Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Al-Kahfi · Nota 26/32

Surah Al-Kahfi: Ayat 79-82

Nabi Khadir Menceritakan Kepada Nabi Musa A.S, Sebab Dia Rosakkan Kapal, Bunuh Ghulam & Baiki Tembok Yang Nak Runtuh Itu

Live Kuliah Pagi Ahad 23/08/2026 – 10 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (26) Ayat [79-82]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 79 sehingga ayat 82 dalam juzuk keenambelas.
  2. Ayat ini adalah episod penutup kepada kisah pengembaraan Nabi Musa &Khadir.

    Kita telah mendengar tiga kali ujian yang dikenakan atas nabi Musa & cukup tiga kali peristiwa nabi Musa tak sabar untuk mendengar & membantah perbuatan Khadir.

    Maka mereka terpaksa berpisah kerana sudah cukup tempoh keuzuran yang diberi.

  3. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Nabi Khadir menceritakan kepada nabi Musa a.s, sebab tiga ujian yang dihadapi oleh Musa iaitu sebab dia rosakkan kapal, bunuh ghulam & baiki tembok yang nak runtuh itu.

    Kata pepatah:
    إِذَا عُرِفَ السَّبَبُ بَطَلَ العَجَبُ –
    Apabila mengetahui sebab hilanglah kepelikan!

  4. Apabila mendengar semua sebab itu baru Musa faham dan jika dia tahu dari awal pastilah dia tidak akan membantahnya, tetapi apa boleh buat itulah ujian & syarat dalam menuntut ilmu dengan Khadir ini.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    1. dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan apabila nabi Musa telah tamat tempoh bertenang yang diberikan & Khadir menjatuhkan hukuman ini adalah waktu perpisahan antara dia dan Musa.

      Tetapi Khadir kata jangan bimbang aku akan ceritakan semua sebab & hikmah di sebalik semua ujian itu.

    2. maka datang ayat ini menjelaskan bagaimana Khadir menceritakan satu persatu sebab di sebalik 3 perbuatannya; yang pada zahirnya mungkar & salah pada pandangan Musa, menyebabkan dia membantahnya.

Sekarang tenanglah hati Musa apabila mengetahui sebabnya, kerana itulah ilmu ladunni yang diberikan Allah kepada Khadir.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

‏ أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا ‎﴿٩٧﴾

Ayat 79- {Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.} (Al-Kahfi 18:79)

  1. Khadir menceritakan kepada Musa sebab kepada perbuatan pertamanya merosakkan dinding perahu.

    Perahu itu adalah kepunyaan orang miskin, keluarga anak yatim yang lemah & tiada orang yang akan membela mereka yang digunakan oleh mereka untuk mencari rezeki di lautan.

  2. Khadir menyatakan di hadapan mereka – di mana perahu itu akan lalu – ada penguasa yang zalim yang menunggu di depan.
    Dia akan merampas setiap perahu yang elok untuk kegunaannya!

    *Dalam Kitab Taurat ada disebut nama raja zalim iaitu Hadad bin Badad – wallahu a’lam.

  3. Maka untuk menyelamatkan perahu orang miskin itu daripada dirampas oleh penguasa zalim itulah Khadir merosakkan sedikit perahu mereka itu agar selamat tidak dirampas kerana nampak cacat!
  4. Info – beza antara orang fakir & miskin:
    1. orang miskin ada pekerjaan dan alat untuk mencari rezeki cuma kurang mencukupi lagi pendapatannya untuk keperluannya;
    2. manakala orang faqir lebih teruk daripada orang miskin – mereka mungkin tidak ada pekerjaan, tidak ada harta & alat untuk mencari rezeki.
  5. Ulama’ membincangkan lagi: Khadir merosakkan perahu itu dengan ilham dari Allah tetapi kenapa dia kata: Aku mahu merosakkannya… {فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا}, kenapa dia tidak menisbahkannya kepada Allah yang memerintahkannya tetapi menisbahkan kepada dirinya?
  6. Jawapan: Ini adalah ilmu cara beradab dengan Tuhan – perbuatan buruk kita jangan nisbahkan kepada Allah walaupun itu perintah Allah, yang baik saja kita nisbahkan kepada Tuhan.
    Maka kerana itu Khadir kata; Aku mahu rosakkannya…!
    Yang buruk kita nisbahkan kepada diri kita dan syaitan!
  7. Dalam ayat ini juga ulama’ tafsir mengatakan perkataan {وَرَآءَهُم} dalam ayat ini bermaksud di hadapan mereka – bukan di belakang.

    Yakni di depan mereka ada penguasa zalim tunggu nak rampas perahu yang elok!

  8. Yakni antara dua mudharat itu;
    1. Khadir memilih mudharat yang lebih kecil iaitu rosakkan sendiri perahu agar ia tidak dirampas raja yang zalim;
    2. dirampas perahu adalah mudharat yang lebih besar kerana orang miskin itu akan kehilangan perahu yang menjadi alat mencari rezekinya!
  9. Hadis riwayat Ubay bin Ka‘ab tentang kapal yang dirosakkan Khadir:
    1. dalam riwayat muslim:

      وفي قصة موسى والخضر من حديث أُبي بن كعب رضي الله عنه: «وكان وراءهم ملكٌ يأخذ كل سفينةٍ غصبًا، فإذا جاء الذي يسخِّرها وجدها منخرقةً فتجاوزها، فأصلحوها بخشبة

      Di hadapan mereka ada raja zalim yang akan rampas kapal yang elok…
      Jadi bila mari pegawai raja datang periksa perahu, dia tengok, “Ah, perahu rosak – maka dilepaskannya.

      Setelah lepas dari raja zalim tu, tuannya akan baiki baliklah dia punya kapal & selamatlah.

    2. Hadis dalam riwayat Bukhari pula:
      فانتفعوا بها، فإذا جاوزوا أصلحها فانتفعوا بها.
      Jadi apabila melepasi pada raja zalim tadi, dia betulkan balik perahunya dan dapat digunakan dengan sempurna kembali.

وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا ‎﴿٠٨﴾

Ayat 80- {Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.} (Al-Kahfi 18:80)

  1. Ayat ini menyatakan bahawa budak yang dibunuh oleh Khadir itu:
    1. kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman,
    2. maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
  2. Kata ulama’: Perkataan Ghulam {ٱلْغُلَـٰمُ} boleh digunakan untuk budak lelaki yang sudah baligh atau belum baligh.
  1. Tetapi dalam ayat ini majoriti ulama’ tafsir kata budak ini belum baligh lagi kerana itu Nabi Musa berani mengatakan bahawa budak itu adalah seorang jiwa yang suci {نَفْسًۭا زَكِيَّةًۢ}.
  2. ada juga seorang ulama’ al-Kalbi yang berpendapat bahawa Ghulam itu telah baligh – wallahu a’lam.
  3. Nota [759] Yakni sebabnya Nabi Khidir a.s membunuh pemuda itu, kerana diketahuinya – dengan ilham dari Allah Ta’ala bahawa si anak itu kafir lagi jahat, yang akan mempengaruhi ibubapanya yang beriman, melakukan kejahatan dan kekufuran.

Perasaan kasih sayang mereka kepadanya akan menyebabkan mereka terdorong menurut kemahuannya yang salah itu.

  1. Kisah pemuda yang dibunuh Khadir dalam hadis kata:

وَفِي قِصَّةِ مُوسَى وَالْخَضِرِ مِنْ حَدِيثِ أُبَيٍّ: وَأَمَّا الْغُلَامُ فَطُبِعَ يَوْمَ طُبِعَ كَافِرًا

Budak ni telah digazet oleh Allah S.W.T dalam ilmu-Nya, dia akan jadi kafir.
Hadis dalam Muslim.

Dalam riwayat Sa‘id bin Jubair, katanya:
وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ كَافِرًا وَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ.
Budak itu kafir walaupun ibu bapa dia beriman. Boleh jadi begitu? Boleh.

Ini yang kita bimbang hari ni. Ibu bapa baik, jjuruh, solat, jemaah di masjid, duduk dengar kuliah sentiasa tetapi anak-anak kita tak tahu duk mana.

Anak-anak muda menengah, kita hantar ke negara kafir di Eropah mana, pastikan diberi asas agama yang mantap dan kukuh dulu!

Lebih baik lagi hantarlah di dalam negeri atau negara-negara Islam yang insya’ Allah terjaga aqidah dan pergaulan anak kita!

Lebih bimbang jatuh cinta dengan non muslim pula – kita kata kalau Mat Saleh masuk Islam, alhamdulillah kita akan dapat pahala besar. Tapi kalau Mat Melayu jadi Mat Saleh, macam mana pula? Allahu al-Musta’an.

  1. Maka Khadir membunuh budak itu berdasarkan khasyafnya bahawa apabila dia besar, budak itu akan menjadi kafir dan dibimbangi akan merosakkan & mempengaruhi ibu bapanya menjadi orang tidak baik atau kafir terus.

    *Khasyaf ini samada Allah yang kata atau Khadir yang kata – ulama’ berselisih pendapat juga – wallahu a’lam yang penting Allah sebut dalam al-Quran supaya kita tahu!

  2. Dalam hadis Ubai pula:
    Allah Taala telah mengetahui bahawa dia akan menjadi kafir, sedangkan kedua-dua ibu bapanya sangat menyayanginya.

فَلَوْ أَنَّهُ أَدْرَكَ لَأَرْهَقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا

Kalau dia sempat membesar, budak ini akan menyebabkan kedua-dua ibu bapanya terjerumus kepada ṭughyan dan kekufuran. [HR Muslim].

ii- Dalam riwayat yang lain disebut:
أَنْ يَحْمِلَهُمَا حُبُّهُ عَلَى أَنْ يُتَابِعَاهُ
Maksudnya, kerana kedua-dua ibu bapanya terlalu sayangkan budak ini, kasih sayang mereka kepadanya boleh menyebabkan mereka mengikutinya.

Ini boleh berlaku kepada kita juga, para jemaah sekalian.

Bahayanya apabila terlalu menyayangi anak sehingga anak sudah tidak boleh ditegur.

Apa sahaja yang anak buat dibiarkan kerana terlalu sayang.

Kalau sampai membawa kepada kekufuran, ini sangat bahaya.

  1. Jika budak itu sudah besar dan memang kafir tak apalah – tetapi kenapa Khadir bunuh budak yang masih kecil dan belum kafir itu?

Jawapan:

  1. Ini kerana berdasarkan wahyu atau ilham yang Allah berikan kepadanya; Khadir memilih untuk menyekat pintu atau membuang mudharat yang lebih besar iaitu anak itu akan menjadikan kedua ibu bapa yang mukmin menjadi kafir!
  2. Yang dipilih Khadir adalah mudharat yang lebih ringan iaitu membunuh budak itu sebelum dia besar & menjadi kafir serta mengkafirkan juga ibu bapanya!

فَأَرَدْنَا أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا ‎﴿١٨﴾

Ayat 81- {Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya.} (Al-Kahfi 18:81)

  1. Khadir berdoa & mengharapkan kedua ibu bapa itu akan mendapat ganti dari Allah – daripada anak yang kafir dan buruk perangai akan mendapat anak yang lebih solah & baik jiwanya, lebih mesra kasih-sayangnya kepada mereka!
  2. Nota [760] Yakni anak yang beriman dan berakhlak mulia.
  3. Kisah ini sebagaimana dalam hadis Ubai yang panjang: أَنَّهَا أُبْدِلَتْ جَارِيَةً. Iaitu anak yang Allah Taala gantikan itu bukanlah anak lelaki, tetapi جارية, iaitu anak perempuan.
  4. Hadis menyatakan bahawa Allah Taala menggantikan anak lelaki yang buruk perangai tadi, yang telah dibunuh itu dengan seorang anak perempuan yang solehah dan baik perangainya! Masya-Allah, tabarakallah. [HR Bukhari].
  5. Dikatakan budak itu namanya شَمْعُون (Sham‘un) dan ada juga yang mengatakan namanya حَيْسُون (Haysun).

Awas ini adalah nama yahudi & dalam riwayat hadis tidak disebut namanya.
Tetapi dalam cerita-cerita Israiliyyat, kadang-kadang disebut nama budak ini.

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا ‎﴿٢٨﴾

Ayat 82- {Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.} (Al-Kahfi 18:82)

  1. Kisah ketiga pula tentang tembok yang dibaiki Khadir daripada runtuh itu adalah begini kisahnya:
    1. ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; yakni harta di kampung itu tetapi anak yatim berada di tempat lain.
    2. dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka;
    3. dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.
  2. Kerana bapanya adalah orang soleh yang diredai Allah maka Allah hantar dua orang nabi untuk menyelamatkan harta mereka. Inilah puncanya-
    {وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًۭا}
    masya Allah kerana dia orang baik Allah akan jaga anak-cucu keturunannya!
  3. Ulama’ tafsir kata: Kata Ibnu Juzai : Ibu bapa di sini adalah datuknya yang ketujuh lagi kemudian ibu bapa juga orang soleh!

    Datuk yang soleh yang dahulu itu menyebabkan cucu-cucu ini dijaga oleh Allah s.w.t- Allahu Akbar.
    Mari kita berpakat menjadi orang soleh!

  4. Tapi kata Ibn Jarir:
    وَهُوَ يُرَجِّحُ أَنَّهُ الْأَقْرَبُ.
    Kalau tengok pada lafaz ini, ibu bapanya sendiri juga orang soleh.

Kita kata tak pelik – ibu bapa orang soleh, datuk dia yang ketujuh juga orang soleh!

Orang soleh berketurunan solehin, anak cucu dia dijaga oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

  1. Maka Allah mahu budak ini besar dulu supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu!

Ini adalah sebagai satu rahmat dari Tuhan kepada mereka – tungu mereka besar supaya dapat memiliki dan mentadbir sendiri harta mereka itu!

*Itu adalah rahmat daripada Allah kerana sebab ibu bapa dia orang soleh. Masya-Allah.

  1. Kemudian Khidir menyatakan sekali l;agi kepada Nabi Musa bahawa:
    وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي-
    bahawa semua yang aku buat tadi bukan dengan kehendak aku.
    Aku buat dengan perintah Allah s.w.t.
  2. Itulah penjelasan terhadap perkara yang kamu tidak mampu untuk bersabar
    {ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا}.
    Kalau kamu sabar, banyak lagi aku nak cerita kepada kamu. Tapi cukuplah setakat tiga keuzuran diberikan, apa boleh buat sekarang tiba saat perpisahan kita berdua.
  3. Nota [761] Yakni segala perkara yang aku akan lakukan, yang pada zahirnya menimbulkan kemusykilan, tidaklah aku melakukannya menurut fikiranku semata-mata, bahkan dengan perintah Allah Ta’ala, kata nabi Khidir a.s. Dengan ini berakhirlah kisahnya.
  4. Dalam ayat ini kita dapat lihat perbezaan perkataan engkau tidak mampu {لَمْ تَسْطِع} – sedangkan sebelum ini Khadir kata {لَمْ تَسْتَطِع} kamu tidak akan mampu.

Ini kerana dalam ayat ini Musa telah mengetahu sebabnya – maka apabila mengetahui sebab – ringanlah atau hilanglah tanda-tanya.

إِذَا عُرِفَ السَّبَبُ بَطَلَ الْعَجَبُ –

Bila kita tahu sebab, perkara yang pelik pun hilang.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 79- {Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut;}
    Allah kata kapal itu kepunyaan orang miskin!

Siapakah orang miskin ini:
Mereka ada kerja, ada gaji, ada upah, ada hasil, tapi tak cukup. Maka kita boleh bantu dia.

Contohnya dia kerja gaji atau upahnya RM1000 sebulan dan anaknya ada sepuluh orang – pastilah tak cukup perbelanjaannya!
Jadi kita boleh beri lagi zakat kepada dia kerana dia masih lagi asnaf miskin.

Manakala orang fakir pula; Mereka yang tiada langsung harta, tak ada kerja, miskin tegar ataupun tidak mempunyai apa-apa.

Maka di sini orang mengatakan:
المِسْكِينُ أَصْلَحُ حَالًا مِنَ الْفَقِيرِ

Orang miskin lebih baik keadaannya daripada orang fakir.

Dua-dua itu susah, tetapi orang miskin ini lebih baik sedikit sebab dia ada kerja, ada pendapatan, boleh angkat sampah, buat kerja-kerja dan sebagainya.

Dan ayat ini juga menunjukkan bahawa mencari rezeki di lautan adalah dibolehkan.

  1. Ayat 79- {… oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya,}

Khadir merosakkan perahu orang miskin itu tanpa memberitahu atau minta izin terlebih dahulu kepada tuannya!

Jadi kata ulama: Ini menjadi dalil bahawa apabila kita hendak menjaga harta orang untuk kemaslahatan dia, boleh kita rosakkan kalau perlu.

Matlamatnya, dia tahu kezaliman raja. Kalau dia tak rosakkan perahu ini, kena rampas.
Lalu dia pecah, tebuk papan. Nampak perahu itu rosak, raja tak akan ambil.

Kata Abu Anas – contoh hakikat semasa: Apabila berlaku kebakaran atau berlaku kejadian musibah; kadang-kadang pihak penyelamat, bomba atau polis terpaksa pecah rumah seseorang sebab nak masuk menyelamat.

Jadi tuan rumah tak boleh marah jika pintu rumahnya rosak sedikit!
Mana lebih baik rosak pintu rumah ataupun rumah habis terbakar?

Jadi kita kata, boleh rosakkan pintu atau tebuk dinding daripada habis rosak semuanya
Kalau kereta, contohnya ada anak terkunci dalam kereta. Dua puluh minit lagi, setengah jam lagi boleh mati lemas. Jadi kita boleh pecahkan cermin kereta untuk selamatkan anak itu, tak perlu nak pergi cari kunci dengan tuannya yang entah di mana.

Jadi perbuatan ini dibolehkan atas dasar maslahat yang lebih besar untuk menjaga harta atau keselamatan orang, kita boleh rosakkan sesuatu demi kemaslahatan yang lebih besar.

Menghidupkan dan menjaga hak orang lebih baik daripada kita mensia-siakan hak orang.

Maka walaupun kapal itu dirosakkan oleh Khidir, tetapi selamatlah kapal itu daripada diambil oleh raja perampas.

  1. Ayat 80- {Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman,… َ
    أَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ}
    adapun budak yang dibunuh oleh Khadir tadi – ibu bapa mereka adalah dua orang yang beriman dan soleh.

Mak ayah dia orang soleh. Maka Allah Ta‘ala nak selamatkan ibu bapa dia, maka dia kena gugurkan anak.

Ulama fiqah kata, doktor boleh gugurkan anak dalam kandungan untuk menyelamatkan ibu.

Ini jika dengan pandangan doktor pakar yang muslim dan lebih daripada seorang bahawa jika anak itu membesar dalam kandungan, mungkin akan menyebabkan kematian atau penyakit kepada ibu.

Maka ulama fiqah kata, Doktor boleh gugurkan anak itu untuk menyelamatkan mak dia.

Sebab mak dia itu lebih utama sedangkan anak itu baru. Itu satu daripada perbahasan yang dibahaskan oleh para ulama.

Itu yang pertama – Anak dia boleh dibunuh untuk menjaga iman mak ayah dia yang sudah Islam.

Yang kedua, dia panggil bab سد الذرائع.
Nak menutup pintu yang membawa kepada kerosakan.

Jadi budak ini apabila besar nanti akan membawa mudarat yang besar, maka kita sekat pintu kerosakan.

Macam AAM sebut tadilah dalam contoh tadi, hari ini kita terlalu sayangkan anak, biarkan bebas hantar belajar samada dalam negara, luar negara, tanpa bekalan dan iman yang mencukupi!

Maka سد الذرائع, cegah pintu-pintu yang boleh merosakkan; jangan biarkan anak-anak lepas bebas tanpa bimbingan dan didikan agama yang kukuh.

  1. Ayat 82- {Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.}

Allah hantar dua orang Nabi untuk melindungi harta anak yatim itu.

Kenapa?
Jawapannya kerana:
{وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا}
Sebab ibu bapa dia orang soleh, orang baik-baik. Yang menyebabkan berkatnya kesolehan anak-anak kita jadi baik.
Berkatnya kesolehan tok nenek, cucu-cicit jadi baik.

Maka di sini, para jemaah sekalian, marilah kita jadi orang yang baik. Ibu bapa kena jadi orang baik, kena soleh, kena mengaji banyak, baca zikir banyak, istighfar banyak, sedekah banyak, duduk di masjid.

Insya-Allah, dengan doa kita, kesolehan kita, anak cucu kita akan jadi baik.
Kadang-kadang perbuatan kita ini dia sampai kepada cucu, nak suruh cucu jadi baik.

  1. Diceritakan dalam kalangan ulama salaf ada yang amat kuat ibadat & solatnya.
    Dia ditanya: “Kenapa kuat sangat beribadat ini?”
    Dia menjawab: “Aku beribadat ini supaya anak cucu aku jadi baik.”
    Kerana Allah sebut dalam al-Quran:
    وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا.
  2. Diceritakan ketika Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, dekat dengan kematiannya, orang tanya dia: “Apa yang kamu tinggalkan pada anak-anak yang masih kecil-kecil ini?”
    Umar ini muda lagi sudah mati, dia memerintah sebagai khalifah selama dua tahun lebih.

Dia kata: “Aku tak tinggal apa-apa harta.
Tetapi
إِنْ كَانُوا صَالِحِينَ فَاللَّهُ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ
Kalau mereka orang baik, Allah akan jaga orang baik.

Jadi oleh kerana Umar orang baik, Allah jaga anak cucu dia.
Akhirnya, selepas Sayyidina Umar mati lama, anak dia besar. Anak dia pula menjadi orang soleh. Anak dia pula kaya-raya, mengeluarkan zakat. Anak khalifah yang dahulu, walaupun ditinggalkan harta yang banyak, akhirnya ada yang jadi miskin.

Tengok, besarnya peranan ayah yang soleh

  • .وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا
    Allahu Akbar!

Tadi kita sebut dah contoh, bila nak rosakkan harta digunakan:

  1. Khadir kata: Aku yang mahu merosakkannya- فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا
  2. Bila benda baik, dia kata: فَأَرَادَ رَبُّكَ – Allah nak jaga harta benda.

Begitulah kita kena beradab dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, jangan duduk buat benda-benda yang tak baik.

  1. Ayat 82- {Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.}

Sebagai penutup kepada kisah ini-Ini cerita yang Allah Ta‘ala ceritakan kepada Nabi s.a.w.
Nabi s.a.w cerita pula kepada sahabat-sahabat dalam hadis al-Khadir yang panjang diceritakan oleh Ubai bin Kaab R.A dan dikeluarkan oleh imam Bukhari dan Muslim, hadis sahih.

Allah Ta‘ala ajar kepada Nabi s.a.w supaya sabar.
Jangan cepat nak marah apabila kafir mendustakan Nabi.

Tengok bagaimana kisah Nabi Musa dengan Khidir – Kalau Nabi Musa sabar, banyak dia dapat faedah.

Nabi sendiri kata:
لَوْ صَبَرَ مُوسَى لَرَأَى الْعَجَائِبَ –
Kalau Musa sabar, dia akan tengok banyak lagi benda-benda pelik.

Tapi apa boleh buat, kadang-kadang kita ini tak sabar.

Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita.

Mudah-mudahan apa yang kita sampaikan di sini ada manfaatnya kepada para jemaah sekalian.

Apa yang kita belajar ini menambahkan keimanan kita kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

Apa yang kita belajar ini menjadikan adab kita lebih baik; beradab kita dengan Allah, beradab kita sesama makhluk.

Insya-Allah kita sambung esok dengan ayat 83, cerita Zulqarnain.

Wallahu a’lam.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas