Surah Taha: Muqaddimah
Muqaddimah Dan Intisari Surah, Munasabah Dengan Surah Maryam & Isu Taha Huruf Muqatto'ah Atau Nama Nabi S.A.W.
Muqaddimah Dan Intisari Surah, Munasabah Dengan Surah Maryam & Isu Taha Huruf Muqatto'ah Atau Nama Nabi S.A.W.

Surah Taha – سورة طه
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Muqaddimah Surah Taha – سورة طه
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Taha – سورة طه, surah yang kedua puluh dalam al-Quran dan dalam juzuk yang keenam belas.
- Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi s.a.w ke Madinah dan ijma’ ulama' tafsir mengatakan ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 135 ayat.
*Ada juga setengah ulama' yang mengatakan dua ayat ini- 130 & 131 adalah Madaniyyah. - Ini kerana surah-surah yang mengandungi kisah & cerita nabi dan umat terdahulu biasanya Makkiyyah sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.
Nama Surah
- Dinamakan Surah Taha – سورة طه (Taha) ialah kerana bersempena dengan dua huruf (Taa – ط, Haa – ه) yang tersebut pada ayat pertama, yang hanya Allah jua yang mengetahui maksudnya.
- Nama ini dikenali di kalangan sahabat sebagaimana dalilnya athar dari Ibnu Mas’ud r.a yang menceritakan tentang surah-surah yang dihafalnya:
5 surah iaitu surah Bani Israil (al-Israa’), al-Kahfi, Maryam, Taha & al-Anbiya’ adalah antara surah yang terawal turun di Makkah dan menjadi surah utama yang aku hafalnya. [Riwayat Bukhari]. - Surah ini tiada kelebihan yang khusus tetapi kelebihannya sebagai al-Quran secara menyeluruh serta yang terawal yang turun sebagaimana kata Ibnu Mas’ud di atas.
- Kata al-Biqa’i rhm: Antara kelebihan besarnya juga ialah ia menjadi sebab Islamnya al-Faruq, Sayyidina Umar al-Khattab yang menjadi antara mercu kenaikan agama Islam di Makkah & tersebarnya.
- Secara ringkasnya, athar mengenai bagaimana Saidina Umar memeluk Islam berlaku seperti berikut:
- Sebelum masuk Islam, Umar sangat memusuhi Islam.
Pada suatu hari beliau keluar dengan pedang terhunus dengan niat untuk membunuh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. - Di tengah jalan, beliau terserempak dengan Nu'aim bin Abdullah yang memaklumkan bahawa adik perempuan Umar sendiri iaitu Fatimah dan suaminya Said bin Zaid telah memeluk Islam.
- Mendengar berita, Umar yang naik berang terus pergi ke rumah adiknya.
Di sana, beliau mendengar mereka sedang membaca al-Quran (Surah Taha).
Selepas berlaku kekecohan, Umar meminta untuk membaca lembaran suci tersebut.
Umar antara Quraisy yang boleh membaca. - Sebaik sahaja membaca ayat-ayat awal Surah Taha, hati Umar terus tersentuh oleh keindahan dan kebenaran kalam Allah tersebut.
- Beliau segera pergi menemui Rasulullah صلى الله عليه وسلم di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam untuk menyatakan keislamannya dan mengucap dua kalimah syahadat.
[Athar Sunan al-Daraqutni, Baihaqi dan lain-lain].
*Keislaman Sayyidina Umar menjadi titik tolak kekuatan umat Islam (Ummah) pada waktu itu, sehinggakan umat Islam mula berani beribadah secara terbuka di Kaabah.
- Sebelum masuk Islam, Umar sangat memusuhi Islam.
Maqasid/Objektif Surah
من أهمِّ مقاصدِ سُورَةِ طه:
- Menyatakan jagaan Allah kepada orang yang terpilih untuk memikul tugasan dakwah mengajak manusia ibadat kepada Allah s.w.t iaitu rasul & para pengikutnya!
Siapa yang jaga hak Allah & berdakwah kepada-Nya- Allah akan jaganya. - Maka jika kita nak suruh Allah jaga kita; kita kena jadi pendakwah, da’ei yang mengajak manusia kepada al-Quran, kepada Sunnah, tolak segala syirik, mungkar & maksiat, tolak segala khurafat & bid'ah.
Point Utama atau Maudu’aat Surah- (Tafsir al-Muharrar)
- Menyebut tentang keagungan al-Quran & bahawa al-Quran ini turun dari sisi Allah s.w.t bukan rekaan Nabi s.a.w. seperti tuduhan puak kafir.
- Memperincikan kisah tentang Musa a.s bagaimana Allah hantar Musa menghadap Fir'aun dan apa yang terjadi dari dialog dengan Fir'aun, apa yang terjadi kepada para ahli sihir Fir'aun, apa yang dilakukan oleh Bani Israil semasa Musa tinggal pergi bermunajat di Tursina!
- Allah nyatakan balasan orang yang lawan & tinggalkan al-Quran dan sedikit cerita tentang hari Kiamat.
- Allah nyatakan kedudukan al-Quran & bahawa Allah turunkannya dalam bahasa Arab. Allah sebut juga amaran-amaran kepada orang-orang yang menentang al-Quran.
- Kisah tentang penciptaan Nabi Adam macamana Tuhan ciptanya daripada tanah.
- Pesanan kepada Nabi s.a.w- agar sabar, banyak zikir, jangan celik mata tengok kepada perhiasan dunia, jaga urusan solat untuk diri & keluarga.
- Menolak sangkaan buruk & tuduhan jahat kafir musyrikin serta amaran kepada mereka jika mereka tetap dengan kekufuran – mereka akan dibinasakan sebagaimana binasanya umat terdahulu!
Intisari Kandungannya (Pimpinan ar-Rahman)
- Menerangkan bahawa tugas Nabi Muhammad s.a.w hanyalah menyampaikan kepada umat manusia seluruhnya apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dan bahawa Al-Qur’anul Karim yang diturunkan kepadanya ialah untuk menjadi peringatan dan hidayah petunjuk bagi orang-orang yang mematuhinya dan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.
Oleh itu, janganlah Baginda berdukacita disebabkan golongan yang menentang. - Lalu memberi semangat kepada Baginda meneruskan perjuangan dengan tabah hati, dengan menceritakan kepada Baginda akan perihal Nabi Musa a.s yang juga telah mendapat pertentangan keras semasa ia menjalankan tugasnya.
- Setelah Allah Ta’ala menegaskan tentang nikmat-nikmat-Nya yang dikurniakan kepada umat manusia supaya mereka bersyukur dan menerangkan perihal hari akhirat dan balasannya yang akan didapati oleh orang-orang yang beriman dan yang ingkar, lalu ditujukan teguran-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda bersungguh-sungguh hendak menghafaz ayat-ayat suci yang diwahyukan kepadanya dan kerana itu tatkala Jibril a.s membacanya maka Baginda turut membaca bersama-sama dengan serentak, lalu ditegur oleh Allah Ta’ala dalam surah ini supaya mendengar lebih dahulu dan setelah Jibril menyampaikannya baharulah ia membacanya dan menghafaznya, sambil berdoa semoga Allah Ta’ala menambahkan ilmunya untuk memahami dan mengamalkannya. - Kemudian diberi ingat supaya janganlah diamalkan sikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu dan janganlah melupakan apa yang telah diperintahkan, bahkan hendaklah dikerjakan bersungguh-sungguh.
Setelah itu diberi contoh tentang apa yang terjadi kepada bapa manusia – Adam a.s – yang telah melupakan apa yang telah diperintahkan kepadanya semasa ia di dalam Syurga supaya ia jangan menghampiri pokok larangan tetapi ia telah melupakannya. - Kemudian Allah Ta’ala menegaskan tentang wajibnya sembahyang yang lima waktu lalu diperintahkan Baginda supaya menyuruh keluarganya dan umatnya mengerjakan sembahyang dengan tekun dan sabar dan jangan pula dihalang dan dilalaikan oleh soal-soal hidup, kerana Allah jualah yang memberi rezeki dan rezeki-Nya itu melimpah kepada orang-orang yang taat dan juga orang-orang yang ingkar.
Tetapi kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat, hanya akan didapati oleh orang-orang yang taat. - Surah “طه” ini diakhiri dengan menyuruh Baginda menjawab golongan kafir yang menentangnya supaya mereka menunggu, kerana mereka akan mengetahui kelak – pada hari kiamat – siapa yang benar dan siapa yang salah.
Munasabah Antara Surah Taha ini Dengan Surah Maryam Sebelumnya
- Surah Taha turun selepas Surah Maryam sebagaimana riwayat Ibnu Abbas r.a tadi.
- Sesungguhnya Allah sebut dalam surah Maryam kisah beberapa orang rasul iaitu 10 orang: Zakaria, Yahya, Isa, Ibrahim, Ishaq, Ya'qub, Musa, Harun, Ismail & Idris.
- Cerita Nabi Musa disebut secara ringkas dalam surah Maryam – maka Allah sebut dalam surah Taha ini kisah Nabi Musa secara lebih detail!
- Begitu juga dalam surah Maryam hanya disebut saja nama Nabi Adam dan disebut kisahnya dalam surah Taha ini.
- Di akhir surah Maryam Allah kata Dia permudahkan al-Quran pada lidah untuk dibaca juga mudah untuk fahami.
