SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 12-13

KAFIR AKAN TEWAS DI DUNIA, AZAB DI AKHIRAT, DUA KUMPULAN BERTEMPUR & ALLAH S.W.T BANTU ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/L1xDZD3SFVg?si=u1498SN8iFmqtrVW

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 12 sehingga 13.
    Surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t arahkan Rasulullah s.a.w nyatakan kepada orang kafir bahawa mereka akan tewas di dunia dan dapat azab di akhirat.
  3. Atas dunia ini Allah nyatakan apabila ada dua kumpulan bertempur, Allah s.w.t akan bantu orang yang beriman, yang ikhlas berjuang pada jalan Allah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 12- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG KAFIR ITU: “KAMU AKAN DIKALAHKAN (DI DUNIA INI) DAN AKAN DIHIMPUNKAN (PADA HARI KIAMAT) KE DALAM NERAKA JAHANNAM, DAN ITULAH SEBURUK-BURUK TEMPAT YANG DISEDIAKAN”.} (AALI IMRAN3:12)

  1. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk beritahu kepada puak kafir; pada masa itu yahudi dan kuncu-kuncunya munafiq & musyrikin.
  2. Beritahu kepada mereka bahawa mereka akan dikalahkan di atas dunia ini kemudian di Akhirat kelak mereka akan dikumpulkan pada hari Kiamat untuk dicampakkan ke dalam neraka Jahannam.
  3. Ayat ini ada dua Qiraat (bacaan):
    i- pertama seperti ayat yang kita baca ini dengan (huruf ta)- kata ganti nama kedua {سَتُغْلَبُونَ} iaitu KAMU akan dikalahkan.

Yakni Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk berdepan dengan mereka & beritahu mereka secara direct bahawa kamu wahai puak kafir akan dikalahakan.

ii- kedua dengan (huruf ya)- kata ganti nama ketiga {سَيُغْلَبُونَ} iaitu MEREKA akan dikalahkan. Yakni Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk beritahu puak kafir bahawa mereka akan dikalahkan.

  1. Ayat ini sekaligus memberi ketenangan kepada kaum mukmin bahawa Allah telah janjikan bahawa kafir akan kalah; maka pastilah kaum mukmin akan mendapat menang!
  2. Kerana kamu kafir tidak mahu beriman; maka Allah beri amaran kepada mereka dalam masa yang sama ia beri semangat kepada orang mukmin.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.} (Al-Anfaal 8:36)
  4. Apa saja yang mereka belanjakan hanya membawa kerugian esar kepada mereka bahkan mereka akan tewas & akan dicampakkan ke dalam neraka.

Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali yang disediakan kepada mereka- wal ‘iyazu billah.

AYAT 13- {SESUNGGUHNYA TELAH ADA SATU TANDA (BUKTI) BAGI KAMU PADA (PERISTIWA) DUA PASUKAN YANG TELAH BERTEMU (DI MEDAN PERANG); SATU PASUKAN (ORANG-ORANG ISLAM) BERPERANG PADA JALAN ALLAH (KERANA MEMPERTAHANKAN AGAMA ALLAH), DAN YANG SATU LAGI DARI GOLONGAN KAFIR MUSYRIK. MEREKA (YANG KAFIR ITU) MELIHAT ORANG-ORANG ISLAM DENGAN PANDANGAN MATA BIASA – DUA KALI RAMAINYA BERBANDING DENGAN MEREKA SENDIRI. DAN ALLAH SENTIASA MENGUATKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DENGAN MEMBERIKAN PERTOLONGANNYA. SESUNGGUHNYA PADA PERISTIWA ITU TERDAPAT SATU PENGAJARAN YANG MEMBERI INSAF BAGI ORANG-ORANG YANG BERFIKIRAN (YANG CELIK MATA HATINYA).} (AALI IMRAN3:13)

  1. Sekarang sudah tiba waktu peperangan. Sudah ada bukti kepada kamu {كَانَ لَكُمْ} akan tanda-tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Tentang maksudnya perkataan {كَانَ لَكُمْ} -pada kamu- ini ulama’ kata ada 3 pandangan:

i- bagi kamu wahai orang yang beriman- sudah ada di depan mata kamu tanda-tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t!

ii- untuk puak kafir; bukankah kamu sudah lihat akan kekalahan orang kafir lain sebelum kamu!

iii- pendapat ketiga- ada juga ulama’ kata kata-kata ini ditujukan kepada puak yahudi!

  1. Kata Ibnu Asyur rhm,:
    i- ayat ini ditujukan kepada orang kafir- tidakkah kamu lihat kerana kita nak berhujjah dengan mereka & nak diberi amaran kepada mereka.

ii- boleh juga ditujukan kepada orang Islam- untuk dikatakan kepada orang kafir- kamu akan dikalahkan!

  1. Allah suruh kamu sudah lihat dan ingat kepada tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t yang jelas apabila dua kumpulan bertemu di medan perang!
  2. Dua pasukan yang bertemu di medan peperangan {فِئَتَيْنِ ٱلْتَقَتَا ۖ} ini ulama’ tafsir kata tidak ada khilaf yang dimaksudkan ialah pada medan Peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan Tahun ke-2H.
  3. Dua pasukan yang bertemu itu pula ialah:
    i- Satu pasukan kaum mukmin yang bersama Rasulullah s.a.w kerana mempertahankan agama Allah seramai 313 orang sahaja (jika khilaf pun sedikit sahaja).

Mereka hanya ada 2 ekor kuda, 6 baju besi, 8 bilah pedang dan majoriti tenteranya hanya berjalan kaki kerana tiada tunggangan.

ii- manakala satu kumpulan lagi ialah kaum kafir musyrikin yang bilangan mereka adalah tiga kali ganda orang beriman iaitu 1000 orang lebih. Diketuai oleh Abu Jahal.

  1. Rasulullah s.a.w hantar penyiasat pergi merisik keadaan tentera Abu Jahal & didapati dalam sehari mereka sembelih antara 9 atau 10 ekor unta untuk dimakan.

Nabi s.a.w menggunakan analisa bilangan unta disembelih bagi mengetahui bilangan tentera kafir.

Baginda dapat menjangka bilangan tentera musyrikin dalam 900 sehingga 1000 orang.
Ini kerana kebiasaanya 1 ekor unta boleh dimakan oleh 100 orang.

  1. Allah jadikan pandangan mereka melihat seolah dua kali ganda bilangannya
    {يَرَوْنَهُم مِّثْلَيْهِمْ}.
    Ulama’ kata maksudnya:
    i- orang kafir melihat orang Islam ramainya mereka seperti dua kali ganda daripada bilangan asal.
    Ini membuat mereka gerun & gementar terhadap tentera Islam.

ii- jika dikata bagi pandangan mata orang Islam pula; mereka melihat orang kafir hanya seolah dua kali ganda saja bilangan mereka, sedangkan hakikatnya bilangan mereka 3x ganda.
Ini menjadikan tentera Islam menjadi berani & tidak takut untuk mengahdapi musuh dengan gagah berani!

iii- ada juga yang menafsirkan bahawa Allah juga buat orang kafir nampak orang Islam tidak ramai, yang menimbulkan konfiden mereka bahawa mreka boleh kalahkan orang mukmin. Lalu dengan izin Allah, bilangan sedikit boleh mengalahkan tentera yang lebih ramai.

  1. Yakni mukjizat Allah, menampakkan di mata orang Islam; tentera orang kafir seolah 2 kali ganda sahaja dalilnya firman Allah s.w.t:

{Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya.
Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.} (Al-Anfaal 8:44)

  1. Begitulah orang yang menegakkan kebenaran tidak akan gentar & takut walaupun bilangan mereka kecil- kerana telah terbukti betapa bilangan yang sesuatu dapat mengalahkan bilangan yang ramai!

Kerana itu orang Islam kena ada kekuatan jiwa & keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. teruskan perjuangan & dakwah kita dalam menegakkan agama Allah!

  1. Seperti kisah tentera Talut yang kecil juga bilangannya bahkan ada Kitab Sirah yang mengatakan bilangan mereka sama seperti tentera Badar iaitu 313 orang; tetapi dapat mengalahkan tentera Jalut yang jauh lebih besar & lengkap alat senjatanya!
  2. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.} (Al-Baqarah 2:249)
  3. Allah s.w.t akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang disayangi mengikut hikmat yang dikehendaki-Nya.

Sokongan yang diberi kepada golongan Islam walaupun bilangan mereka sedikit adalah satu pengajaran & iktibar bagi orang yang melihat dengan mata hati bahawa pertolongan Allah mengatasi segalanya!

  1. Kita yakinlah dengan pertolongan Allah- teruskan dakwah & perjuangan kita dalam tiga aspek dakwah ini:

i- berdakwah kepada orang kafir kepada Islam.
ii- kepada orang Islam agar mantap imannya.
iii- mengembalikan orang Islam yang sudah beramal kembali kepada Sunnah ajaran Nabi s.a.w!

Ini kerana rugilah jika banyak beramal tetapi tertolak di Akhirat nanti kerana tidak ikut ajaran Nabi s.a.w yang sahih.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini)}- ayat ini menjadi dalil akan kekuatan orang mukmin jika mereka kembali kepada agama yang benar.

Iaitu agama yang benar bermula dengan aqidah yang suci murni kepada Allah, benar dalam amalan & perkataan mereka, akhlak dan adab yang mulia, semua urusan kembali kepada Allah menyerah diri bertawakkal kepada Allah s.w.t.

Sejarah telah menyaksikan bagaimana orang Islam telah mendapat kemenangan yang besar ke atas orang kafir!

Maka kita jika nak menang kembalilah kepada amalan & sifat para Salafus-Soleh!

Allah perintah kepada Rasulullah s.a.w untuk katakan { قُل}- maka ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang rasul-utusan yang ikut perintah Allah & menyampaikannya kepada umatnya!

Tugas kita adalah taat & patuh, ikut ajaran nabi s.a.w bukan menyembah dan memujanya dengan keterlaluan pula!

Rasul juga bukan seorang pendusta, kerjanya menyampaikan wahyu dari Allah s.w.t.

  1. Ayat 13- {satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah),}- kemenangan & pertolongan dari Allah hanya untuk mereka yang berperang & berjuang pada jalan Allah dengan ikhlas!

Orang Islam akan dapat pertolongan dari Allah jika mereka taat perintah Allah dan ittiba’ Nabi S.A.W.

Iaitu ada 3 syaratnya untuk dapat kemenagan & pertolongan dari Allah:

i- ikhlaskan niat dalam perjuangan.
ii- ikut Syara’ yakni perintah Allah & ikut ajaran Nabi s.a.w.
iii- menjauhi perkara haram- larangan Allah s.w.t.

Bila kita berperanga pada jalan Allah samada Allah bagi kemenangan atas dunia ini dengan mengalahkan orang kafir atau kita akan mendpaat pahala besar di Akhirat kelak.

Bagi orang Islam tiada istilah kalah kepada mereka!
Samada menang atau mati syahid! Keduanya adalah kemenangan!

  1. Ayat 13- {Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya.}- maka sesiapa yang berjuang cukup syarat & SOP tadi maka Allah akan beri kemenangan mengikut kehendak & hikmah-Nya.

Kemenangan bukan syarat dengan bilangan tentera yang ramai atau kekuatan tentera, senjata yang lengkap (walaupun usaha ini perlu ada) tetapi kemenangan sebenar datang dengan pertolongan Allah s.w.t!

Pertolongan Allah s.w.t datang mengikut kedudukan hamba-Nya, yang penting kena mengikut SOP.
Orang yang dapat mengesan perkara ini ialah yang berfikir terhadap kekuasaan Allah s.w.t!

Contoh dalam peperangan Badar & kisah Talut mengalahkan Jalut dan lain-lain yang telah berlaku & menjadi sejarah.

  1. Ayat 13- {Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang);}- apabila Allah s.w.t bawa satu bandingan yang besar; Dia akan bawa analogi yang hakiki iaitu hakikat yang berlaku (realiti), bukan hanya dengan gambaran dalam kepala saja.

Ini kerana ia akan lebih memberi kefahaman dan ketenangan bagi orang yang mendengar dan mahu didakwah itu!

Maka para pendakwah & para murabbi kena ambil pendekatan ini dalam mendidik dengan buat bandingan yang boleh nampak di mata kepala & mata hati.

Ini kerana ia dapat memberi kesan & kefahaman yang baik kepada orang ramai yang mahu dinasihati dan didakwah.

  1. Kesimpulan dari Ayat 13- adalah kita kena ambil ibrah pengajaran & iktibar dengan keadaan orang terdahulu daripada kita.

Orang dulu kenapa mereka menang?

Kerana mereka ikhlas, mereka berjuang kerana Allah, mereka taat perintah Allah dan mereka ikut Sunnah Nabi, mereka tidak derhaka dan buat maksiat kepada Allah.

Orang dulu kenapa kalah?
Kerana mereka yang tak cukup syarat SOP Syari’ah tadi, lalu akan mendapat ujian ibtila’ dari Allah s.w.t.

Begitulah dalam peperangan ada kalah ada menang, ada Badar ada Hunain.

i- dalam Badar mereka menang walaupun dengan bilangan tentera yang sedikit kerana ikhlas & tawakkal yang tinggi!

ii- dalam Hunain walaupun bilangan tentera ramai lebih daripada 12,000 tetapi mereka berpecah belah & hampir-hampir tewas kerana terlalu yakin dan kagum dengan bilangan mereka sendiri yang ramai.

Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang kebinasaan Firaun.

ii- Pada hujung ayat ini Allah sebut: Ayat 13- {Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).}

Maka kita orang yang ada mata hati ini, kena sentiasa ambil pengajaran dari setiap peristiwa yang berlaku.

Kata seorang ahli ilmu- Dr Jamil al-Misriy
(جميل عبد الله محمد المصري.د):
العاقل من يستعرض ماضيه ويتطلع الى غده

“Orang yang berakal (cerdik) ialah mereka yang sentiasa mengulang kaji sejarah silamnya, dan merancang untuk masa depannya.”

Yakni orang yang berakal ialah mereka yang buat kajian, siasatan & penelitian (post mortem) terhadap apa yang berlaku pada orang terdahulu.
Dan dia merancang masa depan supaya tidak mengulangi lagi kesilapan orang dahulu!

Jika gagal juga maka itu adalah ketentuan & kehendak Allah s.w.t atau tidak cukup syarat SOP ikhlas dan lain-lain tadi.

Kerana itu kata ulama’ tadabbur:
Manusia yang baik ialah orang yang menjadi contoh tauladan kepada orang lain;
Manakala manusia yang celaka ialah yang menjadi bahan iktibar pengajaran kepada orang lain!
Dia malas dia gagal! Dia tidak ikhlas dia gagal.

Kita berdoa semoga kita menjadi contoh tauladan yang baik bagi anak-anak, kaum keluarga, masyarakat & orang ramai seluruhnya, bukan sebaliknya iaitu menjadi cemuhan, ejekan dan pengajaran yang buruk.

Juga semoga kita menjadi orang yang dapat melihat dengan mata hati yang celik & dapat berfikir tentang bagaimana nak jadi orang yang baik insya’ Allah.

Baca catatan tafsir yang lepas di:
www.abuanasmadani.com