Surah Al-Kahfi: Ayat 83-86
Kisah Zulqarnain, Kekuasaannya & Berjalan Sampai Ke Tempat Matahari Jatuh

Live Kuliah Pagi Isnin 24/08/2026 – 11 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Al-Kahfi (27) Ayat [83-86]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah al-Kahfi dengan ayat 83 sehingga ayat 86 dalam juzuk keenambelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita kisah seorang yang hebat namanya Zulqarnain {ذو ٱلْقَرْنَيْنِ}.
*Tetapi disebut juga ZilQarnain {ذِى ٱلْقَرْنَيْنِ}- berubah barisnya bergantung kepada kedudukannya dalam satu ayat itu-ini kaedah nahu bahasa Arab.
Sebagaimana Abu Hurairah atau Abi Hurairah.
- Allah ceritakan tentang kekuasaannya sebagai seorang raja yang beriman.
Dia berjalan jauh sehingga sampai ke hujung dunia tempat matahari jatuh. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas kita telah selesai tentang kisah Nabi Musa dan Khadir dan hasilnya ialah kisah pengembaraan Nabi Musa atas muka bumi untuk menuntut ilmu.
ii- maka datang ayat ini pula kisah pengembaraan seorang panglima atau raja atas muka bumi ini kerana jihad fi-sabilillah. Menegakkan keadilan, menghapuskan kezaliman, dan menyebarkan agama!
*Allah memulakan kisah ilmu sebelum jihad untuk menunjukkan kepentingan tingginya ilmu.
Kerana dikhuatiri tanpa ilmu- jihad akan menjadi jahat & satu kezaliman!
Ilmu menjadi asas kepada kebahagiaan dan paksi kepada segala urusan kehidupan manusia.
Tanpa ilmu amal tidak akan menjadi soleh!
Kerana itu kita kena usahakan untuk menuntut ilmu sebelum beramal.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٣٨﴾
Ayat 83- {Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:} (Al-Kahfi 18:83)
- Allah kata mereka (iaitu puak kafir Makkah) bertanyakan kepadamu wahai Muhammad tentang kisah Zulqarnain; maka katakan kepada mereka bahawa kamu akan bacakan sedikit cerita tentangnya melalui apa yang diwahyukan Allah kepadaku.
- Allah menyatakan sedikit tentang ceritanya {مِّنْهُ} kerana kisah Zulqarnain ini sangat panjang dan lama, dia mengembara ke seluruh pelusuk dunia, ke timur & ke barat!
- Nota [762] Yang bertanya ialah kaum musyrik Arab dengan suruhan kaum Yahudi kerana hendak menguji kebenaran Baginda.
Siapa dia “Zu’l-Qarnain” dan bila zamannya? Tidak diterangkan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an, kerana yang penting ialah pengajaran baik yang terdapat dalam kisahnya.
Ayat-ayat yang berikutnya menerangkan, bahawa “Zu’l-Qarnain” ialah seorang raja yang beriman lagi soleh, yang telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala memegang kuasa pemerintahan di bumi dan diberi berbagai kemudahan untuk memerintah dengan adilnya.
“Zu’l-Qarnain” ialah gelarannya.
Ertinya: “yang mempunyai dua tanduk”; yang melambangkan bahawa kekuasaannya meliputi negeri-negeri di timur dan di barat.
- Kata al-Biqa’i dia dipanggil Zulqarnain yang bererti “Yang Mempunyai Dua Tanduk” kerana beberapa sebab:
i- kerana keberaniannya dan kehebatannya.
ii- kerana dia sampai ke tempat dua tanduk iaitu tempat terbit matahari dan tenggelam matahari.
iii- kerana dia memerintah selama dua kurun (qarnain- قرنين).
iv- atau kerana dia mempunyai dua tocang rambut seperti tanduk.
v- di topinya ada dua tanduk.
*Kita kata wallahu a’lam! - Tentang kedudukannya:
i- Ulama’ berbeza pendapat tentang dia ini seorang nabi atau raja;
ii- tetapi mereka ittifaq dia adalah seorang muslim & raja yang hebat.
*Tetapi yang sahihnya dia bukan seorang nabi tetapi seorang raja yang soleh & agung!
- Ulama’ kata Zulqarnain dalam al-Quran ini bukanlah Iskandar Maqedoni atau Alexandar the Great yang dimasyhurkan itu kerana:
i- jarak tempoh (time frame) yang jauh dan tak tepat.
ii- dari sudut penduduk; Zulqarnain dalam al-Quran ini adalah seorang Islam yang soleh membanteras kekufuran & kezaliman. Kerajaannya sampai ke timur & barat.
iii- manakala Alexander itu adalah seorang kafir bukan muslim penyembah berhala begitu juga rakyatnya.
- Allah kata Dia akan ceritakan sebahagian saja daripada kisah ZulQarnain yang dapat memberi pengajaran & faedah kepada manusia sahaja.
Manakala yang tidak ada manfaat dan pengajaran kepada kita tidak diceritakan!
- Ini adalah cerita atau kisah yang seterusnya dalam al-Quran untuk memberi pengajaran & iktibar kepada kita! Telah ada cerita tentang pemuda (Ashab al-Kahfi), tentang orang kaya yang sombong (pemilik dua kebun), kisah bahawa punca kerosakan dunia yang bermula dengan iblis yang sombong tidak mahu ikut perintah Allah dan yang terbaru tentang kisah Nabi Musa & Khadir.
إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٤٨﴾
Ayat 84- {Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.} (Al-Kahfi 18:84)
- Allah nyatakan bahawa Allah berikan kepada Zulqarnain apa yang diperlukannya seperti kekuasaan di bumi bagi memenuhi hajat pemerintahannya atas muka bumi ini seperti; kuasa tentera & pengikut yang ramai, alat kelengkapan yang banyak, strategi yang hebat; yakni dia adalah seorang yang hebat & berkuasa.
- Begitulah Allah berikan kekuasaan kepada siapa yang dia mahu sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.} [Al-Baqarah: 247]. - Tetapi ingat Allah beri kuasa, kedudukan, kesenangan dan kekayaan kepada seseorang itu bukan menunjukkan Allah sayang & redha kepadanya.
Ada kerana Allah nak uji, nak lihat kesyukuran dan keikhlasannya!
Kata orang- sesiapa yang diangkat tinggi apabila jatuh lebih sakit kesannya! - Nota [763] Mulai ayat ini, Allah Ta’ala menerangkan perihal Zu’l-Qarnain.
Ia diberi kuasa pemerintahan dan segala kemudahan, meliputi kekayaan dan kekuatan tentera, untuk menjayakan segala yang hendak dilakukannya.
فَأَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٥٨﴾
Ayat 85- {Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).} (Al-Kahfi 18:85)
- Yakni Allah memberikan kepada Zulqarnain ini kekuasaan & cara alat untuk dia memerintah dan mendirikan kerajaan yang besar & hebat.
- Maka dia dapat menyampaikan atau menunaikan kehendaknya lalu keadilan dan kekuasaannya tersebar ke timur dan ke barat- ke seluruh pelusuk dunia pada masa itu!
حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا ﴿٦٨﴾
Ayat 86- {Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.} (Al-Kahfi 18:86)
- Maka Zulqarnain berjalan atas dunia yang kering (daratan) sehingga tiba ke hujung dunia di sebelah barat bumi iaitu tempat matahari tenggelam dan mereka sampai pada waktu matahari terbenam.
- Tempat itu adalah di tepi mata air yang hitam & berlumpur serta dia melihat seolah matahari jatuh ke dalam tempat itu atau kaki langit.
Ini adalah ilusi pandangan manusia seolah matahari masuk ke dalam air berlumpur itu!
- Nota [764] Yakni setelah ia sampai di sebuah negeri yang terletak di tepi lautan di bahagian barat dunia, ia dapati matahari seolah-olah terbenam dalam lautan itu.
- Di situ Zulqarnain berjumpa dengan sekumpulan manusia yang kafir!
Ketika Allah berfirman kepada Zulqarnain dengan memberi ilham kepadanya untuk membuat keputusan sendiri- yakni Allah serahkan kepada kebijaksanaannya!
