Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
← Surah Al-Kahfi · Nota 32/32 · Ayat 107–110
Saiz

Surah Al-Kahfi: Ayat 107-110

Syurga Firdaus Bagi Mukmin, Luasnya Ilmu Allah S.W.T, Nabi Seorang Manusia & Ikhlaskan Amalan

Live Kuliah Pagi Ahad 30/08/2026 – 17 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (32) Ayat [107-110]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah al-Kahfi dengan ayat 107 sehingga ayat 110 dalam juzuk keenambelas.
  2. Ini adalah siri ke-32 dan terakhir bagi surah al-Kahfi ini.

Untuk rekod kita: Kuliah tafsir & tadabbur al-Quran selepas Subuh bagi kali kedua ini bermula pada 30hb Ogos 2023 bersamaan 13 Safar 1445 iaitu 3 tahun, alhamdulillah kita telah lalui separuh dari al-Quran dalam masa 3 tahun/ Semoga kita istiqomah & dapat beramal dengan al-Quran.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan syurga Firdaus dan segala nikmatnya disediakan bagi orang mukmin sebagai tempat kembalinya.

Ya Allah jadikan semua layak untuk menjadi penghuni Jannatul-Firdaus ini.

  1. Kemudian Allah nyatakan luasnya ilmu Allah s.w.t dan buat analogi jikalah air seluruh lautan ini dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Allah- akan kering lautan tak cukup untuk menulisnya!
    Jika dibanding dengan ilmu manusia lagilah tak terbanding!
  2. Pada akhir ayat Allah ingatkan sesiapa yang mahu berjumpa Allah maka hendaklah murnikan tauhid kepada Allah dan ikhlaskan amalan kepada-Nya.
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    Sebagaimana uslub al-Quran apabila ada ancaman (ترهيب) pasti ada galakan (ترغيب), jika ada janji buruk (الوعيد) pasti ada janji baik (الوعد) , jika ada sifat buruk & negatif pasti ada pula contoh sifat yang baik dan positif!

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang sifat orang kafir dan orang yang rugi amalannya sesat dari petunjuk Allah!

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan keadaan orang yang beriman supaya nyata perbezaan antara dua kumpulan itu.
Kamu pilihlah mahu yang celaka atau yang bahagia!!!!

iii- dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa orang kafir telah ditunjukkan neraka di hadapan mata mereka sebelum masuk ke dalamnya lagi; ini adalah ancaman & janji buruk;

iv- maka datang ayat ini memberi kita galakan untuk beriman & beramal soleh kerana di Akhirat kelak ada syurga dan segala nikmatnya yang menanti!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا ‎﴿٧٠١﴾‏

Ayat 107- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).} (Al-Kahfi 18:107)

  1. Allah tegaskan bahawa bagi orang yang beriman & beramal, amalannya pula yang ikhlas dan bertepatan dengan ajarah al-Quran & Nabi s.a.w; maka Allah sediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu yang serba mewah.
  2. Ulama’ telah menegaskan bahawa asal amalan itu nak jadi soleh kena ikut yang Nabi s.a.w.
    Ingat- asal dalam ibadat semua perkara tidak boleh buat kecuali ada dalil nas Syarak.

Jika hanya ikut orang ramai yang pakat buatnya maka itu bukan dalil selagi tidak bertepatan dengan Syari’ah.

  1. Apakah syurga Firdaus {جَنَّـٰتُ ٱلْفِرْدَوْسِ} itu? Ada beberapa pendapat ulama’:

i- nama yang dipanggil bagi semua syurga;
ii- ada yang kata syurga yang paling tinggi sekali darjatnya nama Firdaus.

iii- kerana asal kalimah Firdaus maksudnya kebun atau taman.

iv- kata ad-Dahak: ia adalah kawasan syurga yang penuh pokok-pokok.

*Yang masyhurnya ialah Syurga yang paling tinggi dan paling afdhal! Ini kerana syurga itu berbeza tingkatannya!

  1. Hadis- Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ، أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ».

Maksudnya “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan bagi orang-orang yang berjihad pada jalan Allah. Jarak antara dua darjat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah kepada-Nya al-Firdaus. Sesungguhnya ia adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya terdapat ‘Arasy al-Rahman, dan daripadanya terpancar sungai-sungai syurga.” [Sahih al-Bukhari 2790]

خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا ‎﴿٨٠١﴾

Ayat 108- {Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.} (Al-Kahfi 18:108)

  1. Berapa lamakah kita akan berada di dalam syurga ini?
    Allah nyatakan ahli syurga kekal di dalamnya selama-lamanya tidak akan keluar lagi darinya!
  2. Ahli syurga juga sesekali tidak akan ada perasaan atau keinginan untuk keluar atau pindah darinya selama-lamanya!
  3. Nota [782] Orang-orang yang beriman dan beramal salih dalam dunia ini, akan dikurniakan oleh Allah Ta’ala dengan sebaik-baik balasan pada hari akhirat kelak serta ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat yang tidak terperi.

Mereka tinggal kekal di dalam Syurga itu selama-lamanya.

Syurga itu pula berperingkat-peringkat, orang-orang yang tinggi sekali darjat amalnya akan ditempatkan pada peringkat Syurga yang setinggi-tingginya.

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ‎﴿٩٠١﴾

Ayat 109- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.} (Al-Kahfi 18:109)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah nyatakan dalam surah al-Kahfi ini banyak pengajaran & keterangan bermula dengan kisah Ashab al-Kahfi, pemilik kebun yang binasa, kisah pengembaraan Nabi Musa & Khadir dan akhir sekali kisah pengembaraan Zulqarnain.

ii- maka datang ayat ini Allah nyatakan keadaan al-Quran al-Karim sebagai Kalamullah, kata-kata Allah yang amat sempurna.

  1. Sabab nuzul ayat ini: Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما:

Puak Quraisy pergi jumpa Yahudi di Madinah. Mereka berkata: “Bagi kepada kami peluru yang boleh kami tanyakan kepada lelaki ini. Aku nak pergi tanya lelaki ini, dia mengaku tahu benda pelik ini.”

Jadi musyrikin Makkah yang tidak percaya minta bantuan daripada Yahudi, nak pergi tanya Nabi صلى الله عليه وسلم soalan yang mereka sangka Baginda tidak akan dapat menjawabnya.

i- Maka soalan pertama yang ditanya ialah: {قالوا: سَلُوهُ عَنِ الرُّوحِ}.
“Kamu tanya dia tentang roh.”
Lalu Allah turunkan ayat Surah al-Isra’, ayat 85:

{وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا}

Mereka tanya tentang roh.
Allah سبحانه وتعالى jawab: Roh itu urusan Tuhan- Dia tidak berikan ilmu tentangnya kepada manusia kecuali sedikit.
Manusia ini kalau ada roh hidup, lepas itu mati.

Mereka yahudi berkata lagi:

قَالُوا: أُوتِينَا عِلْمًا كَثِيرًا، أُوتِينَا التَّوْرَاةَ، وَمَنْ أُوتِيَ التَّوْرَاةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا.

Allah Taala bagi pada kami ilmu yang banyak. Diberikan pada kita Taurat. Kalau siapa dia ada kitab Taurat, dialah paling banyak ilmu.
Lalu Allah Taala turunkan ayat al-Quran ini:

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي

Ada ilmu sebanyak mana kamu? Kalau lautan menjadi tinta dakwat nak tulis kalimah Allah, habis kering laut, tambah laut lagi pun tak cukup. Maka tak usah nak tunjuk pandailah kamu yahudi!

رواه الترمذي والنسائي وأحمد، واللفظ له، وصحح إسناده الذهبي وابن حجر

Hadis ini riwayat at-Tirmizi, An-Nasa’ie & Ahmad- hadis sahih.

  1. Nota [783] “Kami” di sini maksudnya:
    Allah Ta’ala.
  2. Katakan wahai Muhammad s.a.w: Kalaulah lautan dijadikan tinta dakwat untuk menulis kalimah Allah, tidak akan cukup untuk untuk menulis semua itu. Walaupun di bawa lautan lain untuk menambahnya; masih tetap tidak mencukupi untuk menulis Kalimah-kalimah Allah itu!

Banyak dan luas kalimah Allah maka tak perlu kamu nak cabar Allah.

  1. Kenapa tak akan habis kalimah Allah ini?
    i- Kata Syeikh Ras’ani:
    وَإِنَّمَا لَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ اللهِ.
    Sesungguhnya tak akan habis kalimah Allah, kerana hakikatnya berkata-kata salah satu sifat daripada sifat-sifat Allah- (الكلام صفة من صفاته)

ii- Sebab sifat Allah Taala itu berkata-kata (كونه متكلماً) sebagaimana mazhab rasmi di sini.

Allah Taala itu berkata-kata. فلا يتطرق إليه نفاد. Jadi Allah Taala itu sifat-Nya berkata-kata, maka tak akan habis kata-kata Allah.

iii- كونه متكلماً- Allah Taala itu berkata-kata.
يتكلم متى شاء وإذا شاء.
Allah Taala bercakap bila Dia nak & apa yang Dia nak kata, itulah Allah s.w.t.

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} [Luqman: 27].
  2. Hadis yang panjang riwayat daripada Ubai bin Ka‘b R.A. antaranya:
    Ketika Nabi Musa bersama Khadir berada di atas perahu di tengah lautan; datang seekor burung mengambil air laut dengan paruhnya, Khaḍir berkata kepada Musa AS:

فَجَاءَ عُصْفُورٌ، فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ، فَنَقَرَ فِي الْبَحْرِ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ، فَقَالَ لَهُ الْخَضِرُ: يَا مُوسَى، مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا كَنَقْرَةِ هَذَا الْعُصْفُورِ فِي الْبَحْرِ.

Makna: Kemudian datang seekor burung lalu hinggap di tepi kapal. Burung itu mematuk air laut sekali atau dua kali.
Maka al-Khaḍir berkata:
“Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu jika dibandingkan dengan ilmu Allah melainkan seperti air yang diambil oleh burung ini daripada lautan.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

**Maksudnya, ilmu manusia walaupun setinggi ilmu para nabi, amat sedikit jika dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah S.W.T yang tidak bertepi.

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا ‎﴿٠١١﴾‏

Ayat 110- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.} (Al-Kahfi 18:110)

  1. Munasabah ayat yang jelas:
    i- apabila Allah nyatakan betapa sempurnanya Kalimah Allah dan betapa luasnya ilmu Allah;

ii- datang ayat ini mengajar kepada Nabi s.a.w untuk tawadhuk, mengiklankan bahawa dirinya sebagai manusia ada anak isteri & keluarga. Tetapi dia juga manusia yang istimewa yang diberikan wahyu oleh Allah!

  1. Antara perkara pelik dan bodohnya manusia kafir ini- Nabi sebagai seorang manusia mereka tidak boleh terima, tetapi batu kayu patung yang tidak bernyawa tidak bergerak itu boleh pula mereka lantik menjadi Tuhan mereka!!!!

Begitulah apabila guna akal sendiri dalam hal agama tidak akan cerdik terus!!!!

  1. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menjawab kepada puak kafir yang mendustakannya bahawa aku adalah seorang manusia, anak Adam seperti kamu juga!
    Mereka datang pertikaikan Nabi s.a.w untuk menjatuhkan Baginda, tetapi Allah batalkan hujjah mereka itu!
  2. Yakni Allah s.w.t beri wahyu kepada Nabi s.a.w untuk sampaikan kepada kamu semua bahawa sembahan kita hanya Allah semata-mata- Allah s.w.t Yang Esa yang Tunggal- jangan sesekali nak mensyirikkan Allah.
  3. Maka siapa yang beriman dan percaya kepada Allah serta berharap untuk bertemu dengan Allah di Akhirat kelak hendaklah; hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w.
  4. Kemudian selepas melakukan semua itu ingatlah; janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya, Jangan bercampur sembah Allah & sembah benda lain!
    Minta dengan Allah terus tak perlu ada perantaraan takut nanti terbabas dari batasan iman!
  5. Untuk orang kafir jangan syirik terus. Manakala orang beriman jangan riya’ dalam ibadat kamu, kerana sesiapa yang buat amalan dengan niat nak tunjuk kepada orang (riya’) maka ia termasuk dalam syirik yang tersembunyi!
    Kena beramal dengan betul & ikhlas.
  6. Hadis qudsi riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم:
قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ، مَنْ عَمِلَ عَمَلًا أَشْرَكَ فِيهِ مَعِيَ غَيْرِي،
تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda bahawa Allah تبارك وتعالى berfirman:
“Aku adalah Zat yang paling tidak berhajat kepada sebarang sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan lalu dia menyekutukan Aku dalam amalan itu dengan selain-Ku, maka Aku tinggalkan dia bersama kesyirikannya itu.” [HR Muslim, no. 2985].

*Dalam riwayat Ibn Majah terdapat lafaz yang lebih jelas pada penghujungnya:

فَأَنَا مِنْهُ بَرِيءٌ، وَهُوَ لِلَّذِي أَشْرَكَ

Maksudnya: “Maka Aku berlepas diri daripadanya, dan amalan itu adalah untuk pihak yang dia sekutukan dengan-Ku.”
Wallahu a’lam.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 107- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).} – bagi orang yang beriman dan beramal soleh balasan syurga Firdaus bagi mereka.

Ayat ini jelas- bagi orang beriman & beramal soleh!
Ia adalah lawan dan keadaan sebaliknya kepada ayat 102 sebelum ini iaitu tentang keadaan orang kafir.

Begitulah jelas kepada kita daripada ayat ini:
i- uslub al-Quran- ada amaran (ترهيب) dan galakan (ترغيب)

ii- dan begitu sifat Nabi s.a.w sebagai pemberi khabar gembira (بشيرا) & pemberi amaran (نذيرا) bagi manusia atas dunia ini!

Perbandingan ini supaya orang beriman tenang, tidak akan lari & tidak lupa bahawa; jika buat baik syurga tempatnya dan jika buat tak baik pula- nerakalah balasannya.

Allah sendiri yang nyatakan bagi orang yang beriman & beramal soleh maka bari mereka syurga Firsaus (جَنَّـٰتُ ٱلْفِرْدَوْسِ) yang tertinggi!

Ya Allah layakkan kami untuk menjadi ahli syurga Firdaus-Mu!!

  1. Ayat 108- {Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.}– kekallah penghuni syurga tak mahu keluar lagi dari syurga!

Kata ulama’ tadabbur seperti al-Biqa’i: Ayat ini untuk menolak sangkaan atau agakan; kita hidup atas dunia ini ada tempoh, kita manusia & semua yang bernyawa akan mati, barang-barang kita rosak.

Manusia ini mudah jemu dan bosan dengan mana yang sama atau duduk setempat walau mewah setara manapun tempatnya!

Jadi apakah nikmat dalam syurga juga ada tempohnya???
Apakah ahli syurga juga akan jemu & bosan???

Jawapannya: Tidak sesekali- nikmat dalam syurga tidak akan ada pengakhiran dan ahli syurga tidak akan berasa jemu dan puas selamanya.

Nikmat semata-mata tiada kesusahan, kejemuan, kebosanan, keletihan dan semua yang tidak baik dan tidak seronok itu!

  1. Ayat 109- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku,..]-

Allah kata jika segala air laut atas dunia ini menjadi tinta dakwat untuk menulis kalimah Allah tidak akan cukup!

Nak cukup macamana kerana sifat Allah adalah berkata-kata (كونه متكلماً).

Dalam ayat ini Allah bezakan dakwat yang menulis kalimah Allah ini dengan kalimah Allah sendiri iaitu:

i- dakwat yang menulis adalah makhluk;
ii- sedangkan kalimah Allah itu adalah Kalamullah yang bukan makhluk.

*Panjang perbahasan tentang ini.
Yang penting kita nak nyatakan bahawa ilmu Allah sangat luas dan bawa ayat ini supaya kita faham akan betapa luasnya ilmu Allah Azza wa Jalla- jika ayat satu lagi yang menyatakan tujuh buah lautan pun tak cukup!!!

Jangan kata ada ilmu yang Allah tak tahu! Jangan kata Allah hanya tahu & buat hukum-hakam tentang solat, zakat dan haji sahaja tetapi dari segi perundangan- parlimen dan enakmen tertentu lebih tahu! NO!! Tidak sama sekali.

Kerana itu ada orang yang membesarkan perundangan ciptaan manusia apatah lagi orang putih yang bukan Islam!
Undang-undang hudud ditolak dan dianggap lapuk ketinggalan & tidak relevan!

Maka yakinlah dengan ilmu Allah- Allah tidak syari’atkan, perundangkan kepada kita kecuali yang terbaik!

Allah yang lebih tahu kehendak & maslahah kita tetapi apa boleh buat manusia ada yang keras kepala nak lawan hukum Tuhan!

  1. Ayat 110- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku…}-

Allah suruh Nabi s.a.w nyatakan bahawa dia adalah manusia biasa keturunan anak Adam- sama seperti manusia lain juga.

Cuma Baginda adalah manusia yang terpilih, yang istimewa daripada manusia lain kerana dia dipilih, dilantik Allah sebagai seorang nabi & rasul Allah, yang diberi wahyu kepadanya.

Tetapi dari sudut kemanusiaan sama seperti manusia lain juga!
Dia makan minum ada keluarga, duduk berjalan ada rumah dan seumpamanya!

Kadang-kadang ada orang yang terlebih sangat nak tunjuk hormatkan Nabi terlebih sangat!

Jangan terlalu mengagungkan Nabi s.a.w secara berlebihan sehingga angkat kepada darjat ketuhanan!

Terbaru ada seorang pendakwah mendakwa dia baca dalam sebuah kitab bahawa Nabi s.a.w tidak lahir dari perut ibunya seperti melalui jalan biasa seperti manusia biasa lain keluar melalui rusuk ibunya!
Kenapa dibenarkan bawa masuk kitab yang karut yang penuh dengan hadis palsu tentang Nabi s.a.w!

Kita semua sayang kepada Nabi s.a.w tetapi sayang kita adalah dengan ikut, iitiba’ ajaran dan amalan Nabi s.a.w!

Jangan sayang kepada Nabi tunjuk melalui acara dan perarakan saja tetapi Sunnahnya tidak menjadi amalan!

Ada juga sekumpulan yang mendakwan Nabi ini bukan manusia tetapi datang daripada nur- datang dari cahaya pula!

Macam-macamlah apabila tidak ambil yang sahih daripada al-Quran & hadis Nabi s.a.w.

Maka kita berpeganglah dengan ayat al-Quran ini yang mana Tuhan suruh Nabi katakan: {“Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku…}– manusia biasa tetapi istimewa kerana Allah wahyukan kepadanya.

Maka ilmu Nabi s.a.w tak sama dengan ilmu manusia lain kerana dia ada wahyu dari Allah!

Segala perbuatan Nabi s.a.w dibawah jagaan Allah dan kerjanya menyampaikan dakwah, mengajar dan mendidik manusia!

Kerja kita wajib ikut Nabi s.a.w dalam perundangan & Syari’ah dan kita wajib sayang kepada Nabi s.a.w dalam perkara kehhidupan.

DAAM telah menulis sebuah risalah tanda & bukti cinta kepada Nabi s.a.w boleh ambil di sini: link ***

Cinta kepada Nabi adalah dengan ikut bukan dengan mengarut!

Kita ada SOP kita kena cinta kepada Nabi s.a.w dengan ikut apa yang dia ajar!

  1. Ayat 110- { Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.}– siapa yang betul-betul mahu berjumpa Allah; beramallah dengan amalan yang soleh!

Sebagaimana kata Imam al-Fudhail bin ‘Iyad- syarat amalan itu soleh & diterima Allah:
i- ikhlas kerana Allah;
ii- bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w.

*Jika tak ada dua ini takkan jadi amalan soleh!

Ayat ini adalah ayat tauhid, ayat ikhlas kepada Allah.

Allah tutup surah al-Kahfi ini dengan ayat yang sangat mulia ini tentang amalan soleh & ikhlas dan Allah mulakankan dengan kelebihan al-Quran.

Ini kerana jika kita ikhlas saja tak ikut al-Quran & Sunnah tak jadi!

Alhamdulillah hari ini merupakan kali ketiga kita khatam tafsir surah al-Kahfi di Masjid ar-Rahman ini!

Kali kedua dulu sebanyak 19 siri ada dalam buku ini:
Tafsir Surah al-Kahfi
dartaibah.com…

Doa

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami mohon dengan nama-Mu yang Maha Indah, dengan sifat-Mu yang Maha Tinggi, supaya Engkau sentiasa memberi taufik kepada kami.

Engkau hidayahkanlah kami, Engkau bimbinglah kami supaya menjadi hamba-Mu yang benar-benar beriman kepada-Mu.

Ya Allah,
Jadikanlah kami orang yang ikhlas dalam amalan kami, ikhlas dalam pegangan kami, dan orang yang ikut dan cinta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dengan mengikuti ajarannya, bukan mereka-reka ajaran yang tidak diajar oleh Nabi صلى الله عليه وسلم.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami telah mempelajari 32 kuliah dalam siri Tafsir Surah al-Kahfi yang banyak pengajaran dan banyak ibrah; yang mengajar kepada kami erti tawaduk, yang mengajar kepada kami bahawa dunia ini hanya sementara, yang mengajar kepada kami bahawa ilmu-Mu sangat luas, dan yang mengajar kepada kami supaya terus belajar sebagaimana Engkau sebutkan kisah Nabi Musa bersama Khidir.

Ya Allah, hari ini kami tutup ayat ini dengan ikhlas berdoa kepada-Mu, Ya Allah.

Maka curahkanlah ke dalam hati kami keikhlasan, curahkanlah ke dalam hati kami cinta kepada al-Quran, curahkanlah ke dalam hati kami cinta kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم.

Biarlah kami berada di atas landasan yang Engkau redhai.

Biarlah kami berada di atas landasan mengikuti sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم.

Ya Allah, layakkanlah kami untuk melihat wajah-Mu-

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ ۝ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Wajah orang yang beriman bercahaya di akhirat kelak, dapat memandang kepada-Mu, Ya Allah.

Ya Allah, izinkanlah kami, layakkanlah kami, senaraikanlah kami, dua ibu bapa kami, keluarga kami, guru-guru kami dan semua pelajar-pelajar kami di alam nyata dan di alam maya, dalam kalangan orang yang layak memandang wajah-Mu, Ya Allah.

Dan layakkanlah kami ke Syurga Firdaus al-A‘la, Ya Rabbal ‘Alamin.

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا حُسْنَ الْخَاتِمَةِ.
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا حُسْنَ الْخَاتِمَةِ.
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا حُسْنَ الْخَاتِمَةِ.

Ya Allah, anugerahkanlah kami untuk sentiasa mencintai al-Quran, mempelajari al-Quran, mentadabbur al-Quran dan beramal dengan al-Quran.

Curahkanlah dalam hati kami cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, cinta kepada Sunnahnya, jauh daripada mereka-reka ibadah yang tidak disyariatkan-Nya.

Dan jadikanlah kami orang yang layak mendapat syafaat Nabi صلى الله عليه وسلم di akhirat nanti, Ya Arhamar Rahimin.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ.
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
وَصَلَّى اللَّهُ وَسَلَّمَ وَبَارَكَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 30/08/2026 – 17 R. Awwal 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (32 Siri) boleh dilihat di:

Link: Senarai main YouTube…

Link Nota: Facebook

Semoga Bermanfaat!

Kongsi nota ini WhatsApp Telegram
Ada soalan tentang ayat ini? Tanya Dr. Abu Anas