Dajjal Moden!

Dajjal moden!

RasululLah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada fitnah dajjal pada akhir tahiyyat setiap kali menunaikan solat. 

Dajjal yang di takuti itu akan muncul di akhir zaman, sebagai salah satu dari tanda-tanda qiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya, mempercayai bahawa ia adalah tuhan. Dajjal yang buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa misteri yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan mata sebelahnya itu apa yang berlaku dalam dunia ini, dia boleh berjalan mengelilingi dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah-khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudahnya, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman, boleh mematikan dan menghidupkan kembali orang yang telah mati. Jadi sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia adalah tuhan yang sebenarnya dan akan sujud patuh mengikut perintahnya, tapi sebaliknya orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir, dan mereka yakin bahawa ianya hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia…

Walaupun dajjal sebenar dengan segala macam fitnah yang akan dibawanya akan muncul di akhir zaman sewaktu hampirnya qiamat, namun RasululLah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut, mungkin sebelum itu akan ada fitnah-fitnah –semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua darinya- yang seakan dengannya walaupun lebih kecil berbanding dengan fitnah dajjal yang hakiki.

Ini mengingatkan saya akan perbincangan di antara Syaikh Ibnu Bulayhid -yang merupakan tumpuan orang-orang Badwi di Najdi dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu darinya- dengan seorang penulis yang tidak asing lagi di sini iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria, beliau datang ke Saudi di zaman pemerintahan Al-Malik Abd Aziz dan merupakan seorang sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur: ‘The Road to Mecca (Makkah)’. Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul: ‘At-Toriq Ilal Islam’.

Dengan pengalamannya sebagai orang barat (Western man) yang non-Muslim sebelum ini, beliau mengibaratkan huraian dajjal yang disebutkan di dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati tentang kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya dajjal akhir zaman), tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya, hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal-usul kejadiannya.

Katanya: Tidakkah huraian dajjal dalam hadis Rasullah tadi begitu jelas sebagai satu penghuraian yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini? Ia bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja, kemajuan/perkembangan material (material progress), tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side), dengan bantuan mesin/alat-alat ciptaan yang canggih membolehkan manusia melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semulajadinya, juga boleh melalui jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satelite, internet dan sebagainya.

Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran. Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa dalam masa yang singkat sahaja.

Kemajuan dan kecanggihan meterial ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan dan material. Bukannya menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu adalah anugerah daripada Tuhan, tetapi sebaliknya semakin ramai manusia di dalam kejahilan mereka mula memikirkan bahawa itulah akhir hala tujunya dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.

Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya, tujuan kewujudannya di dunia ini akan bertambah kuat imannya, sesungguhnya jika mengikut dajjal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Atas kesedaran akan erti dajjal inilah juga antara sebab-sebab yang membawanya kepada Islam, Ad-Deen yang haqiqi. Baginya kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan dajjal yang memukau dan menyesatkan. Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan satu keseimbangan di antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan tiada langsung berkepentingan di dalam kamusnya, bahkan  hanya dikira sebagai satu muzik latar  yang menenangkan, boleh untuk menemani tetapi tidak sesekali untuk mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka. Kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral akan cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sains agungnya itu. Ayat  al-Quran ini sangat sesuai sekali bagi menghurai keadaan mereka itu :

قال الله تعالى : { مثلهم كمثل الذي استوقد نارا فلما أضاءت ما حوله ذهب الله بنورهم وتركهم في ظلمات لا يبصرون. صم بكم عمي فهم لا يرجعون }. ( البقرة : 17-18)

Ertinya : {Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu, buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).} 

Kerana buta dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik “Western way of life” , satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan dikilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata. Maka dengan itu dajjal telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Sekali lagi marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhkan dari fitnah dajjal ini, samada yang nyata atau apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Wallahu a’lam.  

Oleh: Ummu Anas Madani,9.99.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *