesihatan (doktor, jururawat) yang tidak sempat solat tepat pada waktunya kerana menjaga pesakit kritikal

Diharuskan jamak, tetapi tidak qasar.

Peringatan Penting

  • Jamak kerana sakit tidak boleh dijadikan adat atau rutin.
    • Contoh: Solat 3 waktu setiap hari seperti amalan Syiah, ini dilarang dan bercanggah dengan syariat.
  • Jamak ini hanya dibenarkan kerana keperluan dan kesulitan sebenar (masyaqqah) yang diiktiraf syarak.

Kesimpulan

Pendapat yang mengharuskan solat jamak bagi orang sakit adalah pandangan yang kuat dan disokong oleh ramai ulama muktabar dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah. Ia adalah kemudahan syariat bagi mereka yang benar-benar dalam kesulitan menunaikan solat pada waktunya.

“Masyaqqah (kesusahan) membuka pintu rukhsah (kelonggaran) dalam ibadah.”

Namun, ia tetap perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, tanpa mengambil mudah dan menjadikannya kebiasaan.

Leave a Reply

Scroll to Top