
Isi Kandungan
Pendahuluan
Hari ini, semakin banyak maahad tahfiz wujud. Ada yang diurus kerajaan, ada yang swasta.
Nama pun tahfiz al-Quran, tetapi ada fenomena yang semakin ketara ialah pelajar kurang menguasai hafazan Al-Quran, tetapi sangat mahir bernasyid.
Menang Nasyid, Kalah Musabaqah al-Quran
Pernah berlaku, ketika musabaqah al-Quran, pelajar tahfiz yang bertanding tidak menang. Tetapi apabila tiba pertandingan nasyid, mereka pula yang juara. Ada pula pihak yang bangga dan mengumumkan:
“Maahad kami terbaik dalam pertandingan nasyid!”
Persoalannya, adakah matlamat asal maahad tahfiz tercapai?
Kalau namanya tahfiz al-Quran, utamakan hafazan. Bukan lari fokus kepada aktiviti yang sekadar menghiburkan.
Keutamaan Yang Perlu Dijaga
Pengendali maahad tahfiz perlu kembali kepada asas penubuhan:
- Utamakan hafazan Al-Quran – pastikan pelajar benar-benar menghafal sebanyak mungkin dengan sebutan yang tepat (tartil) dan ingatan yang kukuh.
- Elakkan gangguan fokus – jika masa banyak dihabiskan untuk latihan nasyid atau berkasidah, hafazan akan terganggu.
- Tanamkan cinta kepada Al-Quran, bukan sekadar kepada lagu.
Nasyid Tidak Salah, Tapi…
Berqasidah dan bernasyid bukanlah haram. Tetapi bila pelajar tahfiz lebih ingat lirik qasidah berbanding ayat Al-Quran, ini tanda ada masalah.
Pernah satu majlis kenduri, sekumpulan pelajar tahfiz diundang. Di pentas, mereka memukul gendang, menyanyi dengan suara lantang. Apabila ditanya berapa juzuk hafazan, ada yang jawab 3 atau 4 juzuk sahaja walaupun sudah bertahun belajar.
Tetapi bila ditanya tentang lagu-lagu qasidah, mereka boleh nyanyi penuh tanpa tersalah. Ini satu ironi yang menyedihkan.
Salah Tempat, Salah Waktu
Lebih membimbangkan apabila qasidah dan gendang dibawa masuk ke dalam masjid atau dibawa ke tanah perkuburan.
Masjid adalah tempat zikir, solat dan pengajian. Kubur pula tempat untuk doa dan tazkirah kematian, bukan hiburan.
Kembali Kepada Matlamat
Jika fokus utama maahad adalah melahirkan huffaz al-Quran, maka:
- Hafazan mestilah prioriti nombor satu.
- Aktiviti lain seperti nasyid atau qasidah boleh dibuat sekadar sampingan, bukan jadi identiti utama.
- Jangan sampai pelajar tahfiz dikenali sebagai kumpulan nasyid lebih daripada sebagai huffaz.
Penutup
Nasyid dan qasidah boleh jadi wasilah dakwah yang baik, tetapi jangan mengorbankan matlamat utama pendidikan tahfiz.
Huffaz sepatutnya dikenang kerana hafazan yang mantap, bacaan yang merdu dan akhlak yang indah bukan kerana menang pertandingan nasyid.
Fokuskan hati dan masa untuk kalam Allah.
Hiburan boleh mengisi ruang, tetapi Al-Quran mesti memenuhi jiwa.

