← Surah Taha
· Nota 6/8 · Ayat 37–41
Surah Taha: Ayat 37-41
8 Nikmat Allah Kepada Musa A.S Semasa Kecil, Cekalkan Hati Ibunya, Disukai Oleh Orang & Dijaga Oleh Allah S.W.T
8 Nikmat Allah Kepada Musa A.S Semasa Kecil, Cekalkan Hati Ibunya, Disukai Oleh Orang & Dijaga Oleh Allah S.W.T

Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 37 sehingga ayat 41 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan 8 anugerah nikmat Allah kepada Musa a.s semasa kecil iaitu sebelum dilantik menjadi nabi & rasul.
- Allah cekalkan hati ibunya untuk berpisah dulu buat sementara dengan Musa demi menyelamatkan nyawanya dari dibunuh Fir'aun!
- Allah juga menjadikan hati manusia tertarik kepada Musa dan dia disukai oleh orang hatta musuhnya Fir'aun yang memeliharanya di istananya.
- Dalam melalui hidupnya menunggu tempoh dilantik menjadi nabi, juga apabila berhadapan dengan Fir'aun; Musa dijaga oleh Allah S.W.T.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 7 permohonan Nabi Musa a.s. yang telah dimaqbulkan Allah!
Serta nikmat yang telah diberikan kepadanya seperti bermunajat & berkata-kata dengan Allah kemudian dilantik menjadi nabi & rasul Allah. - maka datang ayat ini Allah sekali Allah ingatkan pula 8 anugerah nikmat yang Allah kurniakan kepada Nabi Musa sebelum kenabiannya bermula dari masih kecil atau bayi lagi sehinggalah dia menjadi nabi!
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 7 permohonan Nabi Musa a.s. yang telah dimaqbulkan Allah!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Ayat 37 وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً أُخْرَىٰ ﴿٣٧﴾ {"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.} [Taha 20:37]
- Allah ulang balik menyebut akan nikmat-Nya yang telah diberikan kepada Nabi Musa sebelum ini.
Ini supaya dia yakin & confident untuk pergi berhadapan dengan Fir'aun yang zalim itu – apabila mengingatkan segala nikmat & jagaan Allah kepadanya sebelum ini! - Nota [862] Setelah diterangkan bahawa doanya itu telah maqbul, maka dengan ini Allah Ta’ala mengingatkan Nabi Musa a.s tentang nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepadanya dahulu, semasa ia baharu lahir ke dunia, di negeri Mesir.
Fir’aun, raja Mesir, pada masa itu telah mengeluarkan perintah membunuh tiap-tiap seorang kanak-kanak lelaki yang baharu lahir dari kaum Bani Isra’il, kerana ia pernah mendapat alamat, dalam mimpinya, bahawa ia akan kehilangan kerajaannya disebabkan seorang kanak-kanak yang baharu lahir dari kaum itu.
Nabi Musa, dengan kuasa Allah Ta’ala, bukan sahaja telah diselamatkan semasa kecilnya tetapi telah besar panjang di istana Fir’aun sebagai anak angkatnya dengan tidak disedarinya. - Betapa Allah telah menjaga Nabi Musa selamat dari dibunuh oleh Fir'aun sewaktu baru lahir dulu lagi sedangkan Fir'aun membunuh semua bayi lelaki lain yang lahir dari kaum bani Israil ketika itu!
Ayat 38 إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰ ﴿٣٨﴾ {"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:} [Taha 20:38]
- Nikmat yang pertama ialah apabila Allah ilhamkan kepada ibu Nabi Musa agar jangan takut untuk terus memelihara & menyusukan anaknya yang baru lahir itu!
- Ijma’ ulama' bahawa maksud {أَوْحَيْنَآ} ini ialah diberi ilham sama ada dengan mimpi atau seumpamanya; bukan wahyu nubuwwah (kenabian)- kerana tiada dari kalangan wanita yang dilantik menjadi nabi!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: "Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.} [Al-Qasas: 7].
Ayat 39 أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّي وَعَدُوٌّ لَّهُ ۚ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِي ﴿٣٩﴾ {"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.} [Taha 20:39]
- Kemudian Allah ilhamkan kepada ibunya untuk meletakkan Musa di dalam sebuah kotak atau peti dan hanyutkan di dalam sungai Nil sehingga peti itu dihanyutkan ke pantai atau pangkalan Fir'aun.
Ini nikmat yang pertama. - Kemudian Allah nyatakan bahawa Musa tidak akan hilang atau tenggelam bahkan akan dipungut ambil oleh musuh Allah dan musuh nabi Musa sendiri juga!
- Nota [863] Musuh Allah ialah Fir’aun, kerana ia mendakwa dirinya menjadi Tuhan; dan ia juga musuh bagi Nabi Musa, kerana ia enggan beriman kepada ugama Allah yang dibawa oleh Nabi Musa kepadanya.
- Yakni Musa akan selamat tidak akan dibunuh oleh Fir'aun bahkan mereka akan ambil memelihara bayi Musa itu sebagai anak angkatnya!
- Ayat ini ditafsirkan pula dengan firman Allah ini:
{Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.} [Al-Qasas: 8]. - Ini kerana Allah telah tanamkan dengan kekuasaan & rahmat-Nya;
- perasaan kasih sayang orang terhadapnya; ini nikmat yang kedua.
- dan supaya Musa dibela dan dipelihara dengan pengawasan Allah!
Ini adalah nikmat yang ketiga – Musa akan hidup di dalam istana Fir'aun di bawah penjagaan Allah!
- Nota [864] Yakni Allah Ta’ala menanamkan perasaan kasih sayang dalam hati orang yang melihatnya, sehingga ia dikasihi oleh Fir’aun dan dipelihara dengan sebaik-baiknya dengan pengawasan Allah Ta’ala yang menjaga keselamatannya.
*Yang amat sayang dan mahukan bayi itu adalah isteri Fir'aun – Asiah yang tiada anak kandungnya sendiri. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).} [Al-Qasas: 9]. - Fir'aun koyak di sini kerana isterinya jatuh hati kepada Musa yang masih bayi lagi itu lalu mahu mengambilnya sebagai anak angkat mereka!
Allah juga buang dari hati Fir'aun perasaan curiga dan takut akan Musa itu!
Padahal itulah budak pelik yang akan menjatuhkan kerajaannya apabila besar nanti sebagaimana mimpinya dulu.
Ayat 40 إِذْ تَمْشِي أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَن يَكْفُلُهُ ۖ فَرَجَعْنَاكَ إِلَىٰ أُمِّكَ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ ۚ وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْنَاكَ مِنَ الْغَمِّ وَفَتَنَّاكَ فُتُونًا ۚ فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِي أَهْلِ مَدْيَنَ ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍ يَا مُوسَىٰ ﴿٤٠﴾ {"Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu;…} [Taha 20:40]
- Kemudian ibunya menghantar kakaknya untuk memantau melihat ke manakah kotak itu akan pergi.
Lalu kakaknya ikut kotak itu sehingga melihatnya tiba di pangkalan Fir'aun dan akhirnya dibawa masuk ke dalam istana Fir'aun. - Nota [865] Yakni setelah ia dihanyutkan ke laut, keluarlah kakaknya mencari dengan menyamar diri untuk mengetahui siapakah yang memungut dan memeliharanya.
Akhirnya didapatinya di istana Fir’aun. Oleh kerana mereka sedang mencari seorang pengasuh maka ia pun membawakan ibunya. Dengan itu kembalilah Musa dalam pemeliharaan ibunya dengan selamat. - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya". (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.
Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"} [Al-Qasas: 10-12]. - Maka ini adalah nikmat keempat yang Allah anugerahkan kepada Nabi Musa a.s iaitu dia dikembalikan semula ke pangkuan ibunya dan menyusu darinya dengan selamat & aman dari ancaman Fir'aun!
Sebentar saja mereka berpisah – Allah satukan kembali! - Ayat 40- {"… dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!}
Kemudian pada suatu hari, apabila Nabi Musa telah besar dewasa dia terlibat pula dengan satu pergaduhan antara seorang lelaki bani Israil dan kaum Fir'aun iaitu bangsa Qibti!
Dia cuba menolong lelaki bani Israil itu dan memukul lelaki Qibti itu sehingga mati terbunuh – bukan Musa sengaja nak bunuh! - Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya.
Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya;
Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya)".} [Al-Qasas: 14-15]. - Nota [866] Yakni tatkala Nabi Musa sudah besar, Allah Ta’ala selamatkan dia dari hukuman bunuh setelah ia membunuh seorang lelaki dengan tidak sengaja dan Allah ampunkan dosanya setelah ia bertaubat, serta dimudahkan baginya berhijrah ke negeri Madyan, lalu berkahwin dan tinggal beberapa tahun di sana; dan sekarang ia kembali dari sana dalam perjalanan ke Mesir.
- Ayat ini ditafsirkan pula dengan firman Allah ini dengan lengkapnya:
Semenjak itu, tinggallah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata kepadanya: "Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!"
Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu: "Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi seorang yang kejam di bumi dan tidaklah engkau hendak menjadi seorang pendamai".
Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu".
Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim".
Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,".} [Al-Qasas: 18-22]. - Ini adalah nikmat Allah yang kelima kepada Nabi Musa iaitu Allah menyelamatkannya dari ditangkap oleh Fir'aun dan dijatuhkan hukuman bunuh juga!
- Kemudian Musa pun tiba di Madyan, berseorangan dan tiada tempat untuk dituju. Kemudian sekali lagi Allah menolong Musa dan melepaskannya dari ujian & masalah yang dihadapinya.
- Kisah Musa di Madyan dijelaskan dalam firman Allah ini:
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya".} [Al-Qasas: 23]. - Nikmat Allah yang keenam ialah Allah telah melepaskan dan menyelamatkannya dari pelbagai ujian dan musibah!
Ini adalah nikmat yang keenam bagi Nabi Musa dalam ayat ini! - Nikmat yang ketujuh ialah Nabi Musa telah tinggal dengan selamat selama beberapa tahun di kalangan ahli Madyan sehingga waktu yang ditetapkan Allah.
Dia juga mendapat jodoh dan anak nabi Syuaib yang ditolongnya dulu.
Sedangkan pada waktu itu dia menjadi orang yang dicari & dikehendaki di bumi Mesir! - Apabila tiba tempohnya yang telah Allah tetapkan – Musa pun keluar dari Madyan menuju ke Mesir dan tiba tepat di Tursina pada waktu yang telah Allah tentukan!
Tidak cepat atau tidak lambat! - Kata al-Wahidi: Iaitu apabila Nabi Musa genap cukup umurnya 40 tahun, yang kebanyakan nabi lain juga begitu – mendapat wahyu dan dilantik menjadi nabi & rasul.
Ayat 41 وَٱصْطَنَعْتُكَ لِنَفْسِى ﴿٤١﴾ {"Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.} [Taha 20:41]
- Akhirnya tibalah nikmat yang besar iaitu nikmat yang kelapan: Allah telah memilihnya untuk dilantik sebagai seorang rasul Allah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur".} [Al-A’raf: 144]. - Alhamdulillah inilah 8 nikmat yang Allah anugerahkan kepada Nabi Musa a.s dan diulang sebut untuk menguatkan semangat & keyakinan Nabi Musa.
Penutup & Faedah
- Ayat 37- {"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.}
Kata ulama' tadabbur kenapa Allah kata Dia beri nikmat kepada Nabi Musa sekali lagi?
Apakah itu nikmat yang kali kedua?
Jawapan:
Ia bukan bermakna kali kedua tetapi itu uslub al-Quran atau gaya bahasa al-Quran untuk menunjukkan nikmat itu banyak, bukan hanya kali kedua tetapi telah berlaku banyak kali!
Ini untuk menjadikan Nabi Musa makin yakin dan makin semangat, makin jitu & kental pegangannya.
Ini kerana nak jumpa Fir'aun yang zalim & angkuh kena ada kekuatan yang besar yakni kena kuat mental & fizikal serta alat senjata sebagai persediaan. - Ayat 38- {"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:}
Allah bagi ilham atau dalam mimpi kepada ibu Nabi Musa untuk buat apa yang Allah perintahkan!
*Seperti mana yang telah kita tegaskan tadi wahyu di sini bermakna beri ilham – bukan wahyu seperti kenabian.
Dengan sebab ilham & jaminan dari Allah inilah ibu Nabi Musa nekad berani menghanyutkan Musa yang masih bayi ke dalam sungai Nil demi menyelamatkannya dari dibunuh oleh tentera Fir'aun.
Jadi itulah cara untuk selamatkan Musa daripada mati dibunuh oleh Fir'aun! - Ayat 40- {"Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?"} – ini pula Allah ceritakan peranan kakak Nabi Musa a.s. untuk ikut ke mana adiknya tiba.
Kemudian dia memberi cadangan pula agar diambil ibunya menjadi ibu susu bagi bayi yang dijumpai (Musa) itu.
Kata ulama': Ini adalah asal hadhanah – iaitu hukum penjagaan kanak-kanak.
Hari ini ramai orang nak buka nursery atau pusat jagaan kanak-kanak tetapi tidak bertanggungjawab dan tidak memenuhi kriteria SOP penjagaan yang baik!
Akhirnya ada pekerja yang stress atau memang berhati zalim tidak suka & tidak sabar dengan kanak-kanak lalu mendera, menyakitinya;
bahkan ada bayi kecil yang terbunuh di pusat asuhan / jagaan anak!
Ini realiti yang berlaku di dalam negara kita ini!
Kita minta Allah jaga & selamatkan anak-cucu keturunan kita! - Ayat 39- {… dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.}
Allah kata dia campakkan ke dalam hati orang sekeliling Nabi Musa perasaan sayang dan suka.
Semua orang tengok Musa akan rasa sayang kepadanya!
Datang zaman kita ini – orang tengok gambar pun dah benci, dipangkah dan diconteng, diludah dan macam-macam!
Menuduh ustaz tertentu ini datang nak merosakkan aqidah penduduk, memecahkan belahkan kesatuan umat Islam; padahal ustaz datang bawa dalil al-Quran & Hadis Nabi s.a.w- nak ajak kepada ibadat, kepada akhlak yang mulia & Sunnah yang sahih, tetapi itulah yang ditolak dan ditentang!
Tetapi apabila datang yang bawa berita yang pelik-pelik, ibadat dan amalan yang tak sahih, yang bawa cerita mimpi datang ke kampungnya – itu yang betul dan disambut!
Kata DDAAM: Apabila hati dah tak suka; senyum pun dikatakan perli!
Allah kata Aku campakkan ke dalam hati mereka rasa kasih sayang kepada Nabi Musa a.s.
Akhirnya Musa menjadi anak angkat Fir'aun & isterinya membesar dengan bebas di dalam istananya!
Benarlah kata pepatah: Cinta itu buta – jika tidak buta pasti Fir'aun akan rasa syak & curiga bahawa Nabi Musa adalah seorang yang ajaib – dialah kanak-kanak pelik yang dimimpikannya, yang akan menjatuhkan kerajaannya nanti!
Jadi alhamdulillah Fir'aun tidak terasa begitu, dia telah dibutakan oleh cintanya maka selamatlah Nabi Musa! - Ayat 40- {… setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!} & Ayat 41- {"Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.}
Allah telah tetapkan tempoh untuk Musa berada di sana iaitu Madyan untuk beberapa masa.
Ada yang kata 10 tahun, ada kata 18 tahun Musa berada di sana – menunggu laluan tibanya masa tempoh yang telah Allah tetapkan untuk dia tiba di Tursina, berkata-kata dengan Tuhan & dilantik menjadi Nabi!
Maka dengan pelantikan Nabi Musa ini selesailah episod menerusi ayat-ayat ini, insya' Allah dalam ayat seterusnya kita lihat apakah kisah seterusnya!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga memberi kefahaman & manfaat.
Wallahu a’lam.
Tandakan selesai dibaca
Simpan nota
Ikut siri ini
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.