Kemudaratan Rokok Yang Terselindung, Ulama Dalam Dilema
REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Girbal dalam “al-Mausu’ah al-‘Arabiyyah al-Maisarah” menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada lewat tahun 1000 Hijrah itu pelopori oleh orang-orang Kristian.
Manakala catatan “al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah” menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengetahui tembakau apalagi rokok. Beliau melukiskan gerakan yang awal membawa tembakau ke negara Turki Uthmaniah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghrib ialah Yahudi, kemudian dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.
Al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq melaporkan rokok mula merebak di negara Arab khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tanpa menafikan juga pada waktu itu bermulanya juga menjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.
Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak mempengaruhi umat Islam. Pertama kerana kejayaan barat pada kurun ke 17 menerobos pemodenan hidup yang luarbiasa. Kemodenan itu memberikan stail hidup baru kepada dunia sehingga kiblat kepada sistem nilai hidup telah berpusing ke arah barat. Dalam pada itu, umat Islam telah mundur dan hilang kepimpinan dunia dari tangannya. Kemajuan diukur terhadap apa yang dicapai oleh barat. Seseorang dianggap maju seperti menyertai parti, makan dengan garpu, pakai kot, main tenis, hisap cerut dan pakai seluar pendek.
Kedua gelombang imperialisme barat khususnya ke atas bumi umat Islam ialah demi menjayakan cita-cita kapitalis dan projek melonggarkan penghayatan agama Islam. Maka golongan yang menaja dan mendokong penjajahan global ini ialah golongan elit yang memperkudakan kuasa politik. Golongan ini sangat pengaruh, berkuasa dan berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’. Mereka mencurahkan modal yang banyak dalam pelaburan perindustrian tembakau.
Walaupun saya tidak mempunyai fakta sejarah untuk memperkukuhkan keterangan itu, namun kenyataan Mike Muller menerusi “Tabacco And The Third World” yang dipindahkan oleh Muhamad Abu Farooq al-Athari boleh dijadikan penunjuk. Mike Muller menyebut “Kesihatan rakyat di negara-negra miskin terpaksa dikorbankan demi untuk menambah kekayaan syarikat-syarikat tembakau. Orang-orang miskin menjadi “Quinea Pigs” kepada tujuh buah syarikat tembakau yang menguasai perniagaan tembakau dunia”.
Kita dapat melihat bagaimana pada peringkat awal rokok diperkenalkan hanya mengaitkan hal-hal kebaikan dan manfaat serta gaya santai orang-orang bangsawan. Kalau terdapat kelemahan dari rokok hanyalah baunya yang kurang segar. Dunia tidak dapat mengesan apa-apa keburukan rokok kurang dari 50 tahun selepasnya.
Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menyatakan dalam bahasa Inggeris tembakau pada awalnya dikenali sebagai “tobacco”. Manakala dalam bahasa Latinnya dipanggil “Nicotania tabacum”. Kemudian, pada selepas tahun 1630an namanya menjadi “nocotiana” kerana mengambil sempena nama Jean Nicot yang menjadi duta Francis ke Portugal yang meminta supaya Permaisuri Francis mengambil berat tentangnya kerana dikatakan mempunyai khasiat sebagai ubat.
Di samping itu pengusaha rokok melancarkan promosi hebat yang disokong oleh kajian-kajian sains yang menyokong keistimewaan rokok. Mereka hanya menonjolkan kebaikannya dengan menyembunyikan kemudaratan yang besar. Contohnya mereka memanipulasikan nikotin yang digemburkan sebagai bahan organik semulajadi di dalam batang dan daun tembakau yang sangat bermanfaat untuk kesihatan manusia. Nikotin ini boleh bertindak sebagai perangsang, meningkatkan kecergasan, refleksi, kecerdasan serta daya ingatan.
Walaupun ada fakta-fakta dari pakar perubatan yang membuktikan kemudaratan rokok di samping kesan negatif terhadap sosial dan ekonomi sehingga pada tahun 1604 kerajaan Inggeris mengharamkan rokok dan memusnahkan penanaman tembakau dan kerajaan Rusia menghukumkan hukuman mati atau buang negeri ke Siberia, namun perniagaan rokok tetap diteruskan. Malah mereka melancarkan propaganda bertujuan meragukan kebenaran fakta perubatan bahaya rokok sebagai tidak muktamad dan memerlukan kajian mendalam.
Maka bila ia berkembang dalam negeri-negeri Islam ada golongan yang bependapat ianya ada mempunyai faedah-faedah yang banyak, sehingga ada yang menyatakan bahawa rokok menghadamkan makanan, menghilangkan unsur-unsur racun atau toksin dalam badan, membunug ulat-ulat dalam usus, menyenangkan keluar lendir badan, memanaskan badan kepala dan badan, meringankan selsema, menguatkan tumpuan fikiran, dan cita-cita, serta menjadikan keluar hampas badan dengan segera.
Malah Muhamad Abu Farooq al-Athari mengatakan ada yang mendakwa rokok boleh mendatangkan ilham dan inspirasi, mententeramkan perasaan, menenangkan jiwa, mengurangkan kebosanan akal fikiran dan menjadi ubat.
Mantan al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq menyebut kesan dari kekeliruan itu ada golongan yang mengambil pandangan daripada ahli-ahli perubatan dan pemikir zamannya, bahawa menghisap rokok itu pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah pada badan, sehingga ada yang berterusan menghisap rokok sehingga jadilah selaput pada matanya, berat pada gerak geri anggota, dan penghadaman pun terganggu. Ada pendapat menyatakan menghisap rokok itu panas, menjadikan kering badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan kalbu dan otak, menimbulkan debaran pada jantung, dan memekatkan darah.
Hakikat yang perlu diketahui bahawa pencapaian sains, teknologi dan usaha penyelidikan umat Islam pada abad itu tersangat naif. Itu belum dikira kebergantungan kita kepada kemajuan sains dan kepakaran barat dalam mendapatkan info baru. Kesimpulannya umat Islam pada zaman itu tidak memiliki kecanggihan sains kecuali mengambil sumber dan pandangan sains dari barat. Maka dalam kedaifan itulah ulama Islam terpaksa berijtihad bagi mengeluarkan hukum rokok berdasarkan sumber umum sahaja tanpa sokongan dari penelitian sains yang menyakinkan.
Seperti yang dimaklumi, efek dari bahaya rokok tidak dapat dilihat dengan cepat atau segera. 4000 jenis racun yang ada dalam asap rokok amat bergantung kepada keaktifan mengambil rokok. Tetapi kerana unsur ketagihan yang dihasilkan nikotin menjadikan rokok sebagai tabiat yang melazimkan perokok sentiasa menghisap rokok. Secara evolusi rokok menjadi “pembunuh senyap”.
Kesan-kesan rokok ini dapat dikesan oleh manusia seawal-awalnya selepas 100 tahun perniagaan rokok didirikan. Hal ini dibuktikan dari catatan penemuan tembakau yang dilaporkan pada 1492, kemudian terus berkembang pada sekitar tahun 1556-1558 ketika mana rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia. Selepas 50 tahun rokok diperkenalkan barulah kesan buruknya dapat dilihat sehingga Inggeris, Rusia, Sweden, Denmark, Slovakia, Nimsa dan Majar mewujudkan undang-undang mengharamkan rokok.
Tiada bangkangan dari mana-mana tulisan ilmuan Islam yang sempat saya periksa yang tidak bersetuju akan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama mula membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabagh.”
Suka saya bentangkan secara ditil pandangan Dr Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam untuk rujukan kita bersama dalam perbincangan ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak ada zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.
Justeru, fuqaha mampu melihat tentang hukumnya itu mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.
Sehubungan itu, tumpuan pandangan ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih banyak tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang dihisap itu dan persekitarannya. Apabila terdapat fakta yang walau belum boleh dipertanggungjawabkan menyatakan tidak ada bahaya rokok, maka sudah dipakai untuk membantu memahami rahsia rokok.
Dr Abd al-Jalil Syalabi menambah lagi; sebab itulah pada zaman itu ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, mereka tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima di bawah;
• Harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum.
• Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.
• Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya.
• Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk.
• Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.
Inilah beberapa gambaran ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan khilaf semata-mata tetapi gambaran dari kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya mereka hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka jahil mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Ulama memang pakar dalam soal ilmu agama tetapi mereka tidak memiliki pengetahuan dalam bidang sains.
Sebelum saya menoktahkan perbincangan dalam siri ini, saya menegaskan bahawa isi kandungan siri ini hanya merupakan satu usaha memahamkan kita akan realiti hukum rokok yang difatwakan pada zaman terawal tanpa berjaya disokong fakta sains. Maka hukum tersebut bukan muktamad dan tidak menjadi hujah apabila ada fakta baru yang temui dan diperakukan. Saya benar sidang pembaca menantikan siri minggu depan yang insya Allah saya bentangkan hujah ulama silam dan kontemporari.