Surah Al-Kahfi: Ayat 74-76
Ujian Kedua Khadir Bunuh Budak, Nabi Musa Bantah Keras & Aku Janji Tak Akan Lawan Lagi

Live Kuliah Pagi Khamis 20/08/2026 – 07 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (24) Ayat [74-76]
Muqaddimah
- Alhamdulillah, pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 74 sehingga ayat 76 dalam juzuk kelimabelas.
- Kisah ini masih lagi tentang kisah Musa mengikut Khadir untuk belajar dan mencari ilmu.
Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan ujian kedua yang dilalui oleh nabi Allah Musa ketika berjalan dengan Khadir iaitu dia membunuh budak.
- Ujian ini lebih berat daripada yang pertama maka Nabi Musa a.s terus membantahnya dengan keras.
Khadir dengan tenang ulang balik peringatannya dulu bahawa Musa tak akan dapat bersabar dengannya!
- Maka Musa sebagai pelajar atau murid yang beradab dan tawadhuk segera sedar kesalahannya & minta maaf serta membuat aku janji tak akan lawan atau bantah lagi perbuatan Khadir.
*Khadir sebagai guru, bertolak-ansur, memaafkan Musa dan bersetuju untuk memberinya peluang sekali lagi!
Jika tak sabar juga maka berpisahlah kita.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Kisah ini masih lagi tentang kisah Musa mengikut Khadir untuk belajar dan mencari ilmu yang Musa tidak ada tetapi Allah kurniakan kepada Khadir!
Musa pula mempunyai ilmu yang Khadir tidak ada!
Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah pertama iaitu Khadir merosakkan kapal, Musa membantahnya kerana lupa akan perjanjian mereka.
Apabila ingat dia minta maaf dan Khadir memberinya peluang lagi untuk mengikutnya.
ii- maka dalam ayat-ayat ini pula Allah nyatakan kisah seterusnya atau ujian kedua yang dihadapi oleh Nabi Musa iaitu apabila menghadapi Khadir yang secara spontan membunuh seorang kanak-kanak tanpa sebab & hak yang zahir.
Ini kerana Allah nak lihat Musa sabar atau tidak sabar melihat perkara yang menyalahi Syari’ah yang dipegangnya.
*Ini kerana pembunuhan tidak boleh kecuali melalui qisas, hukuman ke atas penzina atau orang murtad dari Islam.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُّكْرًا ﴿٤٧﴾
Ayat 74- {Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”} (Al-Kahfi 18:74)
- Allah ceritakan maka berjalanlah lagi mereka berdua iaitu Nabi Musa & Khadir di tepi pantai itu sehingga bertemu dengan seorang pemuda (ulama’ sepakat kata seorang anak kecil- غلام).
*Ini selepas peristiwa Khadir merosakkan kapal, nabi Musa menbantah & ditegur Khadir, minta maaf kerana lupa lalu sambung perjalanannya.
- Tiba-tiba tanpa bercakap banyak, secara spontan Khadir terus mengambil budak itu dan membunuhnya!
Terdapat beberapa versi tentang cara membunuhnya kita lihat nanti. - Melihat perbuatan Khadir itu- nabi Musa sangat terkejut dan segera membantahnya dengan berkata:
i- “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang?
Iaitu seorang budak kecil tanpa dosa tanpa hak, apa yang menyebabkan kamu terus membunuhnya????
ii- Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar.
Kerana memang dalam Syari’ah Musa atau Taurat juga membunuh orang tanpa haq- adalah satu perbuatan mungkar yang dahsyat & berdosa!
- Ulama’ tafsir kata: Berjalanlah dua orang ini (يَسِيرَانِ) di tepi laut sehingga bertemu seorang kanak-kanak kecil (إِلَى أَنْ لَقِيَا غُلَامًا صَغِيرًا).
Dia tak kata pemuda, jadi terjemahan lebih tepat, budak atau kanak-kanak. - Jadi bila bertemu dengan budak ini, Khadir tanpa banyak cakap atau bertanya apa terus membunuhnya.
Nabi Musa terkejut dan terus berkata, “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih { نَفْسًا زَكِيَّةً }?” - Ini kerana budak tak ada dosa sebab itu Nabi Musa berani kata (nafsan zakiyyatan).
Musa tak kenal budak tu tetapi dia boleh kata budak itu bersih, jiwa yang baik, yang tidak berdosa membunuh orang.
- Pembunuhan kanak-kanak ini ialah satu peristiwa yang besar ataupun ujian yang kedua yang Allah Ta‘ala nak uji Nabi Musa a.s. melalui Khidir, nak tengok dia sabar ke dia tak sabar.
- Haram bunuh orang kecuali melalui qisas. Qisas, maknanya dia bunuh orang dengan sengaja, berat kesalahan, barulah boleh dibunuh. Yakni jika budak itu bunuh orang, tak apalah bunuh dia, melalui qisas iaitu hukuman bunuh balas. Jika tidak- jangan sesuka bunuh orang, tak boleh.
- Tetapi jika tidak- tak boleh! Tuhan bagi Nabi Musa ilmu yang Nabi Khidir pula tak tahu.
Jadi dua-dua tu ada ilmu masing-masing.
Tidak kata Khidir panggil budak tu dulu, tanya dulu, siasat dulu. Musa dengar, patut baru bunuh. Tidak!
Kalau dalam syariat kita, Nabiصلى الله عليه وسلم kata: Hanya boleh dibunuh النَّفْسُ بِالنَّفْسِ:
i- orang yang bunuh orang dibunuh
ii- orang yang sudah berkahwin kemudian berzina hukumnya bunuh juga.
iii- yang ketiga, orang murtad, keluar dari agama Islam.
*Hanya tiga ini sahaja yang boleh dibunuh.
- Kata al-Qurtubi : قال الجمهور: لم يكن بالغًا قال القرطبي.
Majoriti ulama kata budak ni tak baligh lagi.
Dalilnya Ghulam itu budak kecil kerana:
i- Allah sebut {غُلَـٰمًۭا} itu ialah seorang budak kecil yang belum baligh lagi.
ii- Nabi Musa mengatakan budak itu ialah {نَفْسًۭا زَكِيَّةًۢ}- sedangkan dia tidak kenal pun budak itu.
Ini menunjukkan dia adalah seorang anak kecil yang masih suci pada pandangan zahirnya.
- Kisah ini berdasarkan beberapa hadis yang sahih:
i- hadis Ubai yang panjang tadi lagi:
Apabila keluar dua orang ini dari laut,
mereka berjalan sehingga melalui sekumpulan kanak-kanak sedang bermain sesama mereka .
Tiba-tiba Khidir panggil budak ni, pegang & pulas kepalanya
ii- Sufyan dalam riwayat hadis lain:
dia pulas kepala begitu saja.
Macam kita nak cabut buah. Ini hadis riwayat dalam Bukhari.
iii- Dalam riwayat lain pula:
Khidir dengan Musa jumpa budak sedang bermain: فَأَخَذَ غُلَامًا كَافِرًا ظَرِيفًا-
Maka dia pun panggil budak ni, budak ni kafir walaupun dia budak lagi.
*Kenapa dipanggil kafir, macaman atau kafir?
Inilah ilmu ladunni yang ada pada Khidir.
Dia tahu budak ini berbahaya jika hidup lagi kerana dia boleh mengkufurkan mak ayah dia.
Budak ini berwajah comel, penampilan lawa. Dia panggil budak itu kemudian direbahkan dan sembelihnya dengan pisau-
- Sekarang terdapat dua Riwayat yang berbeza, macamana kita nak kumpulkan sekali riwayat ini?
i- Riwayat pertama kata pulas kepalanya dengan tangan: فَقَلَعَهُ بِيَدِهِ.
ii- Manakala riwayat kedua kata sembelih dengan pisau: ثُمَّ ذَبَحَهُ بِالسِّكِّينِ.
iii- ada juga riwayat ketiga kata dia potong atau pukul kepala dengan batu!
- Kesimpulannya oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari iaitu Syarah kepada kitab Sahih Bukhari:
i- Budak seorang, tapi ada riwayat tiga.
Ini dipanggil usul, الجمع بين الروايات.
Kita kena jamak antara riwayat, barulah lengkap dan boleh difahami.
ii- Kata Ibn Hajar rahimahullah, ويُجمع بينهما.
Kita kumpulkan hadis ni dan kita buat analisa bahawa:
Dia perebah, sembelih dengan pisau, kemudian dia cabut kepala budak tu.
Ada juga riwayat lain:
Ada kata dia ambil batu, pukul kepala budak tu.
*Ibnu Hajar kata, والأول أصح- yang dua pertama lebih sahih.
iii- Kata Ibn Hajar lagi:
Boleh kita kata mungkin pada mula-mula jumpa budak itu dipukul dengan dengan batu, kemudian disembelihnya ثم ذبحه، – dan akhirnya dipotong sehingga tercabut kepalanya: .وقطع رأسه. Wallahu a‘lam.
*Ini analisa al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab dia Fath al-Bari kepada tiga riwayat yang menyebut tentang peristiwa, insiden pembunuhan budak itu.
- Apabila kita bacanya kita boleh kata seolah siasatan forensik pada hari ini!
Betapa ilmu forensik ni telah digunakan oleh al-Imam Ibn Hajar dalam menentukan bagaimana cara budak itu dibunuh.
Wallahu a‘lam.
- Yang penting, Allah Ta‘ala sebut,
sepatah begitu saja.
Kemudian terdapat sedikit penjelasan dan huraian dalam hadis Nabi s.a.w yang sahih!
Jika kita lihat dalam kisah Israiliyyat banyak lagi kisah yang penuh perencah dan tambahan yang tidak sahih!
- Apabila melihat perbuatan Khadir membunuh kanak-kanak itu secara spontan tanpa apa-apa perbicaraan Musa sangat terkejut dan mengatakan bahawa Khadir telah melakukan satu jenayah-bunuh budak tanpa hak tanpa dosa:
{Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!} - Kata ulama’: Dalam kes ini Nabi Musa tidak mencari alasan atau meminta keuzuran lagi kerana dia sangat terkejut dan kaget melihat perbuatan Khadir yang membunuh budak itu!
Kali pertama Musa lupa tetapi kali ini bukan dia lupa tetapi tidak boleh bersabar lagi melihat satu kemungkaran pada pandangannya!
- Ini kerana dalam Syari’ahnya perbuatan itu adalah satu kemungkaran yang sangat dahsyat!
Kali pertama Musa lupa tetapi dalam kejadian kedua ini Musa tidak dapat bersabar lagi melihat kejadian dahsyat di depan matanya itu lalu menegur Khadir!
۞ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٥٧﴾
Ayat 75- {Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”} (Al-Kahfi 18:75)
- Khadir sebagai seorang guru yang penuh ilmu, tetap tenang dan menegur Musa dengan berkata: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
- Kamu sudah tahu peraturan dan syarat, SOP dan janji sudah dibuat- tetapi kamu masih tidak dapat bersabar dengan apa yang aku buat!
- Sedangkan aku sudah diberi ilmu ladunni yang khas dari Allah s.w.t- aku buat dengan ilham dari Allah bukan hanya ikut nafsu aku!
Kamu pula tidak ada ilmu itu maka pastilah kamu tidak akan dapat bersabar tentangnya!!! - Kita perhatikan perbezaan ayat ini dengan ayat teguran dalam ayat 72 sebelum ini:
i- dalam ayat 72 Khadir menegur Musa:
{“Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” }
ii- dalam ayat ini Khadir menegur Musa dengan ayat yang sama tetapi lebih keras dan marah dengan menambahkan perkataan {لَّكَ}:
{قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًۭا}-
iaitu sebagaimana yang kita telah bincangkan dalam bahasa Arab; dengan bertambahnya huruf atau bertambahnya perkataan menunjukkan keberatan.
- Yakni sebelum kamu ikut aku ini- aku sudah cakap kamu tak akan mampu ikut aku kerana kamu tak dapat bersabar apabila melihat perbuatan aku yang pada zahirnya salah & tak kena dengan ilmu kamu.
Sedangkan aku ada ilmu & ilham dari Allah iaitu ilmu ladunni! - Sebagaimana kita sudah katakan inilah hujjah batil yang digunakan oleh pengikut ajaan sesat yang melampau dalam memuja guru & syeikh mereka sehingga tak boleh ditegur walaupun buat salah & bercanggah dengan ajaran Syari’ah agama!
Iaitu kerana syeikh mereka ada ilmu ladunni, dapat ilham atau wahyu dari Tuhan!
Itu adalah ilmu syaitan jangan salah guna ayat ini!
قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا ﴿٦٧﴾
Ayat 76- {Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.} (Al-Kahfi 18:76)
- Akhirnya selepas peristiwa kedua ini; Musa sendiri menjatuhkan hukum ke atas dirinya.
Yakni jika selepas ini dia buat lagi bantahan dan tidak dapat bersabar begini- mereka akan berpisah, Musa tidak akan dapat ikut Khadir lagi! - Yakni Musa minta peluang terakhir iaitu yang ketiga untuk mengikut Khadir- dia akan cuba bersabar sekali lagi- moga dapat manfaat ilmu lagi baginya.
Jika tdk sabar- cukuplah keuzuran yang diberikan Khadir kepadanya! - Hadis Nabi s.a.w tentang kisah Musa & Khadir ini:
رَحْمَةُ اللهِ عَلَيْنَا وَعَلَى مُوسَى، لَوْلَا أَنَّهُ عَجِلَ لَرَأَى العَجَبَ، وَلَكِنَّهُ أَخَذَتْهُ مِنْ صَاحِبِهِ ذَمَامَةٌ، وَلَوْ صَبَرَ لَرَأَى العَجَبَ”.
” Semoga Allah Ta‘ala beri rahmat ke atas kita dan ke atas Musa.
Seandainya dia tidak tergesa-gesa, tentulah dia akan melihat banyak perkara yang menakjubkan.
Namun, dia merasa segan (malu) terhadap temannya itu (Nabi Khidir).
Sekiranya dia bersabar, nescaya dia akan melihat lebih banyak perkara yang menakjubkan.” [HR Muslim].
*Ini uslub doa yang diajar oleh Nabi s.a.w, kalau kita nak berdoa, kita doakan diri kita dulu kemudian baru berdoa kepada orang lain.
Nabi s.a.w kata:
Semoga Allah rahmati kita dan Musa.
- Tetapi apa boleh buat, Musa tak sabar, maka dia kena marah dengan kawan dia Khadir.
Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم baca ayat Quran:
maka cukuplah sudah keuzuran yang diberikan Khadir kepadanya!
Penutup & Faedah
- Ayat 74- {Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.}– berjalanlah Musa & Khadir.
Terjumpa budak terus Khadir membunuhnya!
Musa tak tahan melihatnya terus membantah perbuatan yang dianggapnya mungkar itu.
Ini kerana Musa menggunakan hukum secara zahir- الحكم بالظواهر – kerana itu seorang kanak-kanak bukan pemuda- maka secara zahirnya masih suci & tiada dosa!
Seperti zaman kita sekarang inilah kalau tengok budak mati terus mengatakannya; “anak syurga, anak syurga.”
Masalah syurga dengan neraka itu hak Allah, kita tak boleh jatuh hukum Tuhan nak letak di mana dia.
Yang seeloknya kita kata baik-baik: “Insya-Allah budak ni kecil, tak dosa. Mudah-mudahan dia pergi ke syurga.”
Itu uslub doa- jangan terus menjatuhkan hukum, macamlah dia terima wahyu, dapat ilmu laduni pula.
Puak kita sekarang ini ramai orang dapat ilmu laduni; Kalau tengok budak mati, “anak syurga”, budak OKU ke, budak Down Syndrome ke terus panggil “anak syurga.”
Kita jangan jatuhkan hukum tetapi kita kata, “Mudah-mudahan anak syurga.”
Jangan duk syurga-syurgakan orang.
Peringatan & teguran bagi ibu bapa yang ada anak perempuan istimewa atau OKU- bila dia besar, seperti orang normal juga fizikalnya.
Jadi mak dia kena jaga & tutup aurat dia bila ada tetamu atau saudara-mara, kawan lelaki, jangan biarkan dia bebas bergaul duduk sekali dengan lelaki.
Tak boleh sebab walaupun dia tu kanak-kanak atau istimewa, dia tak berdosa dan mungkin tak tahu apa; tetapi kita berhati-hati akan orang lain yang normal itu, kita kena ingat manusia jahat sekarang tak kira anak istimewa atau tidak.
Cuma dalam isu ini Nabi Musa menggunakan pendekatan hukum zahir.
Dia kata: أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً- kenapa kamu bunuh budak yang baik???
Kerana umumnya budak kecil adalah baik.
Ini kita pun tengok dia baik, hidup sentiasa ke masjid, serban, jubah.
Kita kata, “Insya-Allah dia orang baik.”
Nak korek-korek dalam hati orang, bukan kerja orang.
Kerja mengorek-ngorek, melombong-lombong hati orang ni tidak kerja kita.
Kerja kita adalah kaedah kata:
Kita boleh jatuh hukum yang zahir.
Allah yang menentukan yang batinnya & segala rahsia hanyaTuhan saja tahu.
Kita manusia tak tahu & jangan cuba-cuba buat tahu.
Sebab tu dalam ayat itu, Allah kata: فَانْطَلَقَا – yakni berjalanlah dua orang ni.
Bila dia keluar daripada kapal, selesai isu kapal. Kapal pun selamat tak tenggelam cuma Musa lupa akan ilmu Khadir.
Jika kita baca atau dengar banyak cerita-cerita pelik & karamah tentang wali-wali Allah dan Syeikh yang tidak dapat dipastikan kesahihannya jangan mudah percaya!
- Ayat 74- {Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.}–
Perhatian:
Kalau kita bunuh orang kerana qisas itu tidak mungkar.
Macam tukang pancung orang yang dikenakan hukuman bunuh ikut Syari’ah- orang tak panggil dia sebagai pembunuh dia.
Tetapi dia adalah sang algojo (سياف) bukan pembunuh, kerana melaksanakan undang-undang qisas yang dijanjikan oleh Allah Azza wa Jalla:
{وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ}-
nyawa dengan nyawa-النَّفْسُ بِالنَّفْسِ.
Jadi orang yang melaksanakan undang-undang syariah tidak dianggap sebagai penjahat.
Dia potong tangan orang ke, dia potong kepala orang ke, tidak dianggap jahat sebab dia melaksanakan undang-undang syariah.
Bahkan undang-undang qisas (bunuh dibalas bunuh) ini telah menjadi Syari’ah orang sebelum kita lagi
Undang-undang orang bunuh orang dibalas bunuh ni, undang-undang syariah dulu dan dipakai oleh Syariat kita dan dibatalkan oleh undang-undang orang putih (kafir penjajah).
Syariah qisas dipakai oleh pemerintah dulu dan diterima oleh syariat Islam dan dibatalkan oleh undang-undang sekular.
Di mana orang bunuh orang, tidak lagi dibunuh atau dipancung, tetapi hanya dipenjara, makan free bilik free dalam penjara.
Sebab itulah bila kita bincang undang-undang syariah, kita mengatakan bahawa undang-undang yang ada di atas dunia ini, ia dibawa oleh Lord Reid.
Ini undang-undang manusia yang menyalahi syariat Allah Azza wa Jalla, dan undang-undang manusia merugikan.
Kita lihat contohnya penjenayah yang kena hukum 20 tahun penjara, siapa bagi makan-pakai dia?
Kerajaan yang bagi makan. Manakala anak isteri di rumah hidup dalam kesusahan, payah makan-minum dan seumpamanya!
Kita cerita panjang lain kali pula masalah ini.
jika kita bunuh orang kerana Qisas (قصاص) undang-undang yang disyari’atkan Allah; tidak dianggap sebagai penjahat atau perbuatan mungkar kerana dia melaksanakan undang-undang Syari’ah.
Undang-undang qisas ini adalah hukum Syari’ah yang dipakai oleh umat terdahulu dan diterima oleh Syari’ah Islam tetapi telah dibatalkan oleh penjajah kafir!
Diganti dengan satu hukum rekaan manusia yang merugikan dan tidak memberi manfaat!
- Ayat 76- {Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;}- setelah meminta maaf Musa menyatakan jika sekali lagi dia buat iaitu bertanya dan membantah maka dia tidak boleh bersahabat ikut Khadir lagi!
Kata ulama’: Kali ni Musa tidak lagi mengatakan dia lupa!
Boleh jadi dia ingat perjanjian dengan Khadir tetapi dia tidak boleh sabar melihat suatu kemungkaran baginya.
Sebagai seorang Nabi, seorang ulama’ dia tidak boleh berdiam diri dan mengambil langkah yang agak keras untuk menengur dan mengingkari perbuatan yang menyalahi Syari’ahnya.
Kata ulama’: لم يعتذر هنا موسى بالنسيان-
Kali yang kedua ni Musa tak kata dia terlupa.
Maknanya dia tak lupa, dia tahu, ingat SOP- sudah kena marah tadi.
Tapi dia pilih pandangan nak ingkar benda mungkar
iaitu bunuh orang tanpa sebab.
Maka dia terpaksa ambil pendekatan yang berkeras.
Dia sebagai seorang ulama, sebagai seorang tokoh, sebagai seorang ahli syariat yang besar, maka dia kena larang, kena tegur sebab benda ni menyalahi syariat dia, yang terang-terang menyalahi peraturan.
Jadi dia pun minta maaf tanpa minat keuzuran dengan sebab lupa!
Atau sebab malu dia ambil pendekatan lain sebab benda ni sudah berulang, perkara yang sama.
Jadi kalau kemarin dah lupa takkan hari ini lupa pula???
Maka Musa tak kata sebab dia lupa lagi!
Jadi dua kemungkinan dia minta alasan sebab lupa:
i- sebab pertama mungkin dia tak lupa, tapi memang benda tu dia tak boleh tahan, tak boleh sabar sebab mungkar.
ii- sebab yang kedua dia tak mahu guna dah alasan itu sebab benda lupa ini sudah berulang.
Kerana itu kata Nabi s.a.w:
Kalau Musa sabar, banyak lagi perkara ajaib yang dia akan tengok.
Allahu Akbar.
- Ayat 76- {Nabi Musa berkata:
“Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;}-
Kalau aku tanya lagi selepas ni, kita tak berdua tak boleh bersama lagi!
Ulama’ tadabbur kata: Melalui ayat ini-
Tiga kali ini diambil iktibar oleh ulama fiqh, maknanya banyak.
Sebab tulah kalau kita mazhab Syafi‘i ni, kalau jalan tiga langkah, batal solat.
Contohnya saf kosong didepan- kita jalan satu, dua, tiga, batal balik.
Habis kena jalan dua langkah, satu, dua, berhenti dulu.
Baca ayat, jalan balik. Buat tiga kali berterusan tak boleh.
Jadi kata as-Sayuti:
Tiga kali tu diambil iktibar, ulangan yang tidak dimaafkan.
Jadi apa kesalahan pun, jangan lebih daripada dua kali kerana kali ketiga itu tiada maaf lagi!
Jadi pelajar-pelajar ingat, kalau kena buang sekolah, kena halau keluar daripada madrasah sebab dia buat benda yang sama, kesalahan tiga kali, jangan marah. Ini dipanggil اعتبار.
Nabi Musa pun dia kata sekali, dua kali, yang ketiga baru kena berpisah.
Sebab tulah bila berlaku kali yang ketiga esok Khadir kata:
قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ-
Kita kena berpisah sekarang, tak boleh bersama lagi.
- Ayat 76- {Nabi Musa berkata:
“Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;..}– sekarang nabi Musa sendiri yang buat syarat- sebelum Khadir mengatakannya dulu.
Yakni Nabi Musa tahu dia bersalah jadi dia buat sendiri syarat & pengakuan; jika dia buat salah, membantah dan menegur Khadir lagi- mereka akan berpisah, dia tak boleh ikut Khadir lagi!
Kata ulama’: Ayat ini menjadi dalil bahawa amalan kita ini terikat dengan syaratnya.
Kita buat syarat begitu begini maka kena ikutlah syaratnya!
Pentingnya syarat ini- apa-apa perjanjian & hukum kena ada syarat yang jelas
Ada setengah orang yang membuat syarat atau dia meletakkan syarat, tetapi dia tak ikut- maka jawabnya orang itu tidak bersyarat.
Maka itulah yang kita katakan bahawa bila kita buat sesuatu, pentingnya syarat.
Apa-apa perjanjian mesti jelas; kalau buat begini, ini hukumannya.
Kalau nak ambil bantuan daripada saya, ini syaratnya- kena jelas!!
Maka kata ulama’ lagi: Jangan kita berpisah dengan seseorang kecuali setelah melalui proses i‘tizar, iaitu amaran, teguran dan peringatan.
Jangan ambil mudah dan jangan sekali-sekali terus menghukum.
Jika ada kesilapan berilah peluang- dua kali salah, yang ketiga barulah boleh kita jatuhkan hukuman.
Jadi kita kena beri peluang kepada orang untuk membetulkan diri dan kesalahannya.
Apa-apa pun mudah-mudahan Allah melimpahi taufik dan hidayah kepada kita.
Insya-Allah kita akan sambung ayat yang ke-77 minggu depan, hari Sabtu Insya-Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 20/08/2026 – 07 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: Senarai main YouTube…
Link Nota: Facebook
Semoga Bermanfaat!