Surah Al-Kahfi: Ayat 99-102
Ya’juj Wa Ma’juj Akan Dilepaskan Keluar, Serunai Sangkakala Ditiupkan & Kafir Nampak Neraka

Live Kuliah Pagi Khamis 27/08/2026 – 14 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (30) Ayat [99-102]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 99 sehingga ayat 101 dalam juzuk keenambelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan apabila tembok mereka runtuh; Ya’juj Wa Ma’juj akan dilepaskan keluar dan mereka akan bercampur gaul dengan orang ramai & melakukan kerosakan ini pada akhir zaman!
- Tidak lama selepas itu serunai sangkakala ditiupkan menandakan berakhirnya dunia ini & berlakulah Kiamat!
Maka manusia yang langgar perintah Allah & SOP Allah akan menerima padah yang buruk di Akhirat kelak.
Di dunia mungkin aman & bahagia tetapi di Akhirat kelak mereka akan mendapat azab Allah & neraka tempat mereka.
*Kata ulama’ punca manusia susah bertaubat ialah kerana Allah tangguhkan azab lalu mereka ingat Tuhan tak marahkan mereka dan terasa panjang umur!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan selesai sudah Zulqarnain membina tembok menghalang Ya’juj dan Ma’juj & Zulqarnain kata tembok itu mereka tak mampu nak panjatnya dan lagi tak mampu untuk menebuknya.
Kemudian Zulqarnain kata semua itu adalah rahmat dari Allah, tetapi apabila sampai masanya tembok itu akan hancur juga dengan kehendak & kuasa Allah.
- maka datang ayat ini menyatakan keadaan Ya’juj dan Ma’juj apabila tembok itu telah dibuat & apabila ia runtuh atau hancur dan mereka terlepas keluar darinya!
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
۞ وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ ۖ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا ﴿٩٩﴾
Ayat 99- {Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.} (Al-Kahfi 18:99)
Ayat kita ini masih berkisar tentang Ya’juj dan Ma’juj dan Allah nyatakan keadaan yang akan terjadi di akhir zaman.
Iaitu apabila tembok Ya’juj dan Ma’juj itu runtuh dan mereka terlepas keluar masuk bercampur-gaul di kalangan manusia membuat huru-hara & kerosakan!
Nota [777] Yakni tatkala sampai janji Allah dan runtuhlah tembok itu maka kaum Ya’juj dan Ma’juj (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ) akan keluar menyerbu beramai-ramai dengan bermaharajalela membinasa dan merosakkan kesenangan dan ketenteraman penduduk dunia.
Menurut hadith-hadith nabi, (riwayat Muslim, Abu daud, At-Tirmidzi dan lain-lainnya): kaum Ya’juj dan Ma’juj (يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ) akhirnya dibinasakan oleh Allah Ta’ala dengan serangan ulat yang akan masuk ke telinga mereka dan membunuh mereka sehingga punah-ranah semuanya.
Tidak lama sesudah itu akan berlakulah hari kiamat.- Syeikh al-Maraghi- pengarang kitab ‘Tafsir al-Maraghi’ berkata dalam isu ini: Ya’juj dan Ma’juj- ialah dua kaum iaitu Ya’juj kaum Tartar dan Ma’juj adalah kaum Mongol.
Keduanya bapa yang sama iaitu asal Turki di sebelah utara Asia.
Negeri asal mereka ialah Tibet, China dan sebelah baratnya sampai ke Pakistan! Kata Syeikh Wahba az-Zuhaili - Tafsiran ini tidak sahih – yang pasti puak itu adalah satu kaum yang ganas yang Allah ceritakan begitu tanpa penjelasan.
Mereka juga ialah salah satu alamat atau tanda Kiamat yang besar!
Hatta dalam ayat ini Allah kembarkan apabila mereka keluar – selepas itu ditiupkan sangkakala tanda Kiamat.
Kata Imam al-Qurtubi pula: Apabila tembok itu dibina & mereka terkurung di dalam lalu mereka akan saling bertolak-tolak untuk keluar maka akan berhimpit dan bertembung sesama mereka!
*Yakni ada dua tafsiran iaitu samada mereka saling bertolak semasa di dalam kurungan atau berebut keluar selepas tembok runtuh.
Boleh baca buku ini untuk menambah maklumat tentang Dajjal dan tanda-tanda Kiamat seperti nabi Isa, Ya’juj dan Ma’juj dan lain-lain:
DAJJAL.
dartaibah.com…- 10 perkara tanda Kiamat itu akan datang satu persatu seumpama untaian tasbih sebagaimana hadis Nabi S.A.W:
Maksudnya:
“Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”.
“Baginda S.A.W menyebut (tanda-tanda tersebut):
Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”. [HR Muslim (2901)] - Yakni Allah biarkan Ya’juj dan Ma’juj itu keluar apabila tembok itu runtuh, lalu mereka keluar bercampur gaul dengan manusia, mula membuat kerosakan dan huru-hara yang besar – sebelum mereka dibunuh dan diselesaikan masalahnya oleh Nabi Isa a.s.
- Kemudian berlakulah Kiamat apabila selesai 10 tanda besar Kiamat tadi iaitu malaikat Israfil akan meniup sangkakala yang pertama.
Macamana kita masih mampu rilek dan bergembira lagi sedangkan malaikat Israfil sudah lama bersedia untuk meniup sangkakala!
Abu Said al-Khudri R.A berkata, bersabda Rasulullah S.A.W: ‘Bagaimana kita akan bersuka-suka padahal Malaikat yang memegang sangkakala telah memasukkan ke dalam mulutnya sedang ia menanti izin Allah swt, bilakah ia diarahkan meniupnya.’
Berita ini agak terasa berat sekali pada para sahabat Nabi S.A.W, maka Baginda mengajarkan kepada mereka supaya membaca:
حَسبُنا اللَّهُ ونعمَ الوَكيلُ توَكَّلنا على اللَّهِ ربِّنا
“Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Kepada Allah, Tuhan kami, kami bertawakkal.”
HR At-Tirmizi dan lain-lain
- Setelah mendengar tentang cerita serunai atau sur (الصُّورُ) itu datang seorang badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentangnya.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RAnhuma:
“Telah datang seorang Badwi kepada Nabi S.A.W, lalu berkata: “Apakah al-Sur?”
Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.” [HR at-Tirmizi].Ayat 99- {… lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.}
- Apa yang kita sibuk ialah bagaimana persiapan kita menghadapi hari Kiamat.
- Allah kata setelah Kiamat berlaku, apabila manusia dibangkitkan – dihimpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
- Pada waktu tiada siapa peduli akan siapa atau orang lain – masing-masing sibuk membawa diri & cuba menyelamatkan diri masing-masing.
- Jika atas dunia ini orang cari kawan, cari keluarga, anak isteri – tetapi di Akhirat kelak tidak sempat nak memikirkan tentang orang lain apatah lagi nak cari – hanya memikirkan tentang diri sendiri saja!
وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِّلْكَافِرِينَ عَرْضًا ﴿٠٠١﴾
Ayat 100- {Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;} (Al-Kahfi 18:100)
- Pada hari itu juga kepada orang kafir di perlihatkan neraka Jahannam,, dengan pendedahan yang jelas nyata!
- Munasabah ayat:
- apabila berlaku Kiamat semua manusia dikumpulkan di padang Mahsyar;
- kafir juga berkumpul semua & dihadapan neraka dapat dilihat dengan jelas.
*Kita orang beriman sentiasa berdoa pada setiap waktu:
- Nota [778] Yakni semasa sekalian makhluk berhimpun di Padang Mahsyar, pada ketika itu, orang-orang kafir diperlihatkan neraka jahannam dan azabnya yang dahsyat, yang disediakan untuk mereka. Na’uzubillah.
Dalam tafsir ulama’ kata: Allah kata – Kami zahirkan kepada orang kafir neraka – mereka tengok dulu sebelum dimasukkan ke dalamnya.
Pada waktu itu tak guna lagi penyesalan, masa sudah tamat tempoh – sudah habis!
- Siapakah orang kafir yang akan melihat neraka ini? Lihat ayat seterusnya!
الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَن ذِكْرِي وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا ﴿١٠١﴾
Ayat 101- {(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.} (Al-Kahfi 18:101)
- Mereka ialah orang yang matanya tertutup; iaitu hanya melihat dengan mata kasar tidak lihat dengan hati.
Tidak melihat dalil & tanda kekuasaan Allah maka rosaklah mereka!
Mata mereka buta daripada melihat & menerima kebenaran. - Nota [779] Yakni orang-orang yang tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mengingati-Nya dan tidak mahu mendengar ajaran Kitab Allah semasa hidupnya, pada hari akhirat kelak mereka akan melihat dan mendengar azab neraka yang dahsyat, yang menjadi balasannya.
- Kata ulama’ maksudnya tutup ini samada:
- tertutup mata fizikal mereka daripada melihat ayat-ayat Allah yang di depan mata!
- tutup mata hati mereka daripada berfikir!
- Ini sebagaimana firman Allah:
{(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.} [Al-Baqarah: 7].
*Begitulah orang kafir yang tak mahu dengar Kalamullah – dia dengar, bukannya tuli pekak – tetapi ingkar menolak lalu buat tak dengar!
Mereka dengar azan sama seperti lembu yang tak dengar azan tidak menyahut seruannya!
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَن يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِن دُونِي أَوْلِيَاءَ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ نُزُلًا ﴿٢٠١﴾
Ayat 102- {Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.} (Al-Kahfi 18:102)
- Munasabah ayat ini jelas:
- apabila Allah nyatakan orang kafir tak mahu melihat dengan pandangan tadabbur, tak mahu dengar dakwah & peringatan nasihat yang memberi manfaat;
- maka datang ayat ini Allah bertanya apa yang puak kafir rasa & sangka?
Mereka sangka dewa-dewa dan berhala yang mereka sembah dapat memberi faedah & pertolongan kepada mereka!
*Sedangkan tidak sama sekali!
- Nota [780] Yakni orang-orang kafir yang bertuhankan malaikat atau yang bertuhankan Nabi Isa a.s atau makhluk-makhluk yang lain, maka semuanya itu tidak dapat menolong mereka dari azab Allah yang disediakan untuk mereka pada hari akhirat kelak.
- Begitulah sangkaan buruk yang dibuat oleh puak kafir itu tidak menjadi apa, tidak benar & sesat; kerana semua sembahan itu adalah makhluk juga yang tidak berkuasa apa!
- Bahkan Allah telah sediakan bagi mereka orang kafir si penyembah dan sembahan mereka itu neraka sebagai tempat kembalinya.
Penutup & Faedah
- Ayat 99- {Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain;}
Allah jadikan Ya’juj dan Ma’juj apabila terlepas dari tembok mereka yang runtuh itu keluar lalu bercampur-gaul dengan manusia ataupun;
Satu tafsiran lain bahawa Ya’juj dan Ma’juj bercampur-gaul, berhimpit-himpit sesama mereka sesama terkepung di sebalik tembok yang dibina Zulqarnain dulu.
Ini adalah merupakan sambungan kepada kisah Zulqarnain dan pengembaraannya ke barat, timur, utara dan munculnya Ya’juj dan Ma’juj.
Sekarang episod penamat kisah pengembaraan Zulqarnain. Allah beri kepadanya kekuasaan & kekuatan dan dia adalah seorang raja yang soleh dan adil.
Kerjanya menyelamatkan manusia daripada dizalimi & ditindas, menyelamatkan manusia daripada kebatilan, kekufuran & kesyirikan!
Tiga kisahnya atas plot yang satu iaitu ia datang dari Allah S.W.T- tak perlu kita cari yang pelik kerana sudah memadai yang sahih yang datang dari Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.
Kisah ini juga ditafsirkan dengan firman Allah ini:
حَتَّىٰٓ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍۢ يَنسِلُونَ-
(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.} [Al-Anbiya’ 96].
Yakni hebat mana Ya’juj dan Ma’juj, ganas setara mana mereka akhirnya mati dengan serangan ulat yang dihantar Allah!
Kemudian Allah perintahkan malaikat meniup sangkakala sebagai tanda Kiamat maka habis semua manusia mati semuanya atas dunia ini!
- Ayat 100- {Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;} – Allah nyatakan apabila dibangkitkan di Akhirat kelak – sebelum apa-apa lagi manusia telah diperlihatkan tempat berakhirnya!
Sebagaimana orang kafir ini telah diperlihatkan neraka kepada mereka!
Bahkan atas dunia lagi sudah nampak sebelum mati ketika sakaratul-maut- apabila nampak neraka sebagai tempat yang akan mereka pergi – ruhnya lalu lari masuk ke dalam badannya cuba nak bersembunyi – lalu malaikat sentap tariknya keluar dengan kasar & bengis!
Tujuan Allah nyatakan semua ini supaya kita jaga & perelokkan hubungan kita dengan Allah. Aqidah kita betul atau tidak, solat jaga atau tidak, al-Quran baca && ikut atau tidak!
Jadi kita kena buat persiapan kerana kita akan menghadapi hari huru-hara yang besar di Akhirat kelak.
Sebagaimana kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika mula-mula hijrah dan ramai sahabat ditimpa demam panas; sebagaimana riwayat UM Sayyidah Aisyah r.a:
كُلُّ امْرِئٍ مُصَبَّحٌ فِي أَهْلِهِ … وَالْمَوْتُ أَدْنَى مِنْ شِرَاكِ نَعْلِهِ
“Setiap orang berpagi-pagi dalam keluarganya dan kematian itu lebih dekat daripada tali kasutnya.” [Direkodkan dalam Sahih al-Bukhari].
Tujuan ayat ini supaya orang beriman sentiasa mengambil langkah bersiap siaga, sentiasa bersedia untuk bertemu dengan Allah.
Gambaran kematian itu kita sentiasa nampak dan cuba bayangkan!
Ruh orang beriman akan keluar dengan lembut seolah titisan air yang menitik perlahan & lembut!
Ayat 100- {Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;} – pembentangan & tayangan neraka untuk golongan kafir telah dibuka.
Allah nyatakan telah dipertontonkan kepada orang kafir tempat kembali mereka!
Walaupun mereka duduk jauh lagi tetapi seolah dipasang skrin yang boleh mereka lihat dan nampak neraka dengan jelas.
Maka para kafir yang sedang menunggu kesudahan hisab itu gementar menggeletar mereka semuanya kerana mereka sudah tahu di mana tempat tujuan mereka!
Begitu juga semasa di dalam kubur iaitu di alam barzakh – semua ini juga telah ditayang & ditunjukkan kepada mereka!
Sudahlah kena azab kubur ditunjukkan pula tempat siksa mereka di Akhirat kelak!
- Ayat 99- {… dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.}
Allah memberitahu apabila tiba hari Kiamat, malaikat akan meniup sangkakala dan semua orang mati tidak tertinggal seorang pun yang akan hidup atas dunia ini!
Allah kata apabila ditiup sangkakala – ketika itulah mereka akan nampak neraka sedangkan semasa atas dunia dulu mata & telinga mereka tertutup daripada melihat bukti tanda ayat-ayat Allah!
Kiamat telah berlaku, lalu di Akhirat baru nak menyesal, penyesalan yang tidak berguna, tak boleh nak buat apa lagi!
Jika insaf dan menyesal atas dunia masih ada peluang, pasti akan sempat bertaubat & diampunkan Allah!
- Ayat 102- {Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.} – puak kafir itu menyangka mereka itu baik, molek dan selamat.
Ini kerana mereka sangka Tuhan sayang dan redha kepada mereka kerana buktinya mereka atas dunia hidup aman.
Tidak sesekali – bahkan Allah kata jika kamu tidak beriman – Allah akan sediakan bagi kamu neraka Jahannam yang disediakan bagi orang kafir!
Maka kita orang beriman ini bersiap-sedialah, insya’ Allah dengan pertolongan Allah, dengan kita sentiasa belajar tadabbur al-Quran, kitab hadis kitab feqah dan semuanya; semoga kita selamat di dunia & aman di Akhirat, mati dalam husnul khatimah!
Untuk bacaan tafsir surah Kahfi yang pertama boleh baca buku ini:
dartaibah.com…
dan kembarnya kitab Dajjal:
dartaibah.com…
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat kefahaman yang baik, faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.
Ada soalan tentang ayat ini?
Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.