- Iaitu untuk memilih sama ada:
i- jika mereka degil keras kepala melawan nak kafir juga maka boleh jika dia hendak menyeksa mereka atau;
ii- bertindak secara baik terhadap mereka yang nampak lunak dan mahu menerima Islam.
- Nota [765] Yakni Allah Ta’ala ilhamkan kepadanya supaya ia bertindak kepada mereka menurut kebijaksanaannya, samada ia hendak memerangi mereka atau pun memaafkan mereka serta memberi bimbingan ke jalan ugama Allah.
- Apa keputusan Zulqarnain kita tengok dalam ayat seterusnya besok!
Penutup & Faedah
- Ayat 83- {Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:} –
Allah ajar suruh Nabi s.a.w kata kepada mereka yang betanya:
i- aku akan baca kepada kamu jawapan tentang beberapa soalan yang ditanya iaitu tentang Zulqarnain!
ii- aku akan baca dan ceritakan kepada kamu hanya sedikit atau sebahagian saja dari kisahnya yang panjang sebagai peringatan & iktibar.
Allah puji Zulqarnain kerana dia seorang raja yang beriman dan baik dan Allah ceritakan kisahnya di dalam al-Quran.
Orang akan membaca kisahnya sepanjang zaman sehingga ke hari Kiamat.
Pujian Allah kepadanya sebagai lambang seorang raja yang beriman, berkuasa tetapi adil dan bijaksana, tinggi semangat, baik jiwanya dan yang terbesar membawa panji tauhid untuk beriman kepada Allah & menghapuskan kesyirikan!
Kerana itu jika kita berkuasa jangan kita buat zalim kepada orang!
Sebelum dapat kuasa berjanji dengan segala janji manis yang akhirnya dicapati dan tidak tunaikan tanggung-jawab!
Ini bukan cakap politik tetapi teguran kepada semua!
Jadi jelaslah dia bukan Alendar the Great atau Iskandar Maqedoni yang kafir itu- tetapi Zulqarnain ini adalah seorang raja Islam (bukan nabi) yang agung dan hebat!
- Ayat 83- {Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:}-
Allah ajar kepada Nabi s.a.w untuk mengatakan bahawa dia akan jawab pertanyaan mereka itu, tetapi bukan sekarang.
*Jika kata insya’ Allah mungkin akan segera turun jawapannya- sebagaimana perbincangan kita sebelum ini.
Allah kata {سَأَتْلُوا۟} kerana Allah jadikan kisah Zulqarnain sebagai satu kisah yang dibaca & ingatan semua orang samada dalam solat atau di luar solat sebagai ayat-ayat suci al-Quran, dalam majlis dalam musabaqah yakni di mana saja!
Allah juga kata hanya sedikit saja kisahnya yang akan diceritakan kerana kisahnya panjang sekali.
Berbeza dengan kisah Ashab al-Kahfi Allah kata dalam ayat 13 {} kerana ceritanya pendek dan habis selalu dalam satu episod saja.
Allah juga memulakan ayat ini dengan berkata {mereka bertanya kepada kamu}- menunjukkan ayat ini adalah jawapan kepada soalan yang diajar oleh yahudi dan ditanya oleh proksi mereka musyrikin Makkah kepada Nabi s.a.w.
- Ayat 84- {Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi,…}-
Allah kata Allah beri kepadanya kekuasaan.
Ini menunjukan iktibar bahawa kuasa ini Allah berikan kuasa-Nya kepada hamba-Nya yang dia pilih dan nak beri!
Kita kena ingat da kuasa yang Allah beri kerana memang Allah sayang kepadanya seperti Zulqarnain ini kerana dia seorang yang beriman, soleh, adil dan telus; maka kuasa itu adalah satu nikmat!
Tetapi ada orang yang Allah beri kuasa tetapi dia sombong angkuh dan zalim seperti Fir’aun.
Qarun pula seorang yang kaya-raya tetapi dia angkuh juga- maka mereka ini bukan kerana Tuhan sayang kepada mereka!
Jadi Tuhan beri kuasa kepada seseorang samada kerana Tuhan sayang kepadanya kerana kebaikan & keadilannya; atau ada yang Allah beri kuasa kerana nak uji nak tengok setara mana kelaghaan mereka!
Kerana kita kena ingat apabila dapat kuasa jangan gembira sangat bahawa Tuhan sayang!
Tetapi Allah nak tengok betul atau tidak apa yang dijanjikan, apa yang diperjuangkan & dilaungkan!
Jadi apabila tak tunai atau buat seperti yang dijanjikan maka kita tahu dia adalah manusia yang gila kuasa bukan manusia yang telus dalam kuasa.
Ini pesanan untuk siapa saja- al-Quran bercakap 1400 dulu, kisah Zulqarnain berlaku beribu tahun dulu- yang penting sesiapa yang berkuasa dia adil- maka Allah akan sayang.
Sehinggakan dalam hadis Nabi s.a.w orang pertama dalam senarai yang mendapat bayangan Arasy di hari Kiamat ialah imam yang adil! Allahu Akbar.
Jika pemimpin yang zalim atau menipu- tunggulah hisab & balasan Allah di Akhirat kelak.
- Ayat 84- {… dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.}
Ayat 85- {Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).}-
Allah kata dia beri kepada Zulqarnain segala yang diperlukannya bagi dia menyampaikan maksud kehendak dan keperluannya- yakni Allah beri kepadanya sebab kekuasaannya!
Ketetapan Sunnatullah dalam alam ini; apabila seseorang itu bekuasa pastilah ada kuasanya, pengikutnya, jentera & tenteranya, alat-alat pemerintahannya dan sebagainya.
Maka Allah berikan kepada Zulqarnain alat-alat & jalan yang menyebabkan dia berkuasa!
Maka kitapun apabila dapat kuasa ingat baik-baik jangan lari di tengah jalan, salah guna kuasa, buat perkara tidak baik, tidak menjalankan tanggung-jawab & tak tunai janji yang ditabur.
Ini kerana kekuasaan ini hanya sementara- satu ujian dari Allah!
Maka dia pun { فَأَتْبَعَ سَبَبًا} ikutlah jalan yang Allah tunjuk dan berikan kepadanya itu, dia buat perkara yang Allah suka, permudahkan segala urusan dan menjalankan tugas dengan baik!
Kata ulama’: Setiap kerajaan kena ada kekuasaan, ada tentera & jentera!
Jika kita berkuasa tetapi tidak menguasai- tak jadi apa! Seperti sekumpulan monyet yang menawan sebuah kereta- mereka tidak dapat apa-apa faedah darinya kerana tak pandai nak bawa kereta itu.
*InI hanya ibrah jangan kaitkan dengan sesiapa.
Ini yang kita bimbang hari ini; kadang-kadang sebuah kerajaan itu dia berkuasa tetapi dia tidak pandai nak ambil hati & jaga kebajikan rakyat, tidak pandai nak mentadbir dengan baik!
- Ayat 86- {Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar).}-
Maka Zulqarnain berjalan jauh di atas bumi yang kering sehingga tiba ke hujung dunia di sebelah barat- di mana matahari jatuh seolah ke dalam laut di situ.
Lautnya pula hitam berlumpur dan berbau; di situlah dia jumpa satu kumpulan manusia yang kafir.
Allah serahkan kepadanya untuk berhukum- kita tunggu dalam ayat seterusnya besok insya’ Allah!
Yang penting para pendakwah kena usaha samada kita beri orang datang ke tempat kita atau kita pergi cari orang untuk berdakwah bertemu masyarakat- tengok kemampuan dan peluang yang ada!
Para penguasa tidak boleh hidup senang atas singgahsana atau dalam istana saja- dia kena turun padang, masuk kampung ceruk rantau agar dia nampak serta tahu keadaan, masalah dan kesusahan rakyat untuk diselesaikan.
Jangan tunggu orang lapor saja takut kadang-kadang laporan itu tidak betul!
Jadi Zulqarnain Allah beri kepadanya seorang raja yang adil, dia berjalan sehingga ke hujung bumi yang kering dan berjumpa satu kumpulan manusia yang pelik, yang belum beriman!
Kita lihat apa yang terjadi besok insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk surah al-Kahfi pada hari ini, semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu Isnin 24/08/2026 – 11 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Israa’ 2026 (29 Siri) & Surah Al-Kahfi (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: Senarai main YouTube…
Link Nota: Facebook
Semoga Bermanfaat!