Khutbah Arafah 1432H / 2011H

KHUTBAH ARAFAH 1432H / 2011H

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْن، حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ اَحَدَ اَرْكَانِ الإِسْلاَمِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ لَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثاَمِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِ لهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، المَلِكُ العَلاَّمُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْن وَأَكْمَلُ اِلإمَامِ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ. أَمَّا بَعْدُ،

فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، إِتَّقُوا الله َوَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا الَتلبية لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شَرِيْكَ لَك حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا عَنِ اْلإِحْرَامِ.

مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله – حجاج بيت الله

Khutbah Arafah 1432H kali ini sekali lagi bersuara. Suara yang sentiasa memenuhi jiwa-jiwa yang ingin pulang ke pangkuan Allah Ta’ala dengan seruan menambah ketaqwaan kepadaNya. Hanya taqwa sahajalah merupakan nilaian yang diperakui di sisi Rabb al-Jalil.

Pesanan Luqman al-Hakim kepada anakndanya wajar dijadikan perhatian buat semua dengan katanya: ‘Wahai anakku yang dikasihi. Janganlah sekali-kali kamu menanggalkan pakaian taqwa dari tubuhmu. Sekiranya itu berlaku, maka seolah-olah tiada seurat benang pun yang menutupi tubuhmu.’

Justeru, permukiman kita dalam perkhemahan tarbawiyyah dan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim a.s dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w ini wajib dijadikan peluang yang digunakan sebaik-baiknya untuk menjana iman dan taqwa.

Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiyyah:

لَبَّيْكَ اللّهُمَ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الحَمْدَ وَالِنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك لاَ شِرِيْكَ لَك

Inilah bahasa dan deretan kalimah tauhid yang menyubur di bibir setiap jemaah haji. Memurnikan sahutan dan memenuhi panggilan Allah dengan penuh ikhlas dan jujur mengesakanNya dan menafikan segala bentuk pujian,ibadah, kekuasaan, kerajaan, undang-undang serta pemilikan selain dari Allah Azza wa Jalla. Kalimah ini yang bergema memenuhi bumi Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan pengakuan sejati dari ketulusan jiwa jutaan manusia.

Selain itu, basahkan juga lidah-lidah kita, lembutkan hati-hati kita dengan Selawat kepada Baginda SAW, Zikrullah, Isthighfar, Berdoa, Bacaan Al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Ibadah Haji menyaksikan perhimpunan agung manusia dari seluruh pelusuk dunia. Perhimpunan yang mempunyai satu arah dan tujuan. Perhimpunan yang menyaksikan perbezaan darjat yang selama ini dibanggakan manusia, warna kulit yang suka dibeza-beza dan kedudukan serta pangkat yang sentiasa dibanding-banding dan dipuja semuanya menjadi sama, serupa dan tiada berbeza. Kebersamaan inilah yang lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa menjadikan manusia terhimpun menjadi satu. Satu aqidah, satu iman. Satu qiblat dan satu tujuan, Haji yang mabrur menjadi idaman. Menjadi satu umat kepada Nabi Akhir Zaman. Berpegang teguh dengan satu kitab al-Quran. Beramal kukuh dengan sunnah Nabi Junjungan, sehingga mampu menjadi pegangan yang berkekalan untuk dipersembahkan dihadapan al-Rahman pada perhimpunan  Mahsyar yang agung kelak.

Sudah jelas lagi nyata kepada kita bahawasanya ajaran Islam adalah sesuatu yang memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat. Sebaliknya lebih jelas dan nyata lagi bahawsanya ajaran-ajaran, idealism-idealism dan semua yang selain dari agama Islam akan menempah akibat yang  buruk bermula dari dunia lagi sebelum akibat yang lebih buruk dan tercela di akhirat sana. Kenyataan dan hakikat inilah mewajibkan diri kita bertambah yakin dengan Islam, yang memacu kebenaran dan keadilan yang menyelamatkan manusia dari kemurkaan Tuhan.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Ali I’mran ayat 85 :

((وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلإِسْلَٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلآخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِين))

