Isi Kandungan
Pendahuluan
{السُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ} [الإسراء : 1]
Maksudnya: {Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Telah kami berkati sekelilingnya [Maksudnya: Al Masjidil Aqsa dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya] agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui}. [Surah Al-Isra’: 01]
Peristiwa ini adalah merupakan suatu mukjizat dan kemuliaan bagi Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.. oleh yang demikian banyak kitab yang ditulis mengenainya, namun banyak buku yang ditulis bercampur antara maklumat yang benar dan sahih dengan maklumat yang dhaif atau palsu.
Ringkasan – Tafsir & Tadabbur Awal Surah Al-Isra’
Dr. AAM Tajuk; Tafsir & Tadabbur Awal Surah Al-Isra’ (Isra’ & Mi’raj)
Untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat pihak Dartaibah.com telah memilih kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, Karangan Sheikh Safiyyurrahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah sebagai rujukan dalam memahami dan meghayati peristiwa yang bersejarah bagi umat ini. Insya’Allah dalam siri yang lain kami akan memilih kitab yang lain pula sebagai bahan bacaan & rujukan umum.
Doakan semoga usaha yang sedikit ini diberkati oleh Allah ‘Azza wa Jalla.
Akhukum, AAM 6 Rejab 1434.
[Petikan dari Kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, Oleh Safiyyurrahman Al-Mubarakfuri, Rahimahullah]
Di dalam tempoh dakwah Rasulullah s.a.w yang terus bergerak dan mencapai kejayaan di samping penindasan-penindasan, namun kemenangan sayup-sayup sudah kedengaran, di saat ini berlakulah peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Penentuan masa berlakunya peristiwa bersejarah ini terdapat sedikit khilaf, antara pendapat-pendapat tersebut ialah:
1. At-Thabari menentukan berlakunya di tahun Baginda s.a.w dibangkitkan [diutuskan sebagai rasul].
2. An-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan berlaku di tahun kelima kebangkitan Baginda s.a.w.
3. Al-‘Allamah al-Mansurfuri menetapkan pada malam 27 di bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Baginda s.a.w.
4. Pendapat lain mengatakan 16 bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Ramadhan tahun dua belas kebangkitan Baginda s.a.w.
5. Ada pendapat setahun dua bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Muharram tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah s.a.w.
6. Satu lagi pendapat menyebut berlakunya setahun sebelum hijrah iaitu di bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kebangkitan Baginda s.a.w.
Ketiga-tiga pendapat yang terawal [1-3] ditolak kerana Sayyidah Khadijah r.a telah wafat di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Baginda, kewafatan beliau adalah sebelum sembahyang lima waktu difardhukan, dan tiada khilaf bahawa sembahyang itu mememang difardhukan di malam berlakunya Isra’ dan Mi’raj itu.
Manakala tiga pendapat terakhir, saya sendiri tidak dapat mentarjihkan yang mana satu pun. Namun gaya bahasa surah al-Isra’ itu menunjukkan Isra’ itu berlaku di ketika masa-masa yang terakhir sebelum hijrah.
Ringkasan – Menurut Al-Quran & Hadis
Ceramah AAM 1433; ISRAK & MIKRAJ MENURUT AL-QURAN & HADIS.
Para Imam al-Hadith meriwayatkan huraian lanjut mengenai peristiwa ini “berdasarkan hadis sahih”, di sini kami memuatkan ringkasannya:
Ibnu al-Qayim telah menyebut:
Rasulullah s.a.w relah diisra’kan jasadnya dari masjid al-Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang buraq, dengan ditemani oleh Jibril a.s, Rasulullah s.a.w turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang, bersama para nabi-nabi a.ss yang terdahulu, buraq ditambat di halaman masjid al-Aqsa.
Setelah itu Rasulullah s.a.w dimi’rajkan di malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat, lalu Jibril meminta supaya pintu langit dibuka, setelah dibukanya, di sana Rasulullah s.a.w telah melihat Adam a.s bapa sekalian manusia, Baginda pun s.a.w memberi salam kepadanya, Baginda dialu-alukan dan membalas salam dan Baginda s.a.w diperakukan sesuai dengan kenabiannya. Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda roh-roh para syuhada’ di sebelah kanan dan roh-roh yang terseksa di sebelah kirinya.
Kemudian Baginda s.a.w dibawa naik ke langit kedua, Jibril a.s meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya dan di sana didapati nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam a.s, diberinya salam lalu dijawab salam dan dialu-alukan mereka, disamping memperakui kenabian Muhammad s.a.w.
Setelah itu Jibril a.s membawa Rasulullah s.a.w ke langit ketiga, di sana mereka bertemu dengan Nabi Yusof a.s, setelah salam diberikan dan disambut Baginda s.a.w dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
Seterusnya Rasulullah s.a.w dibawa ke langit keempat. Di sana mereka berjumpa dengan Nabi Idris a.s. Rasulullah memberi salam kepadanya dan beliau menjawabnya. Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabianya.
Selepas itu, Baginda s.a.w dibawa ke ke langit kelima. Di sana Baginda s.a.w bertemu dengan Nabi Harun bin Imran a.s, Baginda s.a.w menjawab salam yang diberi, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya.
Kemudian Baginda s.a.w dimi’rajkan ke langit keenam. Di sana Baginda s.a.w bertemu dengan Musa bin Imran a.s, Baginda s.a.w memberi salam dan dijawab serta dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah Rasulullah s.a.w ingin betolak dari tempat Musa a.s, Musa pun menangis, lalu di tanya Musa a.s apakah yang membuatmu menangis? Jawab Musa a.s: aku menangis kerana orang yang diutuskan selepas ku, umatnya memasuki syurga lebih ramai dari umatku.
Seterusnya Rasulullah s.a.w dimi’rajkan ke langit ketujuh, padanya Baginda s.a.w menemui Ibrahim a.s, setelah salam diberi dan dijawab, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya. Sesudah itu Baginda s.a.w dimi’rajkan ke Sidratul Muntaha dan dibawa ke al-Baitul Makmur.
Akhirnya, Baginda s.a.w dimi’rajkan ke hadapan Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh, Baginda s.a.w menghampiri-Nya di kedudukan paling dekat, maka difirman dan diwahyukan kepada hamba-Nya Muhammad s.a.w segala sesuatu, difardhukan ke atas Baginda s.a.w solat 50 waktu, dengan itu Baginda s.a.w pun turunlah untuk pulang dan dipertengahan jalan Baginda s.a.w melalui Musa bin Imran a.s yang bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w:
Dengan apa engkau diperintahkan?
Jawab Baginda s.a.w: Daku difardhukan dengan 50 waktu solat.
Jjawab Musa a.s: Umat kau tidak akan mampu, kembalilah kepada Tuhan SAW, pohon kepadanya pengurangan, demi untuk umatmu,
Baginda s.a.w berpaling kepada Jibril a.s bagaikan untuk mendapat pandangan maka Jibril a.s pun memberi persetujuan dengan pendapat Musa a.s itu, dengan itu Jibril a.s membawa semula kehadapan Tuhan Rabbul Jalil, justeru itu Allah SWT pun mengurangkan sehingga tinggal 10 waktu sahaja, maka Baginda s.a.w turun, semasa itu sekali lagi Baginda s.a.w melewati Musa a.s, Baginda s.a.w menceritakan apa yang berlaku,
maka kata Musa a.s sekali lagi sebagai menasihati, ayuh pulanglah semula kepada Tuhanmu SWT dan mintalah agar dikurangkan lagi, demikianlah Rasulullah s.a.w berulang–alik di antara Allah Rabbul Jalil dan Musa a.s, dengan itu Allah SWT telah mengurangkan, hingga tinggal menjadi 5 waktu solat sahaja, masih lagi Musa a.s menyuruh Rasulullah s.a.w mengatakan: Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat inilah aku merelai dan menerima perintah-Nya itu, setelah jauh, Baginda s.a.w diseru: Sesungguhnya Aku menguatkuasakan solat fardu dan Kuringankan keatas hamba-hamba-Ku.
Ibnu al-Qayim juga telah mengemukakan pendapat yang berlainan mengenai penglihatan Rasulullah s.a.w terhadap Tuhannya SWT, yang kemudian beliau mendatangkan perbincangan Ibnu Taimiyah mengenai tajuk berkenaan, hasil kajian mendapati bahawa penglihatan Rasulullah s.a.w dengan mata kepala tidak thabit sejak asal lagi, sebenarnya, pendapat ini tidak pernah disebut oleh mana-mana sahabat pun. Pendapat yang dinaqalkan dan dipetik dari Ibnu Abbas r.a:
“Penglihatan Rasulullah s.a.w adalah secara mutlak dan melalui hati naluri, namun penglihatan mutlak tidak menafikan penglihatan dengan hati.”
Seterusnya beliau menyebut lagi: Adapun firman Allah SWT di dalam surah al-Najm:
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى
Maksudnya: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad s.a.w), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit.
Menghampiri di sini bukannya seperti yang dimaksudkan dalam kisah Isra’ dan Mi’raj. Memerhatikan dalam surah al-Najm ialah, Jibril a.s yang menghampiri dan mendekati, sebagaimana yang ditegaskan oleh Aisyah dan ibnu Masud r.a, gaya bahasa menunjukkan demikian, manakala penghampiran dan pendekatan di dalam hadith al-Isra’, adalah terang dan jelas dinisbahkan kepada Tuhan Rabbul Jalil, ini bererti tidak berlaku apa-apa pertentangan di dalam surah al-Najm, malah Baginda s.a.w melihat-Nya pada kali kedua di Sidratul Muntaha. Ini adalah Jibril a.s, Nabi s.a.w melihatnya dalam bentuk asal dua kali, sekali di bumi dan kali kedua di Sidratul Muntaha. Wallahua’laam.
Ringkasan – Pengajaran Dari Isra’ & Mi’raj
Dr. AAM Tajuk; 24 Pengajaran Dari Mukjizat Al-Isra’ & Al-Mikraj
24 Faedah Mu’jizat Isra’ & Mi’raj
Peristiwa pembedahan dada Rasulullah s.a.w pun berlaku pada kali ini.
Dan di dalam peristiwa Isra’ Mi’raj ini, Baginda s.a.w menyaksikan berbagai-bagai perkara:
Telah dipersembahkan kepada Baginda s.a.w susu dan khamar, namun Baginda s.a.w memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda s.a.w: Engkau telah menunjukkan kepada fitrah atau telah menepati fitrah, tapi sekiranya engkau mengambil khamar nescaya sesatlah seluruh umatmu.
Baginda telah menemui empat sungai di dalam syurga, dua sungai zahir dan dua sungai batin. Dua sungai zahir adalah sungai Nil dan Furat, ini bermakna agama dan risalah yang dibawanya akan bertapak di lembah-lembah subur Nil dan Furat, penduduknya merupakan pendokong-pendokong agama Islam dari generasi ke generasi yang lain, bukanlah bererti yang airnya mengalir dari syurga.
Juga Baginda s.a.w melihat malaikat Malik penjaga neraka, yang tidak pernah senyum malah di mukanya tiada sedikit pun tanda mesra atau lembut, Baginda s.a.w melihat syurga dan neraka.
Baginda menyaksikan pemakan-pemakan harta anak yatim secara zalim, mulut-mulut mereka bak mulut-mulut unta, dilontarkan ke dalam rahang mulut mereka ketulan-ketulan api neraka bak harimau meluru keluar dari dasar neraka keluar melalui dubur mereka.
Baginda menyaksikan pemakan-pemakan riba dengan perut yang besar, kerananya mereka tidak berupaya bergerak dari tempat-tempat mereka, dan keluarga Firaun lalu di hadapan mereka dan melanyak mereka dengan tapak kaki.
Penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar di samping daging buruk dan busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk, ditinggalkannya yang segar. Baginda s.a.w menyaksikan sekumpulan wanita yang masuk ke dalam majlis lelaki yang bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari (menggunakan) payudara-payudara mereka.
Juga Baginda s.a.w melihat sekumpulan unta penduduk Makkah yang sedang dalam perjalanan. Pada masa itu Baginda s.a.w telah menunjukkan mereka unta yang mereka hilang itu, dan Baginda s.a.w telah meminum air dari bekas-bekas mereka yang tertutup kemas sedang mereka nyenyak tidur. Selepas habis diminum, Baginda s.a.w menutup kembali tudungnya, kejadian ini menjadi bukti kebenaran kepada peristiwa Isra’ Mi’raj yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.
Ibnu al-Qayim berkata: Setelah Rasulullah s.a.w berada di pagi subuh bersama-sama kaumnya dan menceritakan kepada mereka tanda-tanda yang agung (al-Ayat al-Kubra) yang diperlihatkan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka semakin ingkar kafir Quraisy dengan risalah Muhammad s.a.w, semakin bengis lagi mereka menyiksa kaum Muslimin. Namun demikian, mahu juga mereka bertanya Rasulullah s.a.w supaya menggambarkan rupa bentuk Baitul Maqdis, maka Allah membuka penglihatan Rasulullah s.a.w sehingga tergambar Baitul Maqdis itu di hadapan matanya, dengan itu Rasulullah s.a.w pun menceritakan segala sesuatu mengenai dengannya hingga mereka tidak mampu untuk menolak atau mendustainya, dan Baginda s.a.w menceritakan juga mengenai kumpulan-kumpulan unta mereka, semasa pemergian dan kepulangan Baginda s.a.w, juga Baginda s.a.w menceritakan unta-unta yang akan tiba dan menyifatkan unta yang akan mendahului kafilahnya, dan benar sebagai yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w namun mereka semakin angkuh dan ingkar, memang sesungguhnya orang yang zalim itu semakin kufurlah mereka.
Adapun Abu Bakar r.a digelar dengan gelaran as-Siddiq kerana pembenaran dan kepercayaan beliau dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sedangkan ramai manusia mendustainya.
{untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami}. [al-Isra’ : 1]
Ini adalah sunnah dan qanun Rasulullah kepada para anbiya’ Nya, sebagaimana penegasan Allah kepada Ibrahim a.s.
{وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ}
“…dan demikian Kami memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin” (al-An’aam: 75).
Dan penegasan Allah SWT kepada Musa a.s.
{ لِنُرِيَكَ مِنْ آَيَاتِنَا الْكُبْرَى}
“….(Berlakunya yang demikian itu) kerana kami hendak memperlihatkan kepadamu, sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan kami yang besar.” (Thaha: 23)
Penyusunan program Isra’ Mi’raj ini bertujuan untuk memberi keyakinan:
“…dan supaya jadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin”. (al-An’am : 75)
Setelah ilmu dan makrifat para nabi ini berdasarkan penyaksian tanda-tanda agung (al-Ayat al-Kubra) tadi, darinya mereka memperolehi ‘Ain al-Yakin (yakin hakiki) yang tidak dapat dinilai kadarnya, kerana berita pengkhabaran itu tidak boleh disamakan dengan penyaksian dua mata kepala, hasilnya mereka lebih mampu untuk menanggung risiko dakwah yang bakal mereka garap dan tempuhi, seluruh tenaga dunia yang menentang mereka hanya seberat nyamuk sahaja, untuk itu mereka tidak menghiraukan segala pancaroba dan ancaman terhadap mereka.
Adapun hikmah dan rahsia-rahsia di sebalik perjalanan agung ini, secara perincian merupakan topik pembicaraan hikmah-hikmah syariat, namun di sana beberapa fakta ringkas terpancar dari jejak perjalanan mulia ini, yang kesemuanya membekalkan siraman subur kepada sirah Rasulullah s.a.w, yang saya kira patut rakamkan sebahagian darinya di sini:
Pembaca mendapati di dalam surah Isra’ ini, bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah al-Isra’ hanya dalam satu ayat yang tunggal, seterusnya Allah SWT mendedahkan tembelang Yahudi dan jenayah-jenayah mereka, kemudian Allah SWT memperingatkan mereka bahawa al-Quran ini hanya memberi hidayah kepada sesuatu yang lebih tulus, boleh jadi nanti mungkin pembaca menyangka tiada sebarang ikatan antara dua ayat ini. Hakikatnya tidak sedemikian, kerana Allah SWT dengan cara ini menunjukkan bahawa peristiwa Isra’ itu sesungguhnya telah berlaku di bumi Baitul Maqdis, kerana kaum Yahudi sudah pun dipecat dari pimpinan umat manusia, lantaran kesalahan dan jenayah-jenayah yang mereka lakukan, sehingga tiada peluang lagi untuk membenarkan mereka menyandang tugas itu, dan sesungguhnya Allah SWT telah memindahkan tugas itu kepada Rasul-Nya s.a.w dan mencantumkan kedua-dua pusat dakwah Sayyidina Ibrahim a.s ke pangkuan Baginda s.a.w.
Memang sudah sampai masanya untuk perpisahan pemimpin kerohanian dari satu umat ke satu umat yang lain, dari satu umat yang sejarahnya penuh dengan penipuan, pengkhianatan dosa dan perseteruan, kepada satu umat yang penuh dengan kebaikan dan budi, di mana Rasul-Nya terus menerima wahyu al-Quran yang membimbing ke arah ketulusan dan kebenaran. Tetapi bagaimana proses pemindahan ini boleh berlaku sedangkan Rasul-Nya diburu di bukit-bukit Makkah?
Persoalan ini menyingkap suatu persoalan yang lain pula, iaitu tugas dan peranan dakwah Islamiah ini hampir berakhir, dan lengkap, dan akan bermula satu peranan lain yang amat berlainan dari yang pertama, untuk itu kita melihat sesetengah ayat al-Quran mengandungi peringatan yang keras dan ugutan yang berat kepada kaum musyrikin.
{ وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا (16) وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ الْقُرُونِ مِنْ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَى بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا}
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkan sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad)maha mengetahui lagi maha melihat akan dosa-dosa hamba-Nya”. (al-Isra’: 16-17)
Di samping ayat ini, terdapat ayat-ayat lain yang menerangkan kepada kaum Muslimin akan asas dan tonggak tamadun serta prinsip-prinsip dan rukun-rukunnya di mana masyarakat Islam ditegakkan di atasnya, seolah-olah mereka telah bermastautin di bumi ini dengan menguasai kesemua aspek dalam pengurusan mereka, di mana mereka membentuk satu kesatuan yang kemas bersepadu sebagai paksi perjalanan masyarakat lain. Ini merupakan isyarat bahawa Rasulullah s.a.w akan memperolehi perlindungan dan pemeliharaan sehingga urusan dan kerja-kerja Baginda s.a.w bertapak, kelak ianya akan menjadi sebagai markas penyebaran dakwah Baginda s.a.w, inilah rahsia perjalanan yang mulia lagi berkat itu. Perbicaraan sebenarnya ada kaitan dengan topik kajian kami, untuk itu maka kami bicarakan di sini, sebagai hukum, maka sebab itu kami mendapati bahawa Isra’ ini berlaku sebelum bai’ah al-Aqabah atau di antara dua bai’ah al-Aqabah. Wallahua’lam.