Juga mengandungi khabar gembira & amaran peringatan. - Allah mulakan surah ini sebagai kesinambungan menguatkan akhir surah Maryam iaitu Allah kata:
Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.} [Taha 20:2]
Pecahan Bilangan Ayat Dalam Surah Taha
- Bermula dari ayat 1-8 Allah sebut fungsi al-Quran yang menjadi peringatan kepada manusia yang beriman yang takut kepada Allah – Pencipta langit & bumi.
Serta menyatakan tugasan Nabi s.a.w yang berdakwah memberi peringatan & amaran, jangan terpedaya dengan tipu daya puak kafir – lawan tetap lawan! - Ayat 9 sehingga ayat 98: Al-Bayanul Jalil, cerita Nabi Musa.
Cerita Nabi Musa, bagaimana dia berkata-kata dengan Allah dan waktu kecilnya dia dibuang dalam air, letak dalam kotak, lepas dalam sungai, sehingga tiba di pangkalan Fir'aun.
Kemudian bila dia besar, Allah kata Musa, kau kena pergi jumpa Fir'aun.
Musa kata pula, Fir'aun itu kuat & zalim maka lantiklah Harun sekali, Harun abang dia, Musa nak bawa Harun sekali.
Maka Musa pergi jumpa Fir'aun, dia lawan dengan Fir'aun, berdepan dengan ahli sihir dan akhirnya dia kena halau keluar, sehingga ke laut Qulzum, terbelah laut dan seterusnya.
Panjang ayatnya daripada ayat 9 sehingga 98- iaitu 88 ayat lebih, cerita Nabi Musa dalam surah Taha. - Yang ketiga, daripada ayat 99 sehingga 101; Al-Isharatu li-fa'idatil qisasal Qur'an, suatu isyarat tentang kelebihan cerita-cerita yang Allah bawa dalam Qur'an.
Kisah dalam Qur'an ini, bukan cerita novel, bukan cerita dongeng, bukan cerpen tetapi cerita benar yang Allah Ta'ala cerita supaya menjadi pengajaran dan iktibar, ayat 99 sehingga 101. - Yang keempat, ayat 102 sehingga 112 iaitu 10 ayat.
Bayanu halatil hasri ar-rahibah-.
Allah Ta'ala cerita tentang huru-hara hari kiamat; bukit terbang, langit pecah, orang-orang yang baik selamat, orang yang jahat binasa, semua kita akan dihisab secara adil di hadapan Allah Azza wa Jalla. - Yang kelima, ayat 113 hingga 114- Arabicnya dalam Qur'an.
Allah nyatakan Qur'an ini bahasa Arab dan Allah Ta'ala jaga dia.
Al-Qur'an ini tidak ada boleh orang selewengkan ayat Quran, semuanya dijaga.
Cuma orang putih boleh jauhkan kita daripada Qur'an.
Ahli falsafah boleh menyebabkan kita berkelahi sama-sama kita kerana nak faham makna Qur'an.
Itu adalah yang mereka boleh buat.
Nak ubah Quran? No, tidak akan boleh. - Yang keenam, ayat 115 sehingga ayat 122- Ibrahu kisah Nabi Adam.
Allah Ta'ala bawa cerita Nabi Adam berlawan dengan Iblis dalam syurga. - Yang ketujuh – Ayat 123 sehingga 127- ta’qid bayan jaza' fi dunia wal akhirat liman a'rada 'anil Qur'an; nak menguatkan balasan di dunia dan akhirat, bagi orang yang tinggalkan Qur'an.
Orang yang tinggalkan Qur'an, cari penyakit – hidup di dunia susah, di akhirat dia buta, sebab apa?
Sebab dia tak tengok dengan mata dia akan dalil-dalil, bukti-bukti, keesaan, kekuasaan dan keagungan Allah di dunia. - Yang kelapan, ayat 128 sehingga 129- al-'ibrahu wal-i'tibar; pengajaran dan iktibar, binasanya umat dulu dengan sebab kafir.
Dan ditangguhkan sebahagiannya hukuman di atas dunia sehingga dia mati dan dijatuhkan hukuman pada hari kiamat. - Yang kesembilan, ayat 130 sehingga 132- Taujihat Rabbani: didikan tarbiah Allah Ta'ala kepada Nabi s.a.w & umatnya supaya sabar menghadapi ujian yang dibuat oleh dua kafir dan bersihkan Allah Ta'ala siang dan malam daripada segala tuduhan buruk dan jangan terpedaya dengan dunia, selamatkan diri dengan melakukan solat.
- Yang terakhir, yang kesepuluh, ayat 133 sehingga 135, puak kafir mari cabar Nabi s.a.w supaya turun tanda-tanda kekuasaan Allah.
Maka Allah Ta'ala kata, jangan keras kepala, kalau kamu lawan sekarang, maka binasalah.
Cukuplah 10 pembahagian ayat-ayat tentang tajuk-tajuk ataupun topik-topik yang telah disebut dalam surah ini.
Isu Apakah Taha Huruf Muqatto'ah Atau Nama Nabi S.A.W?
Sebagai perbincangan kita lihat isu apakah Huruf {طه} ini:
- Pendapat pertama – Imam al-Wahidi telah menukilkan bahawa pandangan sebahagian ulama' tafsir yang mengatakan makna Taha ini ialah dengan makna {Ya lelaki- يا رجل} iaitu Nabi s.a.w. dalam lisan Habsyah.
Kerana itulah sebahagian ulama' kata ini adalah nama Nabi s.a.w.
Dalilnya – diriwayatkan oleh Ibnu Adiy dalam kitabnya dari Abu Tufail yang meriwayatkan bahawa dia hafal lapan nama Nabi iaitu: Muhammad (مُحَمَّدُ), Ahmad (الأَحْمَدُ), Abul Qasim (أَبُو الْقَاسِمِ), Al-Fatih (الْفَاتِحُ), Al-Khatam (الْخَاتَمُ), Al-Mahi (الْمَاحِي), Al-`Aqib (الْعَاقِبُ), Al-Hasyir (الْحَاشِرُ) dan terlupa dua lagi nama.
Dalam riwayat sambungan hadis tersebut oleh Saif bin Wahb, baki dua nama yang terlupa itu dinyatakan oleh Abu Ja'far sebagai (Taha dan Yasin).
Ulama' kata hadis ini dhaif & tidak sahih kerana sandarannya lemah sebagaimana yang diputuskan oleh Ulama' Ahli Fatwa Mesir.
*Maka kita mengatakan sandarannya lemah & tidak kuat kita tidak ambil pendapat ini! - Pendapat yang kedua mengatakan bahawa Taha ini adalah sebahagian daripada huruf al-Muqotto'ah sebagai permulaan beberapa surah lain – bukan nama Nabi s.a.w.
Ini pendapat Abu Hayyan dan lain-lain. - Kata Imam asy-Syanqiti rhm – pendapat yang terpilih dan paling zahir setelah dikaji ialah bahawa huruf Ṭa Ha (طه) pada awal surah termasuk dalam huruf al-muqaṭṭa‘ah, iaitu huruf-huruf yang dibaca satu per satu pada awal surah.
- Ini kerana huruf Ṭa (ط) dan Ha (هـ) turut disebut dalam surah-surah lain. Contohnya:
- طسم – pada awal Surah al-Syu‘araa’.
- طس – pada awal Surah al-Naml.
- طسم – pada awal Surah al-Qaṣaṣ.
- Huruf Ha (هـ) pula terdapat pada awal Surah Maryam: كهيعص.
Ini menunjukkan bahawa kedua-dua huruf tersebut termasuk dalam huruf al-muqaṭṭo'ah yang merupakan antara i‘jaz al-Quran.
- Imam Ibnu 'Asyur dalam tafsirnya pula menyebut: Kamu tidak perlu berpaling iaitu tidak perlu diberi perhatian kepada pendapat yang menyatakan bahawa Ṭa Ha (طه) adalah antara nama Nabi صلى الله عليه وسلم. Wallahu a‘lam.
- Yang penting, kalau kita yang belajar ini kita tak payah katalah bahawa Ṭaha itu nama Nabi.
Tetapi kalau orang kata juga, jangan dok kelahi dengan dia, sebab ada ulama yang mengatakan begitu.
Ini cara kita para pelajar, kita harmonikan dan kita cerita supaya pelajar-pelajar kita tahu.
Jika ada orang kata, “Taha صلى الله عليه وسلم,” biarlah jangan dok kelahi!
Tetapi kita sendiri, kalau kita sudah tahu benda itu dhaif, benda itu tidak sahih sandarannya, kita tidak usah katalah.
Kalau nak ikut, Ṭaha, Yasin.
Jadi tamatlah muqaddimah Surah Ṭaha dalam perbincangan kita pada kali ini.
Adapun ḥuruf al-muqaṭṭo‘ah telah kita bincang panjang dan boleh tengok penjelasan nota kaki nombor tujuh dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman, ketika menafsirkan ayat:
Wallahu a‘lam.
Penutup & Faedah
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada Surah Taha ini.
- Insya' Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini mudah-mudahan ada manfaatnya kepada kita semua dan kita akan mulai tafsir Surah Ṭaha esok.
Hari ini berpadalah dengan muqaddimah.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، والحمد لله رب العالمين.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.