Pendahuluan
Kitab Bidayah as-Sul fi Tafdhil ar-Rasul SAW.
Penulis kitab ini, Syeikh ‘Izzuddin Abdul Aziz bin Abdul Salam (577–660H), ulama yang terkenal dengan gelaran “Sultan Ulama & Penjual Raja-raja”, telah mengemukakan sebanyak 41 kelebihan Rasulullah SAW yang mengatasi para anbiya’ yang lain ‘alaihimus-solatu was-salam.
Ulasan
Terdapat banyak kitab yang ditulis oleh ulama-ulama terdahulu tentang kelebihan Rasulullah SAW. Antaranya:
- Kitab asy-Syama’il al-Muhammadiyyah oleh Imam Abu ‘Isa at-Tirmizi.
- Kitab Dala’il an-Nubuwwah oleh Imam Abu Nu‘aim al-Asbahani dan Dala’il an-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi.
- Kitab al-Khasa’is al-Kubra oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Terdapat juga sebuah kitab baharu berjudul al-Amanah al-‘Uzma wa Nabiyyuha SAW, hasil tulisan Prof. Dr. Khalil Ibrahim dari Universiti Taibah, Madinah. Beliau menyebut bahawa terdapat 250 ciri keistimewaan Rasulullah SAW yang mengatasi kelebihan para anbiya’ lain.
Keistimewaan kitab Bidayah as-Sul berbanding yang lain ialah kesahihan maklumat yang dipilih.
Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah: “Maklumat dalam risalah kecil ini merupakan pilihan pengarangnya daripada riwayat yang sahih; tidak ada yang boleh diputuskan sebagai daif. Inilah keistimewaan risalah ini berbanding kitab-kitab yang lain.” [Tahqiq Bidayah as-Sul, hlm. 12]
Kandungan buku ini keseluruhannya menunjukkan ketinggian darjat Rasulullah SAW. Maka kita sebagai umatnya wajib menyayangi baginda dengan mengikut petunjuk dan ajarannya yang sebenar, bukan sekadar mencipta slogan atau cogan kata yang ditulis dan dilaungkan.
Dengan mengetahui kelebihannya ini, akan bertambah lagi keimanan dan kecintaan kita kepadanya. Ini kerana cinta kepada Nabi merupakan syarat asas bagi iman yang mantap seseorang hamba, disertai cinta kepada Allah yang telah menganugerahkan kepada kita Rasul yang mulia ini.
Firman Allah SWT:
{هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ}
Maksudnya: {Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelum itu benar-benar dalam kesesatan yang nyata.} [al-Jumu‘ah: 2]
Rasulullah SAW juga bersabda:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ))
Maksudnya: “Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman: Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihinya daripada selain kedua-duanya; dia menyayangi seseorang semata-mata kerana Allah; dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (setelah beriman) sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Penutup
Semoga dengan mengetahui kelebihan yang besar ini, akan bertambah lagi keimanan dan kecintaan kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang akan membawa kita ke syurga Allah. Amin.
Bacaan berkaitan: Sultan Ulama’ al-‘Izz Ibn Abdul Salam · Tanda & Bukti Cinta Terhadap Rasulullah SAW
Siri ini: Siri 1: Terima Kasih Wahai Para Musuh · Siri 2: Al-Bida‘ al-Munkarah · Siri 3: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad · Siri 4: Bidayah as-Sul
Sebelum: ← Ulasan Buku: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad (Siri 3)
Rujukan
3 sumber-
Al-‘Izz bin ‘Abd as-Salam, Bidayat as-Sul fi Tafdil ar-Rasul, tahqiq Muhammad Nasir ad-Din al-Albani (Beirut: al-Maktab al-Islami).
-
Al-Quran, Surah al-Jumu‘ah (62): 2.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 16; Sahih Muslim, no. 43 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com
