← Surah Taha
· Nota 2/3 · Ayat 1–8
Surah Taha: Ayat 1-8
Al-Quran Sumber Kebahagiaan, Diturunkan Oleh Ar-Rahman & Pemilik Alam Dan Asma' Al-Husna
Al-Quran Sumber Kebahagiaan, Diturunkan Oleh Ar-Rahman & Pemilik Alam Dan Asma' Al-Husna

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 01 sehingga ayat 08 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Al-Quran adalah sumber kebahagiaan.
Siapa mahu bahagia di dunia & aman di Akhirat maka baca, mengaji & ikutlah al-Quran. - Allah juga nyatakan al-Quran diturunkan oleh Allah, Tuhan ar-Rahman iaitu Tuhan Pencipta & Pemilik alam ini dan seluruh isi kandungannya.
- Tiada Tuhan yang berhak disembah selain-Nya dan bagi Allah-lah al-Asma' Al-Husna iaitu nama-nama yang indah.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Ayat 1 طه ﴿١﴾ {Taa' Haa.} [Taha 20:1]
- Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto'ah (الحروف المقطعة).
Al-Muqatto'ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca satu per satu sebagaimana hurufnya- {كٓهيعٓصٓ} dibaca (Kaf Ha Ya Ain Sood)- iaitu huruf Kaf dibaca kaf, huruf Ha dibaca ha, huruf Ya dibaca ya, huruf ‘Ain dibaca ‘ain dan huruf Sod dibaca sod sebagaimana dalam surah Maryam sebelum ini. - Ada beberapa surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf sebegini yang dipanggil huruf-huruf "al-Muqatto’ah".
Yang paling pendek adalah satu huruf {ص} dan yang paling panjang adalah {كٓهيعٓصٓ}. - Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto'ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah جل جلاله lebih mengetahui maknanya. - Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekalian makhluk sama ada secara bahasa atau isi kandungan.
Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!
Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah]. - Tentang perbincangan apakah huruf {طه- Taa' Haa} ini hanya huruf Muqatto'ah yang biasa atau mempunyai makna lain sudah kita bincangkan dalam siri muqaddimah! Insya' Allah bila kita belajar kita tahu & tidak akan keliru.
Ayat 2 مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ ﴿٢﴾ {Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.} [Taha 20:2]
- Allah kata Dia tidak menurunkan al-Quran ke atas Nabi s.a.w untuk menyusahkannya!
Walaupun memang Nabi susah untuk menyampaikan dakwah & al-Quran kerana ditentang oleh kaumnya yang kafir; tetapi itu adalah asam garam dalam perjuangan dakwah. - Bukan al-Quran turun untuk menyusahkan hati & memberatkan jisim tetapi fungsinya ialah tazkirah memberi peringatan kepada yang lupa, mengajar yang jahil, memberi pedoman kepada yang beriman & hidayah kepada orang yang bertaqwa!
- Ayat ini sekali gus menolak tuduhan puak kafir yang mengatakan al-Quran ini turun dan menyusahkan Nabi s.a.w yang terpaksa berdiri lama untuk solat lalu menyusahkan orang ramai dan seumpamanya!
- Nota [847] Yakni janganlah engkau wahai Muhammad berdukacita disebabkan kaum kafir musyrik yang engkau seru supaya mereka beriman, masih berdegil dalam kekufuran.
Al-Qur’an yang Kami turunkan kepadamu, engkau hanyalah bertugas menyampaikannya.
Sesiapa yang menurutnya: selamatlah dia dan sesiapa yang ingkar: celakalah dia. - Kata Ibnu Juzaiy:
- Ada cerita yang mengatakan apabila Nabi s.a.w berdiri solat sehingga bengkak kakinya lalu datang ayat ini Allah nak ringankannya.
Maksudnya susah Nabi s.a.w ini adalah penat dalam beribadat. - apabila turun al-Quran- Nabi s.a.w berdakwah ajak orang kufur – mereka makin lawan.
Maknanya Nabi s.a.w sedih akan keadaan mereka orang kafir ini lalu Allah ringankannya!
- Ada cerita yang mengatakan apabila Nabi s.a.w berdiri solat sehingga bengkak kakinya lalu datang ayat ini Allah nak ringankannya.
- Kerana itulah Allah kata al-Quran ini membawa kebahagiaan bukan kesusahan.
Ayat 3 إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ ﴿٣﴾ {Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah.} [Taha 20:3]
- Kemudian Allah nyatakan sesungguhnya fungsi utama al-Quran iaitu sebagai peringatan untuk orang yang beriman, nasihat kepada yang takut kepada Allah & azab-Nya; mereka inilah yang akan dapat faedahnya.
- Orang yang takut kepada Allah apabila dia baca al-Quran- al-Quran akan menjadi tazkirah peringatan kepadanya untuk mengingati perintah & larangan Allah – maka dia sesekali tidak akan lalai dan sesat dari jalan yang benar!
- Nota [848] Kerana orang-orang yang takut melanggar perintah Allah itulah sahaja yang akan beroleh faedah dari peringatan dan hidayah petunjuk Al-Qur’an, sedang orang-orang yang tidak bersifat demikian, mereka tetap berdegil dalam keingkarannya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.} [Saad: 29]. - Sebut tentang tadabbur al-Quran kita hati-hati kerana hari ini timbul pelbagai ajaran yang tidak tepat dengan ajaran Nabi s.a.w- kerana ia mengandungi unsur tafsir batini iaitu menggunakan ilmu batiniyyah yang menyalahi disiplin ilmu tafsir yang muktabar.
Kita kena tafsir sebagaimana yang ditafsir oleh ulama' yang muktabar barulah kita selamat!
Maka hati-hatilah jangan mudah terpedaya yang boleh membawa kepada sesat dan terpesong daripada ajaran Islam yang sebenarnya!
Ayat 4 تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى ﴿٤﴾ {(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.} [Taha 20:4]
- Allah sebut dengan jelas siapakah Tuhan yang menurunkan al-Quran?
- Iaitu al-Quran ini turun dari Allah – Tuhan yang mencipta bumi di bawah dan langit di atas – itulah Tuhan yang berkuasa bagi sekalian alam ini, Pemilik & Pentadbirnya!
Ayat 5 الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ ﴿٥﴾ {Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy} [Taha 20:5]
- Pencipta langit & bumi, Pemilik alam semesta ini ialah Allah Tuhan ar-Rahman.
- Allah itu pula bersemayam di atas Arasy. Bagaimana dan di mana; kita jangan bayangkan kerana ia adalah sebagaimana yang layak bagi Allah.
- Nota [849] Allah Ta’ala bersemayam di atas ‘Arasy, yakni menurut cara yang layak bagi-Nya.
- Kita beriman dengan sifat Allah ini seperti yang Allah sebutnya sendiri!
Sebagaimana kita beriman bahawa Allah bersifat mendengar & melihat.
Bagaimana caranya kita jangan cuba tanya & huraikan kerana Allah telah buat kaedahnya – setiap sifat Allah kita pasangnya dengan ayat ini:
{Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya (Allah)- لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ} – [Asy-Syura: 11]. - Apa yang pentingnya kita menghayati sifat-sifat Allah ini!
Apabila kita tahu Allah mendengar dan melihat maka jangan sesekali kita berani buat dosa & maksiat.
Selagi sifat ini tidak terpacak dalam hati maka manusia itu akan berani menderhaka & melanggar perintah Allah!
Berani mengumpat dan menuduh orang – kerana tiada penghayatan sifat-sifat ini di dalam hati! - Ingat jangan mudah-mudah mengatakan seseorang itu mujassimah kerana ia adalah tuduhan yang mengatakan orang itu menyamakan Allah dengan makhluk!
Amat bahaya kerana fahaman itu adalah kafir! - Bincang baik-baik kerana memang Allah sendiri yang sebutnya & banyak kali ada dalam al-Quran bahawa: {Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.}
Ayat 6 لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَىٰ ﴿٦﴾ {Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.} [Taha 20:6]
- Munasabah ayat ini jelas:
- apabila Allah kata dalam ayat sebelumnya bahawa Dia adalah Pencipta {خَلَقَ} langit & bumi;
- Kemudian Allah kata Dia adalah Penguasanya.
Semua itu sama ada apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi; adalah milik-Nya {لَهُ}.
- Yakni milik Allah-lah segala yang ada dalam alam ini di langit di bumi dan antara keduanya!
Allah jualah yang mentadbir dan menyusun atur semuanya, tiada siapa boleh pertikainya! - Maka kita manusia sebagai pengguna jangan tamak jangan membazir.
Korek ambil hasil bumi sekadar mencukupi untuk pentadbiran dan penggunaan negara – simpan sikit untuk generasi masa depan!
Ayat 7 وَإِن تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى ﴿٧﴾ {Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.} [Taha 20:7]
- Munasabah ayat:
- apabila Allah nyatakan bahawa Dia yang mencipta langit & bumi serta Dia yang memiliki segalanya;
- maka dalam ayat ini Allah nyatakan sifat Ilmu-Nya.
Iaitu Allah mengetahui segala perkara yang berlaku sama ada yang tersembunyi atau terang, yang zahir atau yang batin!
Semuanya di bawah ilmu Allah!
- Kita kena ingat & tahu bahawa Allah tahu semua apa yang zahir terkeluar dari mulut kita atau apa yang terpendam dalam hati kita.
Kerana ini jika kita berniat baik akan tetap dapat pahala walaupun kita terhalang dari melakukannya!
Malaikat akan catat semuanya – jika kita buat akan dapat 10 pahala jika tak terbuat akan dapat 1 pahala!
Allahu Akbar! - Nota [850] Yakni Allah Ta’ala mengetahui bukan sahaja apa yang engkau nyatakan, tetapi juga apa yang engkau rahsiakan dan apa yang terlintas di hatimu.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati).} [Al-Anbiyaa: 110]. - Ini adalah ilmu kita terasa muraqabah (pemantauan) Allah atau ilmu ihsan.
Ihsan ialah tahap tertinggi dalam penghayatan agama Islam, iaitu beribadah kepada Allah seolah-olah melihat-Nya atau yakin bahawa Allah sentiasa melihat setiap perbuatan kita. - Sebagaimana pengertian berdasarkan hadith riwayat daripada Umar bin Khattab r.a:
Ihsan itu ialah:
“Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” [HR Muslim]. - Tetapi untuk mencapai darjat ihsan ini bukan mudah – kita kena menghayati sifat Allah ini dengan sepenuhnya, kita tahu & terasa bahawa kita sentiasa berada di bawah ilmu Allah!
- Hadis diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a:
Pada suatu ketika para sahabat sedang dalam perjalanan (dalam sebahagian riwayat ketika menuju Perang Khaibar), mereka mendaki sebuah lembah lalu bertakbir dan berzikir dengan suara yang sangat kuat.
Mendengarkan hal itu, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Tenangkanlah diri kalian (rendahkanlah suara kalian). Sesungguhnya kalian tidak menyeru kepada Tuhan yang pekak (tuli) atau yang jauh. Sesungguhnya kalian sedang menyeru Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dia bersamamu." (HR. Bukhari & Muslim) - Kerana itu kena kembali kepada disiplin sebagaimana yang asal diajar oleh Nabi s.a.w- berzikirlah dengan tenang & perlahan terutamanya zikir selepas solat.
Betapa banyak dalam kitab mazhab Syafei kita yang mengajar para imam untuk berzikir lepas solat dengan perlahan! - Jika kita melaung dengan kuat, guna speaker yang berkuasa tinggi pula; mengganggu orang yang nak solat – semua itu menyalahi Sunnah!
*Ini teguran suci untuk para imam – juga banyak dalam kitab Feqah Mazhab Syafei yang menyatakan perkara ini!
Ayat 8 اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ﴿٨﴾ {Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik.} [Taha 20:8]
- Munasabah:
- dalam ayat yang lepas, Allah nyatakan sifat-Nya yang tahu semua perkara – segala yang berlaku adalah di bawah ilmu Allah!
- maka datang ayat ini Allah menyatakan bahawa Allah s.w.t mempunyai nama-nama yang indah, nama-nama yang baik maka serulah & berdoalah dengannya!
- Allah nyatakan bahawa Dia adalah Tuhan yang Esa yang berhak disembah!
Tiada Tuhan melainkan-Nya.
Jadi apabila kita nak berdoa kita gunalah nama-nama Allah yang sesuai dengan doa itu! - Allah mempunyai nama-nama yang indah yang boleh kita seru dalam doa kita.
Tetapi ingat baik-baik- hanya nama-nama yang sabit, yang betul ada dalil dari Nabi s.a.w atau dari Allah sendiri. - Kenapa Allah gambarkan nama-Nya sebagai nama-nama yang indah {ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ}:
- Pertama kerana ia menunjukkan kepada pujian.
Semua nama Allah menunjukkan pujian seperti: ar-Rahim, Al-Jabbar, Al-Muntaqim, menunjukkan keagungan kekuasaan Allah, itulah menunjukkan bahawa nama Allah Ta‘ala itu semuanya terpuji.
Contoh: Apabila disebut nama Allah al-Jabbar yang Maha Gagah Perkasa maka semua orang akan puji & takut.
Bukan seperti penguasa yang lemah – apa saja dia larang orang tak takut!
Sebab bila penguasaan kita sudah lemah orang tak takut!
Bila penguasa kata kena tutup aurat. Tetapi bila kita pergi pasar malam, tertukar anak Melayu dengan anak orang bukan Islam – ini kerana penguasaan lemah orang tak takut nak langgar.
Jadi apabila Allah Ta‘ala, Al-Jabbar, Al-Muntaqim, menunjukkan keagungan kekuasaan Allah, itulah menunjukkan bahawa nama Allah Ta‘ala itu semuanya terpuji.
Tidak ada nama Allah yang tidak menunjukkan kepada kepujian.
Al-Ḥusna- keindahan nama Allah itu yang pertama kerana ia menunjukkan kepada al-madḥ, menunjukkan kepada pujian. - Yang kedua dari keindahannya ialah:
Ia bukan nama semata-mata tetapi ia adalah nama dan sifat-
Ada yang dikembarkan sekali nama dengan sifat-Nya seperti al-Ghafur, ar-Rahim dan lain-lain.
Contoh: Jadi Allah Ta‘ala itu nama-Nya dan sifat-Nya. Ra’uf, Raḥim.
Jadi Allah Ta‘ala bersifat dengan kasihan belas, bersifat dengan pengampun.
Itu nama Allah Ta‘ala.
Kita manusia ini kadang-kadang nama sahaja tetapi tak tahu apa makna & ertinya yang sebenar.
Nama yang baik-baik jadi Kodir, Jusuh, Jenab, Esah, Mekyam dan seumpamanya.
Sedangkan kalau dalam bahasa Arab nama sebenarnya ialah Yusuf, Abdul Qadir, Zainab, Aisyah, Maryam dan lain-lainnya.
Nostalgia AAM:
Teringat zaman kita budak-budak dulu, arwah ayahanda TG raḥimahullah, dia cerita ada orang Jawa, orang mari duduk di kampung Enggong yang bernama Sodo bin Kerto.
Dulu sebelum solat Jumaat berlaku bancian nama untuk kehadiran.
Jadi apabila dipanggil nama Sodo – dijawabnya: ADO!
Semoga Allah merahmati Sodo dan Allahyarham ayahanda TG juga. - ia menunjukkan kepada sifat yang sempurna.
Semua sifat Allah sempurna indah & lengkap! - Allah perintahkan hamba-Nya
untuk seru panggil Allah dengan nama-nama-Nya itu dalam ibadat.
Sebagaimana firman Allah:
Allah Ta‘ala punya nama yang indah.
Maka serulah Dia (berdoa kepada-Nya) dengan nama-nama itu.} [Al-A'raf: 180]
Ini empat perkara tentang nama husna, Asma’ul Husna daripada kitab tafsir; At-Taysir al-‘Aziz, Alhamdulillah.
- Pertama kerana ia menunjukkan kepada pujian.
Penutup & Faedah
- Ayat 1- {طه- Taa' Haa.} – yang masyhur ia adalah antara huruf-huruf al-Muqatto'ah sebagaimana yang telah kita bincang & jelaskan dalam Muqaddimah di atas.
- Ayat 2- {Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.}
Allah kata Dia turunkan al-Quran & Syari'ah itu bukan untuk menyusahkan manusia.
Betul dalam Syari'ah itu ada perintah dan suruhan (taklif) yang kita perlu buat seperti berwuduk, solat pada waktunya, tutup aurat dan sebagainya.
Solat pula kena ikut waktunya bukan ikut suka kita!
Semua itu Allah yang tetapkan tiada siapa boleh ingkar.
Jadi Allah kata Dia bawa turun al-Quran & Syari'ah ini bukan untuk menyusahkan manusia tetapi sebagai panduan ikutan, penuh hikmah & maslahah untuk kebaikan kepada manusia & menolak segala keburukan.
Al-Quran sebagai panduan, siapa nak selamat ikut al-Quran.
Tetapi ingat baik-baik jangan sesekali kita terpengaruh dengan ajaran-ajaran baru yang menafsirkan al-Quran sesuka hati atau tafsir batini yang cukup bahaya!
Kita nak belajar al-Quran biarlah orang yang ada ilmu bukan hanya sekadar ilmu motivasi!
Yakni Allah nyatakan bahawa Al-Quran itu adalah sebab atau punca kebahagiaan manusia. - Ayat 3- {Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah.} – tujuan al-Quran ini memberi peringatan, pendidikan, dakwah & tarbiyah bagi orang yang takut kepada Allah Azza wa Jalla!
Ulama' tadabbur kata: Ayat-ayat Allah tentang keimanan ini – yang mendapat faedah darinya hanyalah orang yang bertaqwa, orang yang mencari ilmu dan keredhaan Allah!
Jika tak cari ini dia tak akan dapat faedahnya!
Jangan cari alasan untuk tak mahu belajar & mengaji al-Quran.
Carilah guru & ulama' muktabar yang terbukti kebenarannya, cari yang sesuai dengan level kita!
Kerana itu DDAAM kata dia hanya membaca tafsir al-Quran berdasarkan penjelasan dan huraian dari kitab-kitab ulama' tafsir yang muktabar!
Bukan dia menafsirkan sendiri al-Quran.
Maka orang yang mendapat manfaat dari ilmu al-Quran ini ialah orang yang bertaqwa, yang khasiyah takut kepada Allah, yang inabah kembali bertaubat kepada Allah!
Bukan mereka yang hanya suka-suka healing dengan buat grup mengaji, buat uniform dan berkumpul buat jamuan makan-makan khatam al-Quran.
Hati-hatilah al-Quran ini akan menjadi sama ada hujjah untuk kita (baik) atau hujjah ke atas kita. - Ayat 4- {(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.}
Al-Quran bukan rekaan atau makhluk tetapi al-Quran adalah Kalamullah.
Kerana itu kita kata tafsir atau terjemahan hanyalah terjemahan makna al-Quran yang kita faham.
Bukan kita terjemah al-Quran kerana kita tidak tahu apakah sebenar yang Allah maksudkan – ia adalah Kalamullah kita tidak mampu untuk terjemahkannya.
Kerana itulah kita hanya membaca tafsir, huraian makna oleh ulama' tentang maksudnya ayat al-Quran.
Allah turunkan al-Quran untuk menjadi pedoman, garis panduan kepada kita!
Maka jangan kita mencari sesuatu yang boleh menimbulkan polemik & perbalahan sesama kita; sama ada dengan ayat-ayat mutasyabihat (ada kesamaran) atau ayat muhkam (bawa hukum) yang perlu kepada penelitian dan penghayatan seperti nama-nama & sifat Allah yang indah.
Kita letaklah keyakinan kita kepada Allah yang Maha Agung & nama dan sifat-Nya yang Maha Mulia – penghayatannya kita yakin bahawa Allah tahu segalanya – dengar & melihat maka insya' Allah kita tidak akan berani buat maksiat & tak akan terjebak dengan kemungkaran!
Kemudian Allah kata Dia Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi – ini menyatakan jika yang atas pun Allah boleh buat, yang di bawah pun Allah boleh buat; maka itu menunjukkan akan keagungan & kebesaran Allah s.w.t. - Ayat 7- {Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.}
Allah tahu belaka sama ada kamu nyaringkan suara, Allah Ta‘ala tahu.
Kamu nyaringkan, memperlahankan, semuanya di bawah ilmu Allah ‘Azza wa Jalla.
Sebagaimana kata Nabi s.a.w:
Wahai para sahabat, kamu jangan melaung bertempik, kamu bukan memanggil Tuhan yang jauh, bukan seru Tuhan yang tak dengar.
Jadi kita perlahan-lahan dalam doa kita, dalam munajat kita, dalam istighfar kita, cukup tak payah laung.
Jangan nak doa terus pakai mikrofon & speaker yang kuat, tak tahu ada orang yang masbuk atau tidak di belakangnya.
Maka imam-imam kena bertanggungjawab.
Sebab itulah dalam kitab Fatḥ al-Mu‘in, diterjemahkan oleh Majlis Agama, dia kata:
Sesiapa dia menguat, mengeraskan suara lepas pada solat fardu, yang mengganggu orang lain, maka itu dilarang dan tidak baik!
Jadi pendetailan kena tengok dalam kitab.
Hadis:
Daripada Abu Musa Al-Asy'ari R.A, beliau berkata: "Kami pernah bersama Rasulullah S.A.W dalam suatu perjalanan (safar).
Apabila kami menaiki tempat yang tinggi, orang ramai mula bertakbir dengan suara yang kuat (menjerit).
Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
'Kasihanilah diri kamu (tenang dan rendahkanlah suara kamu), kerana sesungguhnya kamu bukan berdoa kepada zat yang tuli (tidak mendengar) dan bukan juga zat yang ghaib (jauh).
Sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dia sentiasa bersamamu.'" (Hadis Muttafaq 'Alaih).
Jadi ayat ini menggalakkan untuk sentiasa terasa muraqabah Allah pada setiap waktu untuk sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa lihat kita & ikhlaskan amalan ibadat kepada Allah! - Ayat 8- {Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik.} hanya Allah yang berhak disembah dan ia mempunyai nama-nama yang indah.
Sebagaimana yang telah disebut dalam tafsir tadi bahawa semua nama-nama Allah itu menunjukkan kepada sifat-Nya yang terpuji, menunjukkan kepada sifat yang sempurna, comel, lengkap. Itulah sifat Allah ‘Azza wa Jalla.
Nama Allah mempunyai kedudukan yang tinggi maka Allah Ta‘ala perintahkan hamba Dia, suruh panggil Allah dengan nama-nama Dia.
Bukan dengan nama makhluk-makhluk-Nya yang lain kerana Allah yang mencipta kita & menyusun atur mentadbir hidup kita!
Sebagaimana dalam ayat:
Allah Ta‘ala punya nama yang indah.
Panggillah, sebutlah Dia, serulah Dia dengan nama-nama Allah yang indah.
Antara janji DDAAM yang belum tertunai lagi ialah untuk membaca sebuah Kitab yang lengkap tentang Asmaul-Husna الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى.
Setakat ini belum jumpa lagi kitab yang sahih yang menepati huraian yang kita kehendaki.
Doakan semoga kita panjang umur & diberi kesihatan oleh Allah.
Alhamdulillah, tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga memberi kefahaman & manfaat.
Insya' Allah kita akan sambung selepas ini dengan kisah Nabi Musa a.s bermula dari ayat 9.
Wallahu a’lam.
Tandakan selesai dibaca
Simpan nota
Ikut siri ini
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.