Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 7/8

Surah Taha: Ayat 42-48

Allah S.W.T Beri Taklimat Kepada Nabi Musa, Sentiasa Berzikir & Sampaikan Dakwah Kepada Fir'aun

Allah S.W.T Beri Taklimat Kepada Nabi Musa, Sentiasa Berzikir & Sampaikan Dakwah Kepada Fir'aun

Allah S.W.T Beri Taklimat Kepada Nabi Musa, Sentiasa Berzikir & Sampaikan Dakwah Kepada Fir'aun, Surah Taha ayat 42-48

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 42 sehingga ayat 48 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah S.W.T beri taklimat atau arahan kepada Nabi Musa akan persiapan untuk menghadap Fir'aun yang taghut, kejam lagi zalim itu!
  3. Pertama Allah ajarnya Nabi Musa agar sentiasa berzikir – inilah senjata para pejuang & pendakwah.
    Serta gunakan kata-kata yang baik & lembut ketika berdakwah – ini adab pendakwah!
  4. Serta sampaikan dakwah kepada Fir'aun dengan yakin kerana Allah telah jamin akan jaga kamu – ini adalah jaminan khas dari Allah maka jangan takut, jangan bimbang dan ragu lagi!
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang 7 atau 8 permohonan Nabi Musa, kemudian Allah sebut pula 8 nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada Nabi Musa a.s;
    2. kemudian datang ayat ini membawa arahan atau garis panduan yang Nabi Musa & Harun mesti lakukan apabila berhadapan dengan Fir'aun agar sampai dakwah yang dibawa.
      Agar sampai matlamat dakwah ini pastilah dia perlukan taujihat, bimbingan dan panduan dari Allah s.w.t!
      *Kata ulama' tafsir semasa: Ini seumpama taklimat kepada para duta & konsul untuk berhadapan dengan para pembesar di luar negara supaya sampai misi yang mahu dibawa.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 42 اذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ بِآيَاتِي وَلَا تَنِيَا فِي ذِكْرِي ‎﴿٤٢﴾ {"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku".} [Taha 20:42]

  1. Allah perintahkan Nabi Musa & saudaranya Harun a.s untuk pergi berdakwah kepada Fir'aun dengan membawa dalil-dalil atau tanda kebenaran mereka iaitu mukjizat yang Allah telah anugerahkan.
  2. Nota [867] Yakni tanda-tanda yang membuktikan kebenaran nabi Musa dan Nabi Harun sebagai pesuruh Allah, seperti tongkat Nabi Musa yang menjadi ular, tangannya yang bersinar-sinar dan lain-lainnya.
  3. Kata ulama' ini 9 ayat atau tanda yang diberikan kepada Nabi Musa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 101 sebelum ini.
    {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir".}
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya.
    Lalu Kami perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami"; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya.} [Al-Furqaan: 35-36].
  5. Allah juga berpesan agar mereka berdua jangan lemah dan cuai dalam berzikir mengingati Allah sentiasa pada setiap waktu!
  6. Ini adalah makanan rohani yang akan menguatkan mental, jiwa, semangat juang dan keyakinan. Pertolongan Allah akan bersama orang yang sentiasa mengingati Allah – kuat mental kuat jiwa & kuat semangat perjuangan!

Ayat 43 اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ ‎﴿٤٣﴾‏ {"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya".} [Taha 20:43]

  1. Allah perintahkan Nabi Musa & Harun untuk berhadapan dengan Fir'aun yang taghut iaitu melampaui batas itu!
  2. Iaitu melampau dalam kufur & maksiat, melampau dalam penentangan dan perlawanan terhadap kebenaran!

Ayat 44 فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ ‎﴿٤٤﴾‏ {"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".} [Taha 20:44]

  1. Allah berpesan lagi agar mereka apabila nak berdakwah kepada Fir'aun berkatalah dengan perkataan yang lembut dan sopan!
    Jangan sesekali menggunakan perkataan yang kasar & buruk; yang menyebabkan orang benci & makin menjauh!
  2. Nota [868] Yakni takut akan azab Allah yang akan menimpanya jika ia masih berdegil.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {(Lalu diperintahkan kepadanya): "Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);
    "Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?
    `Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?”} [An-Nazi’at: 17-19].
  4. Ini adalah supaya apabila mendengar peringatan yang disampaikan akan sedar dan kembali ingat akan asal usul mereka sebagai hamba Allah, bukan Tuhan seperti yang dia dakwa lalu dia akan takut kepada Allah!
  5. Yakni kamu Musa & Harun pergi berjumpa Fir'aun dengan niat yang baik iaitu nak menyelamatkan dia daripada azab Allah.
    Dengan perkataan kamu yang lemah-lembut mudah-mudahan dia ingat balik apa yang dia lupa iaitu bahawa dia adalah makhluk Allah juga bukan Tuhan!
    Tauhid yang kita nak ajak dia adalah bertepatan dengan fitrah semulajadi manusia.
  6. Maka ajarlah dia baik-baik, perkenalkan dia kepada Allah, jangan dok kata berat-berat atau buruk kepadanya, didik & asuh dia dengan baik!
    Inilah pentingnya uslub dakwah yang rasional dan baik!
  7. Kata ulama' seperti asy-Syaukani- maksud perkataan (يَتَذَكَّرُ): Kamu pergi berdakwah kepada Fir'aun agar dia ingat balik akan asalnya, bahawa dia manusia bukan Tuhan serta supaya dia takut!

Ayat 45 قَالَا رَبَّنَا إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَا أَوْ أَن يَطْغَىٰ ‎﴿٤٥﴾ {Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau ia akan melampau batas".} [Taha 20:45]

  1. Nabi Musa & Harun menyatakan kebimbangan mereka untuk berhadapan dengan Fir'aun ini yang terkenal sebagai seorang yang zalim dan kejam itu!
  2. Pertama dia takut Fir'aun akan menghukum atau membunuh mereka sebelum sempat berdakwah lagi!
    Atau takut Fir'aun sombong angkuh akan menolak dakwah mereka serta memberontak mengeluarkan kata-kata yang tidak layak kepada Tuhan!
  3. Nota [869] Yakni sehingga ia tergamak mengeluarkan kata-kata yang mencaci dan tidak layak terhadapmu, wahai Tuhan kami.
  4. Kata ulama' tafsir: Takut di sini adalah bukan pengecut tak mahu berdakwah tetapi takut sebagai naluri manusia normal yang pasti akan takut apabila berhadapan dengan sesuatu yang kita tahu merbahaya dan boleh membahayakan diri kita!
    Seperti berdepan dengan penguasa zalim, binatang buas, orang jahat dan seumpamanya!
  5. Jadi apabila Nabi Musa melahirkan kebimbangannya – Allah lalu menjawabnya dalam ayat berikut.

Ayat 46 قَالَ لَا تَخَافَا ۖ إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَىٰ ‎﴿٤٦﴾ {Allah berfirman: "Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya".} [Taha 20:46]

  1. Allah s.w.t berfirman sebagai respon kepada kebimbangan yang dilahirkan oleh Nabi Musa itu!
    Jangan takut, jangan bimbang kerana Dia bersama mereka berdua, Dia melihat & mendengar percakapan Musa dan apa yang dikatakan oleh Fir'aun!
  2. Allah beri jaminan Dia akan bersama Nabi Musa & Harun, memberi jagaan dan perlindungan, sokongan, bantuan dan dokongan kepada mereka.
    *Ini adalah kebersamaan Allah dengan Nabi Musa a.s (معية الله).
  3. Kebersamaan Allah (معية الله) ini ada dua:
    1. bersama secara umum untuk semua makhluk sama ada kafir atau mukmin.
    2. bersama secara khusus iaitu bersama memberi bantuan pertolongan dan sokongan Allah khas kepada hamba-Nya yang beriman.
  4. Maka kamu pergilah dengan yakin, jangan bimbang jangan takut sesungguhnya Allah bersama kamu!

Ayat 47 فَأْتِيَاهُ فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ ۖ قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ ۖ وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ ‎﴿٤٧﴾‏ {"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani Israil mengikut kami dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah".} [Taha 20:47]

  1. Kemudian Allah mengajar isi kandungan dakwah yang perlu disampaikan oleh Musa kepada Fir'aun;
    1. nyatakan tugas & jawatan mereka: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu iaitu Allah yang mencipta kita semua!”
    2. nyatakan tuntutan mereka iaitu: {… maka bebaskanlah kaum Bani Israil mengikut kami dan janganlah engkau menyeksakan mereka.} Iaitu lepaskan bani Israil untuk ikut Musa, cukuplah dengan perhambaan dan siksaan yang kamu telah buat ke atas mereka.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah tentang apakah jenis penyiksaan yang dibuat oleh Fir'aun ke atas bani Israil:
    1. {Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.} [Al-Baqarah: 49].
    2. {Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".} [Ibrahim: 6].
    3. {Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.} [al-A’raaf: 141].
    4. {Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina,
      Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).} [ad-Dukhan: 30-31].
  3. Kemudian Allah ajar kepada Nabi Musa untuk tunjukkan kepada Fir'aun mukjizat yang telah Allah anugerahkan kepadanya sebagai dalil & bukti kebenaran dakwahnya & kekuasaan Tuhan!
  4. Ini sebagaimana firman Allah ini:
    {Nabi Musa menjawab: "Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?"
    Firaun berkata: "Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
    Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
    Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.} [Asy-Syu’ara’: 30-33].
  5. Di akhir ayat Nabi Musa mengucapkan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah!
    Iaitu keselamatan daripada kemurkaan Allah di dunia & Akhirat untuk orang yang ikut petunjuk yang diberi Allah s.w.t.
    Siapa tak ikut petunjuk maka dia akan mendapat siksaan Allah!
  6. Dalam ayat ini Allah mengajar uslub atau cara untuk memberi salam kepada orang kafir yang belum Islam – iaitu kamu akan mendapat salam sejahtera dari kami jika kamu mengikut petunjuk Allah ini.
    Jika tidak-tidak ada salam sejahtera ke atas kamu wahai orang kafir!
    *Ini juga boleh dilihat dalam surat-surat Nabi s.a.w yang dihantar kepada raja-raja atau pemerintah yang kafir untuk berdakwah.

Ayat 48 إِنَّا قَدْ أُوحِىَ إِلَيْنَآ أَنَّ ٱلْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ {"Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya".} [Taha 20:48]

  1. Kemudian Nabi Musa memberi amaran keras kepada puak kafir & Fir'aun itu sebagaimana yang diwahyukan Allah kepadanya!
  2. Iaitu sesungguhnya azab seksa di dunia dan azab di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya!
  3. Pada awal memang Allah suruh berlembut tetapi jika degil keras kepala tak mahu terima juga berikan amaran kepada mereka pula!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 42- {"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku".}
    Allah perintahkan Nabi Musa & Harun untuk pergi berjumpa menghadap Fir'aun untuk berdakwah kepadanya!
    Sesi taklimat & latihan sudah diberi, persiapan & bekalan sudah ada; maka sekarang sampailah masanya untuk amali & praktikal, maka ini masanya untuk kamu pergi berjumpa Fir'aun!
    Tetapi dalam masa yang sama jangan kamu lemah dan cuai, jangan malas & lupa untuk sentiasa berzikir mengingati Allah – maka Allah akan memberi pertolongan & kekuatan kepada kamu!
    Kita sebagai orang beriman begitu juga – jangan lemah & malas untuk banyak berzikir kepada Allah dalam apa jua situasi, waktu senang waktu susah, waktu sihat waktu sakit – zikir jangan ditinggalkan!
    Bahkan lagi sakit & lagi susahlah lagi bertambah kena ingat kepada Allah kerana kita mengharapkan rahmat-Nya.
    Maka kamu pergilah Musa menghadap Fir'aun dengan tanda-tanda ayat Allah (mukjizat) yang telah diberikan kepadamu!
    Iaitu tongkat, tangan & hujjah yang telah Allah berikan.
    Jika Musa tak mampu untuk berhujjah Harun yang fasih ada untuk menjelaskannya!
    Ulama' membincangkan apakah 9 ayat tanda kekuasaan yang Allah berikan kepada Musa apakah semuanya muncul pada saat ini atau kemudiannya.
    Marilah kita sentiasa berzikir kepada Allah. Yang penting lagi amalkan zikir sebagaimana ajaran Rasulullah s.a.w yang sahih – jangan lupa zikir selepas solat, zikir waktu pagi petang dan setiap waktu.
    Pada waktu takut juga kita berzikir, sebut nama Allah yang maha Kuat lagi maha berkuasa agar tenang hati & hidup kita.
    Semalam kita belajar zikir:
    (يا ذا الجلال والإكرام)
    Yang bermaksud: "Wahai Tuhan yang mempunyai Keagungan (Kebesaran) dan Kemuliaan".
    *Yakni apabila kita ingat akan keagungan & kekuasaan Allah – semua yang lain adalah makhluk yang lemah lagi kecil!
    Itulah arahan yang pertama Allah kata pergilah berlawan & jangan lupa berzikir.
    Pelbagai kempen dan risalah telah DDAAM buat untuk memudahkan jemaah semua berzikir dan merujuk kepada bacaan atau amalan yang sahih ikut Sunnah Nabi s.a.w insya' Allah.
    Boleh rujuk buku-buku ini sebagai panduan harian dan kehidupan kita:
    Zikir
    dartaibah.com…
    Perisai Muslim
    dartaibah.com…
    Serta pelbagai risalah atau pamplet yang boleh didapati secara manual atau PDF.
    Serta insya' Allah akan dibuat pelancaran buku Perisai Muslim versi baru yang boleh digunakan melalui apps hp – android & IOS.
  2. Ayat 43- {"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya".}
    Allah kata kamu pergilah berjumpa dengan Fir'aun yang taghut yang jahat itu!
    Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk kita mengetahui siapakah mad’u kita iaitu orang yang nak didakwah itu!
    Dakwah pembesar ada caranya, dakwah rakyat biasa ada caranya, orang bandar & orang kampung juga tak sama – semuanya pastilah ada pendekatan & uslub yang berbeza.
    Ayat ini mengajar kepada kita untuk berdakwah kepada orang kita perlu tenang, lemah-lembut dan menggunakan perkataan yang baik!
    Walaupun kepada Fir'aun yang begitu jahat dan zalim pun Allah ajar kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan baik dan lembut kepadanya.
    Sebagaimana peristiwa masyhur yang melibatkan seorang khalifah (ada kata Khalifah Harun al-Rasyid atau dalam sesetengah riwayat kata Khalifah al-Ma'mun) yang didatangi oleh seorang lelaki atau ahli ibadah/pendakwah yang menegurnya dengan bahasa yang kasar dan keras.
    Khalifah menolak atau menjawab dengan tenang sambil mengingatkan kedudukan mereka berdua menggunakan perbandingan Firaun dan Nabi Musa a.s: “Aku tidaklah lebih jahat atau lebih buruk daripada Firaun dan kamu pula tidaklah lebih baik daripada Nabi Musa a.s.”
