Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
← Surah Al-Kahfi · Nota 29/32 · Ayat 92–98
Saiz

Surah Al-Kahfi: Ayat 92-98

Zulqarnain Ke Utara, Jumpa Kaum Tertindas & Minta Buat Tembok Halang Ya’juj Wa Ma’juj

Live Kuliah Pagi Rabu 26/08/2026 – 13 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (29) Ayat [92-98]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 92 sehingga ayat 98 dalam juzuk keenambelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Zulqarnain ke utara pula iaitu kawasan gunung-ganang atau bukit-bukau pula!
  3. Di sana dia jumpa satu kaum yang tertindas oleh keganasan Ya’juj wa Ma’juj.
    Bahasa mereka tidak dapat difahami oleh manusia lain.
    Mereka lalu minta bantuan Zulqarnain untuk buat halangan antara mereka dan Ya’juj wa Ma’juj.
  4. Lalu Zulqarnain buat tembok yang kukuh untuk halang Ya’juj wa Ma’juj dari menyerang kaum itu, tembok itu tidak akan dapat ditembusi mereka sehinggalah pada suatu masa yang dikehendaki Allah.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kisah pengembaraan Zulqarnain di arah timur dunia di mana dia berjumpa satu kaum liar yang begitu primitif kehidupan mereka!

ii- datang ayat ini adalah tentang pengembaraan Zulqarnain ke sebelah utara pula iaitu kawasan pergunungan di mana dia berjumpa dengan kaum yang dianiayai Ya’juj wa Ma’juj. Lalu dia membina tembok yang mengurung Ya’juj wa Ma’juj sehinggalah kepada tempoh yang dikehendaki Allah!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ‎﴿٢٩﴾

Ayat 92- {kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.} (Al-Kahfi 18:92)

  1. Selepas selesai urusannya di barat tadi, Zulqarnain menuju ke arah lain pula atas muka bumi ini.
  2. Nota [769] Yakni ia menurut jalan ke sebelah utara.
  3. Ini adalah jalan yang ketiga yang ditempuhi oleh Zulqarnain dan bala tenteranya.
    Mereka membawa segala alat & jentera yang diperlukan dalam pengembaraan mereka itu.
  4. Pengembaraan atau rehlah Zulqarnain bukan suka-suka untuk healing semata; bahkan satu pengembaraan penuh misi kemanusian, menolong mereka yang tertindas, membebaskan yang dizalimi, memajukan mereka yang mundur, mencerdikkan orang bodoh, mentamadunkan mereka yang primitif dan seumpamanya!
  5. Inilah contoh seorang raja yang agung & berkuasa, soleh & beriman, menyebarkan keadilan & kebaikan atas muka bumi ke mana saja dia pergi!

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ‎﴿٣٩﴾

Ayat 93- {Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.} (Al-Kahfi 18:93)

  1. Akhirnya dia tiba di sebuah tempat antara dua bukit iaitu seolah satu lembah yang dilingkungi gunung-ganang!

*Di mana tempatnya, wallahu a’lam, kerana Allah tidak nyatakannya!
Yang penting ia wujud kerana Allah nyatakan bahawa ia ada!
Seperti biasa pasti ada orang yang mengakui menjumpainya- betul atau tidak wallahu a’lam!

  1. Di situ mereka menjumpai pula satu kaum yang percakapan mereka hampir tidak dapat difahami mereka kerana bahasanya terlalu pelik.
  2. Nota [770] Maralah Zu’l-Qarnain (ذو القرنين) bersama-sama tenteranya ke utara sehingga sampai di antara dua gunung, lalu didapati dalam daerah itu satu kaum yang hampir-hampir tidak memahami perkataan, kerana bahasanya yang terlalu pelik.
  3. Bagaimana Zulqarnain memahaminya selepas itu adalah dengan kuasa Allah, samada dengan guna penterjemah atau bagaimana cara atau alatnya!
  4. Dengan kecanggihan teknologi AI hari ini kita tak pelik kerana kita dapat menterjemah pelbagai bahasa ke dalam bahasa kita dengan hujung jari sahaja!

Google translate ada, chat GPT ada- apa peliknya Allah Maha kaya & Maha kuasa atas segalanya!

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

Ayat 94- {Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi….”} (Al-Kahfi 18:94)

  1. Kaum itu mengenali Zulqarnain mereka terus memangilnya dengan namanya: {Wahai Zulqarnain- يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ}!
    Mereka juga tidak ada protokol dan tidak menyerunya sebagai seorang raja atau penguasa besar!
  2. Kaum itu mengadu bahawa hidup mereka tidak tenteram kerana mereka sering dikacau oleh satu kaum yang bernama Yakjuj dan Makjuj { يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ } yang sentiasa melakukan kerosakan di bumi.
  3. Nota [771] Di dalam Al-Qur’an tidak diterangkan siapa dia kaum “Ya’juj” dan “Ma’juj” (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ) itu.

Tetapi menurut asal bahasan, kedua-dua perkataan itu ertinya: satu bangsa yang tabiatnya suka menceroboh, menyalakan api rusuhan, membuat kacau bilau, dan merosakkan kehidupan manusia.

  1. Apakah jenis mereka manusia atau jin, jika manusia jenis kaum apa mereka- wallahu a’lam kerana Allah tidak menyebutnya sama sekali- hanya begitu saja, satu kaum yang sentiasa melakukan kerosakan di bumi!
  2. Mereka dikatakan dua kaum iaitu Yakjuj dan Makjuj- kerana itu ada tafsir moden yang mengatakan mereka adalah dua kaum Yakjuj itu Mongol dan Makjuj itu Tartar!
    Ini lebih kepada agakan dan dakwaan yang terlalu berani!
  3. Mereka suka membuat kerosakan di mana saja mereka masuk mereka akan menyalakan api besar, membuat kacau-bilau dan merosakkan kehidupan manusia! Dan kerosakan besar yang akan mereka buat akan berlaku di akhir zaman nanti apabila runtuhnya tembok yang dibina oleh Zulqarnain itu!
  4. Kata Ibnu Jarir: Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum yang berada di belakang bukit itu.
    Ijma’ ulama’ tafsir kata kata Yakjuj dan Makjuj adalah satu kaum yang berasal dari bani Adam.
  5. Maka tidak betullah cerita-cerita yang mengatakan mereka satu kaum lain yang aneh & pelik yang terlalu tinggi atau kenit, bertelinga yang panjang sehingga ke tanah dan sebagainya!
  6. Kata ulama’: Semua itu adalah cerita khurafat berasal dari bani Israil dan tak boleh kita membenarkannya!

Mereka adalah manusia keturunan bani Adam- tetapi berbeza cara hidup mereka dengan berbezanya keadaan dan tempat tinggal mereka!
Mereka adalah kaum yang ganas & duduk dalam bukit!

  1. Hadis kisah dari 1000 orang 999 akan ke neraka:

i- hadis qudsi:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ.

Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda:
“Allah Ta’ala berfirman: Wahai Adam!’
Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan Mu.

Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka.
Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka?
Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, hadis no: 3121]

ii- melalui riwayat daripada Abu Said Al-Khudri juga, terdapat penjelasan yang lebih mengenai hadis qudsi tersebut:

، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا

Orang-orang (yang hadir mendengar pada waktu itu) merasa ngeri sehingga berubah pucat warna muka mereka.

Para sahabat bertanya: Ya Rasulallah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu?

Nabi s.a.w menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.

Baginda menerangkan: “Diambil dari Ya’juj dan Ma’juj 999 dan dari kamu 1.
kalau kamu dibandingkan dengan orang yang sangat ramai itu, ibarat sehelai bulu berwarna hitam yang terdapat pada seekor lembu jantan yang berwarna putih.

Sesungguhnya aku mengharapkan agar kamu menempati satu perempat penghuni syurga.” Lalu kami semuanya bertakbir tanda gembira.

Kemudian baginda menyambung lagi: “Menempati satu pertiga penghuni syurga.”
Lalu kami bertakbir lagi tanda gembira.
Kemudian baginda menyambung lagi: “Menempati separuh penghuni syurga.” Maka kami pun bertakbir lagi.” (HR Bukhari)

فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ‎﴿٤٩﴾‏

Ayat 94- {.. oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?“} (Al-Kahfi 18:94)

  1. Mereka ini meminta bantuan Zulqarnain sekiranya dia setuju; mereka sanggup memberi sejumlah bayaran kepadanya dari hasil pendapatan mereka dengan syarat Zulqarnain membina sebuah tembok di antara Ya’juj wa Ma’juj dengan mereka!
  2. Di antara dua gunung, Zulkarnain bertemu suatu kaum yang hampir tidak memahami percakapan.

Mereka mengadu bahawa Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi.

Kaum itu sanggup membayar Zulkarnain agar beliau membina sebuah penghalang yang dapat memisahkan mereka daripada kaum perosak itu.

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ‎﴿٥٩﴾‏

Ayat 95- {Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.} (Al-Kahfi 18:95)

  1. Mendengar itu terus Zulqarnain menyatakan bahawa dia bukan datang cari projek, cari upah bahkan kekuasaan dan kekayaan yang Tuhan jadikan dia memiliki dan menguasainya, lebih baik dari bayaran yang mereka nak berikan itu!

*Yakni Zulkarnain menolak bayaran itu kerana kurniaan Allah kepadanya lebih baik.

  1. Jawapan Zulqarnain ini sama sebagaimana jawapan Nabi Sulaiman kepada kaum Ratu Balqis:
    {Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).} [An-Namli: 36]
  2. Tetapi dia meminta bantuan tenaga kerja dan buruh dari mereka iaitu minta mereka membantunya secara beramai-ramai.
  3. Nota [772] Yakni meliputi tukang-tukang, tenaga buruh dan alat-alat yang diperlukan.
  4. Ini kerana dia akan bina antara kaum itu dengan Ya’juj wa Ma’juj- sebuah tembok penutup yang kukuh, yang tidak akan dapat ditembusi mereka!
  5. Nota [773] Yakni tembok yang menutup lapangan di antara dua gunung itu yang dapat menahan langgaran kaum Ya’juj dan Ma’juj (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ).

آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ‎﴿٦٩﴾‏

Ayat 96- {Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.} (Al-Kahfi 18:96)

  1. Cara pembinaan tembok itu adalah seperti berikut:
    i- Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”;
    ii- sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu,
    iii- dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu”-
    iv- sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api,
    v- kemudian bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya!
  2. Zulqarnain hanya meminta mereka membantu dengan tenaga, kemudian dia mengajar mereka cara membina tembok itu.

Dia minta mereka menyediakan ketul-ketul besi yang kemudian disusun sehingga memenuhi ruang antara kedua-dua lereng gunung itu.

  1. Kemudian dinyalakan api yang mereka kena tiup sehingga ia marak menyala, sehingga susunan besi itu merah menyala.
    Selepas itu, tembaga cair dituangkan pula ke atasnya.
  2. Nota [774] Setelah mereka membawakan ketul-ketul besi untuk menutup tanah lapang antara dua gunung itu ia perintahkan mereka membakar tembok dari ketul-ketul besi itu sehingga menjadi merah menyala seperti api lalu dituang atasnya tembaga cair sehingga menjadilah ia amat kukuh lagi licin.

فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا ‎﴿٧٩﴾‏

Ayat 97- {Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.} (Al-Kahfi 18:97)

  1. Zulqarnain menyatakan bahawa tembok itu amat kukuh binaannya yang mana:
    i- mereka Ya’juj wa Ma’juj tidak dapat {فَمَا ٱسْطَـٰعُوٓا۟} memanjat tembok itu kerana licin;

ii- dan mereka juga tidak dapat {وَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟}- apatah lagi untuk menebuknya kerana tebal & teguhnya. Yakni lagi tidak akan dapat!

  1. Apabila benteng itu siap, Yakjuj dan Makjuj tidak mampu memanjat atau menebuknya.

Zulkarnain menyebut binaan itu sebagai rahmat daripada Tuhannya.
Beliau turut mengingatkan bahawa apabila janji Allah tiba, benteng itu akan runtuh & diratakan.

  1. Nota [775] Yakni kaum Ya’juj dan Ma’juj (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ) tidak dapat memanjat tembok itu kerana licinnya, dan juga tidak dapat menebuknya kerana tebalnya dan padunya.
  2. Hadis atau kata-kata Abu Hurairah yang didengarnya dari Ka’ab:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ يَحْفِرُونَ كُلَّ يَوْمٍ حَتَّى إِذَا كَادُوا يَرَوْنَ شُعَاعَ الشَّمْسِ…
Maksudnya: Sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj ini akan menggali setiap hari sehingga mereka ternampak pancaran matahari.
[Riwayat Ibnu Majah (4070) dan Ahmad (10632)]

**Dikatakan bahawa Abu Hurairah mendengar riwayat hadis ini daripada Ka’ab al-Ahbar. Syeikh Syu’aib al-‘Arnauth mengatakan sanad hadith ini adalah sahih sehingga kepada Abu Hurairah tetapi apabila ia dirafa’kan (angkat) kepada Rasulullah S.A.W maka terdapat padanya nakarah (keganjilan) ketika beliau mentahqiqkan riwayat ini. (Lihat Sunan Ibnu Majah, 5/207)

  1. Yakni apabila dekat Kiamat Ya’juj wa Ma’juj akan dapat meruntuhkan tembok itu dan mereka akan keluar berleluasa melakukan kerosakan atas muka bumi ini.
    Ia adalah salah satu tanda Kiamat yang besar nanti!
  2. 10 perkara tanda Kiamat itu akan datang satu persatu seumpama untaian tasbih:
    Nabi S.A.W bersabda:
    Maksudnya: “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”.
    “Baginda S.A.W menyebut (tanda-tanda tersebut):
    Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”. [HR Muslim (2901)]

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا ‎﴿٨٩﴾

Ayat 98- { (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.} (Al-Kahfi 18:98)

  1. Zulqarnain kemudian mengingatkan kepada penduduk kaum itu bahawa tembok itu adalah satu rahmat dari Tuhan kepada mereka, bukan kerana kekuasaannya.

Yakni Zulqarnain sandarkan segala perbuatan & apa yang akan terjadi kepada kekuasaan Allah s.w.t!

  1. Apabila tiba tempohnya, tiba janji Allah- tembok itu akan hancur lebur, Ya’juj wa Ma’juj akan dapat keluar- semua itu janji Tuhan yang amat benar bahawa dunia ini akan hancur akan binasa dan sebelum hari Kiamat akan berlaku 10 tanda yang besar tadi!
  2. Nota [776] Yakni berkatalah Zu’l-Qarnain (ذو القرنين) kepada penduduk daerah itu: Tembok ini adalah menjadi rahmat dari Allah Ta’ala kepada manusia untuk menyekat bahaya serangan kaum Ya’juj dan Ma’juj (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ) terhadap negeri-negeri yang lain.

Tetapi apabila sampai waktunya yang telah ditentukan oleh Allah, maka tembok itu akan hancur lebur, dan mereka akan keluar menyerang dengan ganasnya.

*Dengan ini berakhirlah kisah Zu’l-Qarnain (ذو القرنين).

  1. Mereka yang tidak percaya membahaskan jika kisah atau tembok ini wujud kenapa tidak nampak & tidak dapat dijumpai???

Kita kata betapa banyak perkara yang tersembunyi dan tidak nampak di mata manusia tetapi terbukti benar-benar berlaku dan wujud. Terlalu banyak untuk kita senaraikan satu-persatu!

  1. Sebagaimana kisah nabi Musa & bani Israil yang tersesat di padang pasir Sinai selama 40 tahun tanpa berjumpa seorang manusia lain pun.

Firman Allah s.w.t:
{Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”.} [Al-Maidah: 26].

  1. Hadis:Rasulullah S.A.W datang menemui UM Zainab binti Jahsy r.a dalam keadaan cemas.
    Baginda mengucapkan kalimah tauhid sebelum memberi amaran bahawa bahaya sedang menghampiri bangsa Arab.

Pada hari itu, kata Baginda, satu lubang telah terbuka pada benteng Yakjuj dan Makjuj.

Baginda merapatkan ibu jari dan telunjuk sehingga membentuk satu lingkaran kecil.

UM Zainab terus bertanya: “Adakah kita akan binasa sedangkan dalam kalangan kita masih ada orang soleh?”
Rasulullah S.A.W menjawa: “Ya, apabila kejahatan semakin berleluasa.” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Apabila tiba masanya janji yang dijanjikan Allah, tembok akan runtuh, Kiamat akan datang- wallahu a’lam!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 93- {Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.}-

Kata ulama’ tembok itu berada di atas bukit maka tembok itu dikira bukit!

Di manakah bukit ini – kita kata wallahu a’lam kerana Allah tidak menyatakannya sama sekali. Kuasa Allah itu besar apabila Allah kata ada maka adalah ia!

Ada kajian manusia yang mengatakan ia berada di antara Armenian & Arzebijan tetapi semua ini hanyalah andaian dan teori yang tidak berasas!

Tidak perlu kita korek cari di manakah tembok itu kerana Al-Quran tidak memberikan nama gunung, negara atau koordinatnya.

Sebab itu, kita tidak boleh menampal nama mana-mana bangsa moden pada Yakjuj dan Makjuj atau mengangkat satu lokasi sebagai jawapan muktamad.

Orang boleh meneka lokasinya, tetapi tekaan tidak boleh dipersembahkan sebagai fakta agama.

  1. Ayat 93- {Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.}-

Katanya kaum itu satu kaum yang tidak difahami percakapan mereka!

Jadi persoalannya bagaimana Zulqarnain boleh faham boleh apa yang mereka kataka???
Iaitu mereka minta tembok sebagai halangan
Jawapan:

i- percakapan mereka hanyalah hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan- jadi Zulqarnain sebagai seorang raja yang bijak masih boleh memahaminya.

ii- Zulqarnain raja besar pasti ada penterjemahnya.

iii- dengan kuasa Allah beri kekuatan kepada Zulqarnain untuk memahaminya dengan apa saja cara seperti gajet kita hari ini.

iv- boleh jadi melalui ilham yang Allah s.w.t beri- menjadikan Zulqarnain faham bahasa mereka & mereka juga faham bahasa Zulqarnain.

Kita jangan pelik semua itu adalah di bawah kuasa Allah- ini terbukti dengan alat canggih gajet moden & teknologi manusia hari ini!

Juga nak menyatakan bahawa Kerajaan Zulqarnain itu amat besar sehingga mereka kaum gunung itu mengenal Zulqarnain.

Dalilnya apabila jumpa mereka memanggil namanya:
Ayat 94- {Mereka berkata: “wahai Zulkarnain}:

Walaupun tidak sepatutnya mereka memanggilnya begitu tanpa gelaran & penghormatan yang sewajarnya.

Tetapi ulama’ kata mungkin ada dua sebab yang membuatkan mereka bersikap begitu:

i- mereka kaum yang primitif hidup di dalam hutan maka tak ada protokol dan adab;

ii- mereka dalam keadaan terdesak tak sempat memikirkan akan jawatan kedudukan Zulqarnain- apabila jumpa terus panggil begitu saja!

  1. Ayat 94- {…setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”}-apabila kaum itu meminta Zulqarnain membina tembok sebagai halangan antara mereka & Ya’juj wa Ma’juj serta sanggup membayar upah untuk kerja itu!

Ayat 95- {Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu);

Zulqarnain menjawab: Jangan begitu! Tak perlu bayar, aku bukan nak datang cari duit!
Aku ini raja, pemerintah maka tanggung-jawab aku untuk menyediakan keselamatan & kemudahan bagi rakyat!

Zulqarnain sebagai seorang raja yang soleh & adil- dia bertanggung-jawab menjaga kebajikan & maslahat rakyat di bawahnya!

Beritahu saja masalah, aku akan selesaikannya tak pelru nak bayar duit atau nak
Kerja pemimpin yang adil menyelesaikan masalah kepada rakyat bukan menimbulkan masalah kepada rakyat pula.

Satu lagi kena ingat bahawa bala itu datang melalui mulut kita sendiri:

إِنَّ الْبَلَاءَ مُوَكَّلٌ بِالْمَنْطِقِ –

maka berhati-hatilah sebelum bercakap, fikir dulu sebelum buka mulut!

Sebagaimana dalam kisah Nabi Yusuf- seolah bapa mereka nabi Ya’qub yang memberi idea kepada para saudaranya cara mengkhianati Nabi Yusuf.

Dia yang berkata dia takut Yusuf dimakan serigala jika abang-abangnya membawanya berkelah.

Lalu alasan itulah yang digunakan oleh saudara-saudara untuk menutup kehilangan Yusuf yang ditinggalkan mereka di dalam telaga!

Maka berhati-hatilah jangan kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa!

Nak main pentadbiran jaga baik-baik hak rakat jangan menimbulkan kegelisahan & kesusahan kepada rakyat!

Ingatlah juga kata-kata orang tua: Tanduk lembu itu menghala ke depan!

  1. Ayat 95- {… oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.} –

Zulqarnain kata dia tak mahu bayaran tetapi minta bantuan tenaga mereka juga.

Zulqarnain kata dia tak mahu upah tetapi dengan syarat mereka tolong dan beri kerjasama.

Bawa bahan-bahan yang diperlukan, bantu buat kerja apa yang patut- insya’ Allah dengan pertolongan Allah permudahkan urusan, kerja kita ini akan selesai dan berjaya!

  1. Ayat 97- {Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.}– mereka tak mampu nak panjat {فَمَا ٱسْطَـٰعُوٓا۟} tembok itu dan lagi mereka tak mampu {وَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟} untuk menebuknya!

*Dua kata perkataan yang sama tetapi apabila bertambah hurufnya bertambah berat atau mendalam maknanya!

Inilah bahasa al-Quran yang amat indah dan teliti!

Makin kita banyak belajar al-Quran, makin tinggi kefahaman kita; maka makin kita sayang Allah & Rasulullah s.a.w, makin manis untuk membaca al-Quran.

Zulqarnain kata semua benda akan binasa, maka apabila datang janji Tuhan-Mu, Allah akan jadikannya hancur lebur.

Tembok besar setara mana pun akan runtuh, yang kekalnya hanya Allah Azza wa Jalla & nikmat syurga yang dijanjikan!

Kesimpulan: Munasabah antara kisah Zulqarnain ini dengan kisah Khadir sebelum ini:

  1. Kedua-dua kisah mempunyai tiga episod utama:

a) Dalam kisah Musa bersama Khadir tiga ujian:
i- Kapal ditebuk— خَرَقَ السَّفِينَةَ
ii- Seorang anak dibunuh — قَتَلَ الْغُلَامَ
iii- Tembok yang hampir runtuh ditegakkan kembali — فَأَقَامَهُ

b) Dalam kisah Zulqarnain pula terdapat tiga perjalanan:
i- Perjalanan ke arah tempat terbenam matahari — مَغْرِبَ الشَّمْسِ
ii- Perjalanan ke arah tempat terbit matahari — مَطْلِعَ الشَّمْسِ
iii- Perjalanan sehingga sampai di antara dua gunung, lalu beliau membina benteng bagi melindungi manusia daripada Ya’juj dan Ma’juj.

  1. Menariknya, episod terakhir kedua-dua kisah

berkaitan dengan pembinaan atau pembaikan tembok:

i- Dalam kisah Khadir, beliau membaiki tembok:
فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ
“Lalu mereka mendapati di situ sebuah dinding yang hampir runtuh, maka dia menegakkannya.” (al-Kahfi: 77)

Tujuannya adalah untuk menjaga harta dua orang anak yatim:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا

ii- Manakala Zulqarnain membina benteng untuk menjaga keselamatan dan nyawa masyarakat daripada kerosakan Ya’juj dan Ma’juj:
فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

Di sinilah terdapat munasabah yang sangat cantik- kedua-dua tembok dibina demi menjaga maslahat manusia:

Tembok Khadir untuk menjaga harta anak yatim, sementara benteng Zulqarnain untuk menjaga nyawa dan keamanan masyarakat.

Ini sangat dekat dengan konsep مقاصد الشريعة — syariat datang untuk memelihara maslahat manusia dan menghalang kerosakan.

  1. Pengajaran tentang kepimpinan:

i- Kisah Zulqarnain juga menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang pemimpin.

Pemimpin bukan orang yang mengambil kesempatan daripada rakyat.
Sebaliknya, dia menjaga hak, harta dan keselamatan rakyat.

ii- Yakni, seorang raja atau pemimpin yang baik tidak tamak terhadap harta rakyat.

Dia tidak melihat kedudukannya sebagai peluang mengumpulkan kekayaan.

Kekuasaan ialah amanah, bukan kesempatan untuk mengambil hak rakyat.

  1. Harus kita cerita & mengakui nikmat Allah:
    i- Apabila ditawarkan bayaran, Zulqarnain berkata: قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ
    “Apa yang Tuhanku telah berikan kepadaku adalah lebih baik.” (al-Kahfi: 95)

ii- Yakni menunjukkan bahawa seseorang boleh menyebut nikmat dan kelebihan yang Allah berikan kepadanya dengan tujuan mensyukuri dan mengiktiraf kurniaan Allah, bukan untuk berbangga diri.

iii- sebagaimana firman Allah:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ-
“Adapun nikmat Tuhanmu, maka ceritakanlah.” (ad-Duha: 11)

iii- Zulqarnain tidak berkata, “Aku hebat, aku berkuasa, aku mempunyai segala-galanya.”

Sebaliknya: -مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي- “Tuhanku yang memberikan kemampuan ini kepadaku.”

  1. Kepentingan kerjasama:
    i- Zulqarnain mampu memimpin projek tersebut, tetapi beliau tetap berkata: فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ – “Maka bantulah aku dengan kekuatan kamu.”

ii- Pemimpin tidak boleh melakukan semuanya seorang diri.
Rakyat pula tidak boleh hanya menunggu pemimpin menyelesaikan semuanya.

Pemimpin membawa kepimpinan & modal, rakyat membawa tenaga; apabila kedua-duanya bekerjasama atas maslahat, masalah besar dapat diselesaikan.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 26/08/2026 – 13 R. Awwal 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: Senarai main YouTube…

Link Nota: Facebook

Semoga Bermanfaat!

Kongsi nota ini WhatsApp Telegram
Ada soalan tentang ayat ini? Tanya Dr. Abu Anas