← Surah Taha
· Nota 5/5 · Ayat 24–36
Surah Taha: Ayat 24-36
Nabi Musa A.S Diarah Bertemu Fir'aun, 7 Permohonan Kekuatan & Allah S.W.T Kabulkannya
Nabi Musa A.S Diarah Bertemu Fir'aun, 7 Permohonan Kekuatan & Allah S.W.T Kabulkannya

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 24 sehingga ayat 36 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t perintahkan Nabi Musa A.S untuk pergi bertemu Fir'aun kerana dia seorang taghut iaitu angkuh sombong takabbur degil keras kepala!
- Lalu Nabi Musa minta 7 perkara kepada Allah sebagai kekuatan untuk dia beribadat & berzikir kepada Allah.
Ini kerana untuk pergi menghadap Fir'aun ini kena kuat mental & jiwa. - Di akhir ayat Allah S.W.T nyatakan bahawa Dia setuju untuk kabulkan 7 permohonan Nabi Musa itu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sesi pelantikan Nabi Musa sebagai seorang rasul & sesi latihan menggunakan 2 mukjizat besar yang Allah beri kepadanya di Bukit Tursina.
Yakni Nabi Musa telah mempunyai kekuatan jiwa & kekuatan fizikal untuk menghadapi Fir'aun nanti! - maka setelah latihan pastilah ada praktikal atau amalinya.
Maka dalam ayat ini Allah telah perintahkan Nabi Musa untuk pergi bertemu Fir'aun – iaitu raja yang memerintah bagi negara Mesir pada masa itu gelarannya Fir'aun.
Dikatakan Fir'aun pada zaman Nabi Musa bernama Ramses.
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sesi pelantikan Nabi Musa sebagai seorang rasul & sesi latihan menggunakan 2 mukjizat besar yang Allah beri kepadanya di Bukit Tursina.
- Dalam ayat selepas kita bincangkan tentang memegang tongkat itu adalah satu Sunnah.
Beberapa fakta:- Dari Ibnu Udaiy, dari Ibnu Abbas r.a: Bahawa bertongkat itu adalah gaya para nabi dan Nabi s.a.w juga banyak bertongkat pada akhirnya!
- Tetapi bukanlah dikatakan bertongkat itu satu Sunnah Nabi s.a.w kerana hadis tentangnya adalah lemah kerana salah seorang perawinya adalah pendusta dan maka hadis itu adalah maudhu’ untuk diangkat kepada Nabi s.a.w. Hanya mauquf setakat Ibnu Abbas.
- Maka tidak sabit bahawa Nabi s.a.w sentiasa bertongkat – maka tidak perlu bertongkat tanpa keperluan kerana ia bukan Sunnah yang pasti.
Cuma ada ketikanya Baginda s.a.w bertongkat ketika memerlukannya. - manakala isu pegang tongkat semasa berkhutbah juga ada khilafnya!
Diriwayatkan Nabi s.a.w juga pernah memegang tongkat atau busur panahnya ketika berkhutbah tetapi tidak selalu.
Kerana itu ada khilaf tentangnya dan perkara ini ada keluasannya.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 24 اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ ﴿٢٤﴾ {"Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".} [Taha 20:24]
- Allah perintahkan kepada Nabi Musa untuk pergi berdakwah kepada Fir'aun kerana dia telah melampaui batas {طَغَىٰ}.
- Nota [858] Dengan ini Allah Ta’ala mengutus Nabi Musa a.s kepada Fir’aun yang telah melampaui batas dalam kekufuran dan kezalimannya, semoga ia beriman dan menurut ajaran agama Allah.
- Fir'aun adalah gelaran bagi raja yang memerintah Mesir dan dia adalah seorang yang zalim sehingga mengaku tuhan kepada rakyatnya!
- Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nazi'at pula:
(Lalu diperintahkan kepadanya): "Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);
"Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?
`Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?'"} [An-Nazi’at: 17-19].- {"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya".} [Taha: 43].
- Mendengar perintah Tuhan itu Nabi Musa terus memohon bantuan & pertolongan dari Allah s.w.t untuk menjalankan tugas itu!
Kita lihat apakah yang diminta oleh Nabi Musa – apakah senjata yang banyak & lengkap atau batalion tentera yang gagah perkasa?
Ayat 25 قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي ﴿٢٥﴾ {Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;} [Taha 20:25]
- Permintaan pertama Nabi Musa ialah minta supaya Allah lapangkan dadanya tidak terasa sempit dan susah hati walaupun mendapat tentangan dan perlawanan dari Fir'aun yang zalim lagi kejam jahat itu!
- Nota [859] Oleh kerana perkara yang ditugaskan kepadanya amat besar dan Fir’aun itu pula seorang raja yang amat kejam, maka nabi Musa merayu ke hadhrat Allah supaya dilapangkan dadanya sehingga ia dapat menghadapi segala pertentangan, dengan tabah hati.
Ayat 26 وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي ﴿٢٦﴾ {"Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;} [Taha 20:26]
- Permohonan kedua ialah semoga Allah permudahkan urusannya untuk menegakkan risalah & menunaikan tanggungjawab untuk mengajak Fir'aun supaya beriman!
- Bukan senang tugas itu & besarnya cabaran yang akan dihadapi Musa.
Ayat 27 وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي ﴿٢٧﴾ {"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,} [Taha 20:27]
- Permohonan Nabi Musa yang ketiga ialah supaya menjadikan lidahnya fasih & melancarkan percakapannya dalam berdakwah kepada orang ramai.
- Nota [860] Yakni jadikanlah daku seorang yang petah fasih berkata-kata, supaya mudah difahami oleh orang ramai dan supaya aku dapat mengalahkan hujjah-hujjah lawan.
- Sebagaimana yang telah diceritakan pada awal surah, Nabi Musa ini lidahnya berat sikit, tidak fasih dalam berkata-kata!
- Kata ulama': Adalah lidah Nabi Musa itu berat sikit, seolah tersimpul apabila dia bercakap tidak fasih, gugup atau gagap sedikit yang menyebabkan orang tidak mudah faham perkataannya!
- Kata ulama' Ibnu Kathir rhm: Nabi Musa tidak minta Allah hilangkan semua kegagapannya sehingga menjadi ahli pidato yang fasih – tetapi Musa hanya meminta agar Fir'aun dan orang ramai faham percakapannya!
Yakni sekadar keperluan.
Itulah adab para nabi yang sopan. - Kerana itu kata Ibnu Kathir – Fir'aun berkata begini dalam firman Allah ini:
{"Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?} [Az-Zukhruf: 52]. - Kata al-Hasan al-Basri: Nabi Musa minta satu je simpulan lidahnya dilepaskan, sekadar orang faham bukan sehingga fasih dan lancar lidahnya seperti seorang sasterawan.
Sedangkan kalau dia begitu minta pastilah Allah akan tunaikannya! - Begitulah sebagaimana layaknya sifat seorang nabi a.s.
Nabi Musa tidak tamak dan tidak minta yang lebih-lebih cukup sekadar hajat keperluan.
Ayat 28 يَفْقَهُوا قَوْلِي ﴿٢٨﴾ {"Supaya mereka faham perkataanku;} [Taha 20:28]
- Yakni Nabi Musa minta Allah menghilangkan kegagapannya sehingga orang boleh faham percakapannya.
- Yakni sebagai pendakwah pastilah perlu untuk orang memahami percakapannya supaya sampai dakwahnya!
Ayat 29 وَاجْعَل لِّي وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِي ﴿٢٩﴾ {"Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.} [Taha 20:29]
- Kemudian Nabi Musa meminta Allah lantik seorang pembantu dari kalangan keluarganya!
- Kerana itu kata ulama': Adik-beradik yang paling memberi kebaikan kepada saudaranya dalam dunia ini ialah Nabi Musa a.s yang mencalonkan saudaranya Harun sebagai seorang nabi juga.
Inilah jawatan yang paling besar dalam dunia ini iaitu an-Nubuwwah wa ar-Risalah.
Ayat 30 هَارُونَ أَخِي ﴿٣٠﴾ {"Iaitu Harun saudaraku;} [Taha 20:30]
- Iaitu supaya Allah lantik saudaranya Harun. Nabi Musa tetapkan secara khusus minta Harun jadi nabi untuk membantunya.
*Ulama' kata Harun ini abang kepada Nabi Musa, dia lebih tua beberapa tahun daripada Musa. - Nota [861] Kerana Nabi Harun a.s petah berkata-kata dan lemah-lembut orangnya.
*Manakala Nabi Musa dikatakan seorang yang garang dan kasar. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{"Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku".} [Al-Qasas: 34].
Ayat 31 اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي ﴿٣١﴾ {"Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,} [Taha 20:31]
- Yakni dengan adanya Harun akan memberi sokongan & kekuatan kepadanya dalam menyampaikan risalahnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun) dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu.} [Al-Qasas: 35].
Ayat 32 وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي ﴿٣٢﴾ {"Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,} [Taha 20:32]
- Musa a.s meminta Allah melantik Harun sebagai seorang nabi juga sebagaimana Allah melantiknya sebagai seorang nabi dan hantarnya bersama untuk jumpa Fir'aun!
- Yakni Harun bukan hanya sebagai seorang pengiring atau peneman saja tetapi seorang yang bertanggungjawab juga dalam risalah dakwah itu!
- Walaupun Harun tiada kitab khas sendiri & Taurat turun kepada Nabi Musa; tetapi Harun kena mengajar juga kitab Taurat.
- Inilah tujuh permintaan kepada Allah s.w.t untuk menguatkan perjuangan dakwahnya!
Masya-Allah Nabi Musa tidak meminta walau sebilah pedang atau seekor kuda pun untuk pergi melawan Fir'aun. - Tetapi semua permintaannya adalah untuk kelapangan dada, kekuatan jiwa & rohaninya sebagaimana dalam ayat berikut ini!
Ayat 33 كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا ﴿٣٣﴾ {"Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,} [Taha 20:33]
- Semua permohonan Nabi Musa ini adalah untuk kekuatan jiwanya iaitu agar mereka yakni dia & Harun dapat sentiasa beribadat dan bertasbih memuji kepada Allah.
- Ada ulama' kata {نُسَبِّحَكَ} – dengan makna solat – keduanya boleh – solat boleh tasbih pun boleh!
Ayat 34 وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا ﴿٣٤﴾ {"Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;} [Taha 20:34]
- Juga supaya mereka sentiasa tidak lupa akan Allah lalu sentiasa berzikir dan menyebut nama Allah selalu dengan banyak.
Kekuatan jiwa duduk di pertolongan Allah bukan dengan orang lain.
Ayat 35 إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرًا ﴿٣٥﴾ {"Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".} [Taha 20:35]
- Nabi Musa mengakui bahawa Allah sentiasa melihat keadaan mereka dan Allah juga sentiasa mengetahui segala perbuatan mereka!
- Kamu tahu apa yang aku nak & perlu. Pertama Tuhan lantik dia jadi rasul kemudian lantik saudaranya juga sebagai nabi.
Kemudian mereka diutus untuk menghadapi Fir'aun pula! - Sedangkan Musa ini sudah ada kes dengan Fir'aun dulu, yakni hubungan mereka sudah bermasalah – pastilah lebih kekok untuk berhadapan!
Ayat 36 قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَا مُوسَىٰ ﴿٣٦﴾ {Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!} [Taha 20:36]
- Dalam ayat ini Allah s.w.t terus menjawab permintaan Nabi Musa itu.
- Yakni Allah nyatakan bahawa Dia kabulkan & luluskan semua permohonan Nabi Musa a.s; lapang dada, mudah urusan, lidah dapat bercakap dengan baik, orang faham percakapannya serta pelantikan saudaranya Harun sebagai seorang nabi juga untuk membantunya dalam dakwah itu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku."
"Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku".
Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun) dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu.
Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".} [Al-Qasas: 33-35]. - Apabila Allah telah memberi jaminan maka bersemangat & bertambahlah keberanian Nabi Musa a.s untuk pergi berhadapan dengan Fir'aun.
- Betapa dapat kita lihat kekuatan jiwa Nabi Musa a.s yang tidak meminta walaupun seekor kuda atau sebilah pedang pun sebagai senjata untuk melawan Fir'aun & kaumnya yang kejam lagi zalim itu! Tetapi apa yang dimintanya adalah sesuatu yang dapat menguatkan lagi jiwa, mengukuhkan keyakinannya dan bertambah keimanannya!
Penutup & Faedah
- Ayat 24- {"Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".} – Allah perintahkan kepada Nabi Musa a.s untuk pergi kepada Fir'aun.
Dalam ayat ini kita dapat lihat Allah hanya guna dhamir untuk seorang – pergilah kamu wahai Musa- {ٱذْهَبْ}.
Yakni perintah itu hanya untuk Nabi Musa saja kerana pada waktu itu belum lantik lagi Harun sebagai nabi.
Dalam ayat 42 baru disebut perintah untuk mereka berdua kerana Harun telah dilantik.
Allah juga sebut dalam ayat ini – pergi kepada Fir'aun khusus bukan kata kepada kaum kafir – ramai-ramai itu.
Kata ulama': Disebut Fir'aun saja khusus kerana Fir'aun itu seorang raja, ketua & pemimpin bagi kaumnya.
Di belakang Fir'aun itu ada para menteri, tentera dan rakyat pengikutnya yang ramai lagi!
Kerana itu juga kata ulama' jika nak berdakwah kepada satu kumpulan atau kaum – pergi pegang cari ketuanya dulu!
Jika ketuanya dapat menerima dakwah kita itu – maka pastilah secara automatik pengikutnya akan ikut juga.
Nama pun pengikut atau penyokong kan!
Kerana itu ajaran sesat & yang pelik mereka akan cari orang besar dulu, ahli VIP dulu – maka apabila para VIP telah menjadi pengikut mereka – sedaplah mereka nak buat kerja, ada pelindung dan ada penyumbang dana.
Sebab apa Allah perintahkan Nabi Musa pergi kepada Fir'aun?
Kerana dia adalah seorang taghut {طاغوت}.
Beberapa sifat buruk Fir'aun yang Allah sebut dalam al-Quran:- dalam ayat Taha 24 ini Allah kata Fir'aun seorang taghut yang jahat.
Dalam ayat ini Allah hanya sebut Fir'aun seorang saja kerana dia adalah raja & ketua bagi mereka!
Di belakangnya pasti ada pengikutnya!
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, -
"Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?"} [Asy-Syu’ara’: 10-11]…
Dalam ayat ini pula Allah sebut pergi jumpa kaum yang zalim iaitu kaum Fir'aun.
Jika berjumpa dengan kaumnya pun sudah pastilah akan jumpa juga Fir'aun sebagai ketua mereka!- {… إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦٓ ۚ- kepada Firaun dan kaumnya.
Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka".} [Al-Qasas: 32].
Manakala dalam ayat ketiga ini Allah sebut pergi jumpa Fir'aun dan kuncu-kuncunya iaitu para pembesar dan pembantu yang ada di sisinya seperti Haman dan lain-lain.
Maka lengkaplah ayat ini – pergi jumpa Fir'aun, jumpa kuncunya dan pengikutnya – yakni kamu pergi berdakwah kepada semua mereka!
- dalam ayat Taha 24 ini Allah kata Fir'aun seorang taghut yang jahat.
- Ayat 25- {Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;} – apabila mendapat tugas ini Nabi Musa terus berdoa kepada Allah untuk melapangkan dadanya!
Pastilah sempit dada Nabi Musa mendapat perintah ini untuk berjumpa Fir'aun yang zalim – lalu dia minta Allah lapangkan dadanya agar dia dapat berdakwah dengan tenang dan lancar.
Kerana itu para pendakwah ini mesti tenang hati & lapang dadanya barulah boleh berdakwah dengan lancar dan idea pun mencurah, percakapan lancar dan sebagainya!
Jika sempit dada, fikiran tak tenteram pasti tidak akan tenang untuk berdakwah.
Ayat 26- {"Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;} – Nabi Musa juga minta agar Allah permudahkan urusannya seperti dapat masuk ke istana dengan mudah, dapat berjumpa dengan Fir'aun dan seumpamanya! - Ayat 27- {"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,} & Ayat 28- {"Supaya mereka faham perkataanku;} – ini menunjukkan pentingnya bahasa percakapan yang fasih & difahami orang!
Jika nak pergi berdakwah kena ada maklumat yang sahih, fakta yang jelas dan hujjah yang mantap.
Kerana itu jika nak pergi berdakwah ke sesuatu tempat – pentingnya kita kena tahu & faham bahasanya! Jika tak pandai kena ada penterjemahlah!
Maka Nabi Musa minta permohonan khas Allah dari hilangkan berat lidahnya agar dapat bercakap dengan lebih lancar dan fasih agar Fir'aun dan mereka yang didakwahnya dapat memahami apa yang ingin disampaikannya!
Apa yang tak faham lagi – Harun pula yang akan menjelaskannya dengan lebih fasih dan lancar!
Inilah pentingnya ada penterjemah atau pembantu yang fasih!
Hari ini dengan apps terjemahan yang canggih kita boleh berkomunikasi dengan orang bangsa bahasa apa saja. - Ayat 29- {"Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.} & Ayat 30- {"Iaitu Harun saudaraku;} – kemudian Nabi Musa minta Allah berikan kepadanya seorang pembantu atau penyokong dengan melantik saudaranya Harun sebagai seorang nabi juga!
Sebagaimana yang telah kita nyatakan tadi – betapa Nabi Musa adalah seorang saudara yang terbaik atas dunia ini kerana dia telah menjadikan saudaranya dilantik menjadi nabi juga, satu jawatan yang amat mulia dan susah atas dunia ini.
Bukan seperti kronisme hari ini yang memilih melantik anak atau saudara sendiri memegang jawatan tertentu.
Tetapi jika mereka memang layak & berkelulusan yang sesuai tidak mengapa!
Ayat 35- {"Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".}
Nabi Musa kata dia minta tujuh perkara ini kerana Allah s.w.t Maha Melihat dan Mengetahui semua perkara dan keperluannya.
Kata ulama' ini apabila Nabi Musa meminta tujuh perkara tadi kemudian menutupnya dengan ayat ini – kerana menunjukkan:- Dia minta dan memohon tetapi semua permintaan ini diserahkan kepada Allah untuk menilai dan mengabulkannya kerana Allah yang Maha Mengetahui keadaan & keperluannya!
Yang penting kita kena minta jangan sombong! - jika nak minta kena nyatakan keadaan & keperluan kita.
- Nabi Musa kenal & tahu kelayakan dan kemampuan Nabi Harun – seorang yang jujur, berintegriti & layak untuk jawatan itu.
Bukan semata-mata kerana kroni – jika tak layak itu salah guna kuasa.
Jika kita nak lantik keluarga kita juga biar ada semua kelayakan ini!
- Dia minta dan memohon tetapi semua permintaan ini diserahkan kepada Allah untuk menilai dan mengabulkannya kerana Allah yang Maha Mengetahui keadaan & keperluannya!
- Ayat 36- {Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!}
Allah jawab terus permohonan Nabi Musa! Allah kata semua permintaan Nabi Musa itu Allah luluskan.
Kata ulama': Begitulah apabila doa 7 permohonan itu cukup syarat dan layak, tiada halangan Allah akan terus menerima dan kabulkannya!
Maka pergilah kamu dan Harun, jangan takut jangan risau kamu akan pergi bertemu dengan Fir'aun dengan penuh dalam keadaan aman & selamat di bawah jagaan Allah.
Itulah anugerah Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s. Nabi Musa minta tujuh perkara ini tujuan utamanya agar mereka dapat solat, bertasbih berzikir mengingati Allah setiap masa!
Sedangkan kita hanya memikirkan nak projek & habuan dunia tak ingat untuk berzikir kepada Allah.
Lidah ini apabila sebut nama Allah banyak Allah akan sayang & redha kepada kita maka akan datanglah kekuatan.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga memberi kefahaman & manfaat.
Wallahu a’lam.
Tandakan selesai dibaca
Simpan nota
Ikut siri ini
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.