Peringatan: Jauhi Tuduhan Qazaf Tanpa Bukti

Isi Kandungan

Pendahuluan

Kadang-kadang kita rasa biasa saja bila dengar orang tuduh orang lain dengan tuduhan berat seperti zina, liwat, skandal sana-sini. Tapi tahukah kita, dalam Islam, benda ni bukan perkara kecil. Ia dipanggil qazaf dan hukumannya sangat berat.

Apa Itu Qazaf?

Secara ringkas, qazaf bermaksud menuduh seseorang yang baik (muhsan) melakukan zina atau liwat tanpa membawa 4 orang saksi lelaki yang adil.

  • Tuduh melalui lisan dikira.
  • Tuduh dalam bentuk tulisan status, komen dll media sosial pun termasuk.
  • Sindir secara sinis yang boleh difahami sebagai tuduhan pun boleh jatuh hukum.

Kalau tak cukup syarat bukti, automatik jadi dosa qazaf.

Allah Ingatkan Dalam al-Qur’an

Allah SWT tegaskan dalam Surah al-Nur, ayat 4:

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik berzina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka sebanyak 80 kali dan janganlah kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang yang fasiq.”

80 kali sebat. Tak boleh jadi saksi. Dilebal pula sebagai fasiq.

Bayangkan kesannya pada maruah dan kredibiliti seseorang.

Nasihat Bersama

Dalam beberapa ceramah, saya berkongsi tentang betapa beratnya dosa menuduh tanpa bukti. Zaman sekarang, orang suka buat andaian, percaya video pendek atau dengar cerita “katanya…”

Tapi saya tegaskan:

“Kalau tak tengok dengan mata sendiri, tak ada bukti dari mahkamah, jangan sesekali buat tuduhan.”

Sebab bila kita tuduh tanpa asas, bukan sahaja boleh kena sebat di dunia, tapi kita juga bakal dipersoal di akhirat.

Saya juga sebut satu kata ulama yang sangat dalam maknanya:

“Innal bala’a muwakkalun bil-mantiq.”
“Bala itu terikat dengan lidah (ucapan).”

Kadang kita tak sedar, sebab mulut kita atau jari kita di media sosial, bala turun kepada diri, keluarga atau masyarakat. Nauzubillah.

Politik Pun Ada Batasnya

Saya juga sebut dalam ceramah tu bahawa kalau nak cakap pasal politik, silakan.

Nak kritik dasar, janji tak tunai, ekonomi tak stabil, tak ada masalah.

Tapi jangan guna serangan peribadi.

Jangan sebar video yang belum tentu sahih. Jangan ulang tuduhan yang belum dibuktikan di mahkamah.

Sebab kita bukan bercakap sekadar di hadapan manusia, kita sedang menjawab kepada Tuhan.

Undang-Undang Qazaf

Dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri, qazaf juga diiktiraf sebagai jenayah.

Contohnya di Selangor:

Seksyen 36, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang qazaf menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jadi tak boleh main-main, bukan setakat dosa, boleh kena tindakan undang-undang.

Kesimpulan

Kalau tak pasti, diam itu lebih selamat.

Kalau tak ada bukti, tahan dulu jari.

Kalau tak tahu hujung pangkal, jangan jadi penyebar fitnah.

Ingat pesan saya:

“Kalau kita tak jaga lidah, lidah tu yang akan bawa kita ke neraka.”

Semoga Allah pelihara kita dari jadi penuduh tanpa ilmu. Dan semoga kita jadi orang yang menjaga maruah orang lain supaya maruah kita juga dijaga.

Leave a Reply

Scroll to Top