SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 26-27

RASUL BERDOA DENGAN KEAGUNGAN ALLAH, MEMBERI DAN MENGHILANGKAN KUASA & MEMBERI REZEKI DAN MENGHALANGNYA.

Full video : https://youtu.be/-kQGXLwCAzE?si=aBzJ-v9mXt1yTziA

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 26 sehingga 27, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan dalil akan kekuasaan & keagungan serta kuasa Allah s.w.t serta kuasa Allah s.w.t ke atas semua makhluk!

Mereka semua bergantung kepada rahmat, kuasa & ihsan belas kasihan Allah s.w.t!

  1. Maka Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berdoa dengan keagungan Allah, kerana Allah yang memberi dan menghilangkan kuasa kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya atas dunia ini.

Tetapi bukan bererti semua yang diberi kekuasaan itu tanda Allah redha! Hatta Firaun & Namrud Allah beri kuasa itu bukan menunjukkan keredhaan-Nya!

  1. Allah s.w.t juga yang mengatur siang & malam, yang memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga yang berhak menghalangnya.

Luas atau sempit rezeki itu semua dengan kehendak Allah s.w.t.
Tugas kita jangan lupa berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang sebelumnya Allah s.w.t nyatakan bahawa kafir akan kalah & tiada sesiapa yang akan menolong mereka!

Allah telah tetapkan keadaan mereka begitu! Tetapi mereka tetap dengan sangkaan sombong mereka bahawa mereka tidak akan kalah dengan kekuatan senjata & tentera mereka yang ramai!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t jawab bahawa hanya milik Allah segala kekuasaan & keagungan!

Ia untuk menenangkan hati Nabi s.a.w apabila berdepan dengan ahli kitab yang mengingkari dakwah Nabi s.a.w & tidak percaya kepada al-Quran serta pelbagai karenah & kejahatan yang mereka buat terhadap Rasulullah s.a.w!

iii- ada ulama’ kata ayat ini masih lagi berkisar kepada kisah kaum nasrani Najran yang datang mahu berdebat dengan Rasulullah s.a.w !

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 26-{KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI TUHAN YANG MEMPUNYAI KUASA PEMERINTAHAN! ENGKAULAH YANG MEMBERI KUASA PEMERINTAHAN KEPADA SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI, DAN ENGKAULAH YANG MENCABUT KUASA PEMERINTAHAN DARI SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI. ENGKAULAH JUGA YANG MEMULIAKAN SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI, DAN ENGKAULAH YANG MENGHINA SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI. DALAM KEKUASAAN ENGKAULAH SAHAJA ADANYA SEGALA KEBAIKAN. SESUNGGUHNYA ENGKAU MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AALI IMRAN 3:26)

  1. Allah mengajar Rasulullah s.a.w untuk berdoa kepada Allah dengan menyebut segala kuasa Allah s.w.t iaitu “Iradah Kauniyyah”-Nya.
  2. Maksud اللَّهُمَّ adalah cara berdoa kepada Allah S.W.T maksudnya sama saja iaitu “Ya Allah!” tetapi ditambah huruf mim untuk menunjukkan keagungan & kebesaran Allah s.w.t!
  3. Antara kuasa kehendak “Iradah Kauniyyah” Allah s.w.t yang disebut dalam ayat ini ialah:
  4. Pertama: {تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ} Allah berkuasa memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya.

i- Apabila Tuhan nak beri adalah caranya walaupun kita tidak pernah terfikir orang itu akan dapat menjadi pemerintah!

ii- Kita lihat kepada negara-negara yang begitu besar sempadan negaranya- apabila Allah beri kuasa kepada mereka rakyatnya jadi ikut & tunduk kepada pemerintah!

  1. Kedua: Allah juga boleh mencabut menarik balik kuasa itu daripada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya {وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ}!

i- Hari ini naik tiba-tiba saja esok boleh jatuh! Kerana itu kita ingat kuasa yang diberi bukan menunjukkan keredhaan-Nya.

ii- Kita lihat saja betapa Kerajaan besar dunia yang Islam seperti Kerajaan Uthmaniyah, Turki dan seumpamanya setelah berapa lama memerintah dengan gagah perkasa apabila tiba masanya yang dikehendaki Allah boleh jatuh!

iii- Maka apabila dapat kuasa jangan angkuh & sombong ia boleh jatuh bila-bila masa saja!

Jangan mudah lupa, ingatlah apa yang akan terjadi apabila kamu jatuh nanti!

  1. Ketiga: Allah juga yang memuliakan sesiapa saja yang dikehendaki-Nya {وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ}:

i- siapa yang Allah nak beri mulia, apabila Allah nak angkat naik, Allah beri kemuliannya kepadanya!

ii- Betapa banyak Sejarah telah menyaksikan pemimpin dunia yang dulunya adalah anak yatim & anak orang miskin!

Ada juga ulama’-ulama’ daripada kalangan orang buta- menjadi mufti besar.

Hina di sini tetapi mulia di sana; lemah dari segi fizikal tetapi kuat dari segi ilmu & akal fikiran!

iii- Kita minta agar Allah muliakan kita di dunia & di Akhirat.

Sentiasa kita berdoa dengan Nabi Ibrahim a.s ini:
{Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula.} (Asy-Syu’araa’ 26:87)

iv- Setakat di hina di dunia ini, manusia buat fitnah & tuduhan tidak mengapa kerana ia sementara sahaja, yang kita tidak mahunya hina di sisi Allah di Akhirat kelak!

  1. Keempat- Allah juga boleh menghina sesiapa saja yang dikehendaki-Nya {وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ}!

i- Ada orang yang berkuasa & kaya tiba-tibah jatuh & miskin.

ii- Hari ini orang puja puji kita, orang suka dengan kita, boleh jadi esok orang yang sama kan mencemuh mencaci menghina kita!
Kita tidak tahu lagi apa yang akan terjadi!

iii- Tetapi ingat bukan semua orang yang dihina dicaci di sisi manusia itu dia hina di sisi Allah, boleh jadi hina di sisi mata manusia tetapi dia sebenarnya mulia di sisi Allah!

Kita bersabarlah hidup atas dunia ini, yang penting kita buat yang terbaik untuk bekalan Akhirat kita!

iv- Asam garam dalam kehidupan, tak semestinya orang yang naik tingi itu hebat, adakala orang yang dibawah itu lebih hebat.

Tidak semestinya belon yang naik tinggi di udara itu mulia & kuat, terkena hujung jarum saja ia boleh pecah meletup!

v- Bak kata pepatah: Untung sabut timbul untung batu tenggelam!

Ada orang yang untung hidup di kampung, ada yang berjaya hidup di bandar.

Yang penting kita nak Allah muliakan kita di dunia dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan dimuliakan di Akhirat dengan di masukkan ke dalam syurga-Nya!

  1. Kelima- segala kebaikan di bawah kekuasaan Allah s.w.t. {بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ}.

i- tiada orang boleh duduk sekali & setaraf dengan Allah s.w.t.

Semua tindakan itu dibawah kuasa Allah s.w.t, Dia boleh beri harta atau Kerajaan kepada sesiapa dan Dia juga boleh tariknya bila-bila masa.

ii- Bagi kita ahli Sunnah kita kata; semua tindakan yang Allah buat antara keadilan Allah & limpah kurnia-nya {بين العدل والفضل}.

Jika diuji kita kata dengan keadilan-Nya; jika dapat kebaikan & rezeki dengan limpah kurnia-Nya.

Semua hikmah & maslahah tak keluar daripada dua sifat ini, semua ini di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.

iii- Kerana itulah antara doa Rasulullah s.a.w dalam pembukaan solat (iftitah):

لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ،

Akan aku patuhi segala perintah-Mu, dan akan aku tolong agama-Mu. Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan keburukan tidak datang dari Mu. [HR Muslim].

Inilah adab etika & kesopanan apabila kita bercakap dengan Allah Azza wa Jalla: yang baik kita dari dari limpah kurnia Allah manakala yang tidak baik adalah datang dari kelemahan diri kita.

  1. Keenam- Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu {إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ}:

i- Allah berkuasa atas tiap sesuatu- semua yang Allah hendak akan terjadi dan yang Dia tidak mahu tidak akan terjadi, tiada siapa yang boleh sekat kuasa Allah s.w.t!

AYAT 27-{“ENGKAULAH (WAHAI TUHAN) YANG MEMASUKKAN WAKTU MALAM KE DALAM WAKTU SIANG, DAN ENGKAULAH YANG MEMASUKKAN WAKTU SIANG KE DALAM WAKTU MALAM. ENGKAULAH JUGA YANG MENGELUARKAN SESUATU YANG HIDUP DARI BENDA YANG MATI, DAN ENGKAULAH YANG MENGELUARKAN BENDA YANG MATI DARI SESUATU YANG HIDUP. ENGKAU JUALAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI, DENGAN TIADA HITUNGAN HISABNYA”.} (AALI IMRAN 3:27)

  1. Allah s.w.t Tuhan yang berkuasa menggilirkan antara waktu malam dan siang.

Pertukaran malam & siang yang sistematik dan tidak pernah tertukar atau tersilap gilirannya.

Bila siang datang, masuk ke dalam malam lalu malam menghilang, begitu juga sebaliknya!

Tempoh malam & siang juga berbeza ikut musim dunia, ada ketika malam panjang ada ketika siang lebih panjang daripada malam.

Maka peringatan kepada para imam kena peka kepada suasana masa.
Contoh: jika waktu subuh atau isya lewat, jangan terlalu panjang bacaannya kerana akan meresahkan orang yang mahu keluar bekerja atau sekolah.

  1. Allah juga yang menghidupkan sesuatu yang berasal daripada benda mati- seperti tanah yang kering dapat menumbuhkan benih yang subur, telur menjadi ayam, air mani menjadi manusia! Ini dari sudut fizikal!

Manakala dari segi maknawi- Allah menghidupkan hati yang seolah telah mati dengan cahaya keimaman.

Betapa ramai orang beriman yang sebelumnya asal kafir!

Para sahabat yang ibu bapa mereka adalah kafir tegar yang amat jahat menetang Rasulullah s.a.w tetapi anak-anak mereka memeluk Islam dan menjadi sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia seperti: Ikrimah bin Abu Jahal, Abdullah bin Abdullan bin Ubai, Hanzalah bin Abu Amir al-fasiq- bapanya gali lubang nak jatuhkan Rasulullah s.a.w tetapi anaknya Hanzalah mati mayatna dimandikan malaikat!

  1. Allah juga yang berkuasa melakukan sebaliknya iaitu mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup!

Ini yang kita tidak mahu! Seperti bapa soleh melahirkan anak yang toleh, ayam yang hidup mengeluarkan telur yang mati, pokok mengeluarkan biji yang mati dan sebagainya!

Betapa ramai anak orang Islam yang murtad- wal ‘iyazubillah!

Kerana itu kita kena usaha agar kita & anak keturunan kita semua menjadi baik!

  1. Di akhir ayat Allah kata Dia beri rezeki kepada setiap hamba-Nya tanpa had, tanpa limit & tanpa kasta!

Rezeki setiap orang pula tidak sama; ada yang kaya duit berjuta-juta, ada yang miskin nak makan pun susah!

  1. Jadi untuk mengurangkan jurang perbezaan ini datang Islam yang mewajibkan zakat harta ke atas orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin yang memerlukannya!

Tidak banyak hanya 1/40 atau 0.25% saja dari duit yang ada.

Ini supaya hasil harta itu tidak berlegar di kalangan orang kaya saja & turun juga kepada orang miskin!

  1. Ingatlah wahai si kaya- hasil dari pekerjaan orang miskinlah kamu boleh menjadi kaya.

Jika tiada orang miskin nak jadi buruhnya maka dia tidak akan dapat buat apa kerja!

Ada buruh yang sanggup membanting tulang di tengah panas inilah lahirnya tokey-tokey yang kaya! Makan hasil kerja para kuli.

  1. Allah beri rezeki tidak sama kepada setiap orang ada yang luas ada yang sempit, ada yang dapat rezeki yang halal, ada yang tidak:

i- Orang yang dapat rezeki sedikit kerana Allah nak uji hamba-Nya samada mereka redha & sabar kepada Allah!

ii- Allah beri rezeki yang luas untuk hamba-Nya untuk menguji mereka juga samada mereka bersyukur kepada Allah & manfaatkan hartanya dengan baik & ingat akan orang yang susah di bawahnya!

  1. Jika kita dapat jadi orang kaya biarlah:
    i- menjadi orang kaya yang beriman seperti sahabat Rasulullah s.a.w- Usman bin Affan r.a atau Abdur Rahman bin Auf r.a alangkah seronoknya!

ii- Tetapi jika kita jadi orang kaya seperti Qarun baiklah kita miskin daripada mendapat azab siksa di dunia lagi dan azab di Akhirat pula!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26-{Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!}- dalam ayat ini Allah perintah dan ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk menyerah segala urusan kepada Allah.

Walaupun khitab (percakapan) untuk Rasulullah s.a.w berdoa kepada-Nya {قُلِ ٱللَّهُمّ} tetapi dalam masa mengajar kita umatnya untuk sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t juga!

Kita tahu Allah yang beri kuasa kepada orang & Allah juga yang cabut kuasa dari seseorang.

Jadi kita yang duduk di bawa mana-mana kuasa pemerintahan; jika Kerajaan itu baik kita syukur & jika ia tidak baik kita sabarlah!

Nak bangun menentang sukar kerana kita tidak diajar untuk menentang segala perkara jika tidak ada kemampuan dan boleh membawa mudharat!

Kamu buatlah kepada orang sebagaimana kamu suka orang buat kepada kamu!

Bertahun kita buat karenah kepada orang, bila orang berkuasa & buat kepada kita sabarlah, kerana hidup ini seumpama roda!

Kita orang beriman, walau apapun yang terjadi kita tetap beriman kepada Allah & yakin bahawa semuanya ada hikmah & kebijaksanaan Allah s.w.t kenapa orang itu naik atau turun.

Maka jangan bangga & sombong sangat ketika kita berkusa kerana ia boleh hilang bila-bila masa saja!

  1. Ayat 26-{ Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.}-

Allah mulakan dengan beri dulu kemudian baru diikuti dengan cabut pemerintahan!

Ulama’ tadabbur kata ayat ini mengajar kita juga dalam berdakwah untuk beri galakan dulu baru beri amaran!

Mulakan dengan yang positif dulu baru yang negatif!

Contoh: Marila kita solat, kita buat baik akan dapat pahala & balasan syurga.

Tak dengar juga baru beri amaran dan peringatan- jangan terus ugut siapa tak solat neraka tempatnya!

Ayat ini juga menyindir ahli kitab kerana mereka benci sangat kepada Rasulullah s.a.w, mahu hilangkan Kerajaan pemerintahan Rasulullah s.a.w dan mahu naikkan kembali kekuasaan bani israil mereka yang Allah telah cabut kekuasaannya dan berikan kepada bangsa Arab pula!

Jadi Allah beri peringatan kepada mereka tak usahlah kamu dengki dan berharap- kerana hanya Allah yang berkuasa memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki-Nya!

  1. Ayat 26-{Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.}-

Allah juga boleh hinakan seseorang dengan cabut & jatuhkan kekuasaannya sesiapa yang Dia nak!

Ini untuk menunjukkan sempurnanya kekuasaan Allah s.w.t!

Dia boleh beri dan tarik balik bila-bila masa saja!

Beri & tarik balik sama saja kepada Allah s.w.t tidak ada kesusahan!

Kita manusia nak beri kepada orang mudah tapi nak tarik ambil balik susah sekali (contoh hutang atau beri pinjam barang).

Nak mintal hutang seolah perang dunia, seolah si tuan hutang pula yang mengemis meminta duit orang!

  1. Ayat 26-{Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.}- ayat ini menunjukan bahawa bukan satu kelaziman atau kemestian apabila Allah s.w.t beri kuasa atau harta menunjukkan orang itu mulia!

Tidak bermakna juga Allah cabut kuasa kamu hina, Allah bagi kamu miskin tidak bermakna kamu hina!

Adakalanya Allah beri Kerajaan & kuasa kepada seseorang itu kerana dia mahu sangat- lalu Allah angkat dia supaya para penyokonganya yang kagum kepadanya selama ini dapat melihat sifat asli & kemampuan sebenarnya (showed his true colors).

Atau juga untuk merasai betapa jatuh dari tempat yang tinggi lebih parah dari tempat rendah!

Ada orang diberi harta & kuasa untuk diuji ada orang yang ditarik harta juga untuk diuji!

Ada orang yang miskin tetapi dia dekat dengan Allah, kuat ibadat & amal solehnya!

Ya Allah jadikan kami orang yang hidup antara syukur & sabar!

Maka apabilaTuhan bagi nikmat kita syukur bila Allah tarik nikmat kita sabar!

i- Allah bagi kuasa; kita gunakanlah untuk kebaikan dunia & Akhirat, bila Allah cabut kuasa; kita balik ke surau menjadi ahli ibadat!

ii- Allah bagi kaya; kita infaq fi-sabilillah & menolong orang yang memerlukan, Allah beri kita miskin; kita usaha lagi mencari rezeki yang halal!

  1. Ayat 27-{Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.}-

Allah ingatkan lagi kepada kita segalanya di bawah kuasa Allah s.w.t!

Dia boleh beri rkuasa & rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya, luas atau sempit, sedekah atau banyak semua dengan kuasa & kehendak-Nya.

Ingatlah kita ini bukan pemeberi rezeki, kita hanya agihkan rezeki yang sampai ke tangan kita, yang dari Allah s.w.t!

Jangan angkuh jangan sombong, sedarlah semua kuasa & rezeki itu di tangan Allah s.w.t, bukan di tangan majikan atau boss!

Jika tuhan tutup pintu rezeki ia tidak akan masuk!

Kita kena sedar bahawa kuasa itu bukan di tangan negara itu atau Kerajaan ini!

Jika kita sedar alhamdulillah jika tidak na’uzubillah- segeralah bertaubat!

Ya Allah janganlah Engkau biarkan kami terumbang-ambing tanpa mendapat taufiq & hidayat petunjuk-Mu, tanpa bimbingan & kasih sayang-Mu!

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Aali Imran 2024 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.