بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, yang telah menyampaikan kita pada bulan Ramadhan tahun ini lalu memberi peluang untuk kita menambah amal kebajikan. Semoga buku amalan kita dipenuhi dengan pahala-pahala yang dikaut sepanjang Ramadhan ini, insya’Allah. Hari ini hari ke-20, esok kita akan memasuki 10 ketiga atau terakhir bulan Ramadhan. Hari-hari yang memiliki kelebihan dan kemulian yang khas dan berbanding lainnya.
Di antara nikmat dan hadiah Allah SWT terhadap hamba-Nya umat Islam akhir zaman ini, dianugerahkannya kepada kita satu malam yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan. Suatu keutamaan yang tidak pernah didapati pada malam-malam selainnya. Iaitu malam “Lailatul Qadr”. Suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ * سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam taqdir (Lailatul Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam taqdir (LailatulQadr) itu? Malam taqdir itu (Lailatul Qadr) lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar”.[Al-Qadr: 1-5]
BAGAIMANAKAH WANITA MUSLIMAH YANG UZUR HAIDH NAK DAPAT LAILATUL QADAR
Sila Lihat Jawapan AAM di sini:
Ulama’ menjelaskan bahawa(pahala) amalan pada malam yang barakah itu lebih baik daripada pahala amalan yang dikerjakan selama 1000bulan yang lain. 1000 bulan itu sama dengan 83 tahun lebih. Itulah di antara keutamaan malam yang mulia tersebut.
Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadhan ini meningkatkan amalan ibadah Baginda dan berusaha untuk meraihnya. Baginda bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيْمَاناًوَاحْتِسَاباً،غُفِرَلَهُ مَاتَقَدَّمُ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap balasan (dari Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. [HR Al Bukhari no.1768, An Nasa’i no. 2164, Ahmad no. 8222].
Ummul Mukminin Aisyah ra meriwayatkan tentang keadaan Nabi SAW pada 10 terakhir Ramadhan :
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر – أي العشر الأخير من
رمضان – شد مئزره، وأحيا ليله، وأيقظ أهله . متفق عليه
“Adalah Rasulullah SAW apabila memasuki 10 terakhir Ramadhan, Baginda mengikat tali kainnya (yakni meningkat amalan ibadah Baginda), menghidupkan malam-malamnya, dan membangunkan isteri-isterinya.” [Muttafaqun ‘alaihi]
Untuk penjelasan lebih lanjut tentang Lailatul Qadr sila dengar:
Tazkirah Jumaat Ramadhan 1431 BHG 3 BAB Nuzul Quran & Lailatul Qadar
Muslimat di 10 Akhir Ramadhan;
Apa yang ingin dibincangkan atau menjadi persoalan utama di sini ialah keluhan-keluhan dan pertanyaan daripada kawan-kawan muslimat.
“Alamak! Esok dah 21 Ramadhan period saya baru mula…terlepas la Lailatul Qadr tahun ni..”
“Saya dah tiga tahun, tinggal puasa ‘cuti’di akhir Ramadhan, bila la nak dapat Lailatul Qadr?”
“Kalau kita ‘uzur’ apa ibadat yang boleh kita buat untuk mendapatkan Lailatul Qadr?”
Serta pelbagai lagi bentuk persoalan, tetapi isu utamanya adalah: “Bagaimanakah cara bagi wanita yang datang haidh (cuti/uzur) beribadat juga peluang untuk turut meraih Lailatul Qadr??”
Ini bukan isu yang kecil kerana sehingga ada yang sanggup untuk mengambil ubat penahan haidh pada bulan Ramadhan ini kerana takut kerugian dan terlepas tawaran istimewa yang hanya datang setahun sekali ini.
Sebenarnya kita tidak perlu bertindak sejauh itu, haidh adalah satu nature, tabi’i bagi kaum Hawa. Allah Yang Maha Adil, yang mencipta kita dan memberikan sifat itu kepada kita pasti sekali tidak akan membiarkan kita kerugian dan terlepas tawaran yang begitu besar ini.
Orang yang berhadas besar seperti haidh ini hanya tidak boleh melakukan ibadat puasa, solat serta membaca al-Quran (serta semua yang memerlukan wudhu’).
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Bukankah wanita itu jika sedang haidh dia tidak solat dan tidak berpuasa? Itulah kekurangan agamanya.” [HR Bukhari]
Walaupun Allah memberi kita ‘cuti’, tidak dibolehkan puasa dan solat, namun ia tidak bererti kita tidak boleh melakukan sebarang amalan atau ibadat yang boleh menambahkan lagi pahala kita, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang segala amalan dilipat gandakan pahalanya.
Banyak lagi amalan yang dicintai oleh Allah SWT serta ibadah sunnah lainnya yang dianjurkan yang dapat dilakukan diantaranya:
1) Menyediakan dan memberi iftor (hidangan berbuka)
Menyediakan makanan kepada orang-orang yang puasa samada anggota keluarga ataupun saudara-saudara umat Islam. Iftor adalah amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, kerana mengandung pahala yang besar dan kebaikan yang berlimpah.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang memberi iftor (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” [H.R. Bukhari dan Muslim].
Jika tidak mampu dari segi kewangan, tolonglah ibu atau kakak di dapur untuk menyediakan hidangan berbuka bagi keluarga. Juga memberi sumbangan tenaga menolong di tempat-tempat yang menganjurkan jamuan berbuka puasa seperti di masjid-masjid atau surau berdekatan.
2) Menyediakan Makanan Sahur
Menyediakan makanan sahur kepada anggota keluarga ataupun saudara-saudara Islam lain juga satu ibadat yang tidak kurang besar pahala dan faedahnya. Selain memberi makan kepada orang lain, ia juga memberi kita peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur serta qiyamullail. Walaupun tidak dapat bersolat masih banyak lagi ibadat lain yang dapat kita lakukan.
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “Allah turun ke langit dunia, ketika malam telah tinggal sepertiga yang akhir. Maka Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku perkenankan doanya. Sesiapa yang minta ampun kepada-Ku, maka Aku ampuni dia.” (HR. Bukhârî dan Muslim).
Dan Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Pada waktu malam, sesungguhnya ada suatu saat, di mana jika seseorang Muslim memohon kepada Allah suatu kebajikan dunia dan akhirat ketika itu, niscaya Allah mengabulkannya.” (HR. Muslim).
Bagi kaum ibu yang sudah menjadi tugasan wajib bangun untuk menyediakan juadah sahur serta mengejutkan keluarga, anak-anak dan bapanya, maka ambillah kesempatan itu untuk turut bersama berdoa, beristighfar dan berzikir mengingati Allah.
Anak-anak gadis pun bangunlah untuk menolong ibu di dapur lalu memberi peluang kepada mereka yang tidak ‘cuti’ beribadat lebih lama, serta mengambil peluang waktu mustajab itu untuk turut berdoa dan berzikir, bukan hanya meneruskan tidur tanpa apa-apa input yang berfaedah! Bahkan setengah tu siap berpesan: “Mak malam ni tak payah kejut sahur, saya cuti??!!” Bukankah ini amat merugikan? Korbanlah masa tidur untuk sepuluh malam terakhir yang entah bila lagi kita akan sempat laluinya.
3) Menjauhi Larangan Agama
Kita hendaklah bijak memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haidh, dan terhalang menunaikan puasa masih mendapat pahala iaitu dengan berusaha menjauhi segala yang dilarang oleh agama,dan berusaha menjaga lidah dari mengeluarkan kata-kata buruk seperti berdusta, mengumpat dan seumpamanya. Bahkan sentiasa membasahinya dengan sesuatu yang berfaedah dan memberi pahala.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa tidak meninggalkan perkataan zurr (dusta, mengumpat, ghibah) maka tiada artinya di sisi ALLAH baginya puasa dari makan dan minum” . [HR Bukhari].
Jangan kerana tidak puasa, bukan hanya meninggalkan ibadat tetapi terus leka menonton tv, mendengar lagu-lagu yang tidak elok, surfing internet tanpa manfaat dan seumpamanya. Jadi kita juga harus menjaga mata, telinga dan seluruh anggota kita yang lain daripada menjadi penyumbang dosa dan pengikis pahala pula!!!
4) Banyakkan Berdoa dan Berzikir Sepanjang Hari
Berdoa di bulan Ramadhan adalah sangat mustajab, dan sangat digalakkan, maka manfaatkan waktu dengan sentiasa berdoa dan berzikir setiap masa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada kaum membaca Kitab Allah (berzikir kepada ALLAH) kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketenteraman, dan ALLAH menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” [HR. Muslim].
Walau tidak solat, kita boleh berdoa pada bila-bila masa saja terutamanya pada waktu yang mustajab seperti ketika sesudah azan dan pada waktu sahur. Kerana itu bangunlah pada waktu sahur walupun ‘cuti’.
5) Mengingatkan anggota keluarga kepada kebaikan
Samada suami/anak/saudara lelaki agar sentiasa solat berjamaah di masjid. Juga solat sunat terutama solat terawih, sunat dhuha dan solat sunat qiyamul lail.
Juga dengan memberi peluang kepada ibu/saudara/kawan yang mempunyai anak kecil dan jarang berpeluang ke masjid untuk bersolat terawih dengan menawarkan diri untuk menjaga anak mereka semasa waktu terawih.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dan jikalau mereka mengetahui apa-apa yang ada dalam solat Isya’ dan Subuh nescaya mereka mendatangi keduanya bahkan mereka akan mencintainya.” [HR. Bukhari]
“Berikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang berjalan bersama-sama ke masjid di kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari akhir nanti.” [H.R At Tirmizi].
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang solat Subuh berjamaah,lalu duduk berzikir kepada Allah Subhanu wa Ta’ala hingga terbit matahari,kemudian solat dhuha dua rakaat,maka untuknya pahala haji dan umrah, yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna .” (HR. At Tirmizi)
“Hendaklah kamu mendirikan qiyamul lail, kerana dia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu, jalan untuk mendekatkan pada Tuhan kamu, penghapus dosa-dosa, pencegah maksiat, dan penolak masuknya penyakit ke badan”. (HR. At Tirmizi).
6) Menyibukkan diri menuntut Ilmu yang Manfaat.
Kita juga boleh menambah atau menyampaikan ilmu samada dengan menghadiri kuliah, mendengar ceramah agama, membaca buku-buku ilmiah, mendengar bacaan al-Quran atau membaca tafsiran al-Quran dan sebagainya yang dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat diri.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut Ilmu, nescaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Syurga baginya”. (H.R. Muslim)
7) Banyak Bersedekah dan derma
Meningkatkan amalan kebajikan seperti bersedekah, berderma dan seumpamanya.
Ibnu Abbas ra berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan… dan Baginda SAW lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.”
[HR: Al-Bukhari]
Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi SAW:
)) اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ)) البخاري
Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].
Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.
Kaum wanita yang mempunyai kemampuan masih berpeluang berderma dan bersedekah pada waktu ini.
Kesimpulan:
Sebenarnya terlalu banyak lagi kebaikan dan ibadat yang dapat kita lakukan, tinggal hendak atau tidak sahaja!
Dengan niat yang baik dan keikhlasan kita ingin beribadat, serta kita pun telah menunjukkan kesungguhan dari awal Ramadhan lagi; iaitu telah melakukan segala ibadat sebaik mungkin ketika mampu dan boleh melakukannya, insya’Allah kita akan dapat mencapai pahala pada malam Lailatul Qadar dengan sepenuh dan sebanyak mungkin sama seperti yang tidak uzur (samada uzur Syar’ie atau uzur tubuh badan).
Sebagaimana hadis ini:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزَاةٍ فَقَالَ إِنَّ أَقْوَامًا بِالْمَدِينَةِ
خَلْفَنَا مَا سَلَكْنَا شِعْبًا وَلَا وَادِيًا إِلَّا وَهُمْ مَعَنَا فِيهِ حَبَسَهُمْ
الْعُذْرُ. صحيح البخاري
Dari Anas RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda semasa pulang dari peperangan Tabuk: “Sesungguhnya terdapat di Madinah sekumpulan lelaki yang kita tinggalkan, namun setiap bukit yang kita daki, setiap lembah yang kita rentasi, mereka tetap bersama kita dalam perjalanan. Mereka terhalang (untuk ikut serta) oleh keuzuran.” [HR Bukhari].
Mudah-mudahan memberi manfaat buat semua, khususnya para muslimat diluar sana. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita hidayah dan kekuataan untuk sentiasa istiqamah di dalam ibadat dan keredhaan-Nya, amin.
Ukhtukum,
Ummu Anas Madani.
PSD 20 Ramadhan 1434H.