Petikan Teks Khutbah Arafah bagi tahun 1431H
حجاج بيت الله
Seruan Arafah 1431H kali ini sekali lagi bersuara. Suara yang sentiasa memenuhi jiwa-jiwa yang ingin pulang ke pangkuan Allah Ta’ala dengan seruan menambah ketaqwaan kepadaNya. Hanya taqwa sahajalah merupakan nilaian yang diperakui di sisi Rabb al-Jalil.
Pesanan Luqman al-Hakim kepada anakndanya wajar dijadikan perhatian buat semua dengan katanya:
“Wahai anakku yang dikasihi. Janganlah sekali-kali kamu menanggalkan pakaian taqwa dari tubuhmu. Sekiranya itu berlaku, maka seolah-olah tiada seurat benang pun yang menutupi tubuhmu.”
Justeru, permukiman kita dalam perkhemahan tarbawiyyah dan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim a.s dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w ini wajib dijadikan peluang yang digunakan sebaik-baiknya untuk menjana iman dan taqwa.
معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله
Ibadah Haji menyaksikan perhimpunan agung manusia dari seluruh pelusuk dunia. Perhimpunan yang mempunyai satu arah dan tujuan. Perhimpunan yang menyaksikan perbezaan darjat yang selama ini dibanggakan manusia, warna kulit yang suka dibeza-beza dan kedudukan serta pangkat yang sentiasa dibanding-banding dan dipuja semuanya menjadi sama, serupa dan tiada berbeza. Kebersamaan inilah yang lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa menjadikan manusia terhimpun menjadi satu. Satu aqidah, satu iman. Satu qiblat dan satu tujuan, Haji yang mabrur menjadi idaman. Menjadi satu umat kepada Nabi Akhir Zaman. Berpegang teguh dengan satu kitab al-Quran. Beramal kukuh dengan sunnah Nabi Junjungan, sehingga mampu menjadi pegangan yang berkekalan untuk dipersembahkan dihadapan al-Rahman pada perhimpunan Mahsyar yang agung kelak.
Sudah jelas lagi nyata kepada kita bahawasanya ajaran Islam adalah sesuatu yang memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat. Sebaliknya lebih jelas dan nyata lagi bahawasanya ajaran-ajaran, idealism-idealism dan semua yang selain dari agama Islam akan menempah akibat yang buruk bermula dari dunia lagi sebelum akibat yang lebih buruk dan tercela di akhirat sana. Kenyataan dan hakikat inilah mewajibkan diri kita bertambah yakin dengan Islam. Agama yang memacu kebenaran dan keadilan. Agama penyelamat manusia dari kemurkaan Tuhan.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Ali I’mran ayat 85:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلآخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِين
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang kepada (ajaran) selain dari Islam (dalam agama dan cara hidup) maka dia tidak akan diterima dan di akhirat nanti akan termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.”
معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله
Dalam kesempatan rehlah imaniyyah (kembara keimanan) yang berkampung di perkampungan maghfirah (keampunan) di Bumi Arafah ini pada saat yang sangat mulia lagi mustajab, saya ingin mengajak diri saya dan khalayak para jemaah sekelian untuk mendengar wasiat terakhir Bumi Arafah, Khutbah al-Wada’ Baginda saw. yang dibacakan di Wadi Uranah di hadapan hampir 124 ribu hingga 144 ribu jiwa manusia pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun kesepuluh Hijrah.
Khutbah ini seringkali diulang-ulang pesanannya oleh Rabiah bin Umayyah bin Khalaf dengan penuh bersemangat di bumi Arafah. Dengarlah wahai para Hujjaj sekelian, bingkisan dari Khutbah terakhir ini. Dengarlah dengan iman yang memenuhi setiap pelusuk nurani. Dengarlah agar terjelas olehmu akan maksudnya dan pengajaran darinya. Dengarlah dan hayatilah agar meresap dalam jiwamu yang murni. Dengarlah kini dan murnikan dengan hakikat dan perlaksanaannya bermula di sini dan hendaknya berkekalan setelah pulang dari Kembara Haji ini nanti.
Daripada Jabir bin Abdullah r.a sebagaimana yang termaktub dalam hadith riwayat Imam Muslim no 2137. Bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
1) “Wahai manusia sila dengar apa yang bakal aku perkatakan ini. Aku tidak tahu apakah akan dapat lagi aku bersamamu semua lagi selepas ini, di tempat ini, selepas tahun ini selamanya.
إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
2) Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan dirimu telah terpelihara (diharamkan untuk sesiapa pun mengkhianatinya) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan di Bandar ini (Makkah dan sekitarnya).
