Surah Al-Kahfi: Ayat 87-91
Zulqarnain Buat Keputusan, Teruskan Perjalanan Ke Timur & Jumpa Orang Tak Ada Tempat Berlindung

Live Kuliah Pagi Selasa 25/08/2026 – 12 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (28) Ayat [87-91]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 87 sehingga ayat 91 dalam juzuk keenam belas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Zulqarnain telah buat keputusan apa tindakan terhadap satu kaum yang dijumpai sebuah negeri di sebelah barat dunia yang kelihatan seolah matahari tenggelam di dalam mata air atau lautannya yang berlumpur hitam.
- Selepas itu Zulqarnain meneruskan perjalanannya sehingga ke timur dan pula dengan kemudahan dan kemampuan yang Allah berikan kepadanya.
- Di situ dia berjumpa pula satu kaum yang tidak ada tempat berlindung daripada panas matahari, tiada dinding bangunan atau pokok bahkan bukit pun tiada, satu kaum primitif.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Zulqarnain seorang raja yang hebat yang mengembara jauh dan telah sampai ke hujung dunia sebelah barat.
Di sana dia meihat matahari seolah jatuh ke dalam sebuah mata-air berlumpur atau lautan yang luas, yang berpasir lumpur hitam.
Di sana dia menemui satu kaum yang tidak beriman dan Allah serahkan urusan mereka kepadanya untuk ambil tindakan.
*Tambahan fakta & cerita:
Dalam perjalanan ke arah al-Maghrib, Zulqarnain melalui kawasan sebelah barat sehingga sampai ke tempat terbenamnya matahari.
Lalu beliau melihat matahari seolah-olah terbenam di suatu tempat yang mempunyai air berlumpur dan berwarna gelap.
Allah S.W.T berfirman:
حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ
“Sehingga apabila dia sampai ke tempat terbenamnya matahari, dia mendapatinya terbenam pada suatu mata air yang berlumpur hitam.” [al-Kahfi: 86].
Maksudnya bukanlah matahari benar-benar masuk ke dalam mata air tersebut.
Tetapi berdasarkan pandangan mata Zulqarnain, ia kelihatan seolah-olah matahari terbenam di kawasan air yang berlumpur dan berwarna gelap.
Seperti seseorang yang berada di tepi pantai melihat matahari seolah-olah tenggelam ke dalam laut.
Wallahu a‘lam.
Menariknya, Fakhr al-Din al-Razi ketika membahaskan ayat ini menyebut persoalan berkaitan bentuk bumi, ayat ini menjadi dalil bahawa bumi berbentuk bulat:
أَنَّ الْأَرْضَ كُرَةٌ
Yakni, bumi itu berbentuk sfera/bulat manakala langit duduk sekelilingnya.
Maka perbahasan bahawa bumi berbentuk bulat sebenarnya telah dibicarakan oleh para ulama Islam sejak dahulu lagi.
ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan Zulqarnain telah buat keputusan:
i- siapa yang melakukan kezaliman dengan syirik, kufur & derhaka kepada Allah s.w.t tetapi menolak dakwah & tegurannya; mereka akan disiksa dulu di dunia ini kemudian kembalilah mereka kepada Allah.
- Alhamdulillah hari ini 12hb Rabi’ul Awwal bersempena dengan hari yang dikatakan maulid Nabi s.a.w melalui salah satu riwayat;
Maka kita tunjukkan mahabbah kasih sayang kita kepada Nabi s.a.w dengan mengikut ajarannya, belajar, amalkan serta sebarkan Sunnahnya.
Jangan buat yang pelik-pelik yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w dan tidak dibuat oleh para sahabat & ulama’ salaf selepasnya.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ}
Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosam}.
[Ali ‘Imran Ayat 31].
- Jika kita dakwa cinta Nabi s.a.w maka apakah bukti dakwaan kita itu?
Boleh lihat tanda & 10 bukti tanda kita cintakan Nabi s.a.w dalam risalah ini:
Facebook
- Tak kenal maka tak cinta- maka kenalilah Nabi s.a.w dengan lebih mendalam dengan membaca ringkasan Sirah Nabi s.a.w dalam buku ini:
Tahzib Sirah.
dartaibah.com
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا ﴿٧٨﴾
Ayat 87- {Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.} (Al-Kahfi 18:87)
- Zulqarnain mengeluarkan keputusan dan memberi arahan kepada tenteranya tentang apakah tindakan yang akan diambil kepada kaum yang dijumpainya itu.
- Mereka akan berdakwah dan membimbing mereka dulu kemudian jika mereka menolak dan masih kufur ingkar derhaka kepada Allah, maka:
i- Adapun orang yang melakukan kezaliman dengan kufur derhaka, maka kami akan menyeksanya; biasanya dengan membunuhnya,
ii- kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, (mati); Maknanya, hukuman dunia bukanlah pengakhiran.
Selepas mati, manusia tetap akan kembali menghadap Allah S.W.T.
iii- lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya pula di Akhirat kelak.
- Kata al-Biqa’i: Ayat ini juga sebagai isyarat dan amaran terhadap yahudi & kafir Makkah yang dihasut oleh mereka untuk menguji Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan beberapa persoalan, termasuk kisah Ashab al-Kahfi & Zulqarnain ini.
- Tidak lama selepas itu yahudi ini telah dihalau keluar dari Madinah akibat pelanggaran perjanjian dan permusuhan mereka iaitu Bani Qainuqa’ & bani an-Nadhir.
Manakala yang paling jahat iaitu bani Quraizah telah dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka kerana belot & khianat terhadap Nabi S.A.W dalam perang Ahzab.
- Ini kumpulan pertama- kumpulan yang tidak baik!
Kita berpindah kepada ayat seterusnya kepada kumpulan yang baik.
Begitulah atas dunia ini ada orang baik baik ada orang jahat, ada yang yang soleh ada yang toleh!
وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا ﴿٨٨﴾
Ayat 88- {Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.} (Al-Kahfi 18:88)
- Zulqarnain berkata lagi:
i- Manakala bagi kumpulan kedua iaitu mereka yang beriman & beramal soleh; melakukan ketaatan dengan ikhlas kepada Tuhan yang Esa setelah mereka kufur sebelum itu;
ii- bagi mereka balasan yang sebaik-baiknya iaitu syurga di Akhirat kelak!
Serta ketenangan dan keamanan atas dunia ini!
- Mereka juga akan diberikan agama yang mudah- iaitu diperintahkan kepadanya perintah-perintah Tuhan yang tidak memberati.
- Ayat ini juga menggabungkan dua asas penting: الْإِيمَانُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ.
Iman disebut bersama amal soleh.
Seseorang bukan sekadar mengaku beriman, tetapi keimanannya diterjemahkan melalui ketaatan dan amal yang baik.
Inilah syaratnya untuk selamat di dunia dan mendapat kejayaan di Akhirat. - Syarat amalan nak jadi soleh seperti yang selalu kita ulang:
i- ikhlas kepada Allah s.w.t
ii- betepatan dengan ajaran & Sunnah Nabi s.a.w.
*Dua ini adalah kembar siam- tidak boleh berpisah.
- Kepada golongan inilah Zulqarnain berkata: وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا-
Yakni, mereka akan dilayani dengan baik, diberikan arahan yang tidak membebankan dan diperintah dengan perkara yang mudah serta membawa kemaslahatan. - Daripada Amr bin al-Hamiq al-Khuza’i R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ» قِيلَ: وَمَا اسْتَعْمَلَهُ؟ قَالَ: يَفْتَحُ لَهُ عَمَلًا صَالِحًا بَيْنَ يَدَيْ مَوْتِهِ حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ مَنْ حَوْلَهُ»
Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang hamba, maka Allah akan membuatnya beramal.”
Para sahabat bertanya; “Bagaimana membuatnya beramal?”
Baginda bersabda: “Allah membukakan pintu baginya (memberikannya taufik untuk melakukan) amal soleh sebelum kematiannya, sehingga ia diredhai orang-orang sekelilingnya.” (HR Ahmad, no. 21949 — Sahih)
- Maka dua ayat ini memperlihatkan satu prinsip besar pemerintahan Zulqarnain:
i- tegas terhadap kezaliman,
ii- tetapi berbuat baik dan memberikan kemudahan kepada orang yang beriman serta melakukan kebaikan.
Allah akan permudahkan segala urusan dan pekerjannnya atas dunia.
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٩٨﴾
Ayat 89- {Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.} (Al-Kahfi 18:89)
- Munasabah ayat:
i- setelah selesai urusannya di sebelah barat itu;
ii- sekarang Zulqarnain berpatah balik yakni pusing perjalanannya ke sebelah timur pula.
- Yakni Zulqarnain mengumpulkan segala tentera dan jenteranya menuju ke arah timur dunia pula!
Ke arah mana yang tepatnya kita tak tahu wallahu a’lam. - Ini kerana Allah telah katakan dalam ayat di atas- apabila kafir Quraisy bertanya kepada Nabi s.a.w tentang kisah Zulqarnain-
Allah kata: {Aku akan kisahkan ceritanya kepada kamu hanya sedikit atau sebahagiannya saja-
حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا ﴿٠٩﴾
Ayat 90- {Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.} (Al-Kahfi 18:90)
- Berjalanlah Zulqarnain sehingga tiba di sebuah daerah matahari terbit iaitu sebelah timur dunia atau tanah kering.
- Di sana dia menjumpai pula satu kaum yang tiada sebarang perlindungan daripada matahari; iaitu matahari itu apabila terbit terus menyinari ke atas mereka tanpa halangan!
- Ini kerana tiada bukit, pokok atau sebarang binaan!
Mereka adalah kaum primitif yang hidup liar tiada tamadun, tiada rumah atau bangunan tempat tinggal yang tetap- mereka tinggal di dalam gua-gua atau dalam air.
Bahkan ada setengah ahli tafsir mengatakan mereka tiada pakaian juga!
- Nota [766] Setelah ia menuju ke timur dan sampai di sebuah negeri di daerah matahari terbit, ia dapati penduduknya hidup secara liar, dan tidak ada sebarang bangunan di situ yang melindungi dari panas matahari.
Mereka hanya tinggal dalam gua. - Dalam tafsir al-Munir pula mengatakan: Kaum liar itu apabila matahari terik & menjadi panas mereka akan masuk berendam di dalam air dan apabila telah teduh dan sejuk mereka baru keluar naik ke atas darat!
Mereka ini seolah haiwan dua alam pula!!
*Di mana mereka – kerana Allah tak sebut tak perlu kita susahkan diri mencarinya!
كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا ﴿١٩﴾
Ayat 91- {Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.} (Al-Kahfi 18:91)
- Allah menyatakan bahawa Zulqarnain sebagai seorang raja yang adil dan berkuasa pasti tidak akan membiarkan kaum itu terus terbiar dan hidup dalam suasana liar dan primitif!
- Nota [767] Yakni demikianlah hal ZulQarnain (ذو القرنين), ia bertindak kepada penduduk daerah timur itu secara adil sebagaimana yang dilakukannya kepada penduduk daerah barat.
*Kita yakin Zulqarnain akan tamadunkan puak yang hidup liar itu biiznillah.
- Nota [768] Yakni segala yang dikuasainya.
- Kemudian Allah menegasakan bahawa Allah mengetahui segalanya apa yang terjadi.
Ilmu Allah itu meliputi segala perkara apa yang dilangit & di bumi!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.} [Aali Imran: 5].
Penutup & Faedah
- Ayat 87- {Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian…}– ayat ini menunjukkan Zulqarnain menyatakan keputusannya tentang apakah tindakan yang akan diambilnya ke atas kaum yang dijumpainya di barat dulu, iaitu:
i- orang yang baik & beriman Allah akan balas kepada mereka!
ii- orang yang kufur- didakwah dulu- tak dengar keras kepala juga akan diambil tindakan ke atas mereka!
Kata ulama’ tadabbur: Cara tindakan Zulqarnain in menunjukkan kepada dustur atau perlembagaan negara yang adil & soleh!
Kerajaan yang adil dan soleh kena ada dusturnya;
i- orang yang baik & berbakti- kita hormati dan berbuat baik juga kepadanya!
ii- orang yang zalim & kufur- kita dakwah dulu- jika keras kepala tak mahu terima kita ambil tindakan ke atasnya!
Kerajaan yang adil kena memikirkan hak rakyat, menegakkan keadilan & mendaulatkan undang-undang!
Maka orang mukmin yang baik yang soleh yang baik yang jujur- kita kena hormati mereka dan permudahkan urusannya!
Orang yang zalim akan diperangi dan dijatuhkan hukuman.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
وَمَنْ يَّتَّقِ اللّٰهَ يَجْعَلْ لَّهٗ مَخْرَجًا ۙ وَّيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُۗ وَمَنْ يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ فَهُوَ حَسْبُهٗ ۗاِنَّ اللّٰهَ بَالِغُ اَمْرِهٖۗ قَدْ جَعَلَ اللّٰهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
{Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka,” Dan “barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.”} [At-Talaq: 2-3].
Manakala orang yang zalim, yang jahat, yang mengkhianati orang; Kerajaan mesti tegas ambil tindakan ke atas mereka- Jangan buat hukuman hanya berdasarkan percaturan politik!
Perlembagaan kerajaan mesti jelas, kerajaan yang adil mesti tegas:
i- orang yang baik dihormati, hak rakyat mesti dijaga
ii- menghukum orang yang tak baik & jahat mesti dihukum!
Inilah pentingnya kerajaan mempunyai dustur yang tegas & adil.
- Ayat 87- {Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya;….}
Siapa yang ada kekuasaan mesti menggunakan kekuasaannya untuk membela orang yang di tindas dan dizalimi, memberi penghormatan serta jaga kebajikan kepada orang yang baik dan mengambil tindakan ke atas orang yang tidak baik!
Pemerintahan Zulqarnain ini adalah contoh atau model kerajaan & penguasa Islam yang adil dan sangat telus.
Sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w pemimpin yang adil akan termasuk dalam senarai 7 golongan yang akan dapat teduhan bayangan Arasy pada hari Kiamat kelak.
Kata-kata & hukuman Zulqarnain ini:
menunjukkan adil & sangat telus.
Begitulah orang yang berkuasa kena guna kuasanya yang ada dengan penuh jujur & amanah!
Jangan kerana nak jaga kerusi sanggup pecah amanah, khianat janji dan sebagainya!
Kata-kata hikmah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq apabila dilantik menjadi khalifah dia berkhutbah:
أَمَّا بَعْدُ،أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ،
فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي،
وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي.
الصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.
Maksudnya: “Amma ba‘du. Wahai sekalian manusia!
Sesungguhnya aku telah dilantik memimpin kamu, sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu.
Maka sekiranya aku melakukan kebaikan, bantulah aku.
Dan sekiranya aku melakukan kesalahan, maka betulkanlah aku.
Kejujuran itu adalah amanah, manakala dusta itu adalah pengkhianatan.
Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya kepadanya, insya-Allah. Dan orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak orang lain, insya-Allah.”
Amat menarik yakni dalam siyasahnya dia akan bantu dan menolong orang lemah menegakkan keadilan.
- Ayat 87- {Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.}– kata Zulqarnain dia akan ambil dua tindakan ke atas orang yang zalim iaitu perangi mereka di dunia & azab di Akhirat.
Dalam ayat ini terdapat 3 hukuman ke atas orang yang zalim iaitu kafir ini:
i- atas dunia akan di azab dengan diperangi sehingga terbunuh.
ii- akan dikembalikan kepada Allah dalam keadaan kafir.
iii- di Akhirat kelak akan di azab pula dengan azab yang pedih!
Begitu juga orang mukmin dua jaminan juga sebagaimana ayat ini:
Ayat 88- {Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya;…}
Manakala orang mukmin pula akan mendapat dua kebaikan:
i- baginya balasan yang sebaik-baiknya – iaitu balasan syurga dari Allah di Akhirat kelak.
ii- Allah akan permudahkan segala urusannya di dunia ini!
Kerana itu kata para ulama’ beza hukuman dalam dua ayat ini jelas & zahir-:
i- orang kafir dimulakan dengan azab dunia dulu kemudian azab Allah di Akhirat kelak;
ii- manakala orang mukmin dimulakan dengan pahala dari Allah dulu kemudian baru disebut kemudahan baginya di atas dunia!
- Ayat 90- {Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.}– yakni Zulqarnain berjalan sehingga tiba di sebelah timur dunia.
Iaitu di sebuah kawasan matahar terbit, di sana dia menjumpai satu kaum yang pelik yang tiada perlindungan daripada matahari.
Ulama’ kata: Kehidupan mereka sangat primitif- tiada tempat tinggal seperti rumah, tiada bukit dan pokok-pokok yang dapat memberi mereka tempat berteduh juga!
Ada juga ulama’ tafsir kata hatta pakaianpun mereka tak pakai atau tak ada!
Kehidupan mereka juga seperti haiwan liar atau haiwan dua alam- pada waktu siang apabila terlalu panas cahaya matahari mereka masuk berendam dalam air seperti ikan.
Kemudian apabila hari teduh terik matahari berkurangan baru mereka naik duduk atas darat!
Ahli tafsir cuba membuat macam-macam analisa: Mereka adalah manusia yang tidak berpakaian, mereka hidup di atas tanah rata yang kosong seperti padang yang luas, tiada benda seperti bukit, pokok atau bangunan yang boleh memberi bayang berteduh bagi mereka. Apabila terlalu panas mereka masuk berendam dalam air.
Allahu Akbar betapa peliknya golongan manusia yang dijumpai Zulqarnain ini- kita kata wallahu a’lam!
- Ayat 91- {Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.}-
Allah kata Dia tahu semua apa yang Dia berikan kepada Zulqarnain dari kekuasaan, ketenteraan, alat-senjata dan semuanya!
Allah tegaskan bahawa ilmu Allah meliputi segalanya yakni Allah tahu semua apa yang diberikannya kepada Zulqarnain dari segi kekuasaan, pemerintahan, ketenteraan.
Allah kata apa yang Aku ceritakan kepada kamu tentang Zulqarnain ini hanya sedikit sahaja!
Apabila Allah beri kepada kita walaupun sedikit kita tahu juga ceritanya alhamdulillah.
Maka kita mengetahui ceritanya berdasarkan kadar yang Allah ceritakan kepada kita.
Adapun perkara-perkara yang tidak dijelaskan oleh al-Quran atau hadis yang sahih, kita tidak perlu terlalu jauh membuat andaian dan mengorek dan mencari sesuatu yang tiada faedah.
Tamatlah dahulu perbincangan kita pada hari ini.
Esok jangan lari, kita akan sambung lagi perjalanan Zulqarnain dalam ayat seterusnya iaitu ayat 92:
{“Kemudian dia mengikuti satu jalan lagi. Sehingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung…”}
Zulqarnain meneruskan perjalanan lagi.
Ke mana arah tepatnya—utara atau Selatan; kita tunggu esok.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 25/08/2026 – 12 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: Senarai main YouTube…
Link Nota: Facebook
Semoga Bermanfaat!