Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M
Oleh: Abu Anas Madani,
Jemaah haji KT82. Maktab 81. Melalui Ash-Har Travel & Tours Sdn Bhd.
[KT: Nombor Penerbangan Catar Tabung Haji dari Msia. Maktab: Nama kumpulan Muassasah Arab Pengendali Jemaah Haji Malaysia di Makkah]
بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ba’du.
Haji, Firman Allah Taala:
{ وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28) } [الحج: 27-28]
Maksudnya: {Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (27) Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin}. (Surah Al-Haj: 27-28).
Sabda Rasulullah saw:
عن أبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: (( مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ )) رواه البخاري.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu katanya: Aku mendengar Rasululah sallallahu alaih wasallam telah bersabda: “Sesiapa yang melakukan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan rafath (berkata lucah / hubungan seks) dan tidak melakukan kefasikan (maksiat), maka akan keluar daripada dosanya seperti hari hari dilahirkan oleh ibunya”. [Riwayat Bukhari].
Dalam catatan ringkas ini ana akan ceritan sedikit pengalaman peribadi yang dilalui dan diperhatikan sepanjang rehlah al-haj (menunaikan ibadat haji) pada tahun 1431 Hijriah bersamaan 2010M.
Semoga apa yang dicoretkan di sini menjadi suatu kenangan dan sebahagian darinya pula boleh dijadikan bahan renungan / perbincangan bersama.
Perjalanan dari Msia:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan peluang kepada Abu Anas ke Makkah untuk menunaikan haji serta memberi bimbingan kepada jemaah haji yang bersama dalam pakej Ash-Har Travel & Tours.
Hari Pertama: (01 Nov) Rombongan kami dari KB agak cemas sedikit. Cuaca yang mendung dan hujan turun agak lebat, beberapa penerbangan terpaksa menukar haluan dan beberapa kerisauan sampingan yang menyapa. Alhamdulillah, sesudah semua ujian ‘sulung’ itu dilalui akhirnya pesawat kami MH dapat mendarat dengan selamat walaupun penerbangan yang dijadualkan jam 11.35 pagi agak terlewat berlepas ke KLIA.
Sampai di KLIA jemaah terus dibawa dengan bas ke Kompleks Jemaah Haji Kelana Jaya, sampai di KJ jemaah berehat di bawah khemah yang disediakan dan makanan tengah hari diedarkan oleh staf Ash-Har.
Setelah selesai makan jemaah dibawa masuk ke bilik rehat dalam dewan Jurga sementara menunggu waktu lapor diri di dewan berlepas.
9.30 malam proses check in dimulakan dan jemaah berkumpul dalam dewan berlepas. Sedikit taklimat perjalanan disampaikan oleh pegawai TH, kemudian seorang jemaah melaungkan azan sebagai tanda perlepasan.
[Ada juga jemaah bertanya dan minta dalil, adakah Rasulullah saw atau para sahabat azan ketika hendak bermusafir? Dalil perlu diteliti untuk memberi jawapan kepada jemaah yang bertanya!!]
Kemudian jemaah dibawa naik bas dan satu konvoi 7-8 buah bas diiringan oleh sepasukan polis trafik terus ke dewan berlepas KLIA.
Jam 2.00 pagi rombongan kami berlepas dengan pesawat Saudia (SV) ke Jeddah. Dalam penerbangan Abu Anas sempat bercakap sikit mengenai Miqat dan solat subuh atas KT memandangkan semua anak kapal tidak boleh berbahasa melayu.
Rombongan kami terpaksa solat subuh atas KT. Maka, ramailah jemaah melakukan solat “HORMAT WAKTU” yang diajar kepada jemaah haji oleh para pengkursus haji di Malaysia. Abu Anas dapat solat dengan sempurna dicelah kerusi KT, Alhamdulillah.
Sampai di Jeddah 6.40am waktu Arab Saudi, kami terpaksa menunggu giliran cop pasport dan mengambil barangan. Semua proses pasport dan urusan kastam serta pihak kementerian Haji Arab Saudi, kami menaiki bas ke Makkah. Semua proses di atas dan perjalanan mengambil masa 7-8 jam, Allahulmusta’aan. Kami sampai di Hotel Dar Umm Hanie, Makkah jam 2.30pm.
Amalan Tawaf dan Saie umrah dilakukan secara berkumpulan dan ada juga yang pergi sendirian, khasnya mereka yang pernah datang menegrjakan haji atau umrah.
Sepanjang tempoh menanti hari wukuf, sempat diadakan beberapa siri ceramah kepada jemaah, mengenai sejarah Makkah dan tanah haram, ceramah khas mengenai kelebihan 10 hari terawal bulan Zulhijjah; takbir, tahmid dan tahlil serta anjurkan berpuasa sunat. Begitu juga penjelasan mengenai adab-adab khusus bagi mereka yang hendak melakukan ibadah qurban. Perkara ini kelihatannya seolah-olah ter’padam’ dari kotak ilmu dan amalan masyarakat kita di Malaysia.
Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim; “Apabila masuk bulan Zulhijjah, mereka yang nak melakukan ibadah qurban dan berniat untuknya hendaklah tidak memotong kuku, mencukur rambut atau bulu atau memotong rambut dari mula berniat hinggalah selesai qurban dilaksanakan”.
Kemudian 10 Nov tugas ceramah lebih ringan dengan kedatangan Ustaz Abu Fateh al-Mubaraki, Ahmad Husni Dato’ Abdul Rahman…
Bersambung….