أَلَا كُلُّ شَيْءٍ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ تَحْتَ قَدَمَيَّ مَوْضُوعٌ وَدِمَاءُ الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعَةٌ وَإِنَّ أَوَّلَ دَمٍ أَضَعُ مِنْ دِمَائِنَا دَمُ ابْنِ رَبِيعَةَ بْنِ الْحَارِثِ كَانَ مُسْتَرْضِعًا فِي بَنِي سَعْدٍ فَقَتَلَتْهُ هُذَيْلٌ
3) Sesiapa yang memegang amanah maka hendaklah dikembalikan amanah tersebut kepada tuannya. Ingatlah segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kakiku (telah dihapuskan). Tuntutan hutang darah pada zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah yang pertama telahku batalkan ialah darah Ibn Rabi’ah bin al-Haris yang disusukan oleh Bani Sa’ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
Ketiga-tiga pesanan ini Nabi s.a.w persiapkan untuk para pemimpin dan pemegang amanah khasnya. Kepada para pimpinan tak kira samada di peringkat tertinggi, pimpinan mahupun ketua di pejabat atau syarikat, pemimpin dalam kelompok masyarakat atau pemimpin dalam institusi keluarga. Anda adalah tunjang kepada mereka yang dipimpin. Ini adalah kerana kebaikan dan keperibadian mereka yang di bawah jagaan kita punya keterikatan dengan tindak tanduk kita.
Telah dikatakan dalam sebuah khabar / athar:
الناس على دين ملوكهم
“Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”
Kata-kata ini telah dihuraikan oleh Dr. Salman Audah:
الناس على دين إعلامهم
“Manusia mengikut aliran iklam (media massa) mereka.”
Justeru, pimpinlah manusia dengan aturan dan panduan dari Allah Azza wa Jalla. Ingatlah kebenaran harus diutamakan walaupun berkaitan darah daging sendiri. Lihatlah betapa luhurnya Nabi s.a.w dalam menghapuskan sesuatu yang besar walaupun berkaitan dengan keluarganya sendiri. Keperibadian inilah yang diikuti dan diteladani oleh para khulafa’ zaman kegemilangan Islam yang melayakkan mereka memperoleh kemenangan dan bantuan Tuhan.
Begitu jualah dengan segala amalan-amalan yang bersifat jahiliyyah samada datang dalam bentuk perbuatan, perhiasan, pakaian dan apa jua bentuk amalan dan tradisi. Janganlah kita cemari pahala dan keampunan yang telah diperolehi dalam Haji ini terutama di Hari Arafah ini dengan kembali kepada kejahilan.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Fussilat ayat ke 34:
ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
Ertinya: “Bertoleransilah dengan yang lebih baik. Maka segala (permusuhan atau dendam) yang berlaku antara kamu dengan satu pihak yang lain akan menjadi seolah-olah teman yang paling rapat.”
معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله
Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w meneruskan lagi khutbahnya dengan sabdanya:
وَرِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ وَأَوَّلُ رِبًا أَضَعُ رِبَانَا رِبَا عَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَإِنَّهُ مَوْضُوعٌ كُلُّهُ
4) Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Mutallib. Sesungguhnya ia dihapuskan semuanya secara keseluruhannya.
Perhatikan sejenak kenyataan Rasulullah s.a.w ini. Ingatilah bahawasanya Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278-279:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
فإن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُون
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah segala bentuk-bentuk riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya sesungguhnya kamu telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka ambillah modalnya (pokok harta tersebut) dan kamu tidak menzalimi dan dizalimi.”
Nabi s.a.w berpesan lagi dalam khutbahnya:
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ
5) Wahai manusia! Takutilah Allah s.w.t dalam urusan berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah s.w.t dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka, tapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadap kamu, maka wajib bagi kamu menjaga makan dan pakai mereka dengan baik.
Kepada pemimpin keluarga, hargailah keluargamu yang dikasihi.
Kepada para suami, jangan lupakan yang anda punya isteri dan juga mungkin sudah punya zuriat yang perlu dijaga dengan amanah Allah.
Kepada semua yang cintakan kekayaan dan harta. Awasi agar harta anda bersih dari memakan yang bukan haknya dalam semua aspek.
Nabi s.a.w mengakhiri khutbahnya dengan berkata:
Kemudian kamu semua bakal ditanya tentang diriku, maka apakah yang bakal kamu perkatakan? Kami menjawab: “Kami bersaksi bahawasanya tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.”
Lantas Baginda s.a.w mengangkat tangannya ke langit seraya menurunkannya ke arah orang ramai lalu berkata sebanyak tiga kali: “Ya Allah! Saksikanlah.”
معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله
Wahai hati-hati yang punya iman! Berlarilah kepada memeluk keampunan dari Tuhan. Jangan biarkan waktu mustajab doa di Arafah ini berlalu pergi tanpa dimanfaati. Mengadulah, pohonlah dan munajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah air mata keinsafan yang datang dari taubat yang tulus dari hati yang mahu kembali kepada fitrahnya umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.
Firman Allah swt dalam Surah Aali ‘Imran:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135)
Ertinya: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Mereka yang menafkahkan hartanya dalam keadaan senang dan susah, yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain, dan Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan.”
Oleh: Abu Fatih Al-Mubaraki.
Makkah Al-Mukarramah, Al-Misfalah, Dar Umm Hani’ – Ash-Har Travel [Maktab 81].
7 Zulhijjah 1431H – 13 Nov 2010.
Disemak oleh: Abu Anas Madani.