Isi Kandungan
Solat Sunat Tasbih
بسم الله والحمد
لله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد
Solat ini mesyhur di kalangan umat Islam, di bawah ini ialah perbincangan ulama’ tentang hadisnya ini dan penjelasan kaifiat melakukannya serta beberapa isu yang berkaitan dengannya.
Perbincangan ini di ambil dari Kitab (بغية المتطوع في صلاة التطوع) yang ditulis oleh Dr. Muhammad bin Omar Bazamul Pensyarah di Universiti Umm Al-Qura, Makkah.
Di antara solat sunat yang disyariatkan adalah solat tasbih. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Ibnu Abbas r.a
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ
رَسُولَ اللهِ قَالَ لِلْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ:
((يَا عَبَّاسُ! يَا عَمَّاهُ! أَلا أُعْطِيكَ؟ أَلا أَمْنَحُكَ؟ أَلا أَحْبُوكَ؟ أَلا
أَفْعَلُ بِكَ؟ عَشْرَ خِصَالٍ، إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ؛ غَفَرَ اللهُ لَكَ ذَنْبَكَ؛
أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، قَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ، خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ، صَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ،
سِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ؛ عَشْرَ خِصَالٍ: أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، تَقْرَأُ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَسُورَةً. فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ
فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ وَأَنْتَ قَائِمٌ؛ قُلْتَ: سُبْحَانَ الله،ِ وَالحَمْدُ للهِ،
وَلا إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً. ثُمَّ تَرْكَعُ،
فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا. ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ،
فَتَقُولُهَا عَشْرًا. ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا، فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا،
ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَسْجُدُ، فَتَقُولُهَا
عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، فَذَلِكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ
فِي كُلِّ رَكْعَةٍ، تَفْعَلُ ذَلِكَ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ، إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ
تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ
جُمُعَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ
فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً)) رواه
أبو داود وابن ماجة.
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Al-Abbas bin Abdul Muttalib, “Wahai Abbas! Wahai bapa saudaraku! Mahukah engkau jika aku ingin memberikan padamu? Mahukah engkau jika aku ingin anugerahkan kepadamu? Mahukah engkau jika aku ingin menghadiahkan kepadamu? Aku benar-benar mencintaimu, mahukah engkau jika aku melakukan sesuatu terhadapmu? Ada sepuluh dosa – yang Allah SWT akan ampunkan jika engkau melakukan amalan ini -samada dosamu yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang baru, yang tidak sengaja mahupun yang disengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan, itulah sepuluh jenis dosa tersebut. Iaitu engkau melaksanakan solat empat rakaat; engkau baca dalam setiap rakaat Al-Fatihah dan surah, apabila engkau selesai membacanya di rakaat pertama dan engkau masih berdiri, maka ucapkanlah sebanyak 15 kali:
سُبْحَانَ
الله،ِ وَالحَمْدُ للهِ، وَلا إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tidak
ada Tuhan (yang berhak disembah dengan benar) selain Allah, dan Allah Maha Besar”
Kemudian rukuklah dan bacalah doa tersebut 10 kali ketika sedang rukuk, kemudian kamu bangun dari rukuk dan bacalah tasbih 10 kali, kemudian sujudlah dan bacalah doa tersebut 10 kali ketika sujud, kemudian bangkitlah dari sujud dan bacalah 10 kali, kemudian sujudlah dan bacalah 10 kali, kemudian bangkitlah dari sujud dan bacalah 10 kali. Itulah 75 kali dalam setiap rakaat, dan lakukanlah hal tersebut pada empat rakaat. Jika engkau sanggup untuk melakukannya satu kali dalam setiap hari, maka lakukanlah, jika tidak, maka lakukanlah satu kali seminggu, jika tidak maka lakukanlah sebulan sekali, jika tidak maka lakukanlah sekali dalam setahun dan jika tidak maka lakukanlah sekali dalam seumur hidupmu. [Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah ][1]
Penerangan (Video)
Darjat Hadis
Darjat Hadis: Para ulama’ dahulu dan sekarang berbeza pandangan tentang kedudukan hadis ini.
Kata Dr Mohd Omar Bazamul:
Hadis HasanLighairihi. Diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam kitab al-Solat, bab Solat al-Tasbih, hadis no.1297 dan lafaz hadis di atas adalah miliknya.
Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah di dalam kitab Iqaamat al-Solat wa al-Sunnah Fiiha, bab Maa Jaa-a fii Solat al-Tasbih, hadis no.1386.
Hadis ini dinilai kuat oleh sekelompok ulama, diantaranya Abu Bakar al-Ajurri, Abu al-Hasan al- Maqdisi, al-Baihaqi, Ibnu al-Mubarak(yang merupakan salah seorang ulama sebelum mereka), Ibnu al-Sakan, al-Nawawi, al-Taj al-Subki, al-Bulqini, Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi, Ibnu Hajar, al-Suyuthi, al-Laknawi, al-Sindi, al-Zubaidi, al-Mubarakfuri (penulis kitab al-Tuhfah), al-Mubarakfuri (penulis kitab al-Mir’aah) dan al-‘Allamah Ahmad Syakir serta al-Albani dari kalangan ulama kotemporari.
Lihat juga kitab, Risalah al-Tanqiih Limaa Jaa-a fii Solat al-Tasbih, Jasim al-Dawsari (h.64-70).
[Namun terdapat pandangan lain pula, para ulama’ yang mempertikaikan hadis ini:
Kedudukan Hadis: Dibawah ini adalah antara qaul Imam Huffaz Hadis Salaf al-Mutaqaddimun tentang hadis solat sunat tasbih:
1- Imam Ali ibn Madini: “Ia adalah hadis Mungkar.” [‘Ilal Ali ibn Madini]
2- Imam al-‘Uqaili: “Tiada hadis yang sabit tentang solat sunat tasbih.” [al-Dhu’afa]
3- Imam Ibn Khuzaimah: Ibn Khuzaimah mendhaifkan hadis ini dengan katanya: “Jika benarlah hadis ini sahih (in sahha al-khabar) dan sesungguhnya hati ini merasakan sesuatu akan sanad hadis ini.” [Sahih Ibn Khuzaimah]
4- Imam at-Tirmizi: At-Tirmizi mendhaifkan hadis ini dengan katanya: “Hadis hasan gharib.. terdapat beberapa hadis solat tasbih yg disandarkan kepada Nabi,tetapi tiada satupun yang sahih.” [Sunan Tirmizi]
5- Imam Ahmad: “Dinaqalkan oleh Ibn Qudamah, ditanya kepada Imam Ahmad adakah beliau melakukan solat sunat tasbih? Jawab Imam Ahmad: “Tidak sama sekali [lam]”. Bila ditanya kenapa,jawab Imam Ahmad: “Tiada satu pun dalam bab ini yang sahih”, dan kemudian Imam
Ahmad menyilangkan tangannya, menunjukkan bahawa ianya Mungkar.” [Al-Mughni]
Lihat: Al-Majmu’ 3/474-475 Cet. Al-Maktabah At-Tawfiqiyah.
6-Dalam fatwa Arab Saudi bernombor 776 mengatakan hadis ini tidak sabit dari Nabi s.a.w, bahkan ia hadis mungkar. Imam-imam yang besar tidakmenganggap solat tasbih sunat dilakukan. Kata Ibnu Al-Uthaimin: Sesiapa yang perhatikan kepada usul ilmu hadis, mereka akan dapati hadis ini maudu’. Lihat: http://www.islamqa.com/ar/ref/14320
Lihat:http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=70413] –AAM.
Komentar
Terdapat Beberapa Faedah (Komentar) Tentang Hadis Solat Tasbih Di Atas:
Pertama: Meskipun khithab (sabda Nabi s.a.w ) di dalam hadis ini ditujukan kepada al-Abbas r.a, tetapi hukumnya berlaku umum bagi setiap muslim. Sebab berdasarkan hukum asalnya khithab Rasulullah s.a.w bersifat umum, tidak khusus.
Kedua: Tentang sabda Baginda s.a.w dalam hadis di atas:
“……. maka Allah SWT akan mengampuni dosamu, baik yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang baru, yang tidak sengaja mahupun yang disengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan. Inilah sepuluh jenis dosa tersebut ………..”
Jika ada yang berkata bahawa lafaz tidak disengaja [الخطأ] bererti yang tidak dianggap berdosa.
Firman Allah s.w.t :
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau tidak sengaja.” [Al-Baqarah: 286]
Lalu, bagaimana mungkin ia dikategorikan ke dalam perbuatan dosa?
Jawabnya: Dalam konteks “Tidak sengaja” [الخطأ] terkandung makna kekurangan atau ketidaksempurnaan, sekalipun ia tidak mengandungi dosa, dan solat ini dapat menutupinya.
Ketiga: Di dalam kitab at-Tanqiih Limaa Jaa-a Fii Sholaati at-Tasbih, disebutkan: “Ketahuilah – semoga Allah merahmatimu – bahawa seorang hamba tidak boleh bersandar kepada hadis-hadis tentang anjuran untuk mengerjakan amalan-amalan yang mencakupi pengampunan dosa seperti ini dengan bersandar kepadanya, lalu membiarkan dirinya melakukan perbuatan dosa, dan mengira bahawa ia telah melakukan suatu amalan yang akan menghapuskan kesemua dosanya. Ini benar-benar suatu kebodohan dan kejahilan. Apa yang membuat kamu yakin – wahai orang-orangyang tertipu – bahawa Allah akan menerima amalan mu itu dan seterusnya akan mengampunkan dosa-dosa mu?
Padahal Allah s.w.t berfirman :
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya, Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertaqwa.” [al-Maidah: 27]
Perhatikan dan camkanlah hal tersebut, serta ketahuilah bahawa pintu masuk syaitan ke dalam diri manusia itu cukup banyak. Berhati-hatilah, jangan sampai syaitan memasuki dirimu melalui pintu tersebut.
Allah s.w.t telah menyifatkan bahawa hamba-hamba-Nya yang beriman sebagai orang yang mengerjakan amal soleh serta sentiasa berusaha untuk taat kepada-Nya. Meskipun demikian, hati mereka masih saja gementar dan khuatir jika amal mereka itu tidak diterima sehingga ditimpakan siksaan ke wajah mereka .
Allah s.w.t berfirman :
وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آَتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ (60) أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ
“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu) bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka, mereka itu bersegera untuk melakukan kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.” [Al-Mukminun: 60-61]
Apa yang kami sampaikan dalam mentafsirkan ayat ini adalah merupakan pendapat majoriti Ulama’ tafsir.
Di dalam kitab al-Jaami’ Li Ahkam Al-Quran ( j.12 / h.132 ), al-Qurtubi menyebutkan dari al-Hasan al-Basri, bahawasanya dia berkata: “Kami pernah mengetahui beberapa orang yang takut kebaikan mereka akan ditolak, (merasa) lebih prihatin daripada kalian yang tidak takut di azab atas perbuatan dosa kalian”.
“Ketahuilah bahawa dosa-dosa yang berkaitan dengan hak-hak orang lain tidak tercakup kedalam hadis di atas. Untuk dosa-dosa yang berhubung dengan hak-hak orang lain, maka wajib mengembalikan hak itu kepada pemiliknya, dan bertaubat dari hal tersebut dengan taubat nasuha ( bersungguh-sungguh )”.[2]
Keempat: Tidak ada riwayat yang menjelaskan tentang surah-surah tertentu yang dibaca pada setiap rakaat ( solat tasbih ) mahupun waktu perlaksanaannya.
Kelima: Zahir hadis di atas menunjukkan bahawa solat tasbih itu dikerjakan dengan satu salam, baik malam mahupun siang hari, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qari dalam kitab al-Mirqaat dan al-Mubarakfuri di dalam kitab at-Tuhfah ( j.1 / h.349 ).
Keenam: Zahir dari hadis di atas juga menunjukkan bahawa bacaan zikir yang diucapkan sebanyak sepuluh kali itu diucapkan setelah zikir yang telah ditetapkan pada setiap bahagian solat. Ertinya, ketika rukuk, maka bacaan zikir solat tasbih ini dibaca sebanyak sepuluh kali setelah selesai
membaca zikir rukuk. Begitu pula, ia dibaca sepuluh kali setelah ucapan: Sami’ allahu liman hamidah, Rabbana wa lakal-hamdu, iaitu setelah bangkit dari rukuk. Begitu seterusnya yang dilakukan di setiap bahagian solat.
Ketujuh: Jika seseorang melakukan kesalahan dalam solat ini, lalu ia mengerjakan dua sujud sahwi, maka dia tidak perlu mengucapkan tasbih sebanyak sepuluh kali seperti yang ia lakukan pada sujud-sujud lainnya dalam solat ini.
Al-Tirmizi (j.2 / h.350) meriwayatkan dari Abdul Aziz bin Abi Razmah, dia berkata: “Aku bertanya kepada Abdullah Ibnu al-Mubarak: ‘Jika seseorang lupa dalam solat itu, apakah ia perlu bertasbih sepuluh kali-sepuluh kali di dalam dua sujud sahwi?’ Dia menjawab: ‘Tidak, bacaan tasbih pada solat ini hanya berjumlah tiga ratus kali tasbih’.”[3] [Tamat Petikan dari Bughyah Al-Mutatowwi’]
Persoalan
Timbul Persoalan: Bolehkah solat ini dilakukan secara berjamaah sebagaimana amalan di sebahagian tempat?
Dalam kitab Al-Majmu’ 3/476: “Solat Sunat tidak disunatkan berjamaah kecuali Sunat Dua Hari Raya, Dua Gerhana, solat Istisqa’ (minta hujan) dan Tarawih serta witir selepasnya.
Adapun lain-lain solat sunat, seperti sunat rawatib, dhuha dan sunat mutlaq (tidak berkait dengan masa) maka tidak disunatkan berjamaah. Namun sekiranya dilakukan secara berjamaah (sekali sekala untuk mengajar) maka harus…”.
Demikianlah amalan yang menjadi agenda tetap mingguan atau bulanan solat tasbih berjamaah patut ditukarkan kepada amalan individu, kerana tidak ada riwayat Nabi SAW dan para sahabat radhiallahu ‘anhum melakukan sunat-sunat tersebut secara berjamaah berterusan atau berulang-ulang.
Begitu juga jangan dijadikan solat sunat ini sebagai agenda tetap pada setiap malam raya, pagi atau malam Jumaat dan sebagainya, kerana ia tidak ada tempoh yang ditetapkan oleh Syara’. Kerana menetapkan sesuatu yang tidak ditetapkan oleh Syara’ adalah satu kesalahan. Wallahu a’lam.
Akhukum,
Abu Anas Madani, 28 Ramadhan 1434H.
Rujukan
[1]Hadis hasan lighairihi. Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam kitab al-Solat, bab Solat al-Tasbih, hadis no.1297 dan lafaz hadis di atas adalah miliknya.
Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah di dalam kitab Iqaamat al-Solat wa al-Sunnah Fiiha, bab Maa Jaa-a fii Solat al-Tasbih, hadis no.1386.
Hadis ini dinilai kuat oleh sekelompok ulama, diantaranya Abu Bakar al-Ajurri, Abu al-Hasan al- Maqdisi, al-Baihaqi, Ibnu al-Mubarak( yang merupakan salah seorang ulama sebelum mereka ), Ibnu al-Sakan, al-Nawawi, al-Taj al-Subki, al-Balqini, Ibnu Nashiruddin al-Dimasyqi, Ibnu Hajar, al-Suyuthi, al-Laknawi, al-Sindi, al-Zubaidi, al-Mubarakfuri ( penulis kitab al-Tuhfah ), al-Mubarakfuri ( penulis kitab al-Mir’aah ) dan al-Allamah Ahmad Syakir serta al-Albani dari kalangan ulama kotemporari.
Lihat juga kitab, Risalah al-Tanqiih Limaa Jaa-a fii Solat al-Tasbih, Jasim al-Dawsari (h.64-70).
[2]Lihat kitab:, Risalah al-Tanqiih Limaa Jaa-a fii Solat al-Tasbih, Jasim al-Dawsari (h.101-7-102)
[3]Seluruh keterangan di atas, selain yang pertama, di ambil dari kitab, Risalah al-Tanqiih Lima Jaa-a fii Solat al-Tasbih, Jasim al-Dawsari (h.100-107)