Isi Kandungan
Pendahuluan
Dari Perspektif Syariah, Kanun & Perubatan.
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian.Telah menjadi sunnatullah ke atas alam ini, generasi manusia akan terus sambung-menyambung bermula dari nabi Adam A.S sampai kepada kita dan terus sehingga hari qiamat.Islam satu agama yang menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan zuriat yang solehah dan menurunkan syariat untuk memelihara keturunan manusia agar tidak bercampur-aduk, sekaligus memelihara kehormatan diri setiap individu.
Demi untuk menjaga keturunan dan maruah diri, maka `alim ulama’ dari pelbagai sudut, ulama’ Syariah (Fuqaha’), ahli undang-undang dan perubatan telah mengambil bahagian masing-masing dalam membincangkan perkara ini.Dalam tulisan ini akan dicatatkan perbincangan ulama’ mengenai tempoh kehamilan, minimum dan maksimumnya. Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh al-fadhil Dr. Mohamad Ali Albar –hafizahullah– dalam bukunya: “CONTEMPORARY TOPIC IN ISLAMIC MEDICINE”.
Abstrak; Mengikut ilmu perubatan, tempoh atau masa bagi kehamilan yang normal ialah 280 hari. Ia dikira bermula dari hari pertama haid yang terakhir (Last menstrual period – LMP) atau 266 hari dari hari subur dan persenyawaan benih (fertilization). Tarikh jangkaan untuk melahirkan dapat dikira dengan menambah tujuh hari dari tarikh LMP dan dicampur dengan 9 bulan (masehi) atau ditolak tiga bulan dari tarikh tersebut.Bagi kiraan di dalam bulan hijrah yang mana ada 29/30 hari dalam sebulan, tempoh kehamilan normal juga 9 bulan, iaitu: 29.5 x 9 = 265.5 hari. Tarikh jangkaan melahirkan pula dapat dikira dengan menambah 14 hari dari tarikh LMP, kemudian dicampur 9 bulan (hijrah) atau ditolak tiga bulan dari tarikh tersebut.Sama ada dikira dengan bulan masehi atau hijrah, hanyalah 5% kemungkinan bahawa kelahiran akan berlaku tepat-tepat pada tarikh tersebut. Jangkaan ini akan meningkat kepada 25% jika 4 hari lagi ditambah atau ditolak dari tarikh tersebut dan ianya 95% peluang bahawa bayi itu akan dilahirkan dalam masa 14 hari sebelum atau selepas dari tarikh tersebut.
Tempoh Minimum Kehamilan
Dari segi perubatan, 28 minggu dikira waktu minimum bagi kehamilan yang boleh hidup. Tetapi dengan kemajuan rawatan rapi perubatan hari ini, bayi yang berusia 22 minggu dan mempunyai berat lebih daripada 500g telah dapat diselamatkan (dengan izin Allah). Kelahiran dalam tempoh kehamilan di antara 20 hingga 38 minggu dikira sebagai bayi pramatang (premature), yang mana mungkin dapat diselamatkan dengan kemajuan rawatan rapi perubatan.
Fuqaha’ Islam hampir keseluruhannya berijma’ menerima 6 bulan selepas dari tarikh bersama suami isteri sebagai tempoh minimum kehamilan. Seorang bayi itu dikira anak yang sah (halal) selepas 6 bulan dari tarikh tersebut. Bagi mazhab Hanafi pula dikira 6 bulan dari tarikh akad nikah. Ibnu Qudamah R.H dalam al-Mughni [7/477] menyebut; “Waktu minimum bagi kehamilan ialah 6 bulan”.
Satu kejadian di zaman Khalifah Umar R.A, seorang suami datang mengadu kepada Umar ibn Al-Khattab R.A, bahawa isterinya telah melahirkan anak yang sempurna selepas 6 bulan berkahwin. Umar menuduh wanita itu mempunyai hubungan sebelum kahwin. Ali bin Abi Talib R.A membantah tuduhan itu berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa 6 bulan adalah tempoh kehamilan yang sah. Ayat pertama: Maksudnya: {Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama 2 tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.} [Al-Baqarah: 233]. Ayat kedua: Maksudnya: {Mengandung sampai selesai menyusunya ialah 30 bulan.} [Al-Ahqaf: 15]. [Dimana 30 bulan ditolak 24 bulan ( 2 tahun ) masa menyusu, bererti 6 bulan untuk tempoh kehamilan].
Lalu, Umar R.A membebaskan wanita tersebut.Ibn Qutaibah R.H pula meriwayatkan bahawa Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan oleh ibunya selepas 6 bulan dalam kandungan.Ibnu al-Qayyim R.H di dalam kitabnya ‘At-Tibyan fi Aqsam al-Quran’ [m/s 247] menyebut: “Syariah dan fitrah (nature) telah menunjukkan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah 6 bulan”.Walaupun telah ijma’ dikalangan ulama’ bahawa waktu minimum bagi kehamilan ialah 6 bulan, tetapi sesetengah fuqaha’ mazhab Hanbali hanya mengakui 9 bulan sebagai waktu minimum bagi kehamilan normal.
Maka di sisi syariah, bayi yang lahir kurang dari tempoh 6 bulan kehamilan dikira anak luar nikah. Walaupun begitu sesetengah fuqaha’ menerima anak itu sebagai sah sekiranya bapa (si suami) mengakui dan menerima anak itu, tetapi dengan syarat dia tidak mengakui bahawa itu adalah hasil dari hubungan sebelum perkahwinannya.Anak yang lahir setelah 6 bulan perkahwinan atau lebih dari tempoh tersebut dikira anak yang sah kecuali si bapa menolaknya melalui proses Li`an (tuduhan bersumpah). Di dalam kes ini, anak itu akan disabitkan kepada ibunya walaupun dia (si ibu) mengaku melakukan hubungan luar nikah.
Mengikut English Law pula, seorang anak itu secara automatiknya akan dikira sah jika ia dilahirkan di dalam ikatan perkahwinan, sehinggalah sebaliknya dapat dibuktikan. Jika si bapa mengakui anak itu, maka ia adalah anak yang halal, tidak kira berapa lama pun tempoh kehamilannya.Undang-undang di India dan Pakistan juga mengira seorang anak itu adalah anak halal sekiranya ia dilahirkan dalam ikatan perkahwinan, biarpun ianya dijalankan hanya beberapa minggu atau bulan sebelum kelahiran.
Hal ini ditentang oleh Akta Syariah Pakistan yang mahu hal ini ditentukan oleh Undang-undang Syariah.Undang-undang Perancis juga mengira 6 bulan adalah tempoh minimum yang sah bagi kehamilan (iaitu sama dengan Syariah Islam).Undang-undang Mesir pula berpendapat bahawa 9 bulan adalah masa kehamilan yang minimum. Al-Berri di dalam kitabnya ‘al-Ahkam al-Assasia lil Mawarith wa al-Wasiy’, berkata: “Undang-undang Mesir telah menentukan bahawa 9 bulan adalah masa kehamilan yang minimum, yang mana 270 hari telah ditetapkan untuk mengelakkan perselisihan dalam keputusan mahkamah.
Seorang anak yang lahir sebelum dari tarikh ini tidak berhak untuk mewarisi harta bapanya. Ia juga akan dikira anak haram jika bapanya tidak mengakuinya.”Undang-undang ini bertentangan dengan ijma’ para fuqaha’ Islam, juga menyalahi pendapat ahli perubatan.
Tempoh Maksimum Kehamilan
Pakar perubatan perbidanan (obstetricians), menolak dakwaan kehamilan yang melebihi sebulan ke atas dari tarikh jangkaan kelahiran, kecuali dengan salah satu sebab yang disebutkan ini.Sesetengah wanita mempunyai masa kitaran haid yang panjang dan kerana kehamilan biasanya dikira dari hari pertama LMP, ini boleh membawa kepada tempoh hamil yang lebih panjang dari biasa.
Seseorang wanita itu juga mungkin mempunyai rahim yang terbelah. Secara teorinya, satu janin boleh mulai hidup di salah satu bahagian rahim dan mati tanpa keguguran, beliau kemudiannya hamil pula di bahagian yang lain dan melahirkannya bila sampai masa yang normal. Ini boleh menyebabkan kepada satu kehamilan yang panjang. Hal yang sama juga boleh terjadi kepada sesetengah wanita yang begitu teringin untuk hamil, menjadi mangsa kepada ‘kehamilan palsu’ yang dikenali sebagai ‘pseudocyosis’.
Pusingan haidnya terhenti dan abdomennya membesar dengan gas/angin. Wanita ini kemudiannya mungkin akan hamil dan akan mengira kehamilannya berlangsung selama beberapa tahun. Pseudocyosis ini adalah satu fenomena biasa dikalangan wanita. Janin yang mati juga mungkin mengeras dan tetap berada di dalam rahim selama beberapa tahun tanpa dibuang keluar. Undang-undang Kanun juga berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain, bahkan di dalam satu negara yang sama pun mahkamahnya masih lagi menjatuhkan hukuman yang berlainan. Mahkamah British menetapkan 331 dan 346 hari sebagai tempoh maksimum bagi satu kehamilan.
Di New York pula, mahkamahnya mengira 355 hari sebagai tempoh sah. Tetapi pakar-pakar perubatan perbidanan melahirkan ketidakpercayaan mereka terhadap kehamilan yang begitu panjang ini. Sir Stanley Clayton seorang obstetrician terkenal menganggap keputusan mahkamah yang menerima kehamilan selama 346 hari sebagai sesuatu yang ”bercanggah dengan kepercayaan sains”. Hal ini juga menjadi khilaf yang besar di kalangan fuqaha’ Islam. Perselisihan pendapat dikalangan mereka adalah lebih merumitkan.
Sesetengah fuqaha’ seperti Ibnu Hazm (Mazhab Zahiriyyah) dan Syi`ah Jaafari berpendapat satu kehamilan itu tidak boleh melebihi daripada tempoh 9 bulan. Sementara ulama’ yang lain pula seperti Ibn Rushd (Averroes) dan Ibn Abdul Hakam pula menerima 1 tahun (hijrah) sebagai had maksimumnya. Abu Hanifah dan al-Tsauriy pula berpendapat 2 tahun, al-Laith ibn Saad menerima 3 tahun, manakala Shafie, Hanbali, dan Zaidi mengira 4 tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan.
Mazhab Malik pula berpendapat 5 tahun, bagi al-Zuhri 7 tahun, manakala Abu Ubaid pula tidak meletakkan sebarang had tempoh. Adapun tujuan dan niat semua perbezaan pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi kehamilan ini adalah untuk menentukan kejadian sebenar dan untuk mengelakkan ibu tersebut dari tuduhan zina yang boleh membawa kepada hukuman rejam.Undang-undang di negara-negara Islam juga berbeza-beza. Arab Saudi yang bermazhab Hanbali menerima tempoh maksimum kehamilan selama 4 tahun.
Ketua Qadhi Makkah, Mustafa bin Abdul Qadir al-Alawi menghukum bahawa Khadijah (seorang wanita yang melahirkan anak selepas empat tahun dari tarikh perceraiannya) sebagai anak yang sah. Berdasarkan hukum Syariah, bekas suaminya yang menafikan nasab anak itu terpaksa menerimanya dan membayar nafkah kepada bekas isterinya itu sepanjang tempoh kehamilan, yang mana dikira masih di dalam `iddah. Allahyarham Sheikh Abdul Aziz bin Baz, bekas Mufti Am Arab Saudi dan Sheikh Bakr Abu Zaid, mantan Timbalan Menteri Kehakiman pula mengumumkan bahawa mereka berpendapat bahawa 7 tahun adalah tempoh maksimum bagi kehamilan [Persidangan Fiqh Islam, Rabitah. Makkah 16-17 Feb. 1990].
Manakala undang-undang Iraq dan Jordan pula tidak menetapkan sebarang had masa tetapi mahkamah Syariahnya mengira 2 tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan, iaitu berdasarkan kepada mazhab Hanafi yang diamalkan di negara tersebut. Di kebanyakan negara-negara muslim yang lain seperti Mesir, Sudan, Syria, Tunisia, Maghribi dan Yaman Selatan, undang-undang baru telah diseragamkan dan menetapkan tempoh kehamilan hanya kepada 1 tahun. Di Tanzania dan Nigeria pula 4 tahun masih diterima pakai sebagai tempoh maksimum kehamilan.
Keadaan yang bercelaru ini juga timbul di sesetengah negara (termasuk Malaysia), yang mana undang-undang Syariahnya (mengikut mazhab Shafie) mengira 4 tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan, tetapi pada masa yang sama mengamalkan undang-undang barat (sivil) di dalam bidang jenayah yang tidak mempunyai hukuman terhadap jenayah zina.Suasana undang-undang di seluruh negara muslim hari ini haruslah disatukan atau sekurang-kurangnya bersefahaman di antara satu sama lain. Sesetengah negara itu memerlukan pindaan undang-undang yang serius.
Pertentangan atau percanggahan perundangan yang ada hendaklah dibetulkan mengikut kaedah Syariah Islam yang sebenarnya.Para fuqaha’ Islam, pakar perundangan, dan perubatan adalah diseru untuk bersatu mengkaji hal yang sulit ini dan cuba untuk melahirkan satu hukuman yang tidak lagi bercanggah dan bertentangan di antara satu sama lain berkenaan hal ini.
Wallahu a’lam bis-sowab.
Oleh: Ummu Anas Madani,
Madinah Munawwarah,
18/9/98.