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang kepada (ajaran) selain dari Islam (dalam agama dan cara hidup) maka dia tidak akan diterima dan di akhirat nanti akan termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Dalam kesempatan rehlah imaniyyah (kembara keimanan) yang berkampung di perkampungan maghfirah (keampunan) di Bumi Arafah ini pada saat yang sangat mulia lagi mustajab dalam keadaan yang kusut masai lagi berdebu, dalam suasana penuh pengharapan kepada rahmat dan keampunan abadi. Saya ingin mengajak diri saya dan khalayak para jemaah sekelian untuk mendengar wasiat terakhir Bumi Arafah, Khutbah al-Wada’ yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w di Wadi Uranah di hadapan hampir 124 ribu hingga 144 ribu jiwa manusia pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun kesepuluh Hijrah. Khutbah ini seringkali diulang-ulang pesanannya oleh Rabiah bin Umayyah bin Khalaf dengan penuh bersemangat di bumi Arafah. Dengarlah wahai para Hujjaj sekelian, bingkisan dari Khutbah terakhir ini. Dengarlah dengan iman yang memenuhi setiap pelusuk nurani. Dengarlah agar terjelas olehmu akan maksudnya dan pengajaran darinya. Dengarlah dan hayatilah agar meresap dalam jiwamu yang murni. Dengarlah kini dan murnikan dengan hakikat dan perlaksanaannya bermula di sini dan hendaknya berkekalan setelah pulang dari Kembara Haji ini nanti.

 Petikah Khutbah Rasulullah saw di Arafah:

Daripada Jabir bin Abdullah r.a sebagaimana yang termaktub dalam hadith riwayat Imam Muslim no 2137. Bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:

1)  “Wahai manusia sila dengar apa yang bakal aku perkatakan ini. Aku tidak tahu apakah akan dapat lagi aku bersamamu semua lagi selepas ini, di tempat ini, selepas tahun ini selamanya.

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

 

2)  Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan dirimu telah terpelihara (diharamkan untuk sesia”pa pun mengkhianatinya) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan di Bandar ini (Makkah dan sekitarnya).

 3)  Sesiapa yang memegang amanah maka hendaklah dikembalikan amanah tersebut kepada tuannya.

أَلا كُلُّ شَيْءٍ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ تَحْتَ قَدَمَيَّ مَوْضُوعٌ

 

4)  Ingatlah segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kakiku (telah dihapuskan) Tuntutan hutang darah pada zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah yang pertama telahku batalkan ialah darah Ibn Rabi’ah bin al-Haris yang disusukan oleh Bani Sa’ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

Beberapa pesanan ini, Nabi s.a.w persiapkan untuk para pemimpin dan pemegang amanah khasnya. kepada segenap penjuru kepimpinan tak kira samada di peringkat tertinggi, ketua di pejabat atau syarikat, pemimpin dalam kelompok masyarakat atau pemimpin dalam institusi keluarga. Anda adalah tunjang kepada mereka yang dipimpin. Ini adalah kerana kebaikan dan keperibadian mereka yang di bawah jagaan kita punya keterikatan dengan tindak tanduk kita.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menyebut dalam sebuah khabar / athar:

الناس على دين ملوكهم

Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya

Justeru, pimpinlah manusia dengan aturan dan panduan dari Allah Azza wa Jalla.

Ingatlah kebenaran harus diutamakan walaupun berkaitan darah daging sendiri.

Lihatlah betapa luhurnya Nabi s.a.w dalam menghapuskan sesuatu yang besar walaupun berkaitan dengan keluarganya sendiri. Keperibadian inilah yang diikuti dan diteladani oleh para khulafa’ zaman kegemilangan Islam yang melayakkan mereka memperoleh kemenangan dan bantuan Tuhan.

Begitu jualah dengan segala amalan-amalan yang bersifat jahiliyyah samada datang dalam bentuk perbuatan, perhiasan, pakaian dan apa jua bentuk amalan dan tradisi. Janganlah kita cemari pahala dan keampunan yang telah diperolehi dalam Haji ini terutama di Hari Arafah ini dengan kembali kepada kejahilan. Kepada para muslimat. Anda lihatlah wajah anda kini, aurat yang anda tutup pada hari ini kerana Allah.  Justeru inilah juga pakaian dan identiti yang sewajarnya kekal selepas menunaikan ibadah Haji dihias pula dengan akhlak yang bersemi dengan bunga-bunga al-Haya’ (sifat malu dan tertib) serta keperibadian unggul ciri-ciri wanita muslim. Apakah anda masih sanggup untuk digelar jahiliyyah dalam zaman yang serba canggih dengan pengembangan ilmu. Jika perlembagaan barat yang dipertuhankan sebagai pilihan dan trend ikutan sumber fesyen maka sebenarnya kita menzahirkan makna sebuah kebiadapan terhadap agama Allah. Al-Quran telah menjelaskan garis panduan yang cukup jelas dalam etika pakaian muslimah. Mengapa kita masih terperuk dan teruja dengan fesyen-fesyen yang menelanjangi wanita dari maruahnya yang sebenar. Pakaian yang menjentik nafsu buas jantina lawan yang akhirnya akan membinasakan kaum hawa itu sendiri. Jika kita menyangka bahawasanya fesyen terkini itu yang mencerminkan kemodenan, sila betulkan kembali lensa pandangan dan pemikiran. Hakikatnya fesyen mendedahkan aurat ini sudah kembali semula kepada fesyen kuno yang hanya dipakai dan digunakan oleh manusia pada zaman batu! Janganlah kita menganggap globalisasi itu sesuatu yang perlu diserap secara keseluruhannya dan diambil semua intipatinya tanpa disaring dengan tapisan syariat. Benarlah ulasan dari Prof. Dr Wahbah al-Zuhaily: “Globalisasi adalah barat inginkan kita makan apa yang mereka makan dan buat segala yang mereka lakukan.”

Harus diingat bahawasanya tiada kemuliaan yang terhebat selain dari kemuliaan yang dibawa oleh Islam. Berbangga dengan mengatakan “Ana Mu’min / Ana Muslim / I’m a Muslim” itu adalah suatu yang mulia (noble) dan mahal nilainya. Namun, jika hanya muslim dari aspek nama sahaja tanpa teserlah identitinya maka akan hilanglah kemuliaannya. Tiada kemuliaan kecuali dengan iman. Kembalilah semula kepada realiti / hakikat sebenar seorang yang beriman kerana dunia seluruhnya amat rugi dengan kemunduran dan kebejatan akhlak umat Islam yang jauh dari realiti sebenar yang tersimpan kemas dalam al-Quran, namun belum begitu kemas dari aspek penghayatan dalam hakikat kehidupan.

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hajj ayat 32 :

((ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ))

Ertinya: “Begitulah barangsiapa yang mengagungkan syiar Allah itulah tanda kepada ketaqwaan hati manusia.”

Begitu juga dengan sifat dendam yang mungkin tersemat dalam hati yang tidak berkesudahan. Siramilah ia dengan air mata keinsafan agar ia terus padam dan digantikan dengan kemaafan dan kemanisan ukhuwwah. Firman Allah Ta’ala dalam surah Fussilat ayat ke 34:

((ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ))

Ertinya: “Bertoleransilah dengan yang lebih baik. Maka segala (permusuhan atau dendam) yang berlaku antara kamu dengan satu pihak yang lain akan menjadi seolah-olah teman yang paling rapat.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w meneruskan lagi khutbahnya dengan sabdanya:

وَرِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ وَأَوَّلُ رِبًا أَضَعُ رِبَانَا رِبَا عَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَإِنَّهُ مَوْضُوعٌ كُلُّهُ

5)  Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Mutallib. Sesungguhnya ia dihapuskan semuanya secara keseluruhannya.

Perhatikan sejenak kenyataan Rasulullah s.a.w ini. Ingatilah bahawasanya Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278-279 :

((يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ،

فإن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُون))

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah segala bentuk-bentuk riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya sesungguhnya kamu telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka ambillah modalnya (pokok harta tersebut) dan kamu tidak menzalimi dan dizalimi.”

Begitu juga Nabi s.a.w pernah menitipkan amaran bahawasanya memakan harta riba itu dosanya adalah lebih berat dari menikahi ibu sendiri. Masalah umat Islam hari ini dengan sistem kewangan yang ada, merasa selesa dengan segala bentuk nikmat dan kekayaan yang diperolehi saat ini walaupun mungkin bersalut riba.  Perasaan takut, risau, kurang keyakinan sudah tentu akan terbit kesan dari lamanya terlibat dengan sistem riba. Inilah hasil dari penjajahan barat terhadap dunia Islam yang masih kekal walaupun sudah bebas dan mampu mentadbir dunia mereka sendiri. Mengapa sistem yang direncana Yahudi dan Nasrani itu masih mendominasi ruang pasaran kewangan umat Islam. Umat islam pernah gemilang dengan pengaplikasian sistem Allah dalam era emas pemerintahan Islam di dunia. Mengapa kita kembali semula ke lembah dan lumpur jijik rekaan Yahudi dan Nasrani sedangkan kita pernah hidup dalam taman penuh indah yang dibajai dengan sistem yang bersumberkan wahyu Allah.  Namun, peluang  untuk kita kembali semula kepada sistem Allah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan keuntungan akhirat masih terbuka luas. Oleh itu, perhatikanlah harta benda kita dan sumber rezeki kita. Periksa semua jenis harta, simpanan, pelaburan, saham, perniagaan, hartanah dan seumpamanya. Pastikan semuanya bebas dari riba. Jika masih belum, setelah pulang nanti pastikan semuanya ditukar dan diuruskan sesuai dengan kehendak syariat. Sistem kewangan dan perbankan Islam sentiasa menanti untuk memberi khidmat yang terbaik dan pastinya patuh syariah demi kesejahteraan dalam kehidupan. Bertaubatlah! Jangan biarkan harta benda kita dijadikan senjata  untuk kita berperang dengan Allah Ta’ala dan Rasulnya kerana masih terikat dengan riba dan sistemnya. Bergembira dan beruntunglah semula dengan keuntungan dan kejayaan yang merupakan tawaran hebat dari Allah!

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 130:

((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ((

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan sebarang hasil riba berlipat kali ganda. Bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya kamu akan memperoleh kejayaan.”

Nabi s.a.w berpesan dengan khutbahnya lagi:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ فَإِن فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

6)  Wahai manusia! Takutilah Allah s.w.t dalam urusan berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah s.w.t dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka, tapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadap kamu, maka wajib bagi kamu menjaga makan dan pakai mereka dengan baik. 

Semua orang muslim adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat  kebenaran dari tuannya

Kepada pemimpin keluarga, hargailah keluargamu yang dikasihi. Kepada para suami, jangan lupakan yang anda punya isteri dan juga mungkin sudah punya zuriat yang perlu dijaga dengan amanah Allah. Rawatilah penyakit bersosial tanpa prinsip dengan ubat iman dan kejujuran serta rawatan keinsafan dengan mengingatkan yang anda sebenarnya telah berjanji untuk menjaga hati mereka dengan akad di atas nama amanah Allah dengan tarbiah dan bimbingan.

Kepada para isteri juga perlu ingat dan waspada. Syaitan sentiasa menggoda untuk manusia menghancurkan ikatan suci yang terbina atas janji kepada Ilahi. Jagalah kehormatan anda dan akhlak anda yang sudah bergelar isteri. Jangan terperangkap dalam masa ilusi sewaktu anda masih bergelar ‘bunga yang belum disunting’ dan hiduplah dengan masa realiti yang perlu ditangani dengan kebijakan emosi dan akhlak murni dihiasi iman yang tinggi seorang serikandi muslimah. Anda adalah wirawati keluarga mithali. Tidak dilupakan khasnya buat mereka yang masih menunggu masa untuk berumahtangga. Jagalah akhlak dan peribadi, awasi tingkah dan gerak langkah. Ingat, wanita juga adalah salah satu dari panahan iblis. Janganlah anda menjadi penambah bilangan kepada jumlahnya.

Kepada semua yang cintakan kekayaan dan harta. Awasi agar harta anda bersih dari sumber yang bukan haknya dalam semua aspek.

7)  Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku dengan sebahagian dari kamu memerangi sebahgaian yang lain.

8)    Nabi s.a.w bersabda lagi: وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابُ اللَّهِ و سنتي

Aku telah tinggalkan kepada kamu satu panduan, jika kamu berpegang kepadanya dan ajarannya maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah kitab Allah dan sunnahKu.

9)  Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar aku menyembah Allah s.w.t tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat hartamu dengan penuh kerelaan. Kerjakanlah jua haji ke Rumah Suci Tuhanmu (ka’abah) dan dengan itu kamu bakal menghuni syurga Tuhanmu.

10)   Tuhan kamu adalah Esa. Datuk kamu pula satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Orang yang terbaik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah s.w.t. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab atau bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11)   Allah s.w.t telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada ahli waris penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan anaknya yang sebenar, juga akan menerima laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.

Tiada panduan yang sehebat al-Quran dan al-Sunnah yang mampu menyelamatkan manusia dari kesesatan dan mara bahaya. Cari dan galilah panduan dalam telaga hikmah dari al-Quran dan al-Sunnah nescaya akan ditemui jawapan dari penjuru yang pelbagai terhadap permasalahan dan kerumitan yang melanda hidup. Sekiranya kita masih ragu-ragu dengan sistem perundangan dan hukuman Allah, maka ketahuilah bahawasanya ada masalah dengan Iman kita sebenarnya. Mengapa kita masih berdalih dan bertangguh sedangkan umat sudah parah dan terseksa dengan sistem yang mencarik hancur erti keadilan dalam hidup manusia. Fitrah sudah tidak lagi terbela dengan perbuatan manusia menggantikan sistem Allah dengan perundangan manusia yang terbukti lemah.  Penuhilah seruan melaksanakan solat dengan memelihara kerukunan, waktu dan kekhusyukan menunaikannya. Penuhi tuntutan berzakat kepada yang berhak agar yang harta tertunai diterima Allah dan yang tinggal dipeliharaNya dari segala bentuk kemusnahan. Tunaikan Haji dengan niat yang tulus suci mengharap redha Ilahi. Kepada pewaris harta, pemiliknya dan pencarinya. Dahulukanlah hak Allah dalam setiap yang diperolehi. Jangan terpedaya dengan akal yang lemah dalam merencana harta pusaka. Kembali berdaulat kepada hukum Allah yang Maha Adil dan Saksama. Jauhilah segala bentuk riba dan bentuknya yang sentiasa memperdayakan. Ingatlah, bukan banyak (kuantiti) yang dicari, tetapi (kualiti) barakah yang diperolehi itulah matlamat hakiki.

Nabi s.a.w mengakhiri khutbahnya dengan berkata: Kemudian kamu semua bakal ditanya tentang diriku, maka apakah yang bakal kamu perkatakan? Kami menjawab: “Kami bersaksi bahawasanya tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.”

Lantas Baginda s.a.w mengangkat tangannya ke langit seraya menurunkannya ke arah orang ramai lalu berkata sebanyak tiga kali : “Ya Allah! Saksikanlah.”

Maka pada hari yang penuh ibrah dan sejarah ini marilah sama-sama kita menyaksikan dengan syahadah yang pasti agar sekembalinya kita dari permukiman Haji kali ini, kita kembali merencana perubahan dalam merealisasikan maksud mabrurnya Haji yang ditunaikan.

Tanda Haji Mabrur:

Al-Imam An Nawawi rahimuhullah menjelaskan bahawa di antara tanda-tanda haji mabrur ialah, setelah selesai mengerjakan haji dan kembali ke tempatnya, dia menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya dan tidak mengulangi perbuatan maksiat. Zuhud dengan dunia dan mengusahakan akhirat. Dalam erti kata lain, amalan akhirat bertambah baik dan perlakuan harian tidak disertakan dengan dosa.

Pada hari ini syaitan amat kecewa kerana turunnya rahmat Allah yang begitu banyak, di mana dosa-dosa akan diampunkan. Hari ini juga semakin ramai dari kalangan umat manusia yang menjadi tawanan Neraka telah dibebaskan oleh Allah seramai-ramainya.

Justeru, marilah kita bermunajat kepada Allah agar kita tergolong dari kalangan mereka yang dibebaskan dari api neraka. Biarkan syaitan terus kecewa dengan melihat perubahan demi perubahan yang dilakukan kesan dari ibadah haji yang diterima Allah.

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Wahai hati-hati yang punya iman! Berlarilah memeluk keampunan dari Tuhan. Jangan biarkan waktu mustajab doa di Arafah ini berlalu pergi tanpa dimanfaati. Mengadulah, pohonlah dan munajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah air mata keinsafan yang datang dari taubat yang tulus dari hati yang mahu kembali kepada fitrahnya umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.

((وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135) أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ (136))).

  أَقُوْلُ قَوْلِي هَذا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِوَالِدَىَّ وَلِوَالِدِيْكُمْ وَلِمَشَايِخِنَا وَلِمَشَايِخِكُمْ وَلِجَمِيْعِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Sedutan dari Khutbah Arafah Tahun 1432H oleh TH.

Tambahan / Huraian Oleh: Abu Fatih Al-Mubaraki.

Pembimbing Jemaah Haji Ash-Har Travel, Makkah Al-Mukarramah.

Di Teliti oleh: Abu Anas Madani.

Makkah Al-Mukarramah, Hotel Ummu Hani.

7 Zulhijjah 1432H – 03 Nov 2011M.

www.abuanasmadani.com

www.abuanasmadani.blogspot.com

 Khutbah Arafah Tahun 1431H:

https://abuanasmadani.com/?p=737

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *