Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
← Surah Al-Kahfi · Nota 31/32 · Ayat 103–106
Saiz

Surah Al-Kahfi: Ayat 103-106

Golongan Yang Rugi Amalannya, Amalan Sesat Disangka Betul & Memperli Rasulullah S.A.W.

Live Kuliah Pagi Sabtu 29/08/2026 – 16 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (31) Ayat [103-106]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 103 sehingga ayat 106 dalam juzuk keenambelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita golongan yang rugi amalannya; kerja letih, pahala tiada, bala boleh, neraka dapat!
  3. Iaitu mereka yang amalan sesatnya disangka betul!
    Kita lihat saja sebahagian ahli ibadat agama bukan Islam; pukul-cucuk badan sendiri, sakiti sehingga berdarah-darah atas nama ibadat!

*Dalam Islam tiada amalan yang menyakiti diri bahkan perbuatan itu dilarang dan berdosa seperti membunuh diri sendiri!

  1. Mereka juaga mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejekan, mereka memperli Rasulullah S.A.W dan menjadikannya bahan mainan & ejekan mereka!
    Ini lah manusia yang rugi manusia yang jahat degil keras kepala!
  2. Ayat kita ini adalah sambungan kepada beberapa ayat yang lepas, di mana Allah s.w.t telah nyatakan tentang sifat golongan kafir:

i- bermula dari ayat 100-101: puak kafir ini telah butakan mata mereka, pekakkan telinga mereka daripada melihat dan mendengar kebenaran walaupun apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w mereka telah pahatkan minda & hati mereka ia tidak betul dan mesti ditolak!

Inilah punca rosak manusia ini kerana mereka telah kunci hati mereka daripada lihat dan menerima kebenaran!

ii- kemudian ayat 102- sifat kafir yang kedua puak kafir juga telah buat syirik dengan ambil benda lain selain Allah sebagai sembahan mereka!
Inilah sifat kafir yang akan lihat neraka dari awal lagi di Akhirat kelak.

ii- maka datang ayat 103 hari ini menyatakan sifat kafir yang ketiga iaitu jahil & tidak cerdik.

Kita minta berlindung dengan Allah daripada segala sifat buruk seperti orang kafir ini!

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan yang kita tidak syak dan ragu lagi bahawa orang kafir akan rugi seruginya di Akhirat kelak, tiada keuntungan lansung bagi mereka!

Walaupun atas dunia orang kafir hidup senang, kaya-raya dan segala kemudahan atas dunia bagi mereka, tetapi di Akhirat kelak segalanya hancur lebur, sia-sia tiada faedah manfaat apa!

ii- oleh kerana sifat itu berat, kerugian itu besar, orang yang tiada iman akan hancur lebur amalannya tanpa pahala; maka Allah perintahkan kepada Nabi s.a.w untuk beri peringatan kepada orang yang ada atas dunia ini semuanya agar tidak menyesal di Akhirat maka kamu buatlah persiapan atas dunia ini!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا ‎﴿٣٠١﴾

Ayat 103- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?} (Al-Kahfi 18:103)

  1. Allah perintahkan Nabi s.a.w untuk bertanya kepada orang kafir para penentangnya, kepada mereka yang anti-Islam dan tak menerima kebenaran- iaitu samada mereka ahli kitab yahudi & nasrani atau semua kafir musyrikin.
  2. Ada juga ulama’ kata kepada semua manusia tak kira kafir atau beriman, ceritakan kepada mereka tentang orang yang rugi & sia-sia amalannya, mereka tak dapat manfaat dari segala amalan mereka atas dunia ini!
  3. Allah suruh Nabi s.a.w bertanya: Mahukah kamu tahu siapakah orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

Orang yang banyak buat amalan tetapi tak dapat manfaat dari amalannya atas dunia ini!

Dalam ayat ini al-Quran guna uslub ayat tanya dulu untuk menarik perhatian khayalak yang mendengarnya!

  1. Allah tidak terus mengatakan, “Orang yang paling rugi ialah…”
    Sebaliknya Allah mendahului dengan pertanyaan: هَلْ نُنَبِّئُكُمْ؟ –
    “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu?”
    Inilah uslub at-Tasywiq- التشويق.
    Pendengar terus tertanya: “Siapa mereka? Apakah amalan mereka?
    Adakah aku termasuk?”

Uslub atau gaya pertanyaan itu membuat orang yang mengantuk kembali memberi perhatian, telinga bersedia mendengar dan hati tertunggu-tunggu jawapannya.

  1. Hadis tentang ayat ini:

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ: سَأَلْتُ أَبِي عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ:
﴿قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا ۝ الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا﴾
أَهُمُ الْحَرُورِيَّةُ؟ قَالَ: لَا، هُمْ أَهْلُ الْكِتَابِ، الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى؛
أَمَّا الْيَهُودُ فَكَذَّبُوا بِمُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم، وَأَمَّا النَّصَارَى فَكَفَرُوا بِالْجَنَّةِ، وَقَالُوا: لَيْسَ فِيهَا طَعَامٌ وَلَا شَرَابٌ، وَلَكِنِ الْحَرُورِيَّةُ الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ… وَكَانَ سَعْدٌ يُسَمِّيهِمُ الْفَاسِقِينَ.

Maksudnya: Mus‘ab bin Sa‘d berkata: Aku bertanya kepada ayahku [Sa‘d bin Abi Waqqas r.a] tentang ayat:
{Katakanlah: Mahukah Kami khabarkan kepada kamu tentang orang yang paling rugi amalannya, iaitu mereka yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia…}-
Adakah mereka itu golongan Haruriyyah (Khawarij yang menentang Sayyidina Ali)?

Sa‘d menjawab: Tidak. Mereka ialah Ahlul Kitab, Yahudi dan Nasrani.
Adapun Yahudi, mereka mendustakan Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Adapun Nasrani, mereka kufur terhadap syurga dan berkata bahawa di dalamnya tidak ada makanan dan minuman.

Adapun Haruriyyah, mereka ialah golongan yang membatalkan perjanjian Allah setelah mengikatnya…”. Sa‘d رضي الله عنه menamakan mereka sebagai al-fasiqun. [HR Sahih al-Bukhari].

  1. kata Ibnu Jarir: Yang benarnya pada penelitian kami; Ia adalah untuk semua orang yang menyangka amalannya benar!
    Dia buat kerana Allah kerana nak taat kepada Allah sedangkan perbuatannya itu salah, tidak diajar oleh Allah, tidak diajar & dibuat oleh Rasulullah s.a.w, tidak dibuat oleh para sahabat dan tabien.
  2. Begitu juga kata Ibnu Kathir rhm juga: Ayat ini umum kerana ia adalah ayat Makkiyyah- Khawarij belum muncul lagi ketika ia diturunkan!
  3. Kata asy-Syanqiti rhm juga: Ayat ini turun kepada puak kafir tetapi ia menjadi umum kepada manusia semuanya!

Umum lafaz tetapi khusus sebab- untuk semua orang yang sesat & rugi amalannya.

Samada rugi sepenuhnya, total loss bagi orang kafir atau rugi sebahagiannya bagi orang yang beriman tetapi tak buat kerja amalan seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w!

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا ‎﴿٤٠١﴾‏

Ayat 104- {(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.} (Al-Kahfi 18:104)

  1. Siapakah mereka ini?
    Iaitu orang yang telah membuat amalan yang banyak tetapi sia-sia tiada kebaikan & pahala padanya!

Batal amalan yang dibuat oleh mereka atas dunia ini. Iaitu total loss bagi orang kafir yang tidak beriman terus.

  1. Ini kerana aqidah mereka rosak dari awal dan menyalahi Syari’ah Allah s.w.t.

*Bagi orang yang beriman pula rugi juga kerana mereka menyangka apa yang mereka buat itu baik & benar sedangkan tidak seperti yang diajar Allah & Rasulullah s.a.w.

  1. Ingat jangan anggap agama jika amalan kita tidak dibuat oleh Nabi s.a.w, jangan anggap ia amal soleh jika tidak diajar oleh Nabi s.a.w. Benda itu tidak dikira baik jika tidak menepati Syari’ah yang diajar oleh Nabi s.a.w!
  2. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{وَقَدِمْنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُوا۟ مِنْ عَمَلٍۢ فَجَعَلْنَـٰهُ هَبَآءًۭ مَّنثُورًا}

{Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.}

*Amat mengecewakan sekali kerana barangnya ada pada asalnya, banyak kebajikan & charity mereka buat atas dunia ini tetapi hancur musnah tidak dikira menjadi seperti debu berterbangan!

  1. Hadis Nabi s.a.w ini jelas untuk menyekat pintu-pintu yang boleh membawa kepada kerosakan dalam ibadat:
    مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
    Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang bukan berdasarkan perintah Kami, dia tertolak.” [HR Muslim].
  2. Dalam bab dunia kamu boleh reka cipta apa saja- nak buat keretapi laju, kereta terbang dan sebagainya!

Tetapi dalam bab agama, bab ibadat jangan sesekali!

Jika tidak amalan itu akan ditolak tidak dikira sebagai ibadat di sisi Allah.

  1. Yang malangnya mereka menyangka segala perbuatan mereka itu benar & baik.

Inilah hasilnya apabila tidak menimbang dengan neraca yang diajar oleh Nabi s.a.w.

  1. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.} [Al-A’raf: 30]

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا ‎﴿٥٠١﴾‏

Ayat 105- {Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.} (Al-Kahfi 18:105)

  1. Ayat ini pula menceritakan tentang kafir tulen- iaitu mereka yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah s.w.t- sedangkan Allah telah tunjukkan segala keagungan-Nya kepada mereka, di mana mereka telah lihat kepada langit, bumi dan segala isi kandungannya!
  2. Mereka juga tidak percaya akan hari Kiamat & bangkit semula iaitu tidak percaya dengan pertemuan dengan Tuhan!

Maka Allah s.w.t batalkan segala amalan yang mereka buat tidak ada pahalanya di sisi Allah!

*Berhati-hatilah kita jangan buat kekufuran & maksiat atas muka bumi ini!

  1. Manakala orang beriman akan hilang juga pahalanya apabila:

i- dia buat dengan tidak ikhlas kepada Allah! Yakni tengok tempat- di mana dia riyak akan gugur pahalanya di situ!

ii- atau dia buat amalan banyak tetapi tidak ikut Sunnah Nabi s.a.w- sebagaimana yang telah kita bincanga dalam ayat di atas sebelum ini!

  1. Maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
    Tiada nilai segala amalan itu di sisi Allah.
    Letih di dunia kosong di Akhirat!

*Jika orang kafir tulen tiada amal kebaikan untuk ditimbang lansung!

  1. Nota [781] Yakni orang-orang yang demikian sifatnya, rosak binasalah segala amal usahanya yang mereka sangka baik itu, dan mereka tidak akan mendapat sebarang penghargaan pada hari kiamat kelak, bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya.
  2. Punca orang beriman hilang pahalanya apabila dia:

i- riyak buat ibadat & kebaikan kerana mahu orang lihat & puji;

ii- mengungkit kebaikan yang telah dibuat sekian lama.

iii- mengutuk orang lain, buat fitnah kepada orang; maka pahalanya akan diberi kepada orang itu di Akhirat kelak.

*Kita minta berlindung dengan Allah dari hilang pahala begini!

  1. Sebagaimana seorang ulama’ salaf apabila diberitahu bahawa ada orang mengutuk mengatanya- dia berkata:
    Alhamdulillah atas pahala yang aku dapat atas amalan yang aku tak buat!

*Kita pun nak kata begitu jugalah- jika ada orang buat fitnah mengata kita; kita tunggu tadah pahala di Akhirat kelak insya’ Allah!

  1. Hadis Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
    إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ الْعَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ، وَقَالَ: اقْرَؤُوا: ﴿فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا﴾
    “Sesungguhnya akan datang pada hari kiamat seorang lelaki yang besar lagi gemuk, namun di sisi Allah dia tidak mempunyai berat walaupun seberat sayap seekor nyamuk.”
    Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: Bacalah firman Allah:
    ﴿فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا﴾
    {Maka Kami tidak memberikan kepada mereka sebarang nilai (timbangan) pada hari kiamat.} Surah al-Kahf: [105]
    [Hadis muttafaq ‘alaih, diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.]

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا ‎﴿٦٠١﴾‏

Ayat 106- { (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.} (Al-Kahfi 18:106)

  1. Bagi mereka yang bersifat demikian, balasannya dari Allah adalah neraka Jahannam!
  2. Ini disebabkan mereka kufur ingkar, menjadikan ayat-ayat al-Quran dan ayat-ayat tanda kebesaran Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai bahan ejekan, perlian dan mainan mereka!
  3. Begitulah puak kafir ini dua penyakit besar:
    i- mempermainkan ayat-ayat Allah; samada menghina ayat al-Quran itu sendiri atau bermain dengan hujjah.

ii- Memperli rasul Allah- tak perlu kita sebut contohnya kerana kita takut kita akan menjadi tukang sebarnya pula keburukan itu!

  1. Alhamdulillah tamatlah ayat kita hari ini dengan dua isu yang menakutkan iaitu tentang gugurnya pahala, amalan yang kita buat penat-penat atas dunia tak ada nilai di sisi Allah dengan sebab yang kita sebutkan di atas tadi.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 103- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?}-

Allah suruh Nabi s.a.w tanya kepada manusia semua:
Mahukan kamu aku beritahu kepada kamu siapakan orang yang rugi amalannya!
Buat kerja banyak tetapi tiada pahala & manfaat apa!

Ayat ini dipanggil uslub at-Tasywiq (التشويق) untuk menarik perhatian orang, buat orang tertanya-tanya nak dengar jawapannya!
Ini penting sekali dalam ilmu pendidikan, ilmu dakwah & ilmu penyampaian.

Allah kata amalan yang banyak; ini kerana perbuatan orang kafir ini banyak dan pelbagai- ada yang sembah malaikat, patung berhala, ada sembah bintang, matahari, api dan sebagainya lagi.

Yakni semua amalan yang dibuat kafir adalah rugi dan sia-sia belaka kerana ia adalah amalan sesat yang ikut hawa nafsu, tak ikut ajaran Allah & ajaran Nabi s.a.w.

  1. Ayat 104- {(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.}

Kata Imam al-Qurtubi: Ayat ini menjadi dalil bahawa ada manusia itu yang buat amalan dan dia menyangkanya baik sedangkan ia tiada nilai di sisi Allah!

Apa yang meruntuhkan pahala & nilai amalan itu adalah:

i- fasad atau iktiqad yang rosak- iaitu syirik & kufur.

ii- amalan yang fasad- rosak dari segi amalan itu sendiri.

Inilah yang kita takut hari ini- dia rasa apa yang dia buat itu sudah baik!

Contoh kita tengok kepada perbuatan & amalan sesetengah agama bukan Islam- yang banyak menyusah & menyakitkan diri!

Yang penting kerja berat- pahala tiada, kerja susah- nilai di sisi Allah tiada!

Kisah TG Haji Abdul Rahman (رحمه الله) pengasas Pondok Sungai Durian dengan seorang manager Estate orang putih bukan Islam.

Peristiwa ini ketika dia mahu beli tanah estate itu untuk buka tanah pondok pada awal kemerdekaan dulu.

Orang putih itu tanya jika dia nak dermakan sedikit tanah itu apakah dia akan dapat pahala?

TG katakan kepadanya dia tidak dapat terima pahala kerana tidak ada akaun (bukan Islam). Jika nak buka akaun kena mengucap dulu!

Terus senyap dan pergi jauh dia berdegup-degup dengan tongkatnya.

Kemudian dia datang kembali dan tanya apakah guru ada duit mahu beli tanah itu?
TG jawab: Ada dalam kira-kira!

Mendengar jawapan itu dia ketawa dan berkata: Bagus guru boleh buka sekolah kerana pandai bercakap!
Akhirnya urusan jual-beli tanah berjaya diselesaikan.

Begitulah bahayanya perbuatan mereka-reka ibadat yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w.

Orang yang sia-sia amalannya dalam kehidupan dunia mereka menyangka perbuatan mereka itu baik!

Kata Imam Ibnu Kathir: Iaitu dia buat amalan yang tidak disyari’atkan Allah s.w.t!
Ini yang kita takut hari ini- kita sangka baik dah!

Sebagaimana kata Imam al-Fudhail bin ‘Iyad- syarat amalan itu diterima Allah:

i- ikhlas kerana Allah
ii- bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w.

Sekarang ini kita fikirlah apakah yang amalan yang kita dok buat itu ikut Nabi atau tidak?
Jika tidak ikut ia akan pergi kepada hadis tadi:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang bukan berdasarkan perintah Kami, dia tertolak.” [HR Muslim].

*Yakni dalam urusan agama, ibadat jika tidak ikut Nabi ia akan ditolak!

Muhasabah balik- Betulkah amalan yang kita buat atas nama cinta Nabi s.a.w itu betul- kita takut nanti di Akhirat Nabi s.a.w akan tanya kepada kita siapa yang suruh buat kerja begini???

Bimbang nanti letih masyarakat tetapi tiada pahala di sisi Allah- walaupun niat kita baik tetapi wasilah caranya tidak betul!

Berpadalah kita, semua, kita sayang dan cintakan Nabi s.a.w.
Baginda juga sayangkan kita umatnya sehingga menangis dan sentiasa mendoakan kita!

Saya tidak menghukum cuma beri nasihat untuk para penganjur, imam semak balik apa yang kita buat ini (bergendang, berlarak bercampur gaul, buat unta dan sebagainya di luar masjid atau dalam masjid) apakah menepati dengan yang diajar dan disuruh oleh Nabi s.a.w- jangan dengan hanya kita rasa kita sudah betul tetapi tidak betul!

  1. Ayat 105- {Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.}- amalan orang kafir itu tidak boleh ditimbang kerana amalannya telah hancur lebur habis!

Tiada apa yang nak ditimbang kerana kosong begitu saja!

Kata ulama’ ahli Sunnah: Ayat ini juga menjadi dalil bahawa manusia itu ditimbang sekali dengan amalannya.

Hadis Nabi s.a.w di atas tadi juga menyatakan begitu!

Kita tak mahu amalan kita menjadi seperti gula kapas (ore Kelate panggil “gulolle” – nampak besar tetapi sekali masuk dalam mulut terus hancur tiada kesan apa!

Tetapi ada juga ulama’ kata tidak- hanya amalan saja ditimbang, tuannya tak naik atas mizan!

*Seperti sistem barang atas kapal terbang- hanya barang ditimbang tuan besar atau berat setara mana pun tidak dikira masuk timbangan sekali!

Apa yang nak kita kira hari ini adalah amalam kita agar berat di sisi Allah.

Maka jangan cari yang pelik tetapi carilah yang benar.

Semoga segala amalan kita menjadi berat timbangan kebaikan kita.

Kadang-kadang amalan ringan dan kecil saja tetapi pahalanya besar sekali di sisi Allah.

Sebagaimana hadis Nabi s.a.w ini:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat di timbangan, dan disukai Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih), yaitu: ‘Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azhim’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” [HR Bukhari].

*Bacalah selalu jangan kerugian kerana tak buat pula nanti!

Yang kita takuti adalah amalan kita runtuh dan hilang kerana tak ikut Sunnah Nabi s.a.w. Samada yang hilang total kerana syirik, atau yang juz’iyyah (hilang sebahagian) akibat riyak, mengungkit & mengata orang!

  1. Ayat 106- {(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.}- punca mereka dihumban ke dalam neraka adalah kerana:

i- mempermain-mainkan ayat Allah; samada permainkan ayat al-Quran itu sendiri atau main-main tak mahu ikut ajarannya.

ii- memperli Rasulullah s.a.w. termausk juga memperli orang Islam yang nak buat perkara baik.

Dua perbuatan jahat ini akan menjadi sebab pelakunya akan dihumbankan ke dalam neraka Jahannam!

Kita minta perlindungan dengan Allah daripada perbuatan yang buruk ini!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 29/08/2026 – 16 R. Awwal 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: Senarai main YouTube…

Link Nota: Facebook

Semoga Bermanfaat!

Kongsi nota ini WhatsApp Telegram
Ada soalan tentang ayat ini? Tanya Dr. Abu Anas