Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 8/8

Surah Taha: Ayat 49-55

Dialog Nabi Musa A.S Dan Fir'aun, Jawapan Yang Mantap & Dari Tanah Ke Tanah Kita Semua

Dialog Nabi Musa A.S Dan Fir'aun, Jawapan Yang Mantap & Dari Tanah Ke Tanah Kita Semua

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 49 sehingga ayat 55 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan dialog Nabi Musa A.S dan Fir'aun tentang Ketuhanan.
    Musa memperkenalkan Allah sebagai Tuhannya yang Esa & yang berhak disembah! Ini kerana Fir'aun mengaku sebagai tuhan.
  3. Segala soalan Fir'aun itu dijawab dengan jawapan yang mantap oleh Nabi Musa a.s sehingga Fir'aun terkebil-kebil.
    Fir'aun cuba tukar tajuk dengan bertanya apa akan terjadi orang yang mati sebelum beriman!
  4. Kemudian Allah nyatakan semua manusia ini berasal dari tanah dan kepada tanah juga kita semua akan kembali iaitu mati.
    Selepas itu akan dibangkitkan untuk perhitungan dan pembalasan samada ke syurga atau ke neraka tempat kembalinya.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t perintahkan agar Nabi Musa & Harun masuk ke istana Fir'aun untuk berdakwah kepada Fir'aun.
      Mereka pun tiba di istana dengan penuh keyakinan dan semangat bahawa mereka akan selamat kerana Allah telah beri jaminan untuk menjaga dan menolong mereka.
    2. maka datang ayat ini Allah bawa hiwar (dialog)- perbualan atau perbincangan antara mereka berdua dengan Fir'aun.
      Allah telah ajar kepada Musa untuk berkata dengan perkataan yang baik & berlembut dalam dakwahnya kepada Fir'aun!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 49 قَالَ فَمَن رَّبُّكُمَا يَـٰمُوسَىٰ ٤٩ {(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?"} [Taha 20:49]

  1. Nabi Musa & Harun akhirnya masuk menghadap berdepan dengan Fir'aun dan menyampaikan dakwah mereka seperti yang diperintahkan Allah dengan menyeru kepada Fir'aun agar menyembah Allah Tuhan mereka.
  2. Mendengar itu Fir'aun terus bertanya: Jika benar kamu ini utusan dari Tuhan – maka siapakah Tuhan kamu berdua itu wahai Musa?
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Firaun berkata (dengan sombongnya): "Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?"
    Nabi Musa menjawab: "Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, - kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya".} [Asy-Syu’ara’: 23-24].

Ayat 50 قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعْطَىٰ كُلَّ شَىْءٍ خَلْقَهُۥ ثُمَّ هَدَىٰ ٥٠ {Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".} [Taha 20:50]

