Catatan Rehlah Haj 1432H [3].
Perjalanan Haji 1432H.
Jumaat 8hb Zulhijjah 1432H – 4/11/2011M (Yaum al-Tarwiyah):
Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.
Amalan hari ini bagi jemaah haji;
Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah dahulu sewaktu datang ke Makkah) maka hendaklah berihram (berniat) melakukan haji pada hari ini. Kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Semasa berada di Mina Baginda melakukan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan. [Lihat siri 1 & 2 di: https://abuanasmadani.com/?p=1204 ]
Memandangkan hari ini jatuh pada hari Jumaat, maka pihak Pakar Rujuk Ibadat Haji Tabung Haji – Jakim telah menetapkan agar pergerakan jemaah haji Malaysia yang akan dibawa terus ke Arafah dari Makkah dimulakan operasinya selepas solat jumaat. Ini kerana kita wajib solat jumaat dulu di Makkah sebelum bertolak ke Arafah, kerana kita bukan terdiri dari kalangan orang bermusafir, setelah bermuqim di Makkah beberapa hari walaupun kita datang dari Malaysia yang beribu-ribu kilometer dari Makkah.
Bagi jemaah yang hendak ke Mina untuk ber”Tarwiyah”, mereka telah dibawa pada malam Jumaat ke Mina, kecuali beberapa kumpulan kecil yang pergi secara persendirian pada pagi Jumaat ke Mina.
Antara sebab pihak muassasah/TH tidak membawa majoriti Jemaah Haji Malaysia ke Mina pada hari Tarwiyah ialah – sebagaimana yang telah dijelaskan dalam catatan tahun lepas – kerana dikhuatirkan tidak sempat sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak dapat haji, dll.
Untuk maklumat pembaca, projek keretapi ataupun tren yang menghubungkan Mina, Muzdalifah dan Arafah telah siap dan digunakan pada musim haji 1431H, namun penggunaannya terhad kepada hujjaj dalam negeri sahaja.
Terdapat juga beberapa jemaah Ash-Har yang berkesempatan mencuba tren ini. Dua orang jemaah yang naik kereta dari Makkah nak ke Mina, tapi telah dihantar ke Muzdalifah. Bila tiba di sana mereka mengadu kepada pihak polis dan akhirnya dibenarkan menaiki tren ke Mina, seterusnya berjalan balik ke khemah di Mu’aisim. Manakala seorang Hajjah pula yang kebetulan suaminya bekerja di Mina sebagai petugas menjaga perjalanan tren, juga mendapat peluang menaiki tren.
Seramai 165 orang tenaga pekerja dari Malaysia telah dibawa ke Makkah untuk mengendalikan perjalanan tren ini pada Musim haji tahun ini.
Perkhemahan Maktab 97 pada tahun ini bersama dengan gergasi PJH Malaysia antaranya Rayhar Travel, dan beberapa buah PJH lain; Ash-Har, KSB, Batuta, Citra, Cantumas, D’Mawaddah dan Wira Saujana.
Zikir Munajat seperti biasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina… terus berkumandang, istimewa lagi apabila ada bersama dengan kami Sheikh munajat sendiri… Allahul musta’aan. [baca catatan tahun 1430H sudah diceritakan dengan panjang lebar…]
Sabtu 9 Zulhijjah 1432H – 05 Nov 2011. (Yaum Arafah): Wukuf.
Hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada para malaikat dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?” [HR Muslim No. 1348]
Pagi yang tenang di Arafah, dengan udara yang nyaman, namun tidak ada hujan pada tahun ini sepanjang kedatangan kami di Makkah hingga selesai mengerjakan haji, walaupun solat istisqa’ (minta hujan) telah dilakukan sebelum wuquf.
Jemaah haji menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah.
Waktu dhuha juga disambut dengan solat sunat dhuha, bacaan al-Quran dan pelbagai ibadat sunat yang lain termasuk zikir munajat yang kedengaran dari pelbagai sudut perkhemahan Arafah.
Memandangkan TH telah membuat ketetapan awal, khutbah akan dibaca oleh ustaz yang dibawa oleh mereka, maka ana telah menetapkan jadual sendiri, jam 10.30 Kuliah/ceramah khas: Huraian dan Penjelasan kepada Khutbah Rasulullah saw di Arafah yang sangat penting itu.
Isi kandungan khutbah al-Wada’ (khutbah Rasulullah saw) yang disampaikan di Wadi Uranah, Arafah ketika mengerjakan haji terakhir Baginda amat penting dan perlu difahamkan kepada jemaah yang sedang bersemangat untuk berwukuf pada setiap tahun, biarpun berulang kerana jemaah yang datang saban tahun majoritinya orang yang berlainan.
Khutbah Arafah Rasulullah saw:
“Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan ku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi di sini selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1- Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).
2- Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3- Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di bawah tapak kakiku (iaitu telah dihapuskan).
4- Tuntutan hutang darah di zaman Jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi‘ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Sa‘ad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5- Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Muttalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6- Wahai manusia! Takutilah Allah I di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah I, dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka, tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan dan pakai mereka dengan baik.
7- Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu, tidak halal bagi seseorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8- Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya.
9- Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah I Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke rumah suci Tuhanmu (Ka’bah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10- Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan takwa.
11- Allah I telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah I ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12- Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab?
Mereka menjawab: Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.
Baginda r lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata: “Ya Allah! Saksikanlah”.
Baginda Rasulullah telah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah r dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi‘ah bin Umayyah bin Khalaf ra. [Di ambil dari buku: “Makkah al-Mukarramah; Kelebihan & Sejarah, Telaga Biru 2008. Muka Surat 140-142]
Sila baca ulasan khutbah ini di: [ http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/khutbah-arafah-1432h-2011h.html]
Zikir Arafah.
Selepas solat zohor dan Asar para jemaah mula berzikir, ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang secara bersendirian. Bagi para jemaah Ash-Har ana pilih kaedah berzikir secara individu..
Sabda Rasulullah saw, maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”.
Waktu Paling Berharga
Waktu wukuf yang afdhalnya ialah bermula selepas solat zohor hari Arafah sehingga tenggelam matahari (maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (subuh) hari raya.
Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, selepas solat zohor terus berwukuf, duduk di atas untanya, menghadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya berdoa dengan khusyuknya sehinggakan apabila terlepas tali unta daripada tangannya, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangannya sahaja, dan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa.
Ini bermakna waktu afdhal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadhilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok, orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji malboro! Walaupun hukum haram rokok ni telah diputuskan oleh mejoriti besar ulama’ Islam. [Lihat: https://abuanasmadani.com/?p=729 ]
Semoga Allah kurniakan kita dengan haji mabrur.
Buku “Yaum Arafah”.
Sebelum wuquf, ana sempat ke Aziziyyah, untuk membeli buku. Antara buku yang dibeli ialah buku “يوم عرفة” yang ditulis oleh Prof. Dr. Falih Al-Sughayyir, tahun 1430H. Ketika menyenaraikan amalan hujjaj pada Hari Arafah ialah Doa’:
“Sunat bagi jemaah haji di Maufiq yang besar ini bersungguh-sungguh berzikir kepada Allah swt, berdoa kepada-Nya dengan penuh merendahkan diri dan kehinaan, menzahirkan sikap sangat berhajat dan kefaqiran kepada rahmat dan keampunan-Nya….
Dan hendaklah seorang itu menitiskan air matanya di Masy’ar yang agung ini, kerana ia dalil kepada ijabah dan alamat kebertuahan. Dan sesiapa yang tidak mampu menangis hendaklah dia buat menangis (mencuba sedayanya) dengan merintih dan berdoa kepada Allah swt…” [ms: 68-69]
Soalan: Manakah lebih afdhal; berdoa seorang diri atau seorang imam mendoakan kemudian makmum meng”amin”kan?
Asal kepada amalan doa, setiap insan berdoa untuk dirinya, kecuali apabila ada orang yang berkumpul dibelakangnya meng”amin”kan doanya, yang mungkin ada sebahagian jemaah yang lebih khusyu’, mudah menangis (maka hati orang lain pun mudah tersentuh sama). Amalan ini tidak mengapa “La ba’sa bihi” mengikut apa yang saya faham. Dan dalil pula tidak ada yang melarangnya, peristiwa seperti ini terjadi juga ada dikalangan para sahabat – radhiallahu ‘anhum – yang meminta Nabi saw berdoa untuk mereka. Namun saya tidak bertemu dalil Nabi saw di Maqif Arafah ini berdoa untuk mereka, kerana itu saya mengatakan: Yang paling afdhal ialah setiap insan berdoa untuk dirinya, lebih-lebih lagi kalau ianya membawa kepada zikir/talbiyah secara berjamaah dan seumpamanya”. [ms: 74-75]
Di awal pagi Arafah ana memberi nasihat dan bimbingan tentang doa di Arafah seperti yang disebut di atas, namun terdapat kesukaran bagi sesetengah jemaah untuk menitiskan air mata.. maka di petang Arafah ana membenarkan mereka meng’Amin’kan doa yang dibaca, mudah-mudahan air mata yang sukar untuk ditumpahkan kerana Allah swt dapat membasahi bumi Arafah, yang akan menyirami hati yang keras itu..
Maka pada petang Hari Arafah itu ana minta jemaah berdoa dan bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah, dengan tangisan yang penuh syahdu agar diampunkan dosa dan diterima haji yang dilakukan serta memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan yang berpesan agar berdoa untuk mereka, mintalah kebaikan di dunia dan di akhirat…
Makkah al-Mukarramah: 16 Zulhijjah 1432H – 12 Nov 2011.
Sambungan Siri 4:
Catatan Rehlah Haj 1432H [4].
Ke Muzdalifah
Apabila masuk waktu maghrib, Rasulullah SAW keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dan semasa di sana, mengerjakan solat maghrib dan isya’ secara jamak ta’khir dan qasar setelah itu Baginda SAW berehat.
Tidak ada riwayat yang menyebut Rasulullah saw melakukan ibadat khusus pada malam Muzdalifah tersebut.
Jemaah yang terkena giliran awal, bila dah dekat waktu maghrib, diminta bersedia untuk dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan.
Setiap maktab akan disediakan beberapa buah bas (shuttle bus) yang akan memunggah jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 8 km, mengambil masa 10-15minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”, jalan ini khas untuk jemaah haji Asia Tenggara.
Jemaah Ash-Har tahun ini asyik terkena giliran yang akhir sahaja (puas Penyelaras Haji Ash-Har berunding tapi tak dapat juga). Biasanya bila lewat keluar dari Arafah jalan dah mula jem, disebabkan bas-bas yang rosak di tengah jalan, kerana jalan yang dilalui mendaki bukit. Setelah jam hampir sembilan malam baru sampai giliran, ana menaiki bas no 2, sampai 2/3 perjalanan bas rosak, air cond pun mula jadi panas, pemandu masuk gear depan, tapi bas berjalan ke belakang pula, Allahul musta’aan. Akhirnya kami terpaksa kena tukar bas lain, dan Alhamdulillah kami tiba di Muzadalifah pada jam 11.30 malam dan menjadi rombongan Ash-Har yang terakhir tiba…
Sewaktu di Muzdalifah juga jemaah haji kita mula mengutip anak-anak batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi daripada saiz ini sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau/melebihi,” ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar.
Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah, tetapi boleh saja dimana-mana.
Perhatian: Diingatkan di sini tidak perlulah jemaah haji membawa lampu suluh setiap seorang, memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan, sebagai bekalan untuk kecemasan.
Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina.
Alhamdulillah, dalam susah ada rahmat, memandangkan giliran jemaah Ash-Har yang akhir, dapatlah kami bermabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Selepas solat subuh bas datang membawa kami ke Mina.
Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran yang terakhir (selepas subuh).
10 Zulhijjah 1431H (Yaum al-Hajj al-Akbar) Hari Raya.
Selepas solat zuhur, Ana mula bagi penjelasan tentang hukum/amalan haji bagi hari ini, cerita tentang Mina dan lain-lain.
Jemaah Ash-Har diarah keluar ke Jamarat selepas solat Maghrib…
Selepas melontar dan balik ke khemah, suasana dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala para haji yang licin bersinar.
Alhamdulillah mereka menyambut tawaran Rasulullah saw yang mendoakan agar Allah SWT memberi rahmat kepada orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali, kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW mendoakan rahmat untuk mereka yang hanya bergunting sahaja.
Alhamdulillah, semua jemaah lelaki Ash-Har yang bersama ana ke Arafah-Mina 100% cukur licin pada tahun ini.. Terima kasih kerana jemaah menerima tawaran besar dari Rasulullah saw.
Sedih dan terkilan juga apabila melihat masih ramai hujjaj yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka. Masih enggan untuk mengugurkan seluruh rambut mereka di Mina yang barokah ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW!
Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya’Allah, tetapi peluang untuk menjadi orang yang termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini, tiada siapa yang dapat menjamin peluang ini akan berulang sekali lagi dalam hidupnya!
Mina 1432H
Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia diletakkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3km daripada Jamarat (tempat melontar).
Rombongan kami ditempatkan di Maktab 97, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan disekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP), ditempatkan dekat dengan Jamarat.
Kami yang tinggal di perkhemahan ini, disediakan makanan secara bungkus sebanyak tiga kali sehari, nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air), bolehlah untuk menghalau lapar, alhamdulillah. Ramai jemaah bawa bekalan serunding dan lain-lain sebagai lauk tambahan. Makanan yang paling popular lima hari ini ialah GaGa (Mee Segera made in Indonesia), orang yang tak makan mee segera di Malaysia pun terpaksa makan di sini, dah jadi jamuan rasmi pula.. balik melontar, lepas ceramah.. pakat cari air panas…nak buat mee segera.
Lelaki dan perempuan dikhemah yang berasingan, diberikan tilam kecil satu seorang (nak dapat tilam, Ash-Har kena bayar tambahan kepada Muassasah). Sizenya seelok-elok muat badan, seperti liang-lahad, sebagai peringatan kepada kematian. Tilam yang telah disusun dan bantal yang diatur oleh petugas cantik dah, tiba-tiba boleh hilang, ada dikhemah lain.. heran juga dengan kekawan petugas ni… Suasana tidaklah begitu sesak sangat, kerana terdapat ramai jemaah yang berulang alik pulang ke Makkah untuk menunaikan tawaf dan saei masing-masing, khasnya orang-orang muda dan jemaah wanita yang menjangkakan haidh mereka sudah hampir.
Jemaah yang balik tawaf & saei.. bila nak balik semula ke Mina pada hari 11, terpaksa kena berjalan kaki sejauh 8km.. masya’Allah swt jihad sungguh mereka..
Yang menjadi sedikit masalah, memerlukan kesabaran dan ketahanan yang amat tinggi ialah tentang bilik air dan tandas. Bilangan tandas yang amat sedikit berbanding dengan jemaah yang amat ramai, satu maktab yang terdiri lebih daripada 2400 orang jemaah, hanya disediakan 40 buah tandas sahaja. Satu tandas pula dikunci, kononnya khas untuk petugas, sampai hati mereka! Selama ana beratur tu tak nampak pula kelibat mereka, alangkah baiknya kalau mereka buat peraturan; petugas yang datang dengan name tag mereka jemaah kena beri laluan, lebih baik dari terus kunci tandas tu..
Purata masa yang diperlukan jika waktu subuh, hampir atau lebih dari sejam beratur untuk menunggunya. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita, nak beratur lagi, dan perlu jaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka).
Perhatian:
Satu lagi yang perlu diberi perhatian dan kesedaran kepada hujjaj Maliziya ialah sifat suka mandi tak kira masa dan keadaan. Orang melayu ini tidak faham-faham, dalam keadaan yang begini terdesak pun, masih sentiasa hendak mandi, tidak hanya menyelesaikan hajat-hajat yang wajib sahaja! Setelah selesai solat nanti pergilah mandi.
Jemaah haji Malaysia yang berada di Mina diminta supaya solat jamak yang tamam (tanpa qasar) dengan alasan darurat susah mendapatkan air (bila dapat air mereka guna untuk mandi pula)! Sedangkan jika mengikut sunnah Nabi SAW, Baginda melakukan solat qasar tanpa jamak, bererti setiap solat dilakukan dalam waktunya sendiri.
Aktiviti ibadat lain, mengikut kerajinan dan keaktifan ustaz pembimbing masing-masing. Ada yang meriah dengan ceramah dan tazkirah, ada yang senyap sahaja. Alhamdulillah kami rombongan Ash-Har, sentiasa mengadakan tazkirah setiap selepas solat jamaah, dan ceramah sejarah Mina serta hikmat bermabit & melontar di adakan setiap hari, begitu juga taklimat dan penerangan bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan seperti melontar dan lain-lain.
Ana telah mengarahkan kepada jemaah lelaki/wanita agar mengadakan kelompok usrah tilawah al-Quran sepanjang perjalanan haji, Alhamdulillah ramai yang berjaya khatam al-Quran dalam tempoh tersebut..
Perhatian:
Kelonggaran yang dilonggarkan:
Pada hari 11 Zulhijjah, dalam hari haji dikenali dengan nama “Yaum al-Qarr”. Hari bertenang, kerana pada hari ini jemaah haji bertenang di Mina.
Namun dalam ketenangan ada kegelisahan, kerana ramai jemaah haji dari Malaysia dan lain-lain telah dibawa melontar selepas solat subuh lagi. Seronoklah jemaah bila dah selesai melontar, happy sahaja nampak bercakap di tepi tandas, bila kita tanya kenapa dah lontar? Mereka menjawab: Pagi kan tenang, tak panas!
Mereka tidak tahu hakikat sebenarnya, yang mereka telah keluar dari amalan majoriti ulama’ Islam yang terawal (salafussolih). Apa yang dipegang sebagai sandaran itu adalah pandangan dari dua ulama’ salaf iaitu Athaa’ dan Thawus. Sedangkan pada hari tersebut tiada sesuatupun yang perlu dikejarkan. Solat pun telah boleh diqasarkan atau di jama’ tamamkan.
Minta para pembimbing rujuk kembali kitab-kitab dan pandangan serta perbahasan yang berkaitan. Mintalah jemaah haji melontar pada waktu petang atau malam jika alasannya untuk mencari keselesaan dan ketenangan dari kesesakan. Berbeza situasinya jika hari tersebut adalah hari nafar samada awal atau thani kerana kesesakan jalan yang teruk dan punya sebab-sebab munasabah berbuat demikian. Dalam hal ini pandangan ulama’ juga agak luas dan lebih ramai bilangannya berbanding hanya terhad kepada dua pendapat yang tersebut tadi. Keluar dari khilaf ulama’ itu adalah mustahab (dituntut). [Lihat Al-Mughni fi Fiqh al-Hajj wa Al-‘Umrah m/s 386]
Pada Hari 12 Zulhijjah, Jam 10.30 pagi kami mengadakan sessi kenalkan diri dan luahkan sedikit pengalaman menunaikan haji..
Alhamdulillah, majlis berjaya.. ada jemaah yang sayu, sebak ketika menceritakan pengalaman.. datang haji kerana dorongan isteri, tak pernah cukur kepala dalam hidup selain kali pertama dicukur oleh mak… tak pernah menangis takutkan Allah swt tapi menangis kerana anak tak lulus periksa.. etc.
Jemaah Malaysia diberi arahan oleh Muassasah keluar melontar selepas maghrib, kami pun keluar berjalan beramai-ramai ke Jamarat (tempat melontar). Bagi sesiapa yang mahu melontar secara persendirian, pada waktu selain tadi, boleh pergi, tetapi tidak dibenarkan membawa bendera negara kerana tidak mahu nampak bercanggah dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Muassasah yang bertugas.
Setelah dua malam berada di Mina, ahli rombongan kami diberi pilihan samada untuk melakukan nafar awal (balik dulu ke Makkah, selesaikan amalan haji di Mina) ataupun memilih untuk menyempurnakan mabit tiga malam di Mina dan melakukan nafar thani. Setengah jemaah melakukan nafar awal, majoriti jemaah melakukan nafar thani bersama ustaz. Ini berpandukan hukum kelonggaran yang diberikan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:
{ وَاذْكُرُوا اللهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ، فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ، وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى، وَاتَّقُوا اللهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ } [البقرة: 203]
Maksudnya: “Dan berzikirlah* (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang, sesiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan sesiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya”. [Al-Baqarah: 203]
[*]Maksud zikir di sini ialah membaca takbir, tasbih, tahmid, talbiah dan sebagainya. Beberapa hari yang berbilang ialah tiga hari sesudah hari raya haji iaitu tanggal 11, 12, dan 13 bulan Zulhijjah. Hari-hari itu dinamakan hari-hari Tasyriq.
Pada hari ke tiga belas, semua jemaah haji pulang ke Makkah, jemaah Ash-Har seperti awal tadi juga, masih mendapat giliran akhir (apa rahsianya? Wallahu a’lam). Memandangkan keadaan itu, Ustaz Ahmad Syukri telah mengarahkan bas yang disewa khas (Saptco) agar memunggah jemaah dari Mina ke Makkah. Dan jemaah akhir terpaksa juga kena naik bas muassasah, kerana jalan dah jem, bas kita dah tak boleh masuk Mina lagi. Alhamdulillah ‘ala kullihaal..
Setelah berehat beberapa ketika, para jemaah yang belum tawaf dan saei haji lagi, akan menyempurnakan tawaf dan saei mereka, orang yang uzur syarie terpaksa bersabar sehingga ‘line clear’ dan bagi orang tua yang uzur pun terpaksa menunggu giliran/trip pemandu yang akan menolak mereka ke masjid, tawaf dan saei.. . ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم
Setelah berehat beberapa hari, kami mula mengadakan ceramah “Muhasabah Selepas Haji” dan lain-lain tajuk yang dipilih. Jemaah pula kembali mula aktif melakukan umrah semula, berulang-ulang kali.
Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab, kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang selepasnya juga.
Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ianya boleh dilakukan, wallahu a’lam.
Abu Anas Madani,
Makkah al-Mukarramah: 16 Zulhijjah 1432H – 12 Nov 2011.
Catatan Rehlah Haji 1430H:
Siri 1: https://abuanasmadani.com/?p=491
Siri 2: https://abuanasmadani.com/?p=500
Siri 3: https://abuanasmadani.com/?p=514
Catatan Rehlah Haji 1432H [Ada tambahan Gambar di link ini]:
Siri 1: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html
Siri 2: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/abu-anas-madani-catatan-rehlah-haj.html
Siri 3: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-3.html
Siri 4: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-4.html
Pingback: Catatan Rehlah Haj 1432H - Siri 1 & 2 - Abu Anas Madani