Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Ulasan Buku: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad (Siri 3)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 23 Mei 2011 · 8 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

حكم التبديع في مسائل الاجتهاد

Pendahuluan

Buku ini ditulis oleh seorang pensyarah di Fakulti Syariah, Universiti Islam Madinah, al-Madinah al-Munawwarah, iaitu Syeikh Prof. Dr. Muhammad bin Husain al-Jizani hafizahullah. Beliau ialah salah seorang guru ana dalam subjek Usul Fiqh di Universiti Islam Madinah, seorang yang baik dan petah berhujah. Beliau telah mendapat gelaran profesor (“Ustaz”) dalam bidang Usul Fiqh pada tahun 2010.

Penulisan Syeikh

Antara hasil tulisan dan kajian beliau dalam bidang fiqh dan usul:

  • معالم أصول الفقه عند أهل السنة والجماعة (رسالة الدكتوراه)
  • فقه النوازل، دراسة تأصيلية تطبيقية (4 مجلدات)
  • قواعد معرفة البدع
  • معيار البدعة، ضوابط البدعة على طريقة القواعد الفقهية
  • ضوابط الحكم على البدعة والمبتدعة
  • سنة الترك ودلالتها على الأحكام
  • دراسة وتحقيق قاعدة "الأصل في العبادة المنع"
  • قاعدة المصالح في الشريعة الإسلامية
  • إعمال قاعدة سد الذرائع في باب البدعة
  • حقيقة الضرورة الشرعية وتطبيقاتها المعاصرة
  • القواعد الفقهية والأصولية المؤثرة في تحديد حرم المدينة النبوية
  • تهذيب كتاب الموافقات للشاطبي
  • بناء الأصول على الأصول
  • فصول من كتاب الانتصار لأصحاب الحديث

Di sini, insya-Allah, ana nukilkan muqaddimah dan khatimah kitab ini sahaja untuk memberi gambaran tentang isi kandungan dan rumusan kitab secara umum.

Al-Muqaddimah

Kata muallif hafizahullah:

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، أما بعد:

Bahawasanya at-tabdi‘, iaitu menghukumkan bid‘ah dalam masalah-masalah ijtihad, adalah satu hukum syarak.

Maka sepatutnya hukum ini dibahaskan dan dikaji masalah-masalahnya dengan teliti serta diketahui dhawabitnya (kriteria-kriterianya).

Satu perkara yang pelik: kamu akan dapati ramai ahli ilmu berhati-hati menjatuhkan hukum kafir dalam masalah-masalah ijtihad kerana ia sangat bahaya dan amat besar kedudukannya. Tetapi yang amat mendukacitakan, mereka begitu mudah menjatuhkan hukum bid‘ah dalam perkara tersebut dengan memandang remeh keadaan bid‘ah itu.

Maka di sini sangat jelas kepada kita bahawa menutup pintu tabdi‘ dalam masalah ijtihad dan memberi amaran tentang bahayanya termasuk perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian, sebagaimana menjauhi dan menghindari hukum kafir terhadap perbezaan dalam persoalan-persoalan ijtihad.

Dalam masalah ijtihad, kita bukan sahaja harus menutup pintu tabdi‘, tetapi sepatutnya juga membuka ruang untuk berdialog dan berbincang secara baik serta membuat kritikan yang membina.

Ini boleh menjadi sebab orang-orang yang berbeza pandangan berpegang dengan ath-thawabit (perkara-perkara tetap), menjaga al-muhkamat serta bertolong-tolongan (ta‘awun) di atas al-birr dan at-taqwa.

Dengan meninggalkan tabdi‘ sesama orang beriman, akan terhasil kemaslahatan agama dan maqasid syariah, iaitu mendekatkan jiwa, menjinakkan hati dan berkasih sayang sesama umat Islam.

Kerana itu saya memilih untuk menulis tajuk ini, dengan memohon kepada Allah Jalla Sya’nuhu agar memberi taufik dan membetulkan kefahaman.

Saya susun buku ini bermula dengan muqaddimah, pendahuluan dan enam tajuk utama:

  • Pendahuluan: takrif bid‘ah, takrif ijtihad dan dhawabit masalah ijtihadiyyah.
  • Tajuk Pertama: Larangan tabdi‘ dalam masalah ijtihad.
  • Tajuk Kedua: Dalil-dalil larangan tabdi‘ dalam masalah ijtihad.
  • Tajuk Ketiga: Ruang-ruang ijtihad dalam bab bid‘ah.
  • Tajuk Keempat: Bilakah boleh tabdi‘ dalam masalah ijtihad.
  • Tajuk Kelima: Hukum tabdi‘ terhadap mujtahid.
  • Tajuk Keenam: Beberapa kaedah usul dan fiqh yang berkaitan.
  • Al-Khatimah.

Kesimpulan Penulis

Penulis telah menyimpulkan lapan perkara dalam khatimahnya.

Pertama: Dabit masalah ijtihadiyyah ialah satu hukum yang dikeluarkan dengan cara ijtihad kerana tiada ijmak atau nas yang qat‘i dalam perkara tersebut. Jika ada nas sekalipun, ia bersifat zanni, ertinya boleh difahami dengan banyak kemungkinan dan ditakwil. (Ini kerana jika sudah ada nas yang jelas, tiada lagi ijtihad dalam perkara tersebut!)

Kedua: Ijtihad dan tabdi‘ ialah dua hukum yang bertentangan dan tidak mungkin bersatu.

Ini kerana apabila sabit sesuatu masalah itu daripada kategori ijtihadiyyah, tidak boleh menyifatkan pandangan seseorang mujtahid itu sebagai bid‘ah.

Sebaliknya apabila sabit perkara itu satu bid‘ah, maka tiada lagi ruang untuk berijtihad, bahkan ia termasuk dalam khilaf yang dicela.

Ketiga: Antara dalil larangan tabdi‘ dalam masalah ijtihad ialah:

Mencipta bid‘ah itu dicela secara keseluruhannya oleh syarak. Bid‘ah mendapat dosa, manakala ijtihad pula mendapat pahala (satu jika salah dan dua jika betul).

Terdapat satu lagi perbezaan yang ketara antara ijtihad dan bid‘ah: setelah diteliti, bid‘ah tidak mempunyai dalil syarak yang muktabar (hanya dalil-dalil yang daif, bahkan sebahagiannya palsu!), berbeza dengan pandangan yang lahir daripada ijtihad kerana ia dibina di atas usul syarak yang muktabar.

Maka masalah yang terhasil daripada rekaan itu akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam, adapun masalah ijtihad bukan punca perpecahan.

Ikhtilaf juga telah berlaku dalam kalangan para sahabat RA dan tabi‘in, tetapi mereka tidak mengatakan orang yang berbeza pandangan dengan mereka sebagai ahli bid‘ah atau pemecah jemaah.

Keempat: Ruang-ruang ijtihad dalam bab bid‘ah ada empat cabang:

  1. Hadis yang kesabitannya muhtamal (mungkin sabit atau mungkin tidak). Contohnya hadis tentang pensyariatan menyapu kedua-dua tapak tangan ke muka selepas berdoa.
  2. Hadis yang maknanya muhtamal (mempunyai banyak kemungkinan tafsiran). Contohnya hadis yang difahami sebagai pensyariatan meletakkan kedua-dua tangan ke dada ketika iktidal.
  3. Ikhtilaf at-tanawwu‘ (perbezaan yang pelbagai) dalam sifat-sifat ibadat yang datang daripada Nabi SAW. Contohnya membaca qunut dalam solat Subuh.
  4. Bab sadd adh-dhara’i‘, iaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada bid‘ah. Contohnya menggunakan biji tasbih ketika berzikir.

Kelima: Larangan tabdi‘ dalam ijtihad tidak bersifat mutlak. Bahkan terdapat dua jenis ijtihad yang boleh berlaku tabdi‘ padanya:

  1. Masalah ijtihadiyyah yang tidak beriltizam dengan syarak. Contohnya satu perkara ijtihad yang membawa kepada perbalahan umat Islam atau menjadi syiar (simbol) kepada kumpulan bid‘ah, seperti membaca bismillah secara kuat ketika solat yang sirri (yang perlahan bacaannya).
  2. Ijtihad dalam tahqiq al-manat, iaitu memastikan wujudnya ‘illah atau kaedah hukum pada sesuatu kes. Contohnya mengkhususkan hari tertentu dalam setahun untuk berpuasa sedangkan ia tiada dalam syarak, seperti puasa pada awal bulan Rejab.

Keenam: Mujtahid ialah seorang yang faqih, baligh dan berakal serta mempunyai malakah (kemampuan) untuk mengeluarkan hukum daripada sumbernya.

Menurut mazhab Salaf daripada kalangan sahabat dan tabi‘in, mujtahid yang memenuhi syarat ini, jika dia tersalah sekalipun, akan diberi keuzuran (ma‘zur) dan tidak berdosa.

Iaitu dengan syarat mujtahid yang tersalah itu mempunyai asas iman, mempunyai niat yang betul untuk mencari kebenaran, telah mencurahkan segala kemampuan dan tenaganya untuk mencari keredaan Allah SWT serta bertakwa kepada Allah SWT.

Ketujuh: Menamakan mujtahid yang tersalah dalam bab bid‘ah sebagai mubtadi‘ (ahli bid‘ah) hanya dibolehkan jika tiada tiga penghalang, iaitu: ikrah (paksaan), kejahilan dan tersalah dalam ijtihad (takwil).

Di sini kita mesti tahu membezakan antara bid‘ah dan mubtadi‘. Tidak semestinya apabila kita menghukumkan satu amalan itu bid‘ah, orang yang melakukannya juga dihukum mubtadi‘, kerana mungkin yang melakukannya itu seorang mujtahid yang ma‘zur (dengan tiga syarat di atas tadi).

Kelapan: Isu (qadhiyyah) tabdi‘ dalam masalah ijtihad mempunyai kaitan dengan beberapa kaedah usul dan kaedah fiqh:

  1. Kaedah: لا إنكار في مسائل الاجتهاد, “Tidak boleh ingkar dalam masalah ijtihad”.
  2. Kaedah: كل مجتهد مأجور, “Setiap mujtahid itu diberi pahala”.
  3. Kaedah: الخروج من الخلاف مستحب, “Keluar daripada khilaf itu mustahab (dituntut)”.
  4. Kaedah: لا اجتهاد مع النص, “Tidak boleh ijtihad sekiranya ada nas”.

Kaedah pertama, “Tidak boleh ingkar dalam masalah ijtihad”, lebih umum daripada kaedah “Tidak boleh tabdi‘ dalam masalah ijtihad”, kerana tabdi‘ ialah salah satu jenis ingkar. Ingkar itu ada beberapa tingkat: yang paling keras ialah mengkafirkan orang yang melanggar syariat, kemudian tabdi‘, kemudian mengatakan berdosa dan fasik.

Jelas pula hubungan kaedah “Setiap mujtahid itu diberi pahala” dengan larangan tabdi‘ dalam masalah ijtihad: apabila para mujtahid diberi pahala atas ijtihadnya, kita tidak boleh membid‘ahkannya dan mengatakannya berdosa, kerana membid‘ahkannya bererti menjadikannya berdosa! Tidak mungkin seorang mujtahid mendapat pahala dan berdosa dalam satu masalah yang sama.

Adapun kaedah “Keluar daripada khilaf itu mustahab”, hubungannya dengan masalah ini sangat jelas, kerana kaedah ini menetapkan galakan (istihbab) mengambil kira pandangan yang marjuh (tidak kuat) dalam masalah ijtihad, kerana dibimbangi mungkin pandangan itulah yang betul (kerana tiada dalil qat‘i yang memutuskannya).

Maka lebih utama lagi tidak boleh mengingkari pandangan yang marjuh atau mencelanya atau menjatuhkan hukum bid‘ah dan berdosa ke atas mujtahid yang mengatakannya.

Manakala kaedah “Tidak boleh ijtihad sekiranya ada nas” difahami: apabila tiada nas, maka boleh berijtihad. Jelasnya, adanya nas menjadi dalil tidak boleh berijtihad; maka apabila boleh berijtihad, terhalanglah daripada tabdi‘ atau ingkar. Sekian.

Ulasan

Buku ini membawa satu perbincangan yang baik, agar para pendakwah tidak cepat menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya ke atas mereka yang tidak selari dengan pandangan atau kefahamannya. Ini kerana dalam memahami sesuatu hukum, perlu dibezakan sama ada ia mempunyai nas qat‘i yang jelas sehingga tiada lagi ruang untuk berijtihad atau masalah yang tiada dalil sama sekali atau ada dalil tetapi muhtamal, yang membolehkan ulama berijtihad dalam perkara tersebut. Dengan tasawur yang jelas tentang masalah ini, seseorang dapat dihalang daripada terus melabelkan sesuatu masalah itu sebagai bid‘ah atau sebaliknya.

Maka amatlah penting bagi para pendakwah dan penuntut ilmu (tullab al-‘ilm) untuk mendalami ilmu usul fiqh, usul hadis dan lain-lain, serta tidak gopoh dan terlalu boros menjatuhkan hukum terhadap orang lain.

Semoga kejernihan dan keceriaan ilmu kembali bersinar, serta ukhuwah dan mawaddah sentiasa subur dalam masyarakat.

Akhirnya, sama-sama kita renungi pesanan Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah:

"هذا العصر عصر الرفق والصبر والحكمة، وليس عصر الشدة. الناس أكثرهم في جهل، في غفلة وإيثار للدنيا، فلا بد من الصبر، ولا بد من الرفق؛ حتى تصل الدعوة، وحتى يبلغ الناس، وحتى يعلموا. ونسأل الله للجميع الهداية." [مجموع فتاوى سماحته 8/376 و10/91]

Maksudnya: “Zaman ini ialah zaman berlemah lembut, bersabar dan berhikmah, bukan lagi zaman syiddah (kekerasan). Manusia kebanyakannya dalam keadaan jahil, lalai dan mengutamakan dunia. Maka mestilah bersabar dan berlemah lembut supaya dakwah dapat sampai kepada mereka, sehingga mereka mengerti. Kami memohon kepada Allah SWT agar memberi hidayah kepada semua.”

وصلى الله وسلم على حبيبنا المصطفى وعلى آله ومن سار على نهجه إلى يوم الدين

Al-Faqir ilallah, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 19 Jamadilakhir 1432H – 23 Mei 2011.

Bacaan berkaitan: Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

Siri ini: Siri 1: Terima Kasih Wahai Para Musuh · Siri 2: Al-Bida‘ al-Munkarah · Siri 3: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad · Siri 4: Bidayah as-Sul

Sebelum: ← Ulasan Buku: Al-Bida‘ al-Munkarah (Siri 2)
Seterusnya: Ulasan Kitab: Bidayah as-Sul, 41 Kelebihan Rasulullah SAW (Siri 4) →

Rujukan

2 sumber
  1. Muhammad bin Husain al-Jizani, Hukm at-Tabdi‘ fi Masa’il al-Ijtihad.

  2. ‘Abd al-‘Aziz bin Baz, Majmu‘ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah, 8/376 dan 10/91.

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026