  1. Musa tidak takut lagi dan menjawab dengan penuh keyakinan bahawa Tuhannya adalah Tuhan yang mencipta kita semua dengan kejadian yang lengkap dengan tabi’e yang sesuai & betul.
    Serta yang membezakan manusia dengan haiwan ialah bentuk rupa & diberi akal fikiran.
  2. Tetapi kita manusia ini sebaliknya – contohnya; beli alat, gadget mahal-mahal, berpuluh ribu harganya tetapi nak guna, tak reti nak guna.
  3. Allah s.w.t ini, Dia buat benda atas dunia ini, Dia ajar penggunaannya.
    Dia beri kepada kita haiwan ternakan, kita kena bela ia – kemudian kita sembelih makannya ataupun kita naik ia sebagai tunggangan.
  4. Allah s.w.t beri kepada kita pasangan suami dan isteri; lelaki berkahwin dengan perempuan. Kalau lelaki kahwin dengan jantan atau sama-sama betina itu kena masuk hospital jiwa, mental punya masalah.
    Lelaki berkahwin dengan perempuan itu dipanggil susunan yang begitu cantik.
  5. Nota [870] Yakni tiap-tiap sesuatu diberikan ketentuan yang sesuai dengan tuntutan kejadiannya dan ditunjukkan cara menggunakannya.
    Demikian juga halnya manusia diberi segala sifat yang sesuai dengan tuntutan kejadiannya dan diberi akal untuk membezakan yang benar dan yang salah.
  6. Jadi Allah Taala buat kejadian benda itu, setiap benda digunakan dengan cara baik barulah betul.
    Seperti haiwan – kuda orang naik – kambing orang tak naik!
    Lelaki ada janggut, jangan cukur, sama dengan perempuan.
  7. Setiap perkara ditunjukkannya cara menggunakannya.
    Demikian juga halnya manusia diberi segala sifat yang sesuai dengan tuntutan kejadiannya dan ia diberi akal untuk membezakan yang benar dan yang salah.
    Jadi kita ada akal, yang mana betul, yang mana salah, kita kena bezakan.
  8. Maka Nabi Musa kata, Allah yang menciptakan kita semua mengikut kejadian-kejadian kita yang betul.
    Yang membezakan manusia dengan haiwan; pertama bentuk rupa & yang kedua, akal. Rupa kita pun tak sama dengan haiwan.
  9. Maka setiap orang akan diberi yang sesuai dengan dia.
    Manusia sesuai berjalan dengan kaki, jangan hidup berjalan dengan tangan.
    Kecuali orang yang cacat, itu tak apalah – ujian Allah Taala kepada dia.
  10. Bagi pasangan suami isteri, kena jaga haq & tanggung-jawab masing-masing.
    Suami diberi tugas menjaga isteri. Maka bila dah jadi isteri kita, kena jaga aurat baik-baik. Jangan pula duk tayang gambar bini yang nampak aurat. Itu orang panggil suami dayus & tak bertanggungjawab.
  11. Jadi setiap orang itu ada tempatnya yang sesuai. Pakaian kita pun ada tempat kesesuaiannya; Kopiah untuk kepala, jangan letak di kaki. Selipar untuk kaki, jangan letak atas kepala dan seumpamanya.
  12. Kata Imam al-Mawardi- dalam ayat ini ada tiga huraian atau takwilannya:
    1. yang pertama:
      أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ زَوْجَهُ مِنْ جِنْسِهِ
      Allah Taala beri setiap kumpulan itu ada pasangan dari jenisnya sendiri.
      Kemudian Allah Taala beri hidayah supaya berkahwin, jangan berzina.
    2. yang kedua:
      أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ صُورَتَهُ
      Allah Taala beri setiap makhluk itu ada bentuknya dan diberi hidayah untuk mendapat rezeki.
      Kita manusia ada cara kita, haiwan ada cara dia.
      Contoh haiwan pemakan semut seperti tenggiling atau (anteater) yang muncung panjang itu, dia makan semut.
      Lidah atau muncungnya menjadi penyedut semut.
      Kita manusia takkan nak jadi penyedut semut macam dia? Jangan, nanti sekali kena gigit semut, habis masuk hospital.
    3. yang ketiga:
      أَعْطَى كُلَّ مَا يُصْلِحُهُ
      Allah Taala beri pada kita ini semua yang sesuai dengannya. Kemudian diberi panduan untuk menggunakannya.
      *Banyak dalam kitab ini, dia nukil pandangan ulama tentang ayat ini. Tetapi cukuplah apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi.
      Kita kata memadai, insya-Allah.
  13. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya;
    Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);} [Al-A’la: 2-3].

Ayat 51 قَالَ فَمَا بَالُ ٱلْقُرُونِ ٱلْأُولَىٰ ٥١ {Firaun bertanya lagi: "Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?"} [Taha 20:51]

  1. Munasabah ayat:
    1. apabila Nabi Musa bawa dalil yang kuat & mantap yang mengisbatkan Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam & makhluk ini;
    2. Fir'aun yang telah terkedu kalah hujjahnya – cuba spin, tukar topik perbincangan dengan soalan lain pula yang tidak berkaitan dengan isu itu.
  2. Fir'aun tiba-tiba bertanya kepada Musa: Apa keadaan atau nasib kaum terdahulu sebelum kami yang telah mati dalam keadaan tidak beriman kepada Tuhan kamu?
  3. Nota [871] Yakni bagaimana halnya kaum-kaum pada masa yang lalu, yang tidak menyembah Allah tetapi mereka menyembah yang lainnya?

Ayat 52 قَالَ عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى فِى كِتَـٰبٍ ۖ لَّا يَضِلُّ رَبِّى وَلَا يَنسَى ٥٢ {Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".} [Taha 20:52]

  1. Nabi Musa mengembalikannya kepada ilmu Allah. Musa tidak ragu-ragu menjawab bahawa segala tentang keadaan & amalan orang terdahulu itu ada dalam pengetahuan Allah yang telah tertulis dalam Lauh Mahfuz – telah dicatat oleh malaikat dan akan ditayang dibentangkan balik di Akhirat kelak!
  2. Sesungguhnya Allah sesekali tidak keliru & tidak lupa!
    Samada yang kecil atau yang besar, yang duduk dalam batu, dalam laut, dalam tanah, atas tanah, atas langit semuanya di dalam ilmu & di bawah kuasa Allah s.w.t!
  3. Nota [872] Yakni soal ini termasuk dalam perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Apa yang mereka lakukan adalah ditulis dalam sebuah Kitab yang khas dan mereka akan menerima balasan yang sesuai dengan amalan mereka.
  4. Nota [873] Dengan ini berakhirlah jawapan Nabi Musa kepada Fir’aun.
  5. Yakni segala soalan provokasi Fir'aun telah berjaya dijawab oleh Nabi Musa dengan hujjah yang mantap & jelas!
    Maka berakhirlah dialog soal-jawab antara Musa & Fir'aun dalam surah ini.

Ayat 53 ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّن نَّبَاتٍ شَتَّىٰ ٥٣ {(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.} [Taha 20:53]

  1. Kemudian Allah nyatakan kuasa-Nya yang mencipta langit dan bumi untuk memudahkan urusan manusia.
    Iaitu Allah jadikan bumi ini seperti hamparan yang terbentang luas untuk kegunaan manusia.
  2. Nota [874] Dengan ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya Allah Ta’ala menerangkan kepada umat manusia umumnya bahawa Dialah yang menjadikan bumi dan segala isinya untuk keperluan hidup mereka, supaya mereka bersyukur akan nikmatNya yang tidak terhingga itu, kerana semuanya itu menjadi tanda-tanda yang jelas nyata yang membuktikan kekuasaan-Nya serta kemurahan-Nya dan Dialah jua yang berhak disembah dan dipatuhi segala perintahNya.
  3. Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa ayat al-Quran lain:
    1. {Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan…} [al-Baqarah: 22].
    2. {Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya,} – [al-Mulk: 15].
  4. Kemudian Allah nyatakan lagi anugerah-Nya kepada manusia:
    1. Allah permudahkan jalan bagi kamu. Seiring dengan perubahan zaman dan cara komunikasi manusia yang semakin canggih.
    2. Allah turunkan air hujan dari langit menumbuhkan buah-buahan yang pelbagai jenis untuk makanan kita!
      Akhir zaman ini pula buah-buahan seolah tidak bermusim lagi – sepanjang tahun ada saja buah di luar musim!
  5. Allah nyatakan bahawa semua lengkap atas muka bumi ini untuk kemudahan kita manusia – bumi, jalan & tumbuh-tumbuhan!
    Maka kerja kita adalah bersyukur dan beribadat menyembah Allah semata-mata serta jangan kufur.

Ayat 54 كُلُوا۟ وَٱرْعَوْا۟ أَنْعَـٰمَكُمْ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ ٥٤ {Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.} [Taha 20:54]

  1. Kemudian Allah perintahkan kepada manusia untuk makanlah daripada rezeki Allah itu seperti buah-buahan dan lain-lain sebagai rezeki mengikut keperluan, selera dan kesesuaian kesihatan kamu!
  2. Rezeki itu juga sebagai makanan untuk haiwan ternakan kamu!
  3. Allah tegaskan bahawa semua yang Allah cipta & anugerahkan itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran waras!
  4. Manusia tak waras pula dia makan rezeki Allah tetapi dia kufur nikmat Allah!
    Kita berlindung dengan Allah dari dibiarkan terumbang-ambing tak tahu nak ke mana kerana tidak mendapat petunjuk Allah.

Ayat 55 ۞ مِنْهَا خَلَقْنَـٰكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ ٥٥ {Dari bumilah Kami ciptakan kamu dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.} [Taha 20:55]

  1. Munasabah ayat:
    1. apabila kamu hidup di atas bumi & menggunakan segala yang ada di atasnya sebelum ini;
    2. maka ingatlah tak lama nanti kepada bumi kamu akan kembali nanti iaitu mati dan akan ditanam di dalam bumi!
  2. Nota [875] Allah Ta’ala mencipta manusia berasal dari bumi dan hidup di bumi, kerana manusia pada mulanya berasal dari air benih, sedang benih itu berasal dari pati makanan dan makanan itu pula berasal dari tanah (dari haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup dan tumbuh di bumi).
    Semasa matinya, manusia akan kembali ke bumi menjadi tanah dan dari bumi juga kemudiannya ia akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat untuk menerima balasan.
    Walaupun manusia sekarang telah sampai ke bulan dan mungkin akan sampai ke bintang-bintang yang lain pada masa yang akan datang, tetapi soal sampai ke sana dan tinggal dalam masa yang singkat adalah satu perkara dan soal bermastautin turun-temurun di sana adalah satu perkara yang lain.
  3. Allah nyatakan kamu duduk di atas bumi & daripada bumi datuk kamu Adam dicipta.
    Kita manusia selepas itu bukan lagi dicipta daripada tanah secara direct seperti Adam!
  4. Sebagaimana firman Allah:
    {Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu)} [Al-An’am: 2].
  5. Satu cerita pelik dari Kitab Adwa’ al-Bayan, dia kata ada riwayat menceritakan bahawa:
    1. apabila Allah Taala nak bagi rezeki seseorang hamil, apabila dah bersenyawa di antara sperma dengan benih dalam rahim, dikatakan malaikat pergi ambil tanah di mana tempat dia akan mati.
    2. Tanah tersebut kemudiannya dicampurkan dengan air mani dan benih tadi, maka jadilah manusia.
      Akhir sekali, apabila tiba ajalnya, dia akan mati di tempat tersebut.
    3. Tetapi kata Syeikh al-Syanqiti, cerita ini menyalahi nas al-Quran.
      Allah Taala menyebut bahawa manusia berasal daripada tanah tetapi cuma Nabi Adam yang dicipta daripada tanah secara langsung.
  6. Kita manusia selepas itu tidak begitu!
    Cuma kalau kita mengatakan bahawa manusia berasal daripada pati unsur tanah; itu betul kerana makanan kita memang berasal daripada tanah.
    Beras, sayur, buah bahkan susu lembu pun berasal daripada tanah.
    Lembu makan rumput, manakala rumput tumbuh daripada tanah. Itu betullah asal dari tanah!
  7. Tetapi kalau hendak mengatakan bahawa malaikat pergi mengambil tanah dari tempat seseorang itu akan mati, kemudian mencampurkannya dengan air mani, maka kata Syeikh, cerita ini menyalahi tahqiq dan realiti. Wallahu a‘lam.
  8. Kemudian Allah kata selepas kita hidup atas dunia ini samada kita sudah puas atau tidak – kita semua akan mati dan akan dikebumikan ke dalam tanah.
  9. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".} [Al-A’raaf: 25].

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas untuk pagi ini!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 49- {(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?"} – setelah selesai mendengar hujjah Nabi Musa – Fir'aun celik mata bertanya kepada Nabi Musa – siapakah Tuhan kamu wahai Musa?
    Kata ulama' ar-Razi rhm: Ayat ini mengajar kepada kita apabila kita berdialog dengan orang kita kena buka telinga dengar cakapnya. Jangan kita potong percakapannya – sabar & dengar dulu!
    Sebagaimana Fir'aun yang mendengar dulu penjelasan Nabi Musa sebelum bertanya soalan.
    Kemudian Musa memberi jawapan yang mantap.
    Firman Allah s.w.t:
    {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;} [An-Nahl: 125].
    Allah mengajar kita untuk beradab dalam berdebat & berhujjah; yakni kita boleh berlawan hujjah & berdebat tetapi dengan adab & sopan yang dibenarkan Allah s.w.t.
    Ayat 49- {Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?"} – dalam ayat ini Allah ceritakan kata-kata Fir'aun.
    Kata ar-Razi lagi: Boleh kita ceritakan hikayat kisah atau kata-kata yang tidak betul untuk kita nak jawab balik hujjah-hujjah yang tidak betul itu yang mematahkan persoalan mereka.
    Contoh kita kata: Orang sesat kata Tuhan ada anak! Bukan kita kata tetapi kita cerita.
    Boleh untuk nak patahkan hujjah mereka yang tidak betul supaya dia tidak boleh jawab lagi!
  2. Ayat 49- {Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?"} – Fir'aun bertanya kepada nabi Musa.
    Kata ulama' lagi: Nabi Musa pergi menghadap Fir'aun dengan saudaranya Harun; tapi kenapa Fir'aun fokus hanya sebut & panggil Musa saja. Kenapa tak kata wahai Musa & Harunnya?
    *Ulama' tadabbur ini dia korek bincang habis semuanya!
    Jawapannya kata al-Qurtubi:
    Allah sebut Musa saja dalam ayat ini kerana mungkin hanya Musa saja yang bercakap dan berhujjah dengan Fir'aun.
    Walaupun dia tak bercakap tetapi Harun tetap ada bersama dengannya dalam majlis itu sebagai delegasi atau ahli rombongan.
    Kerana itu juga Fir'aun bertanya siapa Tuhan kamu berdua (Musa dan Harun) wahai Musa?
    Ini pentingnya kerja berpasukan – jika berjaya-berjaya semua, jika gagal-gagal semua.
    Termasuklah ahli yang tak bercakap sepatah pun, tetapi kerana dia ada dalam majlis itu sebagai rombongan delegasi, dia juga dapat kredit.
    Jadi, kata ulama, kalaulah kita pergi dua orang, walaupun hanya seorang yang bercakap, dikira kedua-duanya bercakap sebab seorang ini menyokong apa yang dicakapkan oleh teman dia itu.
  3. Ayat 50- {Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".}
    Tuhan itu apabila Dia mencipta sesuatu perkara – Dia akan tunjukkan cara bagaimana nak menggunakan barang itu!
    Ini menunjukkan nikmat Allah itu besar. Allah telah sebut banyak kali dalam al-Quran- Allah sebut penciptaan & penggunaannya!
    sebagaimana firman Allah ini:
    1. {ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١-
      Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
      خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ٢-
      Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
      ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣-
      Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
      ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤-
      Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
      عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ٥-
      Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.} [Al-Alaaq: 1-5].
    2. {ٱلرَّحْمَـٰنُ ١-
      (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
      عَلَّمَ ٱلْقُرْءَانَ ٢-
      Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
      خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ ٣-
      Dia lah yang telah menciptakan manusia; -
      عَلَّمَهُ ٱلْبَيَانَ ٤-
      Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.} [Ar-Rahman: 1-4].
      Kata ulama' tadabbur; Banyak ayat al-Quran Allah mengumpulkan dalam al-Quran ayat yang menunjukkan Allah cipta sesuatu kemudian Dia ajar cara menggunakannya!
      Kerana itu apabila kita membeli sesuatu alat atau gajet diberi manual panduan cara pemasangan atau penggunaannya.
      Jika tidak akan rosak atau tidak dapat manfaatnya!
      Kemudian Allah tunjukkan cara nak guna & cara nak hidup – ini menunjukkan akan sempurnanya nikmat Allah s.w.t kepada manusia!
      Allah tidak buat saja, bahkan Dia buat & Dia ajar caranya.
      Jika otak kita tak mampu untuk memikirkan tentang Allah – Allah hantar pula rasul a.s untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah s.w.t – jika tidak kita tak tahu ke mana hala-tuju kita!
  4. Ayat 52- {Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".}
    Allah ada segala ilmu dan segala maklumat sudah ditulis di Lauh Mahfuz & malaikat mencatatnya pula!
    Kata para ulama' seperti as-Sayuti dalam kitabnya al-Iklil: Ayat ini menjadi istinbat bahawa apabila belajar ilmu kita kena catat & tulis.
    Kena ada kitab rujukan & kitab untuk catatan – Jika tidak hanya bawa telinga tersumbat dengan mata mengantuk dan hati yang khayal – maka tak tau apa satu!
    Kata Imam asy-Syafei rhm: Siapa pergi majlis ilmu tak bawa kertas & Qalam (pen) seolah dia pergi ke kilang pengisar gandum tanpa bawa gandum!
    Maka tengok sajalah tak dapat apa!
    Kata Syeikh Abu Al-Malih, namanya al-Hasan ibn Umar ar-Raqqi, al-Imam al-Muhaddis rahimahullah – dia kata
    يَعِيبُونَ عَلَيْنَا الْكِتَابَ
    Bila kita tulis hadis yang kita hafal ini; ada orang kata: Apa ini?
    Tak ingat hafalanlah tu, hanya dok menulis.”
    Kita mengapa kata begitu sedangkan menulis ini nak isbatkan perkara itu.
    Bahkan Allah s.w.t telah berfirman dalam al-Quran:
    قَالَ عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي فِي كِتَابٍ.
    Ilmu ini Allah Taala tahu semuanya, tetapi Dia tulis juga, Allah suruh Qalam tulis sebab nak isbat kepada malaikat.
    Wallahu a‘lam.
    Itu kata-kata hikmah yang sangat besar.
    Nabi Musa kata lagi: Sifat Tuhan aku juga Dia tidak lupa & tidak keliru.
    Allah buat dengan ilmu-Nya yang sempurna dan lengkap dengan penjagaannya.
    Alhamdulillah Allah tidak lupa, Dia tahu segala benda!
  5. Ayat 55- {Dari bumilah Kami ciptakan kamu dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.} – daripada tanah Allah cipta datuk kita Adam a.s. Tanah itu pula yang diadun dari pelbagai jenis.
    Tanah ini bermacam jenisnya; kerana itu manusia tidak sama rupa dan warnanya kerana datang dari pelbagai adunan!
    Maka manusia Allah cipta daripada tanah yang pelbagai; ada putih, ada hitam, ada merah, ada kelabu!
    *Lihat dalam rumah kita saja ada rupa dan warna yang lain-lain walaupun satu ibu bapa.
    Kita kata daripada tanah kita datang & kepada tanah juga kita akan kembali apabila mati nanti!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga memberi kefahaman & manfaat.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas