Solat Atas Kerusi: Satu Keperluan Atau Pilihan?

Isi Kandungan

Pendahuluan

Dalam suasana hari ini, kita lihat semakin ramai orang sama ada lelaki dan perempuan menunaikan solat di atas kerusi. Tidak dinafikan, ada yang benar-benar uzur.

Ada yang baru selesai pembedahan, sendi lemah, lutut tidak mengizinkan, atau disahkan tidak mampu turun sujud.

Tapi persoalannya:

“Sudah bertahun-tahun solat atas kerusi… masih tak boleh turun sujud juga ke?”

Muhasabah Diri

Tazkirah yang disampaikan baru-baru ini mengajak kita semua untuk menilai semula keadaan diri sendiri. Bukan nak hukum sesiapa. Bukan nak tentukan sah atau tidak sah solat itu. Tapi nak ajak hati kita kembali bertanya:

“Bagaimana kesihatan aku sekarang? Perlukan lagi bergantung kepada kerusi (dan sebagainya)?”

Ada kes seseorang yang bertahun-tahun solat atas kerusi, bila anaknya minta cuba duduk, dia pun boleh. Bila ditanya, “Kenapa tak solat macam biasa?” Jawapannya, “Tak perasan boleh rupanya…”

Realitinya, masjid-masjid hari ini memang menyediakan kerusi. Tapi adakah kita menjadikan kemudahan itu sebagai alasan untuk tidak lagi sujud di lantai, walaupun sebenarnya mampu?

“Adakah benar-benar uzur, atau sudah selesa dan malas untuk tunduk kepada Allah sebagaimana sepatutnya?”

Pandangan Doktor, Pengalaman Pesakit

Ada yang berkongsi, selepas pembedahan tukar lutut, doktor maklumkan:

“9 daripada 10 pesakit tidak lagi boleh sujud atas lantai.”

Tetapi ada juga yang berkata:

“Alhamdulillah, walaupun saya tak boleh berjalan jauh seperti dulu, tapi saya masih mampu sujud dengan dahi menyentuh lantai. Itu nikmat besar.”

Nikmat sujud itu lebih tinggi daripada sekadar nikmat berjalan.

Bukan Isu Hukum, Tapi Isu Hati

Peringatan ini bukan untuk menentukan sah atau tidak sah solat atas kerusi, itu ada perbahasannya dalam fiqh dan hukum syarak. Tetapi ia adalah ajakan untuk muhasabah:

  • Adakah kita benar-benar uzur?
  • Atau sebenarnya hanya mengikut kebiasaan?
  • Atau menjadikan kerusi sebagai ‘lesen tetap’ untuk tidak lagi tunduk sujud di lantai?

Sujud Simbol Tunduk dan Ta’at

Sujud bukan sekadar rukun fizikal. Ia adalah simbol penyerahan, kehinaan, kerendahan hati di hadapan Allah. Bila kita masih boleh sujud, jangan sia-siakan peluang itu. Sujud itu tempat paling hampir antara kita dan Tuhan kita.

“Tunduk kepada Allah SWT lebih besar daripada nikmat berjalan ke sana sini.”

Kesimpulan

Bagi sesiapa yang benar-benar tidak mampu, Islam sangat rahmah dan memberi rukhsah (keringanan). Tapi jika kita masih mampu walau sedikit, jangan lalaikan nikmat sujud.

Allah tak minta kita sempurna, tapi Allah melihat usaha kita untuk merendah diri kepada-Nya.

Hasibu anfusakum qabl an tuhasabu
Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab.

Leave a Reply

Scroll to Top