    Khalifah kemudian membaca ayat Al-Quran daripada Surah Taha ayat 44: “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga ia ingat atau takut.” (Tarikh at-Tabari, Ibn Jarir (8/358))
    *Begitulah kadang-kadang kita kena sentap juga pendakwah-pendakwah yang ganas mulut & percakapannya!
    Pesanan Allah kepada Nabi Musa ini memberi pengajaran yang besar kepada kita – mulut kena sentiasa berzikir dan mulut kena tenang sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik!
    Lebih-lebih lagi jika mad’u kita itu seorang yang besar & zalim!
    Beberapa kisah ulama' salaf yang boleh memberi inspirasi kepada kita:
    1. Seorang ulama' generasi tabi’in Yazid ar-Raqasyi (يزيد بن أبان الرقاشي) apabila dia membaca ayat ini: {فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا- Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun supaya berkata-kata kepada Fir'aun dengan perkataan yang lembut}
      Dia berkata: Wahai Tuhan yang mengajar Nabi Musa supaya berbahasa lembut dengan musuh-Nya, bagaimana pula dengan kami? Kami sayang kepada-Mu, ya Allah, kami mengikut arahan-Mu Allah. Tentulah lebih besar rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita.
      Kalau Allah menyuruh supaya berlemah lembut dengan musuh-Nya, tentulah Allah Taala sangat sayang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
    2. Kisah kedua:
      Seorang lelaki membacakan ayat ini di hadapan seorang syeikh daripada kalangan ulama salaf, namanya Yahya bin Mu‘az (يَحْيَى بْنِ مُعَاذٍ).
      Maka menangislah Yahya bin Mu‘az sambil berkata:
      Ya Allah! Inilah kelembutan dan kasih sayang-Mu terhadap orang yang berkata:
      أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى -
      "Aku ialah Tuhan kamu yang paling tinggi."
      Bagaimana pula dengan kami, hamba-Mu yang mengaku bahawa Engkaulah Tuhan? Tentulah kasih sayang Allah kepada kita lebih daripada itu lagi.
      Ini semua merupakan rintihan-rintihan ulama salaf yang menunjukkan kefahaman mereka terhadap kasih sayang dan kelembutan Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya.
      Jadi dalam ayat ini walaupun Fir'aun adalah seorang taghut tetapi Allah masih lagi hantar nabi Musa berdakwah dan pesan agar guna uslub bahasa yang lembut!
  3. Ayat 46- {Allah berfirman: "Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya".}
    Allah kata wahai Musa & Harun kamu jangan takut – sesungguhnya Aku mendengar & Aku melihat!
    Ayat ini mengajar kepada kita bahawa jika kita buat benda baik benda betul – kita akan dijaga Allah & pasti Allah akan tolong & jaga kita.
    Ini kita panggil ma‘iyyah {مَعِيَّةٌ}, iaitu penjagaan dan pertolongan yang Allah Taala berikan kepada hamba-Nya.
    Kata ulama' ma‘iyyah {مَعِيَّةٌ} ini ada dua:
    1. Pertama: مَعِيَّةٌ عَامَّةٌ (Ma‘iyyah ‘Ammah)- Iaitu ma‘iyyah yang umum, meliputi semua makhluk. Allah Taala melihat dan mengetahui segala-galanya.
    2. Kedua: مَعِيَّةٌ خَاصَّةٌ (Ma‘iyyah Khassah)- iaitu pertolongan khas Allah Taala yang diberikan kepada nabi-nabi, rasul-rasul, para pendakwah Islam dan orang-orang yang taat kepada perintah Allah Taala.
      Mereka inilah yang mendapat pertolongan khas daripada Allah Taala, sedangkan yang lain tidak.
      Maka kita katakan, inilah bahaya orang-orang yang tidak patuh dan tidak akur kepada perintah Allah عز وجل, dia tidak akan mendapat ma‘iyyah khassah, iaitu pertolongan khas daripada Allah Taala.
  4. Ayat 44- {"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".}
    Allah perintahkan Nabi Musa pergi berdakwah kepada Fir'aun – tujuannya agar:
    Mudah-mudahan dia teringat kepada dosa & kesalahannya lalu dia takut kepada Allah!
    Firaun ini lambang taghut segala-galanya bapa kafir. Dia mengaku dirinya sebagai Tuhan. Tetapi, Allah S.W.T masih lagi menyuruh Nabi Musa AS pergi berdakwah kepadanya.
    Firman Allah: {لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ} – “Mudah-mudahan dia beringat atau takut kepada Allah Taala.”
    Kalau setakat orang di kampung, yang dok main dam, berlaga ayam – tak pergi solat di masjid, boleh lagi kita pergi berdakwah kepadanya.
    Dia tidak sejahat Firaun, dia tidak sezalim Firaun & dia tidak seganas Firaun.
    Jangan mudah putus asa, kita tetap bertanggungjawab untuk berdakwah. Pendakwah perlu belajar bersabar terlebih dahulu.
    Pesanan kepada para pendakwah, apabila pergi berjumpa dengan orang besar, niatnya untuk apa?
    Niat untuk memberi nasihat.
    Jangan sekali-kali mengambil peluang untuk mengampu.
    Ada sesetengah orang, apabila duduk di hadapan orang besar, mulalah tak sedar asyik memuji-muji.
    Kononnya, dialah orangnya yang terbaik, kita kena sokong dia, kita kena begini dan begitu.
    Kita kena ingat! Kita pergi untuk memberi nasihat, bukannya untuk mengampu.
    Apabila semua orang yang baik-baik, termasuk para pendakwah, pergi mengampu, bilakah pembesar itu hendak sedar akan kesalahan & kesilapannya?
    Kita kena pergi nasihat untuk kebaikan!
    Allahu Akbar.
    Ini pentingnya dakwah Musa a.s- dia pergi untuk menyampaikan kebenaran, pergi untuk menyampaikan nasihat & kesedaran!
    Bukan pergi untuk membodek dan mengampu, mendapat kedudukan atau jawatan!
    Para pendakwah kena ingat; Mulianya seorang pendakwah apabila kita bergantung kepada Allah & Rasul.
    Mulianya dia jika pergi untuk nasihat!
    Tetapi hinanya seorang pendakwah jika pergi untuk mengampu atau ikut bontot para pemimpin!
    Tetapi berapa ramai pendakwah yang berani menasihati pemimpin atau pembesar?
    الله المستعان
  5. Ayat 47- {"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani Israil mengikut kami dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah".}
    Allah suruh Nabi Musa pergi berdakwah kepada Fir'aun serta minta untuk dia membebaskan kaum bani Israil yang sudah lama tertindas dan tersiksa di bawah kezalimannya!
    Dalam ayat ini mengingatkan para pendakwah jangan lupa matlamat asal kita berdakwah iaitu:
    1. membebaskan masyarakat daripada perhambaan, kezaliman yang dibuat oleh pemerintah!
    2. Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa tugas Nabi Musa selain daripada berdakwah kepada Fir'aun ialah membebaskan bani Israil daripada kekejaman Fir'aun yang zalim.
      Pada akhir ayat Nabi Musa untuk mengucapkan kepada Fir'aun:
      وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ
      “Dan kesejahteraan itu bagi sesiapa yang mengikuti petunjuk.”
      Nabi S.A.W juga ketika menghantar surat kepada Heraklius dan pemimpin-pemimpin besar dunia, Baginda menyebut:
      سَلَامٌ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ.
      Isu pertama: Perhatikan terdapat perbezaan antara lafaz salam Nabi Musa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W:
    3. Nabi Musa A.S menyebut:
      وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ
    4. Manakala Nabi S.A.W ketika menulis surat kepada Kaisar, kepada Kisra, Baginda menyebut:
      مِنْ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، سَلَامٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى.
      “Daripada Muhammad, Rasulullah, kepada Heraklius, pembesar Rom.
      Salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk.”
      Nabi kita ketika menulis surat menggunakan lafaz سَلَامٌ dalam bentuk nakirah iaitu umum.
      Sedangkan Nabi Musa A.S ketika bercakap dengan Firaun menyebut:
      وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ
      Iaitu dalam bentuk makrifah iaitu khas!
      Kenapa berbeza?
      Perkara ini ada perbahasannya.
      Ulama telah menulis tentang perbezaan tersebut:
    5. Sebabnya, Nabi S.A.W ketika menulis surat, Baginda memulakan dengan:
      مِنْ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ
      Kemudian barulah Baginda menyebut:
      سَلَامٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى.
      Maknanya, ketika menulis surat, Baginda meletakkan salam itu selepas menyebut pengirim dan penerima surat, yakni memulakan surat dengan salam.
    6. Tetapi Nabi Musa AS pula menyebut:
      وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ.
      Ulama’ menjelaskan bahawa ucapan Nabi Musa A.S itu bukanlah salam tahiyyah (salam penghormatan)- bukanlah Nabi Musa A.S memulakan dengan memberikan salam kepada Firaun.
      Tetapi sebaliknya, Nabi Musa A.S setelah berdakwah memberitahu Firaun: “Wahai Firaun! Salam sejahtera kepada orang yang mengikuti petunjuk.”
      Maknanya, kalau hendak selamat, ikutlah petunjuk!
      Kalau hendak selamat, inilah jalannya!
      Itulah perbezaannya; Nabi S.A.W, Baginda menulis surat kepada Heraklius.
      Manakala Nabi Musa A.S pula sedang menyampaikan seruan kepada Firaun dan ucapan Nabi Musa A.S itu bukanlah salam penghormatan kepada Firaun sebaliknya, Baginda sedang menjelaskan kepada Firaun:
      “Nak selamat, inilah jalannya.
      Nak selamat, ikutlah petunjuk!
      Maka, lepaskanlah Bani Israel!
      Bebaskanlah Bani Israel!
      Kemudian Nabi Musa AS menyebut:
      وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ
      “Dan kesejahteraan itu bagi sesiapa yang mengikuti petunjuk.”
      Itulah perbezaan dari sudut penggunaan bahasa tersebut.
      Perbincangan kedua:
      Dalam keadaan ini, tidak harus kita menggunakan lafaz salam kepada orang Islam dengan menyebut:
      السَّلَامُ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى
      “Salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk.”
      Tidak boleh begitu, kepada orang Islam, kita hendaklah mengucapkan:
      السَّلَامُ عَلَيْكُمْ- السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
      Iaitu “Salam sejahtera ke atas kamu semua.”
      Sebab kamu semua orang Islam maka sejahteralah kamu.
      Adapun kepada orang kafir, contohnya dalam sebuah dewan yang dihadiri oleh orang Islam dan bukan Islam, apakah lafaz yang boleh kita gunakan?
      Beri salam penuh kepada orang Islam dan
      السَّلَامُ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى
      Maknanya, salam kita ditujukan kepada orang yang mengikuti petunjuk.
      “Kamu orang kafir, kamu tidak mengikuti petunjuk, maka kamu tidak mendapat salam aku.”
      Cukuplah – sama ada dia faham ataupun tidak faham, itu perkara lain.
      Isu ketiga: Pendakwah Perlu Tegas dalam Menyampaikan Kebenaran:
      Pada akhir ayat itu Allah SWT berfirman:
      أَنَّ الْعَذَابَ عَلَى مَنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
      “Sesungguhnya azab itu akan menimpa sesiapa yang mendustakan dan berpaling.”
      Walaupun pada awalnya Allah ajar untuk berlembut dalam berdakwah tetapi pendakwah juga perlu tegas!
      Iaitu perlu tegas bahawa sesiapa yang telah disampaikan dakwah kepadanya, telah diajarkan dan telah diberitahu, tetapi masih tidak mahu mendengar, maka Allah S.W.T telah memberikan peringatan:
      أَنَّ الْعَذَابَ عَلَى مَنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
      Siapa yang mendustakan, siapa yang tidak mahu mengikuti petunjuk dan siapa yang berpaling, maka tunggulah azab Allah!
      Jadi, pendakwah bukanlah sentiasa perlu berlembut, pendakwah juga perlu tegas pada tempatnya.
      Kalau semuanya hendak berlembut, bagaimana jadinya?
      Jumpa orang yang tidak sembahyang, kita kata: “Tak apa, tak sembahyang pun tak apa.” Pendakwah apa macam itu?
      Contohnya; Pergi ke majlis-majlis orang besar, sepatah pun tidak menyebut tentang aurat. Betul kita pun perlu menjaga adab dan menghormati orang.
      Tetapi perkara itu tetap perlu disebut pada tempatnya apabila ada ruang.
      Kerana menutup aurat itu wajib!
      Sebab itulah, apabila kita melihat keadaan hari ini, masalah aurat wanita tidak ditegur oleh pendakwah rasmi juga pendakwah yang bebas atau pendakwah yang mempunyai jawatan pun tidak menegur.
      Maka, terdedahlah rambut dan jambul yang dikeluarkan oleh makcik-makcik dan wanita-wanita ini.
      Tidak ada siapa yang menegur!
      Lama-kelamaan, orang akan berkata: “Oh, menutup aurat itu tidak wajib!”
      Inilah yang dikatakan normalisasi sesuatu yang tidak betul atau dosa!
      Kita hendak jawab apa di hadapan Allah Azza wa Jalla esok?
      Jangan main-main!
      Ada yang kata: Alah ustaz masih main bab aurat – kita nak bina negara!
      Sedap ayatnya – tapi ingat nak bina negara pun jika Allah tak redha tak jadi juga!
      Kita berlembut pada tempat yang perlu, bukan sentiasa berlembut saja!
      Kita kena tegas dalam masalah yang boleh tegas – iaitu beri amaran jika orang tak dengar juga maka azab siksa Allah yang pedih ke atas kamu!

Semoga Allah memberi petunjuk & kekuatan untuk kita semua dalam menunaikan amanah & tanggungjawab!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga memberi kefahaman & manfaat.

Wallahu a’lam.

Teks al-Quran dalam kotak ayat: Tanzil Project (Rasm Uthmani).

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas