Surah Al-Kahfi: Ayat 65-70
Nabi Musa A.S Bertemu Khadir, Minta Nak Berguru Kena Patuhi Syaratnya & Apakah Khadir Nabi Dan Masih Hidup?

Live Kuliah Pagi Selasa 18/08/2026 – 05 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (22) Ayat [65-70]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 65 sehingga ayat 70 dalam juzuk kelimabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan selepas perjalanannya yang panjang akhirnya Nabi Musa a.s bertemu Khadir hamba Allah yang soleh dan minta nak berguru dengannya.
- Khadir bersetuju dengan memberi syaratnya; nak ikut dia boleh tetapi kena patuhi syaratnya, jangan komen apa-apa.
Nabi Musa menyanggupinya dengan berkata insya’ Allah dia akan cuba patuh. - Kemudian ada dua persoalan yang dibincangkan ulama’ iaitu:
- apakah Khadir seorang nabi atau wali;
- apakah dia masih hidup?
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang nabi Musa yang terlepas batu besar tempat yang dinyatakan Allah sebagai tempat pertemuan mereka.
- dalam ayat ini dinyatakan akhirnya dia bertemu dengan Khadir selepas dia & pembantunya u-turn pusing balik.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ﴿٥٦﴾
Ayat 65- {Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.} (Al-Kahfi 18:65)
Akhirnya Nabi Musa a.s & pembantunya Yusya’ mendapati terdapat seorang lelaki berada di atas batu di tempat ikan mereka hilang dulu.
Lelaki itu menurut ijma’ ulama’ tafsir adalah seorang lelaki soleh yang diberi ilmu oleh Allah, bernama Khadir – berdasarkan hadis-hadis sahih Nabi s.a.w.
- [753] Yakni nabi Khadir a.s menurut Ulama’.
Ulama’ membincangkan pula apakah Khadir ini seorang nabi atau bukan?
Para ulama’ terbahagi kepada dua pendapat. Allah s.w.t telah mengatakan: {… yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami.} – rahmat ini samada (kenabian atau al-wilayah (kewalian).
*Kalau Khadir عليه السلام seorang Nabi, maka kedudukannya ialah maqam kenabian, yang lebih tinggi daripada kewalian.
Kalau dikatakan beliau seorang wali, maka kedudukannya ialah maqam wali.
- Pendapat pertama mengatakan dia adalah seorang nabi.
i- Antara ulama terdahulu yang mengatakan bahawa Khadir عليه السلام ialah seorang Nabi ialah mereka yang dinukilkan dalam tafsir daripada Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan Muqatil.
Oleh itu, berdasarkan pendapat yang kuat ini, kita menyebutnya sebagai Nabi Khadir عليه السلام.
- mereka menafsirkan firman Allah:
﴿آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا﴾
ditafsirkan sebagai:
رَحْمَةُ النُّبُوَّةِ
iaitu “Rahmat kenabian.”
Manakala firman-Nya:
﴿وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا﴾
bermaksud ilmu yang Allah kurniakan kepadanya, iaitu ilmu wahyu daripada Allah عز وجل, bukan semata-mata ilmu biasa. - Antara hujahnya ialah penggunaan lafaz الرحمة dalam al-Quran yang pada beberapa tempat yang menyebut apabila seseorang itu diberi rahmat bermakna diberi rahmat an-Nubuwwah iaitu kenabian sebagaimana firman Allah ini:
{Orang-orang musyrik berkata, “Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang lelaki besar dari salah satu dua bandar (Makkah atau Taif)?”
Allah menjawab bahawa Dialah yang membahagikan rezeki, keperluan hidup dan darjat manusia di dunia supaya mereka saling berkhidmat. Rahmat Allah (kenabian dan keimanan) adalah jauh lebih baik daripada harta dunia yang dikumpul.} [Az-Zukhruf: 31-32].
Maka dalam konteks ini berkaitan dengan wahyu dan pemilihan kenabian.
Maka lafaz rahmat memang digunakan oleh al-Quran dalam konteks tersebut.
Demikian juga lafaz ilmu dalam kisah Nabi Khadir عليه السلام menunjukkan ilmu khusus yang datang daripada Allah, iaitu ilmu wahyu.
- Antara ulama yang menguatkan pandangan bahawa Khadir عليه السلام ialah Nabi ialah Fakhr al-Din al-Razi dalam tafsirnya. Beliau menghuraikan bahawa rahmat tersebut berkaitan dengan nubuwwah, manakala ilmu yang dikurniakan kepada Khadir عليه السلام ialah ilmu wahyu.
Pendapat kedua mengatakan Khadir bukan seorang tetapi seorang hamba Allah yang soleh atau wali, yang terpilih mendapat rahmat & ilmu dari Allah.
Allah tidak sebut dia dapat risalah atau dari kalangan Mursalin!
*Selepas banyak perbincangan panjang para ulama’- pendapat yang mengatakan dia seorang nabi lebih kuat!
Ibnu Asyur r.h pula membawa satu kajian bahawa Nabi Khadir ini seorang yang berumur panjang.
Maka timbul perbincangan apakah dia masih hidup sehingga ke hari ini?
Para ulama berbeza pandangan mengenai persoalan sama ada Nabi Khadir عليه السلام masih hidup sehingga sekarang ataupun telah wafat.
Pendapat pertama:
Sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi Khadir masih hidup.Antara riwayat yang dikaitkan dengan pandangan ini ialah bahawa beliau telah minum daripada suatu mata air yang dikenali sebagai ‘Ayn al-Ḥayah (عين الحياة), iaitu “mata air kehidupan”.
Pandangan atau riwayat berkaitan panjangnya usia Nabi Khadir disebut dalam karya sebahagian ulama, antaranya al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya dan turut dibincangkan oleh para ulama lain.
Namun, sebahagian ulama yang lain berpandangan bahawa Nabi Khadir telah wafat dan tidak lagi hidup hingga zaman sekarang.
Mereka berhujah dengan beberapa dalil, antaranya hadis-hadis Nabi صلى الله عليه وسلم yang menunjukkan bahawa generasi manusia yang hidup pada zaman Baginda tidak akan terus hidup selepas tempoh tertentu.
Asy-Syinqiti رحمه الله membahaskan persoalan ini dengan panjang dalam Aḍwa’ al-Bayan.
Beliau menukilkan pandangan para ulama serta meneliti dalil-dalil kedua-dua pihak.
Antara ungkapan yang dinukilkan dalam perbahasan tersebut ialah:
وَالَّذِي عَلَيْهِ سَائِرُ الْعُلَمَاءِ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ مَيِّتٌ وَلَيْسَ بِحَيٍّ
Maksudnya secara umum: “Pandangan yang dipegang oleh para ulama muhaqqiq ialah bahawa beliau telah wafat dan tidak lagi hidup.”
Antara dalil penting ialah sabda Nabi صلى الله عليه وسلم pada penghujung hayat Baginda:
أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ، فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ
Maksudnya: “Tahukah kamu tentang malam kamu ini?
Sesungguhnya setelah berlalu seratus tahun daripada malam ini, tidak akan tinggal seorang pun daripada mereka yang pada hari ini berada di atas muka bumi.”- Hadis ini menjadi antara hujah kuat pihak yang mengatakan bahawa sekiranya Nabi Khadir berada di muka bumi ketika zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم, maka beliau termasuk dalam keumuman hadis tersebut.
- Kesimpulannya dalam masalah ini memang terdapat khilaf ulama:
- Pandangan pertama: Nabi Khadir masih hidup dan terdapat kisah yang mengaitkannya dengan ‘Ain al-Ḥayah.
- Pandangan kedua: Nabi Khadir telah wafat. Pandangan ini dipilih oleh sejumlah ulama muhaqqiqin berdasarkan dalil-dalil yang mereka anggap lebih kuat.
Maka dalam kuliah ini, kita lebih cenderung kepada pandangan bahawa Nabi Khadir عليه السلام telah wafat, bukan masih hidup sehingga hari ini.
*Penting juga dibezakan: kisah ‘Ain al-Ḥayah tidak sama dengan riwayat sahih dalam Sahih al-Bukhari tentang ikan Nabi Musa عليه السلام yang hidup kembali.
Dua perkara ini jangan dicampurkan.Maka Syeikh asy-Syanqiti merumuskan berdasarkan semua dalil yang ada kita dapat katakan Khadir adalah seorang nabi & dia sudah mati.
*Inilah pendapat yang kita pilih kerana Nabi s.a.w sendiri tidak pernah menyatakan tentang masalah ini!
Wallahu a’lam.- Hadis pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Khadir عليهما السلام.
- Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, diceritakan perjalanan Nabi Musa عليه السلام bersama pembantunya, Yusya‘ bin Nun untuk mencari seorang hamba Allah yang telah dikurniakan ilmu oleh Allah.
- Apabila mereka telah melepasi tempat yang ditetapkan, Yusya‘ teringat tentang ikan yang telah hidup lalu mengambil jalan ke laut.
Maka beliau memberitahu Nabi Musa عليه السلام tentang perkara tersebut.
Nabi Musa berkata: ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ- “Itulah yang kita cari.”
Kemudian Allah berfirman:
“Lalu kedua-duanya kembali semula mengikut jejak mereka.” [Surah al-Kahfi: 64].
- Maksud قَصَصًا di sini ialah mereka kembali dengan menelusuri atau mengikuti semula jejak perjalanan mereka, sehingga sampai kembali ke kawasan batu tempat ikan tersebut hilang.
- Dalam riwayat hadis disebut:
“Maka kedua-duanya kembali dengan mengikuti jejak mereka.” Apabila mereka sampai semula ke batu tersebut, mereka menemui Nabi Khadir عليه السلام.
Dalam sebahagian lafaz hadis, Khadir digambarkan berada dalam keadaan berselimut dengan pakaiannya.
Nabi Musa عليه السلام kemudian memberi salam kepadanya.
Khadir menjawab dengan suatu ungkapan yang masyhur:Lebih kurang maksudnya: “Dari manakah datangnya salam di negeri/tempatmu ini?”
Ini menggambarkan bahawa tempat tersebut merupakan kawasan yang sangat terpencil sehingga Khadir merasa hairan mendengar ucapan salam.
- Kemudian Khadir bertanya:
“Siapakah kamu?”
Nabi Musa menjawab: أَنَا مُوسَى- “Aku Musa.”
Khadir bertanya:
“Musa daripada Bani Israilkah?”
Nabi Musa menjawab: نَعَمْ- “Ya.”
- Nabi Musa عليه السلام sendiri memperkenalkan dirinya: أَنَا مُوسَى — “Aku Musa.”
- Kemudian Khadir memastikan identitinya: مُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ؟
Ini juga menunjukkan bahawa dalam proses menuntut ilmu, kemuliaan seseorang tidak menghalangnya daripada merendah diri dan memperkenalkan dirinya kepada guru yang hendak ditemuinya.
Nabi Musa ialah seorang rasul yang sangat besar kedudukannya, tetapi Baginda tetap datang mencari ilmu dan memperkenalkan dirinya dengan penuh adab.
Kenapa dinamakan Khadir – yang bermakna orang hijau.
Mengapa dinamakan al-Khadir الخَضِر?Ini kerana berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
إِنَّمَا سُمِّيَ الْخَضِرَ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ
Maksudnya:“Sesungguhnya beliau dinamakan al-Khadir kerana beliau duduk di atas suatu kawasan tanah yang putih/kering, lalu tiba-tiba kawasan itu bergoncang (hidup subur) menjadi hijau di belakangnya.”
Jadi, nama الخَضِر (al-Khadir ) berkaitan dengan الخُضْرَة, iaitu kehijauan.
Tempat yang sebelumnya kering atau tidak ditumbuhi tumbuhan menjadi hijau dengan izin Allah apabila beliau berada di situ.
Itulah antara kelebihan nabi Khadir.- Allah juga menyatakan:
﴿وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا﴾
{…dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.} ini adalah antara kelebihan Khadir juga. - Nota [754] Yakni “ilmu Ladunni” iaitu yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada seseorang hamba-Nya dengan jalan ilham.
- Ulama’ membincangkan pula apakah ertinya ilmu ladunni {مِن لَّدُنَّا عِلْمًۭا} ini:
- Daripada ungkapan مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا, para ulama menggunakan istilah العِلْمُ اللَّدُنِّي — ilmu ladunni, iaitu ilmu yang Allah kurniakan secara langsung kepadanya.
Sebahagian ulama seperti Syeikh Ibnul Qayyim memberikan pengertian umum ilmu ladunni dengan ungkapan seperti:
إلهاما هُوَ الْعِلْمُ الَّذِي يَقْذِفُهُ اللهُ فِي الْقَلْبِ
Maksudnya: “Ia ialah ilmu yang Allah campakkan ke dalam hati secara ilham.”
*Dalam pengertian umum, seseorang mungkin diberikan oleh Allah kefahaman, firasat atau ilham tertentu.
Namun, perkara seperti ini bukan wahyu.
Sebab itu, kalau pada hari ini seseorang berkata: “Saya tak perlu belajar dengan guru. Allah terus masukkan ilmu ke dalam hati saya.” Atau: “Saya tahu perkara ghaib kerana saya mempunyai ilmu ladunni.”
Dakwaan seperti ini tidak boleh diterima begitu sahaja.
Lebih-lebih lagi jika dia menggunakan “ilmu ladunni” untuk membenarkan sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.
Ilham seseorang tidak menjadi dalil syarak.Ilmu ladunni ialah ilmu ghaib yang Allah Ta‘ala ajarkan secara khusus kepada Nabi Khadir عليه السلام.
Firman Allah:
﴿وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا﴾.Ada ulama mengatakan bahawa ilmu ladunni ialah ilmu yang khusus berdasarkan nas.
Ia merupakan ilmu khas yang diberikan kepada Nabi Khadir, bukan ilmu nubuwwah yang bersifat umum untuk disampaikan kepada manusia.
Manakala Ilmu Nubuwwah dan risalah perlu disampaikan kerana antara sifat para nabi ialah tabligh, iaitu menyampaikan.
Adapun ilmu ladunni ini bersifat khusus dan eksklusif pada perkara tertentu sahaja.
Contohnya dalam kisah Nabi Khadir, beliau merosakkan kapal dan membunuh seorang budak.
Pada zahirnya, kedua-dua perbuatan ini merupakan perbuatan negatif yang tidak dibenarkan.
Namun, Allah memberikan ilmu khusus kepada Nabi Khadir mengenai perkara tersebut.
Ilmu itu juga hanya berkaitan dengan kes tertentu.
Nabi Khadir tidak boleh membunuh semua kanak-kanak, tetapi hanya budak tersebut.
Beliau juga tidak merosakkan semua kapal, tetapi hanya kapal tersebut.- Maka, ilmu ladunni ialah ilmu khusus yang Allah berikan untuk perkara tertentu, sedangkan ilmu nubuwwah dan risalah ialah ilmu yang bersifat umum untuk disampaikan kepada manusia. Wallahu a‘lam.
Jadi, ilmu ladunni dalam kisah Nabi Khadir tidak boleh dijadikan hujah oleh seseorang untuk berkata: “Saya mendapat ilmu terus daripada Allah, jadi saya tidak perlu mengikuti hukum syariat.”
Kisah Nabi Khadir sama sekali tidak memberi lesen seperti itu bahkan kita kena repot, kena lapor kepada pejabat agama tentang ajaran sesat pula!
- Petikan dari hadis Ubai lagi:
Ketika Nabi Musa عليه السلام bersama Nabi Khadir عليه السلام dan mereka menaiki kapal, Nabi Khadir menjelaskan bahawa masing-masing mempunyai ilmu yang Allah berikan.
Nabi Khadir berkata kepada Nabi Musa عليه السلام bahawa Musa mempunyai ilmu daripada Allah yang Khadir tidak mengetahuinya dan Khadir pula mempunyai ilmu daripada Allah yang Musa tidak mengetahuinya.
Kemudian datang seekor burung kecil lalu hinggap di tepi kapal dan mematuk air laut dengan paruhnya.
Nabi Khadir berkata kepada Nabi Musa عليه السلام:
مَا عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا مِثْلُ مَا نَقَصَ هَذَا الْعُصْفُورُ مِنْ هَذَا الْبَحْرِ
Maksudnya: Sedikitnya ilmu saya dan ilmu kamu jika dibandingkan dengan ilmu Allah adalah seperti air yang diambil oleh paruh burung itu dari laut yang luas ini.”
Kemudian Baginda menyebutkan keseluruhan hadis itu secara panjang lebar.”
[Muttafaq ‘alaih. Riwayat al-Bukhari (122) dan Muslim (2380).]
Ilmu Allah سبحانه وتعالى terlalu luas, sedangkan ilmu yang diberikan kepada makhluk sangat sedikit.
قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ﴿٦٦﴾
Ayat 66- {Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”} (Al-Kahfi 18:66)
Setelah berjumpa nabi Musa terus memperkenalkan dirinya dan meminta untuk berguru dan belajar ilmu dengan Khadir.
Walaupun dia seorang nabi, Nabi Musa sangat hormat kepada Khadir sebagai bakal gurunya!
Nota [755] Menurut hadith (Bukhari): setelah Nabi Musa a.s memberi salam dan mengenalkan dirinya kepada Nabi Khadir a.s, lalu menyatakan hajatnya hendak menjadi muridnya untuk menambah ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
Nabi Khadir menjawab salamnya, lalu berkata: “Tidak cukupkah dengan kitab Taurat yang ada di tanganmu dan wahyu yang selalu turun kepadamu wahai Musa a.s?
Sebenarnya ilmu yang ada padaku tidak seharusnya engkau mengetahuinya dan ilmu yang ada padamu tidak seharusnya aku mengetahuinya”.
Yakni Khadir memberitahu dari awal lagi bahawa ilmunya adalah ilmu khas yang Allah anugerahkan kepadanya.
Ilmu siyasah khas iaitu khas bagi kes itu saja. Manakala ilmu Nabi Musa adalah ilmu Syari’ah bagi bani Israil & ilmu Nabi kita Muhammad s.a.w adalah untuk seluruh makhluk seluruh alam ini!
- Kata Ibnu Asyur: Ilmu yang Musa minta nak belajar ini adalah ilmu khas yang tidak berkait dengan kitab Taurat dan tidak berkait dengan Syari’ah hukum-hakam bagi bani Israil.
Ia adalah ilmu khas untuk kes & situasi tertentu. - Nota [756] Dalam menyatakan hajatnya, Nabi Musa a.s merendah diri dengan adab tertib. Cara inilah yang sayugianya dilakukan oleh seseorang penuntut ilmu kepada gurunya.
قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٧٦﴾
Ayat 67- {Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.} (Al-Kahfi 18:67)
- Mendengar permintaan Nabi Musa itu Khadir terus mengatakan bahawa:
- Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk bersabar dan ikut aku.
- ini kerana kamu akan lihat apa yang aku buat itu pada zahirnya seperti sesuatu perbuatan mungkar & salah lalu kamu akan lawan aku!
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا ﴿٨٦﴾
Ayat 68- {Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?} (Al-Kahfi 18:68)
- Pasti kamu tidak akan dapat bersabar melihat apa yang aku buat berdasarkan ilmu aku – sedangkan ia bercanggah dengan pengetahuan kamu!
Kamu tidak ada ilmu tentang apa yang aku buat! - Nota [757] Yakni sudah tentu engkau tidak akan sabar dan akan membantah apabila engkau melihatku melakukan perkara-perkara yang pada zahirnya tidak patut dilakukan, tetapi pada hakikatnya engkau tidak mengetahuinya.
قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٩٦﴾
Ayat 69- {Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.} (Al-Kahfi 18:69)
Nabi Musa menjawab: Insya’ Allah dia akan menjadi orang yang sabar & tidak akan sesekali membantah sebarang perintah & perbuatan Khadir.
*Kata ulama’: Musa mengatakan insya’ Allah kerana dia sendiri juga tidak yakin akan dapat bersabar!
- Dalam surah ini sudah beberapa kali kita bertemu dengan kisah ucapan insya’ Allah ini – ilmu ini kita jangan lupa & tinggalkan.
- Kita orang beriman begitulah sepatutnya, bercakap dan berjanji jangan over-confident- tengok kiri kanan dulu!
قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٠٧﴾
Ayat 70- {Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.} (Al-Kahfi 18:70)
- Setelah melihat kesungguhan Nabi Musa untuk mengikutnya – Khadir pun setuju sambil memberi syarat kepada Nabi Musa a.s. Mereka buat akujanji sebelum memulakan menuntut ilmu.
- Iaitu jika kamu melihat aku buat sesuatu yang kamu rasa salah, rasa tak kena; diam saja jangan bertanya, jangan bantah jangan kritik dulu, tunggulah sehingga aku sendiri yang menceritakan, menjelaskan hal itu kepada kamu!
Ingat ilmu ladunni bukan ilmu yang main-main ia adalah anugerah khas Allah kepada hamba-Nya seperti Khadir dan lain-lain.
Tetapi ilmu tok guru yang tidak boleh ditegur yang sesat lagi karut ialah ilmu dari sisi syaitan!
- Hati-hati jika ada orang yang mengaku dia ada ilmu ladunni dari sisi Allah tetapi solat pun tidak – jangan pelik tetapi teruslah repot kepada pejabat agama!
Penutup & Faedah
- Ayat 65- {Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.}
Allah sebut ini seorang hamba daripada hamba Aku {عَبْدًۭا مِّنْ عِبَادِنَآ} yang khas.
Yang Allah beri ilmu kepadanya tetapi tidak ada ilmu itu pada Musa.
Setiap orang ada ilmu & kelebihannya yang tersendiri yang Allah anugerahkan!
Musa dia seorang Nabi, dia Rasul, dia Ulul ‘Azmi dari kalangan rasul, yang ada kitab Taurat.
Tapi ilmu yang ada pada Musa tak ada pada Khadir begitu juga sebaliknya.
Jadi, para ulama mengatakan bahawa ilmu manusia tak sama.
Alim setara mana seseorang itu – ada banyak lagi ilmu yang dia tak ada.
Jadi analogi yang paling mudah, contohlah kita kata seorang tuan guru yang berusia boleh baca kitab tafsir, kitab hadis serta pandai mengajar pelbagai kitab lain.
Tapi dia tak pandai ilmu yang berkait dengan internet, app-app video, gajet-gajet baru dan sebagainya!
Maka tak salah untuk dia minta tolong pelajarnya atau orang yang lebih muda, yang mahir dalam bidang tersebut untuk menolongnya!
Jadi, setiap orang ada ilmu sendiri.
Alim macam mana pun, kalau kita rosak kereta, mekanik lebih alim daripada kita jangan kita nak bantahnya.
Nak jahit baju kena hantar kepada tukang jahit dan seumpamanya lagi.
Jadi begitulah hakikatnya – setiap orang tu ada ilmu dia, ada kepakaran dia.
Kita jangan sombong, jangan angkuh.
Belajarlah sifat tawaduk Nabi Allah Musa, kemuncak seorang rasul Ulul ‘Azmi min al-Rusul.
Tapi tunduk kepada Khadir sebab apa?
Sebab Khadir ada ilmu yang Musa tak ada.
- Ayat 66- {Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”}
Musa meminta izin Khadir untuk mengikutnya bagi belajar ilmu, belajar ilmu yang Allah Taala anugerahkan pada Khadir.
Kita nak mengikut ni bukan ikut saja, ikut biar ada manfaat seperti Nabi Musa nak ikut Khadir untuk belajar ilmu!
Maka kata ulama’: Boleh kita buat akad, buat perjanjian untuk mengajar ilmu.
Macamana akad perjanjian untuk mengajar ini?
Iaitu apabila kita hantar anak kita ke sekolah, ke PASTI ke, pasti ada akad.
Kita bersetuju untuk membayar tiga puluh ringgit (atau berapa saja yang dipersetujui) sebulan tetapi sekolah/PASTI kena ajar anak saya membaca menulis dan semuanya!
Ini tafsiran dari sudut feqah, dari sudut. Boleh kita buat perjanjian; Aku bayar yuran ni, kamu ajar aku atau anak aku!
Itu di panggil akad perjanjian.
Sebab itu ulama’ kata, dalam al-Quran dia penuh dengan hikayat, disebalik hikayat, adanya feqah.
Itulah feqah dia. Banyak lagi kita akan belajar bab feqah dalam bahagian kita.
Ayat ini juga membawa dalil kena tawadhuk kepada guru & orang alim.
Jangan sombong kepada guru hatta memanggilnya sesuka-hati.
Nabi Musa sangat beradab dan kata dia tak pandai.
Hatta Khadir terkejut, kamu adalah seorang nabi, ada kitab Taurat lagi – kamu masih mahu belajar dengan aku?
Nabi Musa juga minta izin untuk ikutnya – ini juga beradab sopan, dia juga minta supaya Khadir mengajarnya ilmu yang dia ada.
Kata Qatadah rhm: Jika seseorang sudah terasa berpada dengan ilmu yang dia ada; nescaya Nabi Musa a.s lebih layak berpada dengan ilmunya, tidak perlu belajar lagi dan berpada dengan kitab Tauratnya.
Seorang murid wajib hormat & tawadhuk kepada tuan gurunya, bercakap dengan baik dan lemah-lembut.
Jangan asyik dan melawan atau membantah.
Juga menjadi hak kepada Muallim atau guru untuk membuat syarat jika nak ikutnya!
Itu tak jadi masalah!
Awak nak belajar ada syaratnya, awak nak belajar pondok ni, kena pakai jubah, kena ikut peraturan pengajian, tak boleh merokok dan sebagainya.
Itu syarat mesti ikut peraturan dan undang-undang.
Orang ada ilmu kita hormat & tawadhuk jangan dok main besar kepala!
- Ayat 67- {Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.}
Khadir memberi peringatan dari awal – mungkin Musa tidak akan dapat bersabar jika ikutnya!
Kata ulama’ tadabbur ini: Ini asas kepada pendidikan.
Nak belajar, mengaji di sini – ini syaratnya.
Kita kena bagi tahu, beri peringatan dan pesanan dari awal lagi.
Awak mahu duduk sini tetapi ada syaratnya, boleh ikut tak?
Khadir berkata:
“Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.”
Cuba kita lihat ada berapa kali huruf (ت ) dalam perkataan (تَسْتَطِيعَ) ini.
Iaitu tiga kali: Ta, sin, ta, tho… تستطيع.
Dihujung ayat atau cerita ini nanti – selepas berlaku kejadian-kejadian yang dibantah Musa, barulah Khadir cerita sebabnya; iaitu dia cerita kenapa dia bunuh orang, kenapa dia bocorkan perahu, kenapa dia buat begitu, dia kata:
{وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي}
Kemudian
: ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا-
kita boleh lihat gugur satu huruf ta.
Untuk mudah faham para pembaca:
i- dalam ayat amaran atau peringatan pada mula rehlah menuntut ilmu:
{إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا}
Khadir berkata
: لَنْ تَسْتَطِيعَ –
iaitu kamu tak akan mampu untuk bersabar denganku – yakni perkataannya berat & payah!
ii- kemudian setelah selesai penjelasan tentang kenapa dia berbuat semua perkara itu; sebab apa dia bunuh, sebab apa dia buat begitu-
Khadir berkata pula kepada Musa:
itulah takwilan atau sebab atas semua perbuatanku yang kamu tidak dapat bersabar dengannya!
*Yakni perkataan yang awal susah & berat kerana belum tahu sebabnya.
Manakala perkataan kedua adalah lebih mudah & ringan kerana kita sudah tahu sebabnya.
Jadi kata ulama:
Bertambahnya bilangan huruf, bertambahnya makna dia.
- sebelum cerita & sebelum tahu sebab berat- إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ.
- sudah cerita & tahu sebab jadi ringan-
Wallahu a’lam- moga mendapat kefahaman!
- Ayat 69- {Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.}
Khadir kata macam mana Musa nak sabar?
Sebab apa yang Khadir akan buat itu Musa tak ada maklumat. Ilmu yang aku ada ini kamu tak tahu!
Jadi kata para ulama’ kerana ayat ni menunjukkan bahawa benda tu berat – kita kena nyatakan dia.
Sebab apa kamu tak boleh ikut aku?
- pertama kerana aku takut kamu tak boleh sabar.
- yang kedua, ilmu aku ini ilmu yang kamu tak ada maklumat tentangnya.
Contohnya kita beri penerangan untuk orang mahu duduk di pondok kita;
Duduk di sini kena sabar, sebab pondok kita ni berbeza dengan pondok lain.
Iaitu peraturan & syarat-syaratnya jika sanggup hadapi boleh.
Khadir memberi peringatan lagi:
bagaimana kamu nak sabar sedang kamu taka ilmu pengetahuan tentangnya!
Tapi apa boleh buat?
Musa masih lagi berkeras dan mengatakan dia akan cuba bersabar insya’ Allah-
{قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا}
Ingat balik, ilmu إن شاء الله ni kena ada dalam diri kita. Musa selalu kata:
إِنْ شَاءَ اللَّه
Kata al-Baghawi: Bahawa Musa awal-awal dia kata insya-Allah ni sebab dia tak yakin bahawa dia boleh sabar dengan provokasi yang dibuat tadi.
Apabila syarat terlalu ketat kita kata, “Insya-Allah, kita sabar.”
- Ayat 70- {Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.} – apabila Nabi Musa dengan semangat tetap nak ikut juga Khadir – maka Khadir pun bersetuju tapi dengan syaratnya!
Khadir berpesan: Kamu boleh ikut aku tapi dengan syarat. Jangan tanya apa-apa, jangan celupar mulut, jangan duduk kritik banyak. Tengok je apa yang aku buat – jangan nak bantah apatah lagi melawan!
Jangan tanya tanya soal sampai aku cerita kepada kamu.
Ini garis panduan daripada guru kepada murid (هٰذَا تَوْجِيهٌ مِنَ الْمُعَلِّمِ).
Nak ikut aku, ini syaratnya.
Anak murid jangan gopoh, jangan cepat menjawab bagi pihak ustaznya!
Guru yang kena ajar murid bukan sebaliknya!
Apabila tersebar sesuatu isu yang tak baik didengar; Jangan gopoh, jangan cepat nak kritik, nak react kepada guru.
Kita pergi tabayyun – pergi tanya, “Kenapa ustaz buat gini”- bukan duduk kritik.
Mari tanya, “Kenapa tak buat? Kenapa?”
Barulah dapat ilmu.
Kita tunggu sehingga dia cerita, ataupun kita boleh tanya dia dengan beradab.
“Kenapa ustaz buat gini?
Kenapa tak buat begini?”
Jadi, kena belajar dan kalau nak mengaji, kena ikut SOP, ikut syarat guru.
Para pelajar, jaga mulut, jaga hati, jaga niat mudah-mudahan Allah Taala berkati kita, insya-Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.