Oleh Dhaif Istimewa: Ust. Mohamad Fauzi Zakaria.
Isi Kandungan
Dalil Quran
Firman Allah (s.w.t.) Yang bermaksud: ”Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (al-Qur’an: 17/1)
Penerangan
Ayat pertama surah al-Isra’ ini adalah bukti yang jelas perlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ke atas Rasulullah (s.a.w.) Peristiwa ini sangat penting dalam sejarah Islam dan ia benar-benar menguji iman umat Islam. Rasulullah (s.a.w.) diperjalankan di tengah malam dari Makkah ke Bait al-Maqdis seterusnya Mi’raj ke langit mengadap Allah (s.w.t.) dari ” sebalik Hijab”. Akhirnya kembali semula ke Makkah sebelum waktu fajar. Kejadian ini sunggoh luar biasa dan sukar dipercayai kalaulah ianya bukan Mu’jizat Rasulullah (s.a.w.) Musyrikin Quraisyh sunggoh gembira dengan cerita yang di bawa oleh Muhamad (Rasulullah s.a.w.) mengenai Isra’ Mikraj.
Mereka seolah akan berpesta dengannya. Betapa tidak, bagi mereka cerita sedemikian benar-benar membuktikan Muhamad seorang pembohong besar..Namun Allah (s.w.t.) mempertahankan kebenaran kata-kata RasulNya (s.a.w.) berkekenaan peristiwa ini di dalam ayat yang lain di dalam al-Qur’an;Maksudnya: ”Demi bintang ketika terbenam,kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula menyesatkandan tiadalah yang diucapkannya itu (Al Qur’an) menurut kemauan hawa nafsunya.Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”. (al-Qur’an: 53/ 1-4)
Menurut Imam Bukhari, berdasarkan riwayat Jabir bin Abdullah (r.a.) Rasulullah (s.a.w.) menceritakan; (Sewaktu Quraisyh mendustaiku ( berkenaan Isra’) aku berada di Hijr (Ismail), Allah (s.w.t.) membentangkan kepadaku Bait al-Maqdis,dan aku mengkhabarkan kepada mereka perihalnya dalam keadaan aku melihatnya) (Sahih Bukhari-Kitab al-Tafsir- Surah al-Isra’)Ironisnya surah al-Isra’ ini dinamakan juga dengan surah Bani Israel. Ini adalah kerana, sesudah ayat pertama yang menceritakan kisah Isra’ dan Mi’raj, ayat kedua dan selanjutnya terus menceritakan kisah Musa (a.s.) dan karenah umatnya Bani Israel. Dengan ini jelas sekali bahawa bahawa iktibar dari kisah Isra’ dan Mi’raj mempuyai kaitan yang kuat dengan isu Bait al-Maqdis (Jerusalem).dan Palestin amnya.
Bagi setengah umat Islam, seperti di Malaysia, peristiwa Isra’ Mikraj ini disambut secara tradisi Di samping mendapat “cuti sempena”, dari dulu hingga kini sambutan masih terus bertradisi, dari mendengar cerita sehingga jamuan selera. Semuanya adalah tradisi menyambut Isra’ Mi’raj. Namun sekurang-kurang masih bersambut dan diperingati walaupun hanya kerana tradisi. Berbanding dengan kebanyakan negara umat Islam khasnya negara-negara yang “bersepagar” dengan Palestin, peristiwa Isra’ Mi’raj dan isu yang berkaitan dengannya hampir dilupakan langsung. Maka apa lagi yang tinggal selain dari – sifar peringatan dan malang yang berpanjangan.
Sesungguhnya perisitiwa yang melibatkan dua tanah suci ini ada rahsia besar di sebaliknya. Dengan Isra’nya Rasulullah (s.a.w) dari Makkah ke Bait al-Maqdis dan mengimamkan Solat Jamaa’ah bersama para Anbiyaa’ di Masjid al-Aqsa, Allah(s.w.t) telah mengisyarakan penganugerahan kepimpinan baru umat manusia.kepada Rasulullah (s.a.w.) Sebelum itu telah berabad-abad lamanya amanah berkenaan dipersia-siakan oleh Bani Israel. Melalui peristiwa Isra’ ini, Allah (s.w.t) menghimpunkan kepada umat Islam kedua tanah suci yang terdapat padanya Qiblat, Baitillah di Makkah dan Bait al-Maqdis di Palestin. Sebagai tanah suci para Anbiyaa’, yang menjadi tanggungjawab umat Islam menjaganya, Bait al-Maqdis memiliki beberapa fadhilat dan kelebihan.
Antaranya beberapa hadith Rasulullah (s.a.w.);Tiada keutamaan bersusah payah melakukan perjalanan melainkan kepada tiga masjid, Masjid al-Haram, Masjidku ini (Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.(Riwayat Bukhari & Muslim) Kelebihan Solat di Masjid al-Haram adalah seratus ribu Solat. Dan Solat di Masjidku (al-Nabawi) adalah seribu Solat dan Solat di Masjid al-Aqsa adalah lima ratus Solat (berbanding tempat biasa) (Riwayat Bukhari & Muslim)Berdasarkan hakikat inilah Amir al-MukmininUmar bin al-Khattab sebagai Khalifah (pewaris pemerintahan) Rasulullah (s.a.w.) melakukan amal al-Fath ke atas Bait al-Maqdis dan memasukkannya ke dalam daerah kekuasan Islam di zamannya.Bagaimanapun bangsa Yahudi tetap mendakwa bahawa Bait al-Maqdis (Jurusalem) dan Palestin amnya adalah kota suci dan bumi milik mutlak mereka. Ini kerana menurut mereka,Yahudi adalah bangsa pewaris mutlak daripada Abram (Ibrahim a.s.) yang telah dijanjikan Tuhan di dalam Genesis penempatan untuknya dan zuriatnya di Palestine.
Seterusnya dakwa mereka di dalam Exodus sekali lagi Jurusalem di Palestin dijanjikan sebagai penempatan mereka melalui Musa(a.s) setelah keluar dari Mesir. Namun apabila kenyataan-kenyataan sejarah ini dirujuk kepada al-Qur’an sebagai Kitab Wahyu terakhir, ternyata ia sangat kontradik.Memang benar bangsa Yahudi (Bani Israel) adalah keturunan daripada Israel (Ya’akub) bin Ishaq bin Ibrahim (alhm..s). Bagaimanapun Ibrahim (a.s.) berasal dari Iraq, diperintahkan Allah (s.w.t.) berhijrah ke Palestin, yang dipanggil bumi Kan’an. Ini kerana pada masa itu kaum Kan’an (semetic Canaan), bangsa serumpun-etnik dengan Ibrahim (a.s.) adalah pri-bumi Palestin.
Menurut al-Qur’an ( 21/ 69-72 ) Allah (s.w.t.) hanya menjanjikan Ibrahim (a.s.) di bumi Palestin dengan zuriat yang soleh yang juga akan dilantik menjadi nabi. Itulah Ishaq dan puteranya Ya’akub (a.s.). Tidak ada rujukan terhadap sebarang negara-bangsa. Begitu juga sebelum kelahiran Ishaq Ibrahim terlebih dahulu beroleh seorang putera (Ismail) yang bersama ibunya, Hajar diperintahkan Allah ditempatkan di Mekkah. Daripada Ismail (a.s.) lahirnya bangsa Arab dan penutup Risalah para Anbiyaa’, Muhamad (s.a.w.). .Ibrahim (a.s.) yang bergelar Abu al-Anbiyaa’ (bapa Nabi-Nabi),(bukannya bapa Bani Israel). di akhir hayatnya menetap di perkampungan Badwi di Ghazzah, bukan di Jerusalem.
Begitu juga Ishaq danYa’akub (a.s.). Sementara itu Ya’akub (a.s.) pula hanya menetap sementara sahaja di sana bersama anak-anaknya sebelum berhijrah dan wafat di Mesir. Bani Israel hanya berkembang sebagai satu suku-kaum sewaktu berada di Mesir, bukan di Palestin. Pertama kali Bani Israel berhijrah ke Palestin bersama Musa (a.s.),dalam misi membebaskan diri daripada perhambaan Fir’aun. Mengenai janji Tuhan untuk Bani Israel melalui Musa (a.s.), ke atas Palestin, al-Qur’an menjelaskan bahawa Allah memerintahkan mereka supaya masuk ke tanah suci Bait al-Maqdis (Jerusalem), bukannya perintah supaya kembali ke tanah-air. (al-Qur’an: 5/21).
Al-Qur’an sebaliknya menceritakan Bani Israel menginkari perintah itu, malah mereka dengan biadap mencabar Musa (a.s.) supaya memasuki tanah suci dengan Tuhannya tanpa membabitkan mereka. Akibat keingkaran itu dan lain-lain keingkaran sesudahnya, Allah (s.w.t.) melaknat mereka . dan jadilah kaum Yahudi sebagai kaum yang terlaknat Akhirnya mereka hidup terdampar dan bertaburan terbuang di seluruh muka-bumi. (al-Qur’an: 5/24-26, 5/13, 2/ 88-89 & 7/168). Demikian penjelasan Allah melalui al-Qur’an mengenai sikap dan jati-diri kaum Yahudi.
Mereka telah diberikan anugerah kepimpinan bersama para Rasul (alhm.s.) dan amanah menegakkan Syari’at Allah, namun mereka telah mensia-siakannya.Apabila tiba masanya, Allah (s.w.t.) menarik kembali anugerah dan amanah tersebut daripada mereka dan diserahkan kepada umat Islam. Hal ini terlambang dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj terutama Solat Rasulullah (s.a.w.) di Masjid al-Aqsa mengimami Jamaa’ah para Anbiyaa’. Sememangnya, mesej utama daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah persoalan hak dan amanah ke atas kota suci Bait al-Maqdis dan bumi Palestin .
Ianya adalah berasaskan Aqidah-Syari’at Rabbaniyyah, bukannya berasaskan hak keturunan-bangsa. Allah (s.w.t.) memerintahkan Bani Israel di zaman Musa (a.s.) memasuki Bait-al-Maqdis kerana mereka adalah pemegang amanah Aqidah-Syari’at Allah pada masa itu. Apabila mereka ingkar dan enggan menjunjung Syari’at Allah, hak dan amanah mereka ke atas al-Quds telah dilucutkan. Mereka bukan sahaja dinafikan daripada pertolongan Allah, malah terhina di mata umat manusia.
Demikianlah mana-mana pihak di sepanjang masa, yang berjuang untuk mendapatkan hak dan amanah ke atas Bait al-Maqdis dan Palestin amnya.mesti menerima hakikat bahawa Bait al-Maqdis adalah Tanah Suci kepunyaan Allah (s.w.t.). Bukan milik mutlak mana-mana bangsa samada Yahudi, Arab ataupun Palestin. Allah (s.w.t.) telah menjelaskan hal ini dengan terang dan jelas;Maksudnya: ”Sesunggohnya kami telah tuliskan dalam Kitab Zabur sesudah al-Zikr (Taurah) bahawa bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaku yang Soleh”. (al-Qur’an: 21/105)
Oleh itu mana-mana kaum yang berjuang untuk mendapatkan hak penguasaan ke atasnya kerana Allah (s.w.t.) demi untuk menegakkan Aqidah dan Syari’ahNya akan ditolong Allah. Sebaliknya jika tidak, tetapi hanya berasaskan perkiraan dunia semasa, contohnya semangat kebangsaan sekular, , ia bukan sahaja tidak memiliki status ” sah “, malah tidak akan mendapat pertolongan Allah, dan terserahlah kepada perkiraan dunia semasa; siapa kuat dia dapat.
Ust. Mohamad Fauzi Zakaria © x-sua mbk 2000. Jeddah, 16 Rejab 1428 H. fawzi_madani@yahoo.com