ISTIQAMAH SELEPAS HAJI
Al-Haqir Ila Allah swt, Abu Fatih Al-Mubaraki Ahmad Husni Abd Rahman
Pembimbing Jemaah Ash-Har Travel, Makkah Mukarramah, Haji 1432H / 2011M.
TAKRIF ISTIQAMAH
Kalimah Istiqamah dan arahan untuk beristiqamah terdapat dalam surah Hud ayat 112:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Maka tetaplah (fastaqim) kamu dalam jalan yang benar sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan barangsiapa yang bertaubat bersamamu dan tidak melampaui batas sesungguhnya Allah Maha Melihat setiap yang kamu kerjakan.” [Khutbah Istiqamah Selepas Haji di: http://youtu.be/J29vIj2oHVk ]
Begitu juga dalam hadis riwayat Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, khabarkan padaku sesuatu dalam Islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya selain darimu? Jawab Nabi s.a.w:
قل آمنت بالله ثم استقم
“Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama).”
Inilah seperkara yang amat sukar dalam hidup. Untuk beriman itu agak mudah pada kata-kata namun istiqamah selalunya parah perlaksanaannya. Mungkin ini boleh membantu, kata Saidina Umar al-Khattab: ‘Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa berubah-ubah seperti musang.’ [Lihat Ibn Qayyim dalam Madarij al-Salikin].
MOTIVASI ISTIQAMAH
Dalam al-Quran Allah S.W.T memberi galakan dan motivasi untuk hamba-Nya yang istiqamah dalam jalan agama dan kebenaran.Tawaran syurga-Nya bagi mereka yang istiqamah. Firman Allah Ta’ala dalam surah Fussilat ayat ke 30:
إن الذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنزلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
“Sesungguhnya mereka yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka tetap istiqamah maka akan turun kepada mereka para malaikat dan dikatakan kepada mereka janganlah kamu takut atau berdukacita. Bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah untuk kamu.”
Sesudah menyelesaikan tuntutan ibadah Haji, gesaan istiqamah selepasnya punya signifikan yang tersendiri. Keadaan yang sudah putih bersih umpama bayi yang baru lahir menuntut untuk dicorakkan lembaran baru kehidupan selepas mengerjakan haji dengan warna-warna ketaatan dan melaksanakan kebaikan serta amal soleh.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. dalam sebuah hadis yang panjang antaranya Allah s.w.t berfirman kepada hamba-Nya yang bermaksud: “Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan daripada sesiapa sahaja yang kamu pinta ampun bagi pihak mereka. Setiap biji batu yang kamu lontar di jamrah akan menghapuskan dosa kamu. Korban yang dilakukan pahalanya akan disimpan untukmu di sisi Tuhanmu. Kepala yang kamu cukur, bagi setiap helaian rambutnya akan diberi pahala dan dihapuskan dosa. Tawaf ifadhah yang kamu lakukan bakal menjadikan kamu tiada dosa lagi.
Sesudah itu malaikat datang dan meletakkan tangannya di atas bahumu dengan berkata: ”Beramallah kamu dengan amalan yang baru dan baik selepas ini. Sesungguhnya dosa-dosamu yang lepas telah diampunkan.” (Riwayat al-Bazzar dalam Majma’ al-Zawa’id, jil. 3, hlm. 274, Kashf al-Astar, jil. 2, hlm. 8 dan Sahih al-Jami’ al-Saghir, jil. 1, hlm. 429, no. 1373)
PANDUAN BERISTIQAMAH SELEPAS HAJI
Allah S.W.T memberi isyarat yang tersurat menerusi surah Hud selepas arahan untuk beristiqamah dengan beberapa noktah-noktah penting bermula dari ayat 113-115. Antara intisari yang boleh diambil ialah:
1) Jangan mendekatkan diri atau terlibat dengan orang-orang zalim dan berbuat kezaliman.
2) Jangan menyekutukuan Allah Ta’ala.
3) Menjaga Solat Fardhu dan Solat Qiyam.
4) Memaksimakan kebaikan untuk menghapus keburukan/dosa.
5) Sabar dan berserah diri kepada Allah.
Berikut adalah beberapa nota fikir sebagai panduan untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah sesudah pulang ke tanah air :-
- Berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi syirik dan khurafat
Inilah perkara asas dan utama yang perlu diperhatikan. Aqidah yang benar dan Iman yang jitu kepada Allah. Aqidah yang benar adalah mengikut apa yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan salafussoleh. Masalah umat Islam terbesar hari ini ialah mereka mengaku beriman tetapi mencampur-adukkan Iman mereka dengan kepincangan syirik dan khurafat serta perkara yang karut marut.
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Ana’am ayat 82:
الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْم أُولَئِكَ لَهُمُ الأمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ
”Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
Al-Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim membawa riwayat dari Imam Bukhari bahawasanya tatkala ayat ini dibacakan, para sahabat bertanya kepada Baginda s.a.w: Manakah dari kalangan kami yang tidak terlepas dari menzalimi diri kami sendiri? Lalu Nabi s.a.w menjawab tentang maksud kezaliman dalam ayat tersebut dengan turunnya Firman Allah yang lain iaitu :
إن الشرك لظلم عظيم
“Sesungguhnya syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar.”
Justeru, tidak wajar sesudah selesai ibadah Haji, masih lagi kita berada dalam takuk yang lama. Masih lagi percaya kepada aneka macam tahyulan, kepercayaan karut yang tidak bersasas dan lebih teruk lagi jika kekal mensyirikkan Allah s.w.t. Jika sebelum ini anda pernah terjebak dengan dunia syirik, sihir, perbomohan, pemeliharaan jin dan seumpamanya, segeralah bertaubat nasuha dengan memurnikan tekad agar tidak mengulangi lagi aspek-aspek mensyirikkan Allah dalam hidup kita. Tinggalkan segala amalan bersiifat jahiliyyah dan kembalilah kepada kesucian aqidah yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan yang bakal dilawati oleh setiap dari kita semua iaitu alam barzakh dan alam akhirat.
Tanpa aqidah ini, masyarakat akan berubah menjadi masyarakat Jahiliyah yang marak dengan kekacauan, diliputi ketakutan dan kecemasan di pelbagai penjuru, dan para penghuni dunia akan berubah menjadi liar dan buas. [Al-Aqidah al-Islamiyyah Baina al-Aqli wa Al-A’tifah hlm 104-105]
- Iltizam dengan Solat Jamaah dan Solat Sunat / Witir
Sabda Nabi s.a.w: ”Barangsiapa yang mendengar azan lalu tidak menghadiri solat jamaah maka seolah-olah tiada solat baginya kecuali jika uzur (ketakutan atau sakit).” [Ibnu majah].
Sabda Nabi s.a.w: ”Solat berjemaah lebih afdhal dari solat secara bersendirian sebanyak 27 darjat.” [Muslim].
Sekadar kisah buat renungan bersama. Kisah berkaitan seorang ulama hadis tersohor bernama Sulaiman bin Mihran (148H) atau lebih dikenali dengan gelaran al-A’amash. Pada saat beliau di perbaringan menanti saat kematiannya, seluruh anak pinak dan kaum keluarga berada di sampingnya menangisi keadaannya yang sedang nazak.
Melihat keadaan itu, beliau segera memanggil anak-anaknya supaya lebih hampir untuk berpesan dengan katanya: “Wahai anak-anakku yang dikasihi. Janganlah kamu menangis mahupun khuatir dan risau akan ayahandamu ini. Jangan terlalu berdukacita dan hentikanlah tangismu kerana ayahmu ini selama 60 tahun lamanya aku tidak pernah sekalipun tertinggal atau terlepas daripada mengangkat takbir yang pertama bersama-sama imam untuk solat berjemaah di masjid!”
Subhanallah! Tiada ulasan yang boleh dilampirkan, cuma ingin mengajak kita untuk berfikir dan berzikir.
JADUAL SOLAT FARDHU / SUNAT / WITIR
WAKTU |
QABLIYAH (SBLM) |
FARDHU / MUAKKAD |
BA’DIYAH (SLPS) |
SUBUH |
2 |
2 |
– |
DHUHA |
– |
2 + 2 +2 + 2 |
– |
ZUHUR |
2 + 2 |
4 |
2 + 2 |
ASAR |
2 + 2 |
4 |
– |
MAGHRIB |
2 |
3 |
2 |
ISYA’ |
2 |
4 |
2 + 3 (WITIR) |
JUMAAT |
2 TAHIYYAT AL-MASJID |
2 |
2 + 2 |
- Melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat
Tiada lagi alasan untuk kita meninggalkan pakaian taqwa dari tubuh kita. Kepada para hajjah terutamanya, mulakanlah dengan melihat deretan dan lipatan baju yang ada dalam koleksi. Periksa samada ia patuh syariah atau tidak. Jangan lagi berhias dengan tabarruj jahiliyyah. Inilah bukti mabrurnya haji yang dilakukan.
Panduan utama menerusi firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nur ayat 31: ”Katakanlah kepada para mukminat agar mereka merendahkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan (kemaluan dan maruah) mereka. Tidak boleh mereka mendedahkan kecantikan dan perhiasan yang mereka miliki kecuali yang dibolehkan. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka sehingga menutupi bahagian bawah dada mereka…”
Di penghujung ayat yang sama Allah berfirman: ”Janganlah diantara mereka menghentakkan kaki mereka dengan tujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka…”
Sabda Nabi s.a.w: ”Ada dua golongan ahli Neraka yang belum pernah kulihat. Manusia-manusia yang punya cemeti seperti hujung ekor lembu dan memukul-mukul manusia dengannya. Perempuan yang berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang, suka menarik perhatian dan berwatakan menggoda. Kepala mereka umpama bonggolan unta yang meliuk-liuk. Mereka tidak akan masuk Syurga apatah lagi mencium baunya. Sungguhpun bau syurga itu dapat dihidu dari ribuan batu jauhnya.” [Muslim]
Begitu juga dengan sikap dan pergaulan. Pastikan semuanya terkawal. Jika anda bekerja di pejabat misalnya jauhi sikap keluar berdua-duaan atau keluar dengan lelaki yang bukan mahram walaupun dengan alasan kerja atau sekadar keluar makan. Jaga batas pergaulan dan bersikap seperti mukmin profesional dengan jatidiri dan sifat sejati muslimah. Jauhi gurau senda dan hilai tawa atau bertepuk tampar. Gunakan dengan bijak laman-laman web sosial dengan tujuan yang murni bukan dengan memasukkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, aksi-aksi yang tidak sesuai dan segala yang negatif. Banyak yang perlu dijaga dan diawasi. Insya Allah jika semua ini dipatuhi dan dijaga, anda akan merasakan diri anda diawasi dan dirahmati Allah sentiasa.
- Teruskan amalan-amalan Sunat / Zikir dan Doa
Inilah amalan-amalan yang telah diamalkan sepanjang permukiman ibadah kita dalam musim Haji. Jadikan amalan-amalan ini sebagai perisai diri kita dari segala gangguan dan sebagai penambah bekal di alam barzakh dan pemberat mizan di akhirat. Latihan sepanjang kita tinggal di Makkah, amalan ketika Arafah dan bumi Mina harapnya dapat menjadikan kita sudah terbiasa dan semoga menjadi tabiat yang baik untuk kita. Zikir pagi dan petang, zikir selepas solat dan zikir harian adalah senarai zikir yang dilafazkan dan diamalkan sendiri oleh Nabi s.a.w. Apakah punya lidah yang mengucap zikir yang lebih baik dari lidah mulia Nabi s.a.w? Sewajarnya kita berbangga dengan mengamalkan zikir-zikir warisan Nabi s.a.w ini kerana inilah zikir yang serupa dibacakan oleh manusia teragung, penghulu sekelian Nabi dan Rasul.
Antara zikir yang disukai oleh Nabi s.a.w dan para Anbiya’ sebelum baginda ialah:
لا اله الا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد ( يحيي و يميت ) وهو على كل شيء قدير
“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah. Tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala pemilikan dan pujian. Dialah yang menghidup dan mematikan dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu.” [Al-Tirmizi dan Ahmad]
Fadhilatnya tiada taranya. Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang membacanya sepuluh kali selepas fajar dalam keadaan tetap kedua-dua kakinya akan dititipkan baginya sepuluh kebajikan dan dihapuskan sepuluh keburukan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat. Seluruh harinya akan dipelihara dari segala perkara yang tidak diingini dan dipagar dari gangguan Syaitan dan tidak ada dosa yang mengirinya pada hari itu kecuali jika dia berlaku syirik kepada Allah.” [Al-Tirmizi dan Ahmad]
- Bersahabat dengan Al-Quran
Alhamdulillah dengan kekuatan, keazaman dan usaha giat para jemaah Haji ramai yang dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh berada di Makkah al-Mukarramah. Insya Allah tanamkan azam dalam diri setiap dari kita agar melazimi dan terus ’bersahabat’ dengan Al-Quran setelah pulang ke Malaysia nanti.
Sabda Nabi s.a.w: ”Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari akhirat nanti sebagai syafaat kepada pendampingnya (ketika di dunia).” [Muslim]
Antara mukjizat Al-Quran ialah ia diutuskan untuk mengimbangi dan menjadi ’supplement’ (khasiat harian) kepada ruh manusia. Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Syura ayat 52:
”Begitulah kami mewahyukan kepadamu ruh (Al-Quran) dari ketetapan kami.” Manusia terdiri dari unsur akal, fizikal dan ruh. Maka setiap satu punya keperluan tersendiri. Keperluan bagi ruh manusia adalah Al-Quran.
- Cintakan llmu dan melazimi majlis ilmu
Pada hari ini ilmu mudah didapati di mana-mana dan terlalu mudah diakses dengan hanya menggunakan jari sahaja. Namun, ilmu yang paling penting adalah ilmu yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan, dunia dan akhirat. Ia merupakan satu tugas dan kewajipan yang sentiasa berjalan bermula dari hari kelahiran hingga detik kematian. Sentiasalah kita berdoa agar dikurniakan dengan ilmu yang bermanfaat bukan ilmu yang membawa laknat.
Allah berfirman dalam surah Taha ayat 114: ”Katakanlah, wahai Tuhanku tambahkanlah kepadaku akan ilmu pengetahuan.”
Nabi s.a.w juga menitip pesan: ”Menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim.” [Ibnu Majah – Hadis ini dkategorikan sebagai Hasan].
Ingat bahawasanya dengan kejahilan manusia akan berada dalam gelita dan kegelapan. Hanya dengan ilmu manusia akan terselamat dan memiliki cahaya untuk menyuluh jalan hidupnya. Jangan hanya kita mudah berpuas hati dengan ilmu yang telah kita pelajari. Pastikan ilmu meningkat dan sesuai dengan pergerakan usia.
Malulah kita jika usia sudah dewasa atau meningkat tua, tapi ilmu masih bertaraf tadika! Carilah ilmu walau dimana sahaja; masjid, surau, tv, radio dan internet. Umpama kata-kata Imam Syafie rhm: ’Sikapku dengan mencari ilmu adalah umpama seekor ibu ayam kehilangan anaknya.’
- Halal haram dalam kewangan dan muamalat
Ingatilah bahawasanya Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278-279:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ، فإن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُون
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah segala bentuk-bentuk riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya sesungguhnya kamu telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka ambillah modalnya (pokok harta tersebut) dan kamu tidak menzalimi dan dizalimi.”
Begitu juga Nabi s.a.w pernah menitipkan amaran bahawasanya memakan harta riba itu dosanya yang paling ringan adalah seperti menikahi ibu sendiri [Lihat dalam hadis no 4504 dalam Al-Jami’e Al-Suyuti] dan lebih berat dari 36 kali melakukan perzinaan![Lihat Al-Munziri, Al-Targhib wa Al-Tarhib, 3/68]. Bukan itu sahaja malahan orang yang terlibat dengan riba ini juga akan menjemput bala dan azab Allah dalam kehidupannya.
Sabda Nabi s.a.w:
إذا ظهر الزنا و الربا في قرية، فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله
“Jika perzinaan dan riba berlaku secara berleluasa dalam sebuah kawasan, maka penduduknya telah menghalalkan turunnya azab Allah kepada mereka.” [Lihat Sahih al-Jami’e no 679, Syeikh Nasir al-Din]
Masalah umat Islam hari ini dengan sistem kewangan yang ada, merasa selesa dengan segala bentuk nikmat dan kekayaan yang diperolehi saat ini walaupun mungkin bersalut riba. Perasaan takut, risau, kurang keyakinan sudah tentu akan terbit kesan dari lamanya terlibat dengan sistem riba. Inilah hasil dari penjajahan barat terhadap dunia Islam yang masih kekal walaupun sudah bebas dan mampu mentadbir dunia mereka sendiri. Mengapa sistem yang direncana Yahudi dan Nasrani itu masih mendominasi ruang pasaran kewangan umat Islam.
Umat Islam pernah gemilang dengan pengaplikasian sistem Allah dalam era emas pemerintahan Islam di dunia. Mengapa kita kembali semula ke lembah dan lumpur jijik rekaan Yahudi dan Nasrani sedangkan kita pernah hidup dalam keindahan dan keadilan sistem yang bersumberkan wahyu Allah. Namun, peluang untuk kita kembali semula kepada sistem Allah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan keuntungan akhirat masih terbuka luas. Oleh itu,selepas pulang dari Haji nanti perhatikanlah harta benda kita dan sumber rezeki kita. Periksa semua jenis harta, simpanan, pelaburan, saham, perniagaan, hartanah dan seumpamanya. Pastikan semuanya bebas dari riba. Jika masih belum, setelah pulang nanti pastikan semuanya ditukar dan diuruskan sesuai dengan kehendak syariat.
Sistem kewangan dan perbankan Islam sentiasa menanti untuk memberi khidmat yang terbaik dan pastinya patuh syariah demi kesejahteraan dalam kehidupan. Tukar semua akaun yang masih konvensional sifatnya kepada sitem perbankan Islam. Bertaubatlah! Jangan biarkan harta benda kita dijadikan senjata untuk kita berperang dengan Allah Ta’ala dan Rasulnya kerana masih terikat dengan riba dan sistemnya. Bergembira dan beruntunglah semula dengan keuntungan dan kejayaan yang merupakan tawaran hebat dari Allah!
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 130:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan sebarang hasil riba berlipat kali ganda. Bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya kamu akan memperoleh kejayaan.”
PENUTUP
Semoga risalah kecil ini dapat memberi sedikit panduan berguna kepada para jemaah Haji yang akan pulang ke tanah air nanti. Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita dan menjadikan kita semua dari kalangan haamba-hambanya yang beroleh nikmat, rahmat dan kemenangan dari kalangan orang-orang yang soleh. Selamat pulang ke pangkuan keluarga dan selamat beramal. Kuatkan azam dan semangat serta motivasi untuk melakar perubahan. Semoga perubahan kita kesan Haji yang mabrur akan membekas juga kepada saudara seagama kita yang lain. Wallahua’alam.
Dibaca oleh:
Abu Anas Madani, 23/11/11.
http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/istiqamah-selepas-haji.html