Mencari Lailatul Qadar

Rancangan Tanyalah Ustaz

17 Ramadan 1433H

Mencari Lailatul Qadar (1)

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan untuk menjadi petunjuk kepada manusia, seperti yang dinyatakan dalam ayat 185 surah Al-Baqarah. Sebagai pencipta kita, hanya Allah yang tahu tentang kita dan layaklah Al-Quran itu dijadikan sebagai ‘manual’ hidup kita. Ada 3 ayat Quran yang perlu dibaca serentak iaitu :

Surah Al-Baqarah : 185
Surah Al-Qadr : 1
Surah Ad-Dukhan : 3
Penerangan

Ketiga-tiga ayat ini memberi tafsiran waktu Quran diturunkan dan inilah yang tafsir yang paling cantik kerana Al-Quran ditafsir dengan Al-Quran sendiri. Kedua terbaik ialah apabila Quran ditafsir oleh Sunnah dan ketiga terbaik ialah apabila Al-Quran ditafsir oleh sahabat. Saya ingin mencadangkan sebuah kitab tafsir bertajuk ‘Adhwa’ul Bayan’ yang menjelaskan Al-Quran dengan Al-Quran juga.

Saya harap kita semua telah baca Al-Quran kerana kita sudah pun memasuki 17 Ramadhan. Jika kita kata kita tak pandai mengaji, beranikah kita menjawab pada Allah dan malaikat yang kita tak pandai, sedangkan pen pun sudah pandai baca Al-Quran hari ini. Kita kena ingat bahawa lebih tinggi teknologi yang ada, lebih besar hujjah Allah terhadap kita.

Kita akan memtadabbur surah Al-Qadri, sebutannya Al-Qadri bukan Al-Qadar. Al-Qadri mempunyai makna berbeza dengan Al-Qadar yang bermaksud penentuan takdir hidup manusia. Saya amat menggalakkan di samping tilawah, kita juga mentadabbur Al-Quran. Janganlah asyik menyalahkan masa yang menjadikan kita tidak sempat berbuat amal dan kebaikan.

Al-Qadar berasal daripada perkataan Qadr iaitu bermakna tinggi martabat di sisi Allah. Selain itu ia juga bermakna ‘sempit’ yang bererti Allah sembunyikan tarikh Lailatul Qadar. Ada juga pendapat mengatakan bermaksud sempit kerana Allah turunkan begitu ramai malaikat sehingga bumi menjadi sempit.  Al-Qadar juga bermaksud ‘takdir’ yang  akan dibincang bersama dengan surah Ad-Dukhan esok, InsyaAllah.

Dalam ayat 2 dan 3 surah Al-Qadr, Allah bertanya dan memberi jawapan tentang kelebihan Lailatul Qadar.  Dinyatakan bahawa Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Dalam ayat ke-4 dinyatakan bahawa Malaikat akan turun, dan dinyatakan nama malaikat Jibril secara khusus untuk menunjukkan ketinggian kedudukannya. Lailatul Qadar ini dianugerahkan kerana umur kita pendek berbanding dengan umat Nabi lain. Malaikat yang turun akan membawa rahmat. Sayangnya jika malaikat yang turun tidak dapat kita bawa balik bersama ke rumah kerana rumah kita tidak memenuhi tuntutan syariah. Oleh itu, sempena raya ini, ubah-suai hiasan rumah dan buanglah patung-patung atau gambar-gambar yang tak ‘mesra malaikat’. 

Tanda-Tanda Lailatul Qadar

Lailatul Qadar itu pasti ada, cuma ulama mengharapkan ianya berlaku pada malam 27. Oleh itu lebihkan amalan pada malam 27. Tanda-tanda Lailatul Qadar seperti yang dipetik daripada hadis Nabi SAW ada dua iaitu:

  1. Pagi itu cahaya matahari tidak begitu menyinar dan nampak tenang.
  2. Malam itu udaranya sejuk (Namun sekarang ini sebab ada ‘aircond’ kita sentiasa rasa sejuk)

Tanda yang tak betul pula ialah – pokok akan sujud, air tawar jadi masin, anjing tak menyalak dan sebagainya. Walaupun ulama memberatkan pada malam 27, lebih baik kita ambil satu pakej sekaligus selama 10 malam yang terakhir. Tetapi jangan pula jika dah dapat Lailatul Qadar buat maksiat lagi selepas itu.

Senarai Soal Jawab

Soalan 1

Jika saya beribadat betul-betul di bulan Ramadhan, dan meneruskannya sehingga di luar Ramadhan, adakah itu tandanya saya mencdapat Lailatul Qadar? Jika saya beribadat cuma di bulan Ramadhan saja dan meninggalkannya  selepas itu, adakah itu tandanya saya tidak mendapat Lailatul Qadar?

Jawapan

Jika selepas Ramadhan kita dapat istiqomah dengan amalan dan ibadat baik, itu maknanya kita telah mendapat kelebihan Ramadhan dan juga Lailatul Qadar. Jika kita gagal meneruskan kebaikan selepas Ramadhan, itu maknanya kita gagal memperbaiki diri setelah masuk ke dalam kem Ramadhan. Istiqomah itu penting dan teruskanlah segala kebaikan selepas Ramadhan juga.

Soalan 2

Apakah amalan, zikir atau doa tertentu yang perlu dilakukan pada Lailatul Qadar?

Jawapan

Amalannya adalah sama seperti amalan-amalan di malam lain seperti solat terawih, qiyamullail dan tadarus. Cuma ada tambahan satu doa seperti yang disampaikan oleh Aisyah r.a.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.

Inilah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Kita boleh juga tambah berdoa apa yang kita hendak. Berdoa lebih baik daripada membaca doa kerana berdoa itu datang daripada hati, sedangkan membaca itu hanyalah sekadar membaca teks sahaja.

Soalan 3

Adakah Lailatul Qadar ini hilang sehingga kita perlu mencarinya?

Jawapan 

Lailatul Qadar itu tak hilang, cuma kita  tak jumpa cari. Dalam satu hadis daripada Imam Nawawi, pada suatu malam Nabi SAW keluar untuk menceritakan pada sahabat bilakah tarikh Lailatul Qadar. Apabila sampai, didapati ada 2 orang yang sedang bertikam lidah. Lalu Nabi SAW berkata, “Aku datang tadi hendak memberitahu kamu tentang bilakah Lailatul Qadar. Namun, oleh kerana ada 2 orang yang sedang berbantah-bantah, maka telah diangkat semula tarikhnya. Semoga hilangnya tarikh itu lebih baik bagi kamu”. Maksud diangkat disini ialah ianya ada, cuma tidak boleh diberitahu. Jika diberitahu ada kemungkinan kita akan jadi seperti kaum Nabi Musa yang bersoal terlalu banyak tentang lembu yang Allah minta mereka sembelih. Nabi SAW cuma beri tips untuk mencarinya pada 10 malam terakhir.

Soalan 4

Apakah petua untuk mendapatkan Lailatul Qadar?

Jawapan

Jangan bayangkan Lailatul Qadar itu sebagai satu malam ajaib yang berlaku benda-benda pelik. Pada Lailatul Qadar malaikat akan turun. Petuanya mudah, seperti mana yang Nabi SAW buat adalah dengan meningkatkan ibadat pada 10 malam terakhir. Buat amalan-amalan seperti malam Ramadhan yang lain juga. Tunaikan solat fardhu dan terawih secara berjemaah. Jangan lari terawih selepas 8 rakaat, melainkan saudara adalah OKU dalam ibadat. Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang solat terawih bersama imam sehingga sudah (sehingga witir), ditulis baginya pahala berdiri malam sampai Subuh”. Jangan keluar saf untuk witir sendiri di rumah, habiskan bersama-sama imam. Saya syorkan pada imam-imam masjid dan surau untuk menangguhkan witir pada pukul 4:30 pagi, kerana daripada pemerhatian, orang akan lebih mudah terpanggil untuk pergi ke masjid kerana merasakan belum sempurana solat yang dilakukan pada awal malam sebelum itu. Selain itu, tambahlah dengan solat tahajjud, tadarrus dan amalan baik seperti selalunya. Sebagai tambahan, amalkan kaedah Abu Anas – “Kalau tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat”. Jika penat, lebih baik tidur sahaja. Paling kurang, jika malaikat turun pada Lailatul Qadar, tidaklah ditulis yang kita sedang berbuat maksiat pula.

Soalan 5

Apakah syarat minimum mendapat Lailatul Qadar?

Jawapan

Syarat minumum ialah dengan solat Isyak berjemaah, solat terawih sehingga selesai bersama imam dan tinggalkan maksiat. Namun, jika sikit saja yang kita buat, maka sikitlah ganjarannya. Oleh itu, persiapkan segala urusan sebelum malam 20 agar kita dapat menambah ibadat dan fokus pada 10 malam terakhir nanti.

Soalan 6

Bagaimana pula jika wanita keuzuran ketika 10 malam terakhir?

Jawapan

Ketika uzur, wanita boleh buat semua amalan kecuali solat. Tambahan petua adalah teruskan berbuat amalan-amalan baik sebelum ‘waktu uzur’ datang. Dengan cara itu, jika didapati telah uzur, akan tetap ditulis pahala seperti mana amalan-amalan yang biasa dilakukannya.

18 Ramadan 1433H

Mencari Lailatul Qadar (2)

Surah Ad-Dukhan : 44
Penerangan

Ayat ke-2 menyatakan Al-Quran bersifat menerangkan yang hak dan yang batil.

Ayat ke-3 menunjukkan yang Al-Quran bersifat memberitahu cara targhib (galakan cara mendapatkan pahala) dan tarhib (balasan jika melakukan dosa). Inilah ciri-ciri keindahan Islam. Saya ada menulis sebuah buku bertajuk – ‘Keindahan Islam’ secara ringkas.

Ayat ke-4 menyatakan bahawa segala takdir kehidupan kita telah pun ditulis semasa kita masih dalam kandungan ibu lagi dan disimpan di Luh al Mahfuz.  Pada malam Lailatul Qadar, akan diberikan takdir kita untuk setahun kepada malaikat. Dalam masyarakat kita, ini juga dikenali sebagai malam ‘tukar buku’ seperti yang biasanya dikatakan berlaku pada malam Nisfu Syaaban. Menurut Imam Ibnu Kathir, ianya berlaku pada malam Lailatul Qadar dan sesiapa yang mengatakan ianya berlaku pada malam Nisfu Syaaban telah jauh dari fakta yang sebenar.

Ada pendapat yang mengatakan tiada lagi malam Lailatul Qadar. Namun, kita jangan sempitkan fikiran kita dan rebutlah peluang untuk menambah ibadat.

Sambungan perbincangan: Semalam ada saya sebutkan bahawa Lailatul Qadar bermaksud sempit kerana ramainya malaikat yang turun.

Sambungan huraian

Surah Al-Qadr: 5
Penerangan

‘Salam’ di sini bermaksud bahawa tiada lagi gangguan syaitan. Jadi, jika masih ada berlaku maksiat atau kejahatan, itu merupakan perbuatan ‘khalifah-khalifah syaitan’. Ada juga ulama mengatakan yang ‘salam’ itu juga bermaksud tiada penyakit yang turun pada malam itu. Oleh sebab itu, Nabi SAW mengajar agar sebelum tidur kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman. Para ulama membincangkan sebabnya dan dikatakan bahawa wabak penyakit akan turun pada waktu malam. Makna ketiga pula ialah ‘yang penuh kebaikan’. Oleh sebab itu, kita berharap agar kita sedang berbuat kebaikan ketika berlakunya Lailatul Qadar.

Tanda Lailatul Qadar hanya boleh dilihat pada waktu paginya. Jadi, tak perlulah kita terlalu mencari-cari tandanya dan jika terjumpa pun, tak perlu diheboh-hebohkan. Jika Allah kehendaki, pasti akan dibukakan kepada orang yang terpilih itu.

Senarai Soal Jawab

Soalan 1

Adakah wanita yang uzur berpeluang mendapat Lailatul Qadar?

Jawapan

Memang soalan ini banyak berlegar dalam fikiran muslimat sehinggakan ada yang sanggup ambil pil tahan haid. Namun, Nabi SAW tidak pernah mengajar isteri-isterinya berbuat begitu. Nabi SAW menyuruh kita meneruskan dengan ibadat sepanjang masa. Ada banyak bentuk ibadat yang boleh dilakukan – jika tidak boleh baca Quran, boleh mendengar, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Niat baik pun InsyaAllah akan mendapat pahala, apabila terhalang oleh syarak untuk menunaikannya.

Soalan 2

Ramai orang Islam pergi menambah ibadat di bulan Ramadhan namun masih mengata dan mencaci antara satu sama lain. Mohon pandangan ustaz.

Jawapan

Puasa itu bukan sekadar tidak makan dan minum. Kita perlu juga jaga diri daripada berbuat perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa.

Soalan 3

Lailatul Qadar ini umpama memburu pingat emas dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih. Mohon pendapat ustaz?

Jawapan

Nak dapat Lailatul Qadar tidaklah sesusah untuk mendapatkan pingat emas olimpik! Lailatul Qadar itu pasti akan berlaku, cuma persoalannya adakah ketika itu, kita sedang beribadah atau berbuat maksiat? Paling kurang kita amalkan seperti yang saya ajar semalam – solat fardhu berjemaah, solat terawih bersama imam sehingga selesai, dan sambung dengan tadarrus dan amalan baik yang lain. Jika tidak mampu ke masjid atas halangan tertentu, boleh juga beramal di rumah. Dan jangan lupa dengan kaedah Abu Anas “Kalau tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat”.

Soalan 4

Kenapa kita sering mengantuk untuk beribadat ketika Lailatul Qadar?

Jawapan

Jika mengantuk, tidur. Jangan pula tengok TV atau telefon orang dan mengumpat pula. Boleh juga amalkan zikir – ‘Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha ilallah, Allahu akbar’. Dalam Islam, ada banyak bentuk ibadat, terpulang pada kita untuk buat atau tidak.

Soalan 5

Ibu bapa ada kalanya dimarahi jemaah kerana membawa anak kecil ke masjid? Mohon pandangan ustaz.

Jawapan

Para jemaah perlu lebih mesra kepada kanak-kanak. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa perlu letakkan anak di sebelah mereka agar mereka tidak merayau-rayau. Hukumnya dibolehkan dan ada saya bincangkan dengan lanjut di www.abuanasmadani.com. Kefahaman lama yang anak kecil memutuskan saf perlu kita ubah dan perbaharui. Mungkin boleh jadi tajuk untuk dibincangkan dalam Tanyalah Ustaz akan datang nanti. Orang ramai pula jika jumpa anak kecil yang merayau, pulangkan pada ibu bapanya. Jangan ambil tempat yang telah diambil anak kecil. Jika datang lambat, duduklah di belakang.

Soalan 6

Apakah ertinya Lailatul Qadar bagi kanak-kanak?

Jawapan

Sama seperti orang dewasa dan boleh juga beribadat, cuma pahalanya dapat kepada ibu bapanya.

Soalan 7

Adakah tanda-tanda pada diri seseorang yang berjumpa Lailatul Qadar seperti berdebar, sayu dan sebagainya?

Jawapan

Ini semua rahsia antara Allah dan hambanya. Saya tak galakkan orang yang berjumpa bercerita dengan orang lain. Jangan sekali-kali ber ’FB’ tentang pengalaman Lailatul Qadar.

Kesimpulan

Rasulullah pernah bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَ له مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barang siapa berdiri (solat atau apa-apa ibadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [Hadits Riwayat Bukhari 4/217 dan Muslim 759] .


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *