Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?
Perbincangan kali akan mengupas tajuk Qaedah yang masyhur di kalangan para pendakwah iaitu;
“Tidak boleh ingkar masalah khilaf!”
Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu Qaedah dalam fiqh dan memasukkannya dalam karangan tentang Qawaed Al-Fiqh. Tetapi sebahagian pendakwah atau ustaz memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Para ulama’ yang memperhalusi (muhaqqiq) kepada masalah ini mengatakan bahawa mengambil kaedah secara umum adalah tidak tepat, bahkan ia sebenarnya adalah “Tidak boleh ingkar masalah IJTIHAD”.Iaitu masalah yang tidak terdapat dalil atau nas yang soreh (jelas) kepada masalah tersebut.
Dhabit masalah Ijtihadiyyah; ialah satu hukum yang dikeluarkan dengan cara ijtihad, kerana tiada ijma’ atau nas yang qat’i dalam perkara tersebut. Jika ada nas sekalipun, ianya bersifat zhanni, ertinya boleh diterjemahkan kepada banyak kemungkinan dan ditakwil. (Ini kerana jika sudah ada nas yang jelas, tiada lagi ijtihad dalam perkara tersebut!)
PEMBAHAGIAN KHILAF
Pertama:
Khilaf Yang Muktabar, iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.
Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmu’ Fatawa 20/207).
Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain menganggapnya makruh.
2- Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal (Maqbul).
Ia dinamakan “Masalah Ijtihadi”. Ini kerana setiap ulama’ yang berbeza pandangan telah beramal atau mengeluarkan fatwa dengan kefahaman yang mereka ijtihadkan.
a. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama.
b. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung
dengan hukumnya.
c. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
Ini jelas daripada sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescayamendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”. [HR: Bukhari & Muslim]
3- Khilaf Yang Mardud (Tidak Diterima).

Penjelasan kepada jenis khilaf ini;
Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.
Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.
Untuk lebih jelas lagi kita nukilkan pandangan Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam rahimahullah yang menjelaskan perbezaan antara dua jenis khilaf ini.
Katanya:
Pertama:
Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata.
Kedua:
Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Qawaed Al-Ahkam 2/371).
Pondok Sungai Durian.
[Perhatian: Maqalah ini telah disiarkan dalam Majalah Solusi Isu 65, Ruangan SYIAR]
AAM Siri (02); PENGENALAN PERKEMBANGAN FIQH;
Khilaf Ulama, Taqlid, Talfiq, Taasub Mazhab.
AAM Siri (01); PENGENALAN KELEBIHAN ILMU;
Fiqh, Hadis & Sejarah Perkembangan Fiqh
AAM; PERKEMBANGAN FIQH DALAM SEJARAH PEMIKIRAN ISLAM – Mazhab Syafie.
Abu Anas 2012; Adab Berikhtilaf / khilaf – Berbeza